Wednesday 21 December 2016

Perlukah Kita Terjun ke Dasar Pipa?

Perpipaan dan tembakau adalah salah satu dari banyak perkara yang organik dan tidak faktual di dalam dunia ini. Terlalu banyak petua, amalan, tabiat, nasihat, know-how dan pantang-larang yang menyertai hobi dan gaya hidup ini sejak azali lagi. Kita cuba untuk mengikuti satu-persatu pada permulaan kita berpipa, kemudiannya kita mulai menyisih beberapa norma yang tidak sesuai dengan gaya dan cara kita, dan mungkin membentuk cara tersendiri di dalam menangani masalah-masalah kecil disepanjang hidup berpipa.

Ironinya, masalah-masalah sebeginilah yang memberikan pelbagai kerumitan, dan umum kita tahu yang kerumitan membawa kepada kompleksiti, dan kompleksiti menjurus kepada komplikasi yang menyerlahkan lagi keseronokan dan gaya hidup sang pemipa. Lihat sahaja pada jam-jam mewah, bertambah komplikasi seperti dual-time zone, tourbillon atau chronograph maka makin rumit ia untuk dihasilkan dan makin mahal harganya. Percayalah, kita manusia suka akan kompleksiti dan komplikasi. Hidup yang tenang adalah hambar, monokrom, rutin dan robotik.
Oleh yang demikian, persoalan-persoalan yang kelihatan mudah pun akan menjadi susah bagi seseorang pemipa. Haruskah anda menghabiskan tembakau di dalam bowl pipa anda hingga ke cebisan ribon yang terakhir? Jika anda menyangka soalan ini adalah semudah “haruskah kita menghabiskan minuman hingga ke titisan yang terakhir?”, anda ternyata silap. Ia tidak semudah itu.
Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan di dalam keputusan untuk menghabiskan tembakau hingga anda mencipta “bona-fide” white ash yang sering menjadi satu matlamat pemipa yang tersasar. Pertama sekali kita perlu melihat kepada kemampuan kita untuk menyalakan pipa hingga ke “ground zero”. Akan terdapat beberapa cebisan kecil tembakau / “dottles” yang secara misterinya (tidak terlalu misteri, sebenarnya) memang enggan terbakar. “Dottle” sebegini biasanya terdiri dari ketulan urat daun yang sememangnya keras dan liat. Ini, ditambah pula dengan keadaan di dasar pipa yang terkadang agak basah, menjadikannya seperti percubaan untuk membakar kaktus – boleh terbakar tetapi sangat sukar untuk dinyalakan.
Okay katakanlah kita pyromaniac semua mampu untuk membakar hingga ke dasar, adalah kita tahu petanda yang kita sudah pun berada di ground zero? Sukar sebenarnya untuk kita mengetahui situasi sebegitu, melainkan dengan kegagalan untuk menyalakan semula pipa tersebut. Di sinilah segala punca kepada masalah “charred bowl” yang merudumkan sedikit harga pipa-pipa estate (to our liking) bermula, kerana kita mungkin mencucuh api kepadanya beberapa kali sebelum menyedari yang ia telah pun habis. Jika anda merupakan pengguna torch lighter untuk pipa anda, awas – anda mungkin menghisap dinding bowl anda pada nyalaan terakhir, bukannya tembakau!
