Sunday 28 October 2018

Talkin’ Bruyère : Plateaux vs Ebauchon

kredit imej : vapourhouse.com
Sebagai seorang pemipa konsumer, kebanyakan kita tidak memperdulikan sangat akan persoalan jenis blok briar yang digunakan untuk menghasilkan pipa yang kita sedang pegang di tangan. Asalkan ia cantik dan memiliki grain-grain yang menawan, dan yang paling penting – a good smoker, sudah memadai bagi kebanyakan kita. Hidup lebih indah tanpa komplikasi-komplikasi melampau, bukan? 
Namun cuba anda lihat diri anda dan tanyakan, betapa seorang pemipa alaf baru sepatutnya mempunyai pengetahuan dan pengamatan yang lebih dari apa yang sedia ada, kerana hanya dengan ini barulah kita mampu menikmati hobi ini sebaik mungkin. Ini juga adalah tujuan mengapa siri Talkin’ Bruyere ini dikeudarakan – untuk mendekatkan pemipa dengan pengetahuan tentang bahan briar – sesuatu yang kita pegang saban hari, yang didalamnya juga kita bentukkan api ember yang menghasilkan asap indah membawa seribu satu flavor dan rasa yang merangsang minda kita.
kredit imej : rawkrafted.com
Adalah satu fakta bahawa briar yang kita gunakan datang dari umbi pohon Erica Arborea yang tumbuh disepanjang persisiran Mediterranean. Akan tetapi bukan semua bahagian umbi ini akan digunakan. Bahagian tengah biasanya akan dibuang, bahagian lainnya akan dipotong untuk menghasilkan blok-blok di dalam bentuk plateaux dan ebauchon. Dan dari sini berkemungkinan ramai antara kita yang agak terbiasa mendengar akan penggunaan blok plateaux atau ebauchon di laman-laman sesawang pipemaker mereka. Walau bagaimanapun, biasa mendengar bukan bererti kita memahami dengan jelas tentang jenis-jenis blok ini. Oleh itu, mari kita kupas sedikit-sebanyak perihal plateaux vs ebauchon ini.


Blok-blok plateaux adalah bahagian briar yang paling hampir dengan permukaannya. Oleh kerana itu, biasanya blok-blok plateaux dipotong bersama dengan bahagian luar burl, yang selalunya menggerutu dengan birdseye, dan selalunya ia berbentuk seakan “wedge”. Dek kerana kebiasaannya bahagian luar burl ini adalah sangat natural / alami dah cantik, maka banyak pipemaker yang menggunakan kesempatan ini untuk menghasilkan pipa-pipa dengan craggy rim / top, sebagai komplimen tambahan kepada unjuran grain yang selalunya indah pada blok-blok plateaux.

kredit imej : pfeifenecke.de
Oleh kerana ketidakseragaman saiz bagi sesebuah briar, jadi blok-blok plateaux juga tidak memiliki saiz yang sekata. Harga bagi sesebuah blok plateaux adalah berdasarkan timbangan. Pemotong briar akan memotong blok-blok plateaux mengikut unjuran grain sesebuah briar dan mengambil kira akan faktor bahawa dengan unjuran grain yang baik, mereka mampu meraih harga yang lebih untuk sesebuah blok plateaux. Oleh kerana itu, proses ini memerlukan lebih masa dan juga adalah salah satu faktor kenapa harganya adalah mengikut timbangan. Jadi, tidak hairanlah blok-blok plateaux adalah lebih mahal berbanding blok-blok ebauchon.
Blok-blok ebauchon pula adalah apa yang ada di bahagian bawah blok-blok plateaux – bermaksud bahagian briar yang agak jauh dari permukaan. Kebiasaannya blok-blok ebauchon akan dipotong dengan bentuk “L” atau terkadang seperti bentuk “trapezium”, untuk memaksimakan penghasilan blok dari setongkol briar. Ini adalah benar kerana bagi blok ebauchon, kuantiti dan saiz blok adalah lebih diutamakan oleh pemotong briar kerana ia menentukan mereka dapat menghasilkan lebih duit untuk blok-blok mereka. Jadi, penghasilan blok ebauchon adalah lebih menjimatkan briar berbanding blok plateaux yang lebih banyak “memakan” briar kerana ia dipotong mengikut unjuran grain terbaik, supaya ia dapat dijual dengan harga yang lebih mahal.

