Saturday 13 February 2016

Siri "Bergelumang Dengan Briar" : Mata Beburung (Bird's Eye).

"Bird's eye" atau mata beburung, adalah satu fenomena alam yang hanya dapat dinikmati oleh pemipa, peminat pena-pena eksotik dan peminat pisau-pisau dengan hulu dari jenis ini. Ianya adalah pusaran, titik titik pangkal atau hujung plot ira kayu atau "grain" yang bertaburan di  dalam sesebuah briar.

Bayangkan susunan jerami yang menegak, dari pandangan sisi kita akan nampak pertindihan selari garis-garis lurus jerami itu - yang dikatakan "straight" atau " flame grain" - manakala dari atas pula kita dapat lihat jerami tadi membentuk bulatan-bulatan halus, dan itulah bird's eye.

Karakteristik ini terhasil dari "burl" iaitu suatu proses pembengkakan yang abnormal buat pokok-pokok lain selain dari pokok erica arborea. Bagi pokok renek ini, burl pada akarnya (yang kita panggil briar tadi) adalah alami, dikatakan kerana faktor geologikal di mana ia tumbuh di kawasan berbatu yang mencabar - kurangnya tanah dan nutrisi.

Fenomena ini bukan sahaja menyebabkan briar tahan panas - sangat berguna dan ideal untuk dijadikan pipa - malahan ia juga datang dengan pakej yang cantik; penuh dengan "bird's eye", "flame grain" dan "straight grain" yang menjadi hidangan mata pemipa.

Sudah tentunya penggunaan bird's eye yang terbaik adalah pada pipa-pipa "straight grain" dimana unjuran grain yang lurus akan memastikan bird's eye berada di bahagian atas (selalunya bahagian rim atau crown) dan di bahagian bawah bowlnya. Dalam konteks ini, bird's eye dapat memberikan kontras yang baik untuk pipa "straight grain", kerana selepas kita asyik menikmati susunan dan jalinan garis-garis ira yang lurus pada seluruh bowl pipa, kita dihadiahkan pula dengan taburan bird's eye yang memukau pada pandangan atas dan bawah.

Bird's eye dapat juga dizahirkan dengan baik di kedua sisi bowl oleh pipa-pipa yang menampilkan penggunaan konsep "cross-grain". Cuma cabarannya pada grain jenis ini, adalah untuk memastikan plot bird's eye tadi berada secara simetri di kedua-dua briar. Sudah tentunya pola bird's eye yang padat adalah sangat menarik namun posisi yang simetri seperti yang diterangkan tadi adalah sukar untuk dilakukan. Banyak pipa-pipa sebegini yang saya lihat memiliki bird's eye yang padat tetapi sayangnya posisi simetri yang baik tidak selalunya dapat dihasilkan.

Dengan struktur "grain" atau ira ini bergantung kepada faktor alami seperti nutrisi dalam tanah, kuantiti air, cuaca dan juga usia ketika briar itu dituai, ia tidak boleh dikawal oleh manusia dan kerana itulah kita memiliki beberapa jenis grain seperti "flame grain" dan "straight grain" tadi. Dengan itu, pola bird's eye yang diperolehi dari setiap blok briar yang telah dipotong adalah unik dan berlainan antara satu sama lain.

Unjuran alami ini jugalah yang menentukan harga sesebuah blok briar. Bird's eye selalu dilihat sebagai "by-product" kepada "straight grain" dan "flame grain" jadi selalunya harga untuk sesebuah pipa yang menampilkan bird's eye (biasanya blok-blok "ebauchon" dimana ia dipotong dari bahagian tengah burl dan memiliki grain-grain yang selalunya tidak sekata) adalah lebih rendah berbanding blok-blok "plateaux" yang mampu menampilkan "straight" atau "flame grain" dengan lebih baik.

Namun, sesetengah pipemaker tahu menilai akan kecantikan bird's eye ini. Ia diabadikan di dalam pengeluaran mereka, dengan pipa-pipa terpilih yang memiliki pola bird's eye yang cantik akan diberikan penghormatan untuk berada di dalam sirinya yang tersendiri. Pipa-pipa istimewa ini terkadang memiliki tag harga yang setanding (malahan mungkin lebih) dengan briar-briar "flame grain".