Persoalan ekonomi, tentang betapa mahalnya harga tembakau sekarang, betapa blend-blend itu dan ini sudah pun diberhentikan pengeluarannya, adalah satu sebab yang wajar kenapa anda perlu menghabiskan tembakau di dalam bowl pipa anda. Tetapi ia dengan mudah menjadi satu malapetaka kepada anda sekiranya anda ter”charred” dinding bowl pipa anda. Jadi seorang pemipa yang kritikal harus tahu mengimbangi faktor-faktor kos jangka pendek dan jangka panjang sebegini.
Pada masa yang sama, saya juga bukanlah seorang pemipa yang suka menyampaikan wacana anti-klimaks dengan tiada segan-silu kepada anda. Sebaliknya, saya sendiri adalah seorang pemipa pragmatik yang menyayangi tembakau dengan sepenuh jiwa dan raga. Saya tahu akan limitasi beberapa blend dan kebarangkalian untuk blend-blend lain menjadi “obsolete” dan sejarah tidak lama lagi (tin MacBaren Solent Mixture mulai tergambar di pemikiran kita, terbang ke awangan dengan sayap dikiri-kanan tin). Apa yang kita perlukan untuk menikmati tembakau hingga ke jurang Mariana pipa kita hanyalah sedikit keterbiasaan dan sikap berhati-hati.
Jadi, apa yang ada di bawah sana? Pemipa yang cermat semestinya akan dihadiahkan dengan pelbagai kebaikan, seperti teori “law of attraction”. Setelah anda menikmati bahagian atas dan tengah tembakau anda di dalam bowl, bahagian bawah adalah “dim sum” anda; tembakau yang sudah terkukus oleh asap dan wap panas dari pembakaran tembakau yang di bahagian atas. Tembakau bahagian ini memiliki intensiti rasa yang agak tinggi. Flavornya memiliki lebih konsentrasi, dimana kebanyakan kita akan sedar sekiranya ia tidak dilitupi oleh abu pembakaran awal yang meminjamkan sedikit rasa hangit.
Di samping itu, tembakau bahagian ini juga kaya dengan nikotin (mungkin sangat kurang juga untuk blend aromatik). Jadi anda boleh membayangkan yang lebih kepuasan akan didapati di bahagian ini. Ia sekaligus menjawab persoalan tentang tembakau-tembakau pipa sekarang yang bagi pemipa veteran adalah agak “lightweight” dan ringan berbanding blend-blend yang mereka biasa pack dahulu. Golongan mereka sememangnya menghisap pipa hingga ke dasar (sebab itulah pembuatan dapur pipa sangat ditekankan di zaman dahulu, juga penemuan pipa-pipa “extra-terrestrial” yang menggunakan duit shiling sebagai dapur banyak didapati pada pipa-pipa terdahulu) dan sudah tentunya intensiti nikotin sudah menjadi kebiasaan bagi mereka.
Dengan itu para pemipa, haruskah kita terjun ke dasar bowl dan membakar semua tembakau tersebut hingga ke cebisan yang terakhir? Apa yang saya boleh sarankan adalah untuk anda teruskan jika anda boleh mengawalnya, cuba jika anda belum menemui rentak itu, dan pelajari selok-belok pengawalannya, kerana di dasar sana bermacam kenikmatan flavor yang baik ditambah dengan dos vitamin N untuk anda renangi dengan damai.








pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Ulasan Baccy: Solani White & Black

Walaupun tidak dipasarkan secara meluas di sini, Solani adalah antara jenama blend tembakau yang masih boleh didapati di Malaysia. Akan tetapi, mengenangkan akan kerumitan duti import tembakau, tidak semua blend di bawah Solani dibawa masuk ke pasaran kita. Namun syukurlah Blend 763 iaitu White & Black adalah antara blend yang dibawa masuk, dan ia masih sukar ditemui di kedai-kedai tembakau. Blend ini tentunya sangat diperlukan oleh kita, lantaran janji Syrian latakia yang jarang didapati kini pastinya akan meruntun jiwa-jiwa yang kacau.
Datang dengan persembahan tin leper berwarna perak dan putih, persembahannya agak kemas dan senang dilihat dari kaunter kedai-kedai yang masih membawa produk ini. Melihat sekilas pandang akan apa yang tertera di atas tin, kita hanya dimaklumkan berkenaan “genre” blend ini iaitu English, dengan campuran virginia dan latakia, dan “RR”. RR disini merujuk kepada “ready rubbed” sebagai indikasi bentuk tembakau asal flake yang sudah pun digosok menjadi ribon yang tidak sekata, sedia untuk dimasukkan ke dalam bowl pipa anda. Secara peribadi, saya memang menyukai RR berbanding “ribbon” atas sebab-sebab tertentu yang boleh kita bincangkan kemudian.
Sebaik penutup tin dibuka, bau plum masam dan sedikit pastri bakar dapat dikesan. Datangnya tembakau ini di dalam bentuk ready rubbed, broken flake, jadi kelembapan minyak mineralnya masih ada di dalam untaian tembakau ini dan mungkin sedikit prep untuk jangkamasa yang singkat sudah memadai. Namun, jika anda mahu terus packing ke dalam bowl pun tidak mengapa.
Solani White & Black mudah dinyalakan disebalik keadaannya yang sedikit lembap; walaupun ia tidak semudah blend-blend yang datang di dalam bentuk ribbon cut. Nyalaan permulaan adalah baik, asap putih berkepul dapat dihasilkan dan rasa kemanisan yang pastinya dari komposisi black cavendish mula menerjah palate anda, saling bersaing dengan “spiciness” dan “smokiness” dari Syrian latakia. Ya, anda dapat merasakan intensiti Syrian latakia yang baik di sini. “Interplay” antara kemanisan black cavendish dan “leathery” dari Syrian latakia adalah sangat primer dan menyelerakan.
Saya mendapati flavor virginianya agak lambat ke depan, tetapi ia masih dapat dikesan di belakang tabir dan memainkan peranan seperti asas / base kepada dua flavor terdahulu. Ia seperti satu “base” atau tapak terhadap “interplay” flavor dari dua komponen tembakau tadi, memastikan komposisi rasa ini tidak “hollow” dan terlalu ringan. Jalinan flavor yang indah ini kekal hingga ke hujung suku bowl.
Ketika hampir masuk ke pertengahan bowl, virginia mula memainkan peranan di depan, menggantikan nuansa black cavendish + Syrian latakia tadi yang semakin samar di belakang. Walaupun begitu, Syrian latakia tidaklah terus hilang dan masih memainkan peranan yang penting pada keseluruhan struktur rasa. Simbiosis ketiga-tiga jenis tembakau ini membantu apresiasi keseluruhan blend.
Walau bagaimanapun, saya dapati kadar nikotin pada Solani White & Black adalah agak sederhana. Di sinilah juga peranan virginia yang berkualiti tadi masih diperlukan, untuk memberikan rasa “roundness” pada profil flavor blend ini dan melepaskan “punch demi punch” di sepanjang sesi perpipaan.
Sampai di hujung bowl, adunan black cavendish dan Syrian latakia sudah pun semakin lemah dan virginia memainkan peranan akhir untuk kekal di depan hinggalah ke garisan penamat. Tiada kepahitan di hujung bowl, dan pembakaran yang berlaku juga adalah sempurna. Abu putih yang sekata dan halus mudah didapati dengan Solani White & Black, memberikan gambaran akan kualiti tembakau yang digunakan. Dari awal hingga akhir, kita dibelai dengan sesi perpipaan yang memang memuaskan dan anda tahu keinginan untuk mencapai tin perak-putih yang kemas ini agak sukar dibendung.
Adalah penting untuk kita sedari bahawa Solani White & Black ini bukanlah 100% English blend seperti yang kita sangka dan seperti yang dilabel pengeluar. Ini adalah kerana komposisi blend ini menyenaraikan penggunakan black cavendish sebagai salah satu komponen tembakaunya. Seperti yang kita sudah maklum, campuran virginia sebagai asas blend, Syrian latakia dan black cavendish sepatutnya menghasilkan satu “sun-genre” kepada English blend iaitu Scottish blend. Jika anda sangat mementingkan akan ketepatan kategori blending, mungkin Scottish blend adalah lebih sesuai untuk mengkategorikan Solani White & Black.
Namun mungkin kerana black cavendish yang dicampur itu adalah dalam kuantiti yang minimal, ditambah pula dengan keadaan sekarang di mana pengkategorian blend adalah sangat longgar jadi ia dilabel sebagai “English” sahaja oleh Solani. Jadi, jangan terkejut jika anda mendapati profil rasa blend ini bukanlah English seperti kebanyakan English blend yang anda tahu.
Akan tetapi memikirkan semula tentang nuansa flavor Syrian latakia yang bertemu dengan black cavendish di dalam satu bowl ini, ia sememangnya menghasilkan satu profil rasa yang agak menakjubkan. Mungkin inilah faktor yang melontarkan Solani White & Black balik ke label “English blend”, dimana nuansa flavor ini menenggelamkan kualiti separa-aromatik atau “over-the-top sweet tasting” yang menjadi trademark Scottish blend.
Oleh itu, bolehlah kita simpulkan disini bahawa Solani White & Black adalah English blend yang sedikit manis, dipenuhi dengan kebaikan Syrian latakia yang semakin sukar didapati, dan dapat memberikan anda keenakan “English blending” dari suatu sudut yang sedikit berlainan. Keunikan gabungan flavor yang terhasil dari adunan jitu Syrian latakia dan black cavendish bakal membawa anda ke satu dimensi perpipaan yang pastinya menarik dan berbeza.


pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

PIPA KETIKA HUJAN

Hujan memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan seharian. Kita perlukan air hujan untuk tanaman kita, empangan kita, hutan dan ekosistem kita, malahan sesetengah kita menggunakan air hujan sebagai sumber air tembahan! Tanpa hujan, kita risau akan kemarau, pembakaran hutan dan kekurangan bekalan air di empangan-empangan.
Bagi saya, hujan adalah satu rahmat yang tidak ternilai. Di zaman persekolahan @ “hostel life” dahulu, hujan membawa perkhabaran baik; ia menandakan sebarang acara gotong-royong akan terbatal dengan sendirinya. Ia juga adalah peluang untuk berjalan romantis menumpang payung pelajar-pelajar puteri (lelaki memang tidak akan membawa payung). Juga hujan adalah indikasi terbaik untuk menikmati tidur yang lebih nyenyak, terutamanya pada tengahari yang panas.
Sekarang, sebagai pemipa, hujan tentunya satu kejadian alam yang sangat saya nantikan. Sains dan “biological clock” seorang pemipa mengatakan masa terbaik untuk menikmati pipa adalah ketika cuaca agak sejuk. Dan inilah apa yang diberikan oleh hujan kepada anda. Malah, saya secara peribadi memiliki blend-blend tertentu untuk dipack ketika hujan. Bersempena dengan cuaca di Malaysia kini yang sering dilanda hujan petang, yang walaupun terkadang agak abnormal dan menjanjikan banjir kilat, ia masih dapat memberi satu suasana perpipaan yang menarik untuk kita bincangkan.
Jadi, blend apakah pilihan anda untuk diisikan ke dalam pipa anda ketika hujan? Aromatik, English, Oriental, full virginia? Walaupun sememangnya terpulang kepada selera kita, ada baiknya kita cuba sedikit sebanyak mengupas kesesuaian cuaca dengan tindakbalas baccy. Sepertimana faktor makanan dan minuman yang berlainan disesuaikan dengan cuaca sejuk dan panas, begitu juga tembakau! Anda cuba bayangkan kesesuaian secawan coklat panas dihirup di dalam hotel anda di pergunungan Alps, dan sebotol Coke sejuk yang dinikmati di khemah Badwi di Morocco – semuanya menggambarkan nikmat-nikmat kehidupan yang bergantung kepada suhu dan cuaca bukan?
Blend aromatik, walaupun kurang “kick”nya tetapi masih mampu menjadi blend baik untuk menyambut hujan. Secara peribadi saya menyukai bauan alami seperti cedar, oak atau pine di dalam suasana sejuk. Tahun lalu, Davidoff ada mengeluarkan baccy aromatik “Limited Edition No. 3” yang menyajikan aroma dusun buah-buahan yang mungkin agak sesuai, walaupun harganya agak mahal. Pipe Dose 66 (yang datang dengan kotak besi dipenuhi dengan imej pipa) dari Kohlhase & Kopp juga adalah satu blend yang agak menarik untuk dicuba ketika hujan. Dan bagaimana pula dengan Ashton “Rainy Day”? Mungkin agak “cliche” untuk disebut di sini, tapi ia adalah blend aromatik yang baik. “Packing Ashton’s Rainy Day on a rainy day” nampak macam satu perkongsian status yang menarik dan “catchy” ya?