kredit imej : literaryworkshop.wordpress.com
Terdapat juga beberapa pendapat yang mengatakan akan blok plateaux adalah lebih sesuai untuk pipa-pipa “freehand” dan blok ebauchon adalah untuk pipa-pipa dengan shape tradisional. Saya boleh mengatakan yang ya, mungkin ada betulnya akan tetapi ia bukanlah satu kemestian. Blok plateaux biasanya bersaiz lebih besar dan memungkinkan seseorang pipemakers itu untuk menjadi lebih kreatif di dalam menghasilkan bentuk-bentuk freehand, yang selalunya bergantung kepada imaginasi pipemaker tersebut. Hasil akhir terkadang tidak seperti apa yang dirancangkan pada awalnya, jadi oleh kerana itulah saiz blok yang besar sememangnya diperlukan. Walau bagaimanapun, kita masih melihat banyak pipa-pipa bentuk tradisional yang memiliki “craggy rim” dan unjuran straight grain yang indah, hasil dari penggunaan blok-blok plateaux.
Juga terdapat beberapa pendapat yang mengatakan betapa blok-blok plateaux digunakan oleh para pipemakers artisan, dan pengeluar pipa berjenama besar pula hanya menggunakan blok ebauchon sahaja. Ini juga adalah tidak tepat, kerana banyak pipemaker artisan yang menggunakan kedua-dua jenis blok – ebauchon untuk keluaran yang biasa dan plateaux untuk keluaran istimewa atau untuk keluaran kelas tinggi mereka. Disebalik itu, banyak juga nama-nama besar seperti Dunhill dan Castello, malah beberapa jenama “factory pipes” seperti Savinelli dan Peterson turut menggunakan blok-blok plateaux, walaupun mungkin di dalam skala yang kecil.

Sedikit sebanyak saya berharap kita dapat memahami akan perbezaan di antara dua jenis potongan asas bagi briar ini. Ia sangat berguna apabila kita mahu membeli pipa atau menempah pipa kita secara peribadi, di mana kita tahu memilih blok jenis manakah yang kita mahukan, sesuai dengan kehendak rekabentuk yang menarik minat kita berdasarkan budget / peruntukan yang kita selesa untuk dibelanjakan.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Talkin’ Bruyère : Briar Dari Manakah Yang Paling Baik?

Sepertimana kita perlu terjun ke dasar pipa demi menikmati sepenuhnya kapasiti dan kemampuan yang dimiliki oleh pipa-pipa kita, kita juga perlu terjun ke dasar persoalan cepu emas ini, yang selalunya diperdebatkan dengan penuh kontroversi oleh para pemipa dan pipemakers sedunia. Perbincangan mengenai briar manakah yang terbaik seringkali diiringi dengan klise, bias-bias dan kecenderungan tersendiri seseorang pemipa tersebut. Namun limitasi bahan mentah yang sememangnya sinonim dengan setiap pemipa (tembakau adalah lebih kritikal) seringkali menghantui kita, menyebabkan kita seharusnya mengetahui sedikit sebanyak akan apa pilihan yang ada pada masa sekarang. 

 Kita biasa terdengar tentang briar Corsica, Calabria, Algerian, Grecian, Sardinian, Ligurian dan malahan Morocco, dan sudah tentu kita boleh sedikit-sebanyak menebak yang briar-briar ini dinamakan bersempena dengan lokaliti dimana ianya diperolehi. Lokaliti-lokaliti ini, jika kita rajin mengkajinya, adalah terdiri dari kawasan selat kepulauan yang memiliki bukit-bukit berbatu tinggi yang banyak membentuk tebing-tebing pesisir pantai disepanjang rantau yang kita kenali sebagai Mediterranean sekarang. Lokaliti sebegini sememangnya cantik untuk dipandang, namun bagi tumbuhan ia adalah bagaikan sebuah neraka dunia, kerana untuk hidup subur dan menjejak air di kawasan berhampiran air masin sebegini tentunya adalah sangat mencabar dan sukar.
kredit imej : alterra.cc