Antara pipemaker yang mengungguli pipa-pipa bird's eye ini adalah Castello, di mana pipa-pipa bird's eye mereka yang terbaik diabadikan dalam siri "Oochio di Pernice" atau "Eye of the Partridge" (partridge adalah sejenis burung kecil seumpama kelicap yang banyak terdapat di sekitar Mediterranean). Melihat kepada keluaran Oochio di Pernice yang secara relatifnya agak terhad dan selalunya ditaburi oleh bird's eye pada kadar yang memukau jiwa, tidak hairanlah ia menjadi buruan kolektor samada yang baru atau estate. "Oochio di Pernice" juga selalunya tidak kekal lama di kedai-kedai atau online. Ia akan disambar pada kadar yang pantas!

Selain itu, Kaywoodie juga pernah mengeluarkan siri bird's eye mereka sendiri yang diberikan nama "Birdseye". Siri ini menampilkan pipa-pipa dengan bird's eye yang menarik tetapi keluarannya adalah sangat sedikit, hingga ia dikategorikan "rare" atau langka oleh kolektor-kolektor pipa US. Juga menarik untuk kita ketahui, penyenaraian harga Kaywoodie pada tahun 60an meletakkan pipa "straight grain" dan "birdseye" pada kadar tertinggi - satu bukti di mana bird's eye lebih dihargai dari "flame grain" suatu ketika dahulu!

Unjuran bird's eye yang tidak menentu juga selalu menjadikannya membentuk sesuatu gambaran, dari seringkas kulit tembikai, sistem sarang semut, hinggalah ke beberapa penaksiran yang lebih kompleks seperti rupa seseorang atau sesuatu, kapal yang marak terbakar, malahan makhluk-makhluk yang menanti di alam barzakh. Perkara-perkara sebegini sebenarnya adalah seperti membaca awan di langit; terpulang pada penaksiran dan imaginasi masing-masing. Walau bagaimanapun, ia memberikan efek yang sangat menarik yang tidak dapat digambarkan oleh "straight" dan "flame grain".

Pipemaker yang baik pastinya tahu akan efek "staining" pada jenis-jenis bird's eye, seperti contohnya bird's eye yang rapat dan padat perlu di"stain" cerah jika tidak efeknya akan gelap dan pudar, dan sebaliknya. Dari sinilah pemahaman pipemakers terbukti sangat penting demi menghasilkan karya pipa bermutu tinggi, tanpa perlu bergantung harap dengan briar "straight grain" yang pastinya lebih mahal untuk diperolehi.

Bird's eye juga memiliki beberapa kriteria yang seharusnya menjadi kayu mengukur jika anda meminati pola sebegini pada pipa anda. Pertama sekali cubalah untuk mendapatkan unjuran bird's eye yang padat, di mana lebih tinggi peratusan bird's eye pada bowl pipa anda adalah lebih baik. Kedua, cuba dapatkan unjuran yang sekata pada sisi bowl, seperti yang telah dibincangkan pada awal tadi, terutamanya apabila melibatkan pipa-pipa dengan "cross grain".

Yang ketiga adalah agak mustahil tetapi dikatakan wujud, iaitu pencarian bird's eye dengan unjuran 360 darjah. Sukar untuk kita bayangkan namun ada pipa yang memiliki unjuran sebegini (satu yang saya terbaca tempohari adalah buatan dan milik keluarga pipemaker Radice - mungkin disimpan di dalam muzium peribadi mereka) dan pastinya ini adalah "holy grail" bagi peminat bird's eye!

Samada anda suka atau tidak, briar adalah bahan yang ada limitasinya, dan unjuran grain pada briar juga ada limitasinya yang tersendiri. Jika semua orang mengejar "straight grain", maka pastinya permainan hobi ini akan menjadi hambar apabila sampai pada kemuncaknya.

Ketika kita sedang sibuk menilik-nilik bowl "fiammatas" dan bersungut-sungut dengan harganya yang mahal, segelintir pemipa yang bijak memilih untuk membelek pipa-pipa bird's eye dan semakin hari permainan bird's eye mereka semakin hampir ke titik mutlak pencarian, yang dapat memberi kepuasan kolektiviti pada sudutnya yang tersendiri.

Diharap kita pemipa akan dapat melihat dan menilai unjuran grain pada briar secara lebih peka dan lebih meluas lagi, dengan memberi perhatian pada perkara-perkara yang selalunya kurang diperhatikan, di masa-masa yang akan datang

No comments:

Post a Comment