Blend-blend va/per atau full virginia adalah pilihan saya untuk dinikmati ketika awan menjatuhkan air. Va/per, terutamanya yang mengenengahkan dedaunan bright virginia adalah amat sesuai. Flavor yang “tangy” dan “zesty” akan membuatkan tekak dan badan sedikit panas, dimana gabungan ini akan memberikan keselesaan yang unik terutama sekali jika hujan itu lebat. Ini ditambah pula dengan sedikit perique yang “spicy” dengan not-not “undertones”, wow, bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal pula!
Blend full virginia dengan dedaunan bright juga mampu memberikan impak yang sama, namun dua kekurangan yang ketara adalah tiada “spiciness” dan perasaan peribadi saya yang selalunya mengambil sedikit serius apabila menikmati blend-blend sebegini menghilangkan suasana yang penuh kesantaian tadi. Juga timbul masalah ketidakcukupan masa untuk prepping yang baik dek kerana kebanyakan blend-blend full virginia yang saya miliki juga datang dalam bentuk flake (yang sememangnya bagus untuk pengekalan mineral oil di dalam tembakau virginia). Melainkan saya seorang pakar kaji cuaca, mustahil untuk saya prep full virginia secara optimum sebelum setiap hujan berlaku. Namun jika anda memiliki full virginia dalam potongan ribon, silakan…
Blend latakia yang berat juga adalah baik untuk dinikmati ketika hujan. Tin-tin tersohor seperti Dunhill Nightcap, DTM Old Ironsides dan Peterson Old Dublin seeloknya diletakkan di tempat-tempat yang mudah dicapai demi tujuan ini. Efek yang saya dapati yakni kenikmatan berpipa secara optimum pada waktu hujan adalah sebaik sepertimana menikmati blend-blend va/per seperti yang diterangkan tadi, cuma kehadiran perique yang “comforting” tiada dalam genggaman. Juga satu lagi masalah dengan blend latakia adalah preferensi saya untuk “bask” atau diselubungi oleh aroma kelatakia-an dari baccy tersebut, yang pastinya tidak dapat dinikmati secara penuh dek kerana disapu angin yang datang bersama hujan.
Sebenarnya, tidak kira apa pun preferensi kita pemipa, hujan adalah saat yang baik untuk kontemplasi diri terhadap pipa kita, baccy kita, perjalanan perpipaan yang telah dilalui dan arah perpipaan yang akan dituju. Bagaikan pancuran air yang membersihkan cermin kereta, bunyi hujan disertai bayu sejuk dan ditambah pemandangan pokok-pokok bergoyang dan air yang membentuk kolam di rumput halaman rumah anda, semuanya menjadi elemen ketenangan yang bersatu. Minda anda juga seolah-olah dimandikan dan dicuci dengan air hujan itu, membawa anda kepada pemikiran yang lebih kreatif dan segar.
Angin yang bertiup juga membawa sedikit tempias-tempias yang menerbangkan asap pipa anda jauh pergi, seolah-olah segala masalah harian pun turut ditiupkan keluar dari pemikiran kita. Yang tinggal, hanyalah flavor dan kenikmatan rasa, membolehkan kita untuk menghayati keindahan kehidupan dan dunia ini selagi kita masih bernyawa.


pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!