Seperti yang telah diperbincangkan di dalam siri-siri Talkin’ Bruyere yang terdahulu, banyak teori yang memperkatakan akan betapa pohon-pohon Erica Arborea yang tumbuh di tempat-tempat yang sukar akan menghasilkan briar-briar bergrain baik. Oleh kerana itu dapatlah kita fahami mengapa briar Corsica adalah sangat didambakan oleh banyak pipemaker, dan kenapa pilihan selepasnya seperti Calabrian, Ligurian, Sardinian atau Grecian tidak dapat menandingi kehebatan briar Corsica. Hal ini, walaupun diakui oleh ramai pipemaker tersohor, mungkin juga diperbesar-besarkan kerana walaupun briar Corsica sudah tidak lagi ada, masih banyak pipa-pipa baru yang terhasil dengan unjuran grain lurus yang sama memukau sekarang (yang diperbuat menggunakan briar selain Corsica, pastinya) sepertimana fiammata-fiammata di awal 80an. Jika Corsica adalah sangat berbeza, bukankah fiammata akan lenyap sekarang?
Masih, briar Corsica sememangnya disanjung tinggi oleh dunia perpipaan. Menurut Mette Oestergaard di dalam bukunya “Briar for Beginners”, briar yang memiliki burl yang terbaik selalunya datang dari kawasan berbukit disekitar pesisir pantai. Beliau juga mengakui yang briar-briar dari Corsica adalah berkelas tinggi. Mengulas perihal ini, saya selalu berpendapat yang faktor tanah, cuaca, benih dan kondisi persekitaran adalah sangat penting terhadap hasil sesebuah tanaman. Kita boleh mengambil beras Bario sebagai contoh; kenapa ianya agak unik berbanding beras-beras lain? Dan kenapa harganya jauh lebih mahal? Jika dilihat kembali akan briar Corsica, berkemungkinan faktor iklim dan suasana cuaca di pulau itu adalah sangat sesuai untuk erica arborea, lantas pohon-pohon di sana menghasilkan briar-briar dengan grain yang sangat bermutu dan memukau. Namun sayangnya sekarang ia sudah pun tidak dapat dihasilkan lagi, dek kerana briar-briar yang sesuai dituai sudah pun dituai habis untuk menjadi blok-blok briar kepada pipa-pipa terdahulu.
kredit imej : Trip in Corsica, discovering briar for pipemaking (Nicolas de Pipe Gazette video)

Kehilangan sumber prima dari pulau Corsica telah menyebabkan dunia beralih arah kepada alternatif terdekat yakni Calabria, Liguria dan Sardinia. Calabria sememangnya sudah di kenal-pasti akan kebaikan briarnya, terkenal dengan sifatnya yang keras dan ringan, namun agak tenggelam di dalam kemegahan Corsica dan hanya dipandang secara serius selepas briar Corsica semakin sukar untuk didapatkan. Walau bagaimanapun, secara tradisinya Savinelli adalah pengguna utama briar Calabria dan dikatakan masih terus menggunakannya sehingga kini, walaupun hanya untuk siri-siri yang lebih atas. Penggunaan briar Calabria yang memuncak sekitar pasca perang dunia ke-2 turut menyaksikan yang ianya diukir oleh nama-nama besar seperti Dunhill, Ashton dan banyak pipemaker artisan Danish.
kredit imej : gabrielepipes.com
Melonjak pada masa yang lebih kurang sama adalah briar dari Liguria. Struktur grainnya dikatakan padat namun memiliki banyak ruang lembut yang kecil diantaranya, menjadikannya lebih poros berbanding briar Calabria yang secara tidak langsung memudahkan getah, sap dan tannin untuk keluar dari blok briar ketika ia dirawat. Melihat secara kasar akan hal ini, besar kemungkinan ia akan memiliki peratusan yang lebih tinggi untuk menghasilkan pipa-pipa “good smoker” berbanding briar-briar jenis lain. Walau bagaimanapun, dek kerana struktur yang lebih poros, ia juga terdedah kepada lebih risiko untuk rosak; sandpit dan crack yang mungkin akan diketahui hanya bila briar-briar ini dikerjakan. Oleh yang demikian, tidak banyak pipemaker yang mahu mengambil risiko ini sekiranya mereka boleh memilih di antara briar Calabria dengan Liguria. Viprati diketahui memiliki kilang memproses briar Liguria tersendiri manakala Castello juga secara khusus menggunakan briar Liguria setelah stok briar Corsica mereka mulai berkurangan. Jika anda berpeluang melawat bandar-bandar kecil seperti Badalucco anda akan dapati yang banyak hasil kerjatangan pipa dari briar Liguria yang bersifat “souvenir” terjual di sana.

Sardinia pada lewat 70-an agak terkenal dengan kegiatan samun dan culik. Walaupun masyarakat umum meneruskan kehidupan seperti biasa, ia masih memberi impak yang tidak baik kepada import eksport Sardinia. Dengan itu briar Sardinia, yang banyak datang dari hutan Supramonte dan di tebing-tebing pesisir timur dan utara pulau kedua terbesar Itali itu, adalah di dalam kondisi yang agak terjaga dan jauh dari tangan penjarah-penjarah dari luar. Diberitakan, hanya Dunhill yang agak konsisten di dalam mengeksport briar dari pulau ini, khas untuk siri “Tanshell” mereka. Namun Amorelli adalah antara pipemaker tempatan yang menggunakan 100% Sardinian briar dan cuba sebaik mungkin mempromosikan briar dari pulau itu kepada dunia. Akan tetapi beliau tidak perlu berpromosi dengan begitu gigih lagi sekarang sementelahan faktor harga dan keberadaan briar-briar Corsican dan Ligurian yang sudah tiada dan semakin sukar didapati telah menyebabkan ramai pipemakers turut menjadikan Sardinia sebagai salah satu sumber penting stok briar mentah mereka.
kredit imej : skleinpipes.com
Dan apa pula kisahnya dengan briar Algeria? Pipemaker British & France lebih terarah untuk menggunakan briar dari France (yang diperolehi dari Algeria) yang kita boleh perkirakan kerana bekalannya amat mudah untuk didapati berbanding dengan briar-briar Mediterranean. Namun Dunhill telah mendapati yang briar Algeria adalah jauh lebih lembut, maka penggunaannya hampir ditamatkan jika tidak kerana secara tidak sengaja, briar Algeria yang pipemaker mereka tinggalkan di kilang telah terdedah kepada kepanasan haba, yang secara tidak langsung mengubah struktur permukaannya menjadi seolah ia menerima rawatan sandblasted – dengan efek yang lebih mendalam berbanding briar-briar lain yang melalui proses itu. Dengan itu, tercatitlah di dalam sejarah akan permulaan era Dunhill “Shell”. Dikatakan juga pada ketika itu, Dunhill mula menggunakan briar Algeria yang lebih lembut ini khusus untuk siri “Shell Briar” mereka, briar Sardinia untuk siri “Tanshell” dan briar Calabria untuk siri “Bruyere” dan Corsica untuk “Root”, sebelum briar Corsica menjadi sukar untuk didapatkan dan Dunhill kembali menggunakan briar Calabria yang terpilih untuk siri itu.

Politik ternyata memberi impak yang mendalam terhadap briar Algeria, kerana apabila mereka berhadapan dengan krisis perang menuntut kemerdekaan dari kolonialisma Perancis, eksport briar Algeria turut merosot dengan teruk. Walaupun ia telah berlalu, briar Algeria yang boleh didapati sekarang adalah sangat berbeza berbanding dengan yang terdahulu dimana ia sama sekali bukanlah briar poros yang lembut sepertimana yang diperolehi Dunhill untuk “Shell Briar” mereka. Tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah dari daerah yang berlainan atau proses rawatan yang menyebabkan perbezaan yang ketara ini. Oleh yang demikian, bagi peminat “Shell Briar” yang tulen, pemburuan pipa-pipa estate sebelum 1950an adalah jauh lebih bermakna.
kredit imej : hobopipes.blogspot.com
Selain itu banyak juga briar dari Greece yang turut digunakan oleh para pipemaker. Malah ia adalah lebih mudah didapati kerana jumlahnya yang banyak yang dikatakan jauh menandingi jumlah briar-briar Itali (jika kita perkirakan akan jumlah briar yang dieksport keluar, kerana Itali sebenarnya hanya mengeksport sedikit sahaja briar-briar mereka semenjak ia semakin berkurangan suatu ketika dahulu), dan dikatakan adalah sumber briar terbaik yang masih boleh didapatkan sekarang. Ia mulai digunakan semenjak tahun 70an, ketika Itali mula mengurangkan eksport briar mereka keluar negara. Namun walaupun Itali membuka kembali eksport briar mereka sejak tahun 80an, briar Greece sudah mulai mendapat tempat di pasaran briar.

Juga terdapat lagi briar dari negara-negara lain seperti Morocco, Sepanyol dan Israel. Briar Morocco digunapakai oleh Peterson sejak dari dahulu lagi manakala briar Sepanyol pula sering dianggap berkelas rendah. Tidak banyak maklumat yang dapat saya perolehi berkenaan dengan briar-briar ini namun ia adalah sesuatu yang masih saya perkirakan positif, kerana jika briar akan betul-betul pupus di masa akan datang, kita masih memiliki beberapa pilihan sebegini walaupun ianya tidaklah seindah briar Corsica.
Begitulah sedikit sebanyak mengenai briar dan lokalitinya. Untuk persoalan mengenai briar manakah yang terbaik, terlalu banyak pendapat dan preferensi dari segenap pihak, sehingga sukar untuk kita menentukannya. Namun jika anda berpeluang, cubalah untuk memiliki pipa dari setiap jenis briar dan nilaikanlah sendiri akan yang mana satu yang betul-betul menyentuh hati anda.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Talkin’ Bruyère : Kepelbagaian Pendekatan & Kaedah Rawatan Briar

Walau dari negara mana pun seseorang pipemaker itu berasal, kesemua mereka bersepakat yang

sesebuah pipa yang berkualiti, haruslah datang dari briar yang terawat baik. Ini adalah bagaikan satu “golden rule” yang utama, sama juga sepertimana chef-chef tersohor yang akan menggunakan bahan mentah terbaik untuk masakan mereka. Gabungan kualiti bahan dan ditambah dengan kemahiran olahan, itulah yang menjadikan sesebuah pipa itu sebagai satu seni tersendiri.

 

 Oleh itu, kebanyakan pipemaker juga memiliki cara mereka yang tersendiri untuk rawatan briar. Hampir kesemua pipemaker yang serius dengan hasil seni masing-masing akan merawat briar mereka sendiri, walaupun pada dasarnya briar yang dibeli dari pengusaha briar atau sawmill-sawmill kebiasaannya sudah pun terawat sepertimana yang kita telah bincangkan pada minggu lepas.


kredit imej : Pipe Mimmo Romeo – alpascia.com (video)
Kenapa para pipemaker begitu mengambil berat soal rawatan tambahan ini? Ia adalah kerana di dalam dunia yang semakin kecil ini, nama dan reputasi adalah sangat penting. Sekali anda menghasilkan pipa yang tidak terawat dengan baik dan ia retak apabila digunakan oleh pemipa, ia akan menjadi buah mulut di kalangan fraterniti perpipaan dan secara tidak langsung akan menjejaskan reputasi pipemaker terbabit. Dek kerana itulah, bukan sekadar pipemaker artisan malahan pengeluar pipa besar seperti Dunhill juga masih memberikan jaminan seumur hidup kepada pipa-pipa keluaran mereka.

kredit imej : bouchematbriar.com
Di dalam kepelbagaian cara rawatan briar bagi setiap pipemaker, antara yang biasa kita dengar adalah “air curing”. Kaedah ini sebenarnya adalah agak mudah, kerana ia mengunjurkan yang pipemaker tersebut akan membiarkan briar-briar yang baru dibelinya terdedah kepada udara di bengkel mereka. Namun, itu sebenarnya hanya merujuk kepada kaedah “air curing” yang sangat asas. Pipemaker-pipemaker artisan biasanya akan memiliki standard-standard yang tersendiri untuk kaedah “air curing” ini. Kebiasaannya, ia melibatkan penyimpanan blok-blok briar ini di dalam rak-rak yang khusus, dengan tinggi antara rak yang bersukat demi memastikan aliran udara yang cukup boleh melaluinya.

Bukan setakat itu sahaja. Kebanyakan rak yang digunakan pun adalah dari jenis yang poros atau memiliki lubang-lubang kecil, untuk memaksimumkan aliran udara. Malah, ada yang menggunakan jaring besi sebagai rak. Tidak kurang juga yang menggunakan pallet kayu tanpa dinding, dimana longgokan briar disusun di atasnya dan ia dibiarkan di bahagian-bahagian tertentu bengkel. Dan ia juga bukanlah semudah yang kita sangka, kerana setiap minggu atau pada sela masa tertentu, ketulan briar ini harus diterbalikkan demi menghalang bahagian bawah briar menjadi lembap yang akan mengundang kulat atau “mold” pula kemudiannya.
kredit imej : Achaiki Amadeus Briar Block Processing (Pipesmagazine video)
Satu lagi teknik rawatan yang tidak kurang popularnya tetapi penuh kontroversi adalah “oil cure”. Rawatan ini, sepertimana yang dicadangkan oleh namanya, menggunakan medium minyak untuk memberikan rawatan tambahan kepada briar. Secara teori, ia dikatakan mampu untuk membawa keluar lebihan sap, pasir atau “impurities” dari dalam briar, dimana proses itu berlaku apabila rendaman ini diberikan sedikit indusi haba. Briar-briar yang direndam minyak ini kemudiannya akan diangkat keluar dan minyak yang menempek di permukaan briar akan dilap kerana pada minyak itulah “impurities” ini akan terkumpul. Proses ini kemudiannya diulang beberapa kali, atau ia dibiarkan kering dan dilap berulang-kali dek kerana minyak akan keluar secara perlahan-lahan tetapi berterusan sehinggalah briar tersebut kering.

Kebiasaannya bahan medium yang digunakan adalah minyak mineral walaupun kebanyakan pipemaker yang mengambil pendekatan ini mengakui yang mereka memiliki resepi tersendiri untuk minyak yang mereka gunakan. Yang menjadi kontroversinya adalah akuan peminat-peminat Dunhill yang mengatakan proses break-in dapat dipercepatkan atau lebih dahsyat lagi dilangkau sekiranya briar direndam sebegini!
kredit imej : Achaiki Amadeus Briar Block Processing (Pipesmagazine video)
Dunhill sememangnya sangat sinonim dengan rawatan sebegini dan memang sebenarnya adalah pengasas kepada teknik ini. Akan tetapi boleh dikatakan yang mereka sendiri sudah lama meninggalkan amalan tersebut walaupun banyak pipemaker yang datang dari Dunhill seperti Bill Taylor (Ashton Pipes) masih menggunakan kaedah rawatan yang serupa. Secara tidak langsung, kita juga mendapati yang kaedah ini digunakan oleh banyak pipemaker atau jenama British lain seperti Sasieni, Ferndown dan juga beberapa firma Itali seperti Ser Jacopo dan Becker.

Banyak lagi cara lain untuk merawat briar. Antara yang kita boleh terfikirkan adalah melalui rawatan indusi – sama ada haba (atau apa yang dimaksudkan dengan kiln curing) atau tiupan angin. Akan tetapi menurut pipemaker tersohor Amerika Mark Tinsky, beliau menyatakan yang heat-curing atau rawatan briar secara melalukan angin secara berterusan atau penggunaan haba untuk mempercepatkan proses rawatan briar hanya akan menyebabkan banyak blok-blok briar retak dengan sendirinya. Oleh itu adalah lebih baik jika briar tersebut dirawat dengan cara membiarkan ia kering dengan sendirinya, untuk sela masa yang agak panjang.
kredit imej : Interview with Franco Coppo, Castello Pipes Manager (Nicolas de Pipe Gazette video)
Apa yang mahal dan sering dititik-beratkan di dalam rawatan briar oleh mana-mana pipemaker sebenarnya adalah masa. Tidak banyak pipemaker yang mampu untuk merawat briar-briar mereka untuk tempoh masa yang lama, contohnya untuk sepuluh tahun. Mereka harus membelanjakan wang yang banyak untuk membeli briar dengan kuantiti yang banyak, demi membina stok untuk rawatan jangkamasa panjang sebegini. Di dalam konteks ini, firma besar perpipaan seperti Castello dan Dunhill sentiasa memiliki kelebihan yang besar, kerana mereka mampu untuk meneruskan penghasilan pipa-pipa mereka dan di dalam masa yang sama merawat ribuan, jika tidak puluh-ribuan, blok-blok briar yang mereka ada untuk suatu jangkamasa yang sangat panjang.

Akan tetapi adakah pipemaker-pipemaker artisan memiliki fasiliti sebegini? Sudah tentu mereka tidak mahu bercuti dari menghasilkan pipa semata-mata untuk menunggu briar mereka terawat baik selama itu, bukan? Jika mahu membeli briar yang sudah dirawat lebih lama oleh pengusaha briar, sudah tentu harganya juga agak mahal. Maka yang demikian, sudah tentulah bagi mereka yang sanggup berbelanja besar untuk membeli blok-blok briar yang sedia terawat untuk jangkamasa yang lama ini, juga terpaksa mengenakan harga yang mahal.
Dan dengan menggunakan blok-blok briar mahal yang terawat lama ini, barulah anda mendapat kualiti artisanal yang terbaik, berbaloi dengan harga yang anda bayar. Pipemakers tidak akan mengambil untung secara berlebihan, kerana sebahagian besar dari harga yang anda bayar untuk sesebuah pipa artisan itu sebenarnya adalah untuk briar-briar matang yang terawat baik.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Talkin’ Bruyère : Rawatan Ke Atas Burl Briar

Pembuatan pipa adalah satu proses penghasilan material yang agak kompleks dan tidak kurang organiknya. Ini kerana disebalik kerumitan kerja kayu dan kehebatan kejuruteraan draf aliran udaranya, faktor bahan dan material adalah salah satu faktor penting yang tidak boleh diketepikan sama sekali.


kredit imej : cdn.pixabay.com
kredit imej : cdn.pixabay.com
Kebiasaannya kita semua sedia maklum yang briar adalah bahagian burl pohon erica arborea (sila rujuk bahagian pertama siri ini untuk lebih maklumat) dan kita juga sudah maklum akan ia kemudiannya dipotong menjadi blok-blok briar (sama ada ebauchon atau plateaux) yang tidak lama kemudian akan digarap oleh tangan pipemaker mahir untuk menjadi sebuah pipa yang cantik dan berfungsi. Akan tetapi adakah kita sedar yang tongkol briar di tangan pipemaker kita itu sebenarnya telah dituai di kawasan cerun-cerun curam tepian pantai Mediterranean pada waktu kita remaja dahulu?

Malah, ia mungkin jauh lebih tua dari usia kita!
Perjalanan hidup sebuah pipa sebenarnya agak panjang dan bermula dengan seketul briar dari setongkol burl yang pula datang dari sebatang pohon renek natif kawasan Mediterranean yakni erica arborea. Boleh dikatakan, hampir separuh usia setiap ketul briar itu pula adalah di dalam tanah atau batuan, membesar dan membentuk grain-grain memukau di dalamnya, sehinggalah ia dikorek keluar – satu proses yang mengambil masa hampir setengah abad.
kredit imej : calabriapipe.com
kredit imej : calabriapipe.com
Dari pembacaan dan penelitian saya, rawatan briar sememangnya bermula selepas ia dipotong dan disaring di antara blok plateaux atau ebauchon. Pada ketika inilah blok-blok briar ini akan direbus di dalam air untuk suatu jangkamasa di sekitar 12-24 jam. Proses ini bertujuan untuk mengeluarkan sap, getah dan impuriti dari dalam briar-briar terbabit. Melihat kepada video akan proses ini, kita dapat lihat yang air rebusan briar ini akan menjadi merah pekat tatkala proses ini hampir selesai; berkemungkinan adalah warna dari sap atau getah pohon erica arborea yang sudah pun keluar dari blok-blok briar terbabit. Juga terdapat beberapa pengusaha briar yang menggunakan ramuan tertentu untuk proses merebus briar ini – satu rahsia perniagaan yang saya jangkakan untuk mengurangkan kadar briar-briar yang retak selepas proses ini selesai.

Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa pengeluar briar yang memberikan rawatan seperti merebus dan mengering ini kepada burl itu sendiri – yakni sebelum ia dipotong menjadi blok-blok briar. Dan ada juga yang menyimpan terlebih dahulu tongkol-tongkol burl ini sebelum ia dipotong dan direbus. Cuma saya perhatikan jika ini berlaku, biasanya tongkol-tongkol burl ini disimpan di sebuah tempat yang agak lembap, dan ia dijirus air sekali-sekala untuk mengelakkannya dari terus mengering dan retak.
kredit imej : amsmoke.com
kredit imej : amsmoke.com
Kemudiannya blok-blok briar itu akan dilonggokkan mengikut kelas masing-masing, biasanya disusun di dalam rak bertingkat dengan sedikit ruang yang cukup untuk laluan angin yang baik di antara tingkat-tingkat tadi, tersimpan rapi sambil menerima rawatan pasif air-dry tadi di dalam gudang simpanan. Simpanan ini biasanya dilabelkan untuk mengenal-pasti akan berapa tahun ia telah dirawat, dan harga briar yang dibeli oleh pipemaker biasanya ditentukan dengan kaedah ini. Oleh kerana itu harga pipa sesetengah pipemaker juga adalah agak subjektif kerana ia berpaksikan kepada harga blok briar yang mereka beli.

Di dalam kepastian kita akan kondisi briar yang baik setelah ia melalui proses-proses rawatan pra-jualan kepada pipemakers ini, rupa-rupanya ia masih lagi harus melalui proses rawatan di bengkel-bengkel pipemaker. Banyak pendekatan-pendekatan yang walaupun sekali imbas nampak seperti agak berlainan, tetapi memiliki ciri-ciri yang serupa, yang diaplikasikan oleh para pipemakers di luar sana. Malah, terkadang sesetengah cara itu adalah dominan untuk sesetengah lokaliti pipemaking, mungkin berdasarkan faktor yang pipemakers terkadang berhijrah dari satu jenama ke jenama lain, atau keluar dan membangunkan jenama mereka sendiri. Kita akan lihat akan perkara ini dengan lebih dekat pada perkongsian minggu hadapan.
Sekarang kita dapat memperkirakan yang sebahagian duit yang kita belanjakan untuk sesebuah pipa itu sebenarnya terarah kepada usia dan kompleksiti rawatan untuk briar tersebut sebelum ia bertukar menjadi sebuah pipa cantik di tangan anda. Jadi sudah tentulah ia mampu memberikan “cool-smoking” dan keajaiban nikmat flavor tembakau darinya, setiap kali kita mencucuhkan api ke dalam bowl nya.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Anekdot Perpipaan #11 – Alangkah Indahnya Berpipa



Saat menghabiskan masa dalam berhobi ini, kita tidak dapat lari dari aspirasi untuk mendapatkan yang terbaik. Pemikiran kita akan memajukan beberapa konsep ringkas yang dapat membantu kita mencapai beberapa matlamat di dalam hobi perpipaan. Ia adalah logik untuk kesemua pemipa memiliki cetusan-cetusan idea sebegini, yang saya kompilasikan dari beberapa topik-topik perbincangan sesama kita pemipa apabila berbual mesra di pipemeet-pipemeet yang kita hadiri.
Alangkah indahnya untuk hanya, ya hanya, memiliki sebatang pipa yang baik tetapi ekonomi, tahan lasak, low-maintenance, functional. Melihat kepada kriteria tadi, agak sukar untuk saya melihat kepada pipa-pipa lain selain dari Peterson siri K&P dengan finishing rustik. Sebagai salah satu yang paling mampu milik di dalam kelasnya, ia masih adalah sebuah “functional” Peterson – masih tertakluk dengan smoking qualities yang sama walaupun jika dibandingkan dengan Peterson kelas atasan seperti Deluxe, Spigot atau Straight Grain. Lengkap dengan Peterson System Standard (bermakna, smoking condition yang lebih kering), finishing rustik yang cantik walaupun it’s no Sea Rock, dan yang penting anda tidak perlu risau ia akan tercalar atau tergores sepertimana muka anda berkerut apabila anak anda menjatuhkan Peterson Straight Grain anda ke lantai.
Alangkah indahnya idea untuk menyukai dan memiliki bekalan baccy tanpa had. Di sini, anda memerlukan sedikit palate training. Tidak salah untuk kita menyukai Hearth & Home Blackhouse atau Penzance atau Three Oak Syrian akan tetapi where the heck anda mahu membelinya apabila tin anda habis kelak? Jadi latihlah palate anda untuk menyukai beberapa blend yang memiliki tahap keberadaan yang tinggi seperti Erinmore (dari zaman tok nenek kita hinggalah sekarang, Erinmore atau lebih senang dikenali sebagai “cap nenas” masih boleh didapati pada bila-bila masa anda mahukannya. Habis baccy pada jam dua pagi? No worries – pergi 7-11 dan beli lah setin cap nenas!). Atau baccy-baccy Peterson atau Dunhill yang selalu ada di tobakonis-tobakonis online dan tempatan. Ini akan mengurangkan faktor “kecewa menggigit jari” atau menggigit stem sehingga rosak.
My Mixture 965 dan Nightcap kekal bertahan sepanjang zaman, popular dan menjadi bualan di serata dunia. Dengan sebatang pipa dan se tin Nightcap di atas meja di Café le Buci di Rue Dauphine, pasti seseorang akan menyapa anda dan ia akan menjadi satu topik perbualan yang baik dengan mana-mana patron yang juga pemipa. Malah, jika anda adalah seorang sweet talker, mungkin ada gadis-gadis yang akan duduk di sebelah anda sambil mendengar anda bercerita tentang Nightcap (ok, latakia-based baccy memang agak sukar untuk anda bermesra dengan masyarakat sosial jadi kenapa tidak pack sahaja Devil’s Holiday di dalam bowl pipa itu?). I leave the rest of the evening to your own imagination then.
Alangkah indahnya idea untuk menyalakan baccy di dalam bowl pipa anda dengan sebatang dua mancis dan walla – anda kekal ber-amber dan berasap hingga ke hujung bowl! Hal ini bukan sahaja memerlukan sebuah pipa dengan airflow engineering yang baik, malah ia menuntut skill dan kemahiran seseorang pemipa di dalam prepping dan packing baccy, kawalan sedutan dan kekerapan tamping. Secara peribadi, lebih mudah untuk mencipta fenomena ini di dalam pipa yang memiliki open airflow namun magical moments know no rules – terkadang kesemua faktor just nice bergabung menjadi satu di dalam bowl pipa apa pun yang anda gunakan. Jika ia adalah your lucky day.
Secara harfiahnya banyak cabang perpipaan yang perlu kita jelajahi demi mendapatkan idea akan betapa baiknya ia boleh diterapkan jika kita memiliki bahan, keadaan, dan pengetahuan yang ideal. Walau bagaimanapun dunia perpipaan adalah penuh dengan pancaroba dan onak duri, anda tidak dapat lari dari kenyataan itu. Selalulah berfikir tentang cara terbaik atau “best practices” (sambil berpipa bukankah adalah masa terbaik untuk berfikir?) yang mampu meningkatkan tahap kualiti perpipaan anda naik setakuk lebih tinggi, supaya kita kelak akan terus kekal maju kehadapan. Hal ini, bukan hanya setakat perihal perpipaan sahaja, malah bagus untuk dipraktikkan di dalam segala apa pun yang kita lakukan.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!