Sunday 28 October 2018

Talkin’ Bruyère : Briar Dari Manakah Yang Paling Baik?

Sepertimana kita perlu terjun ke dasar pipa demi menikmati sepenuhnya kapasiti dan kemampuan yang dimiliki oleh pipa-pipa kita, kita juga perlu terjun ke dasar persoalan cepu emas ini, yang selalunya diperdebatkan dengan penuh kontroversi oleh para pemipa dan pipemakers sedunia. Perbincangan mengenai briar manakah yang terbaik seringkali diiringi dengan klise, bias-bias dan kecenderungan tersendiri seseorang pemipa tersebut. Namun limitasi bahan mentah yang sememangnya sinonim dengan setiap pemipa (tembakau adalah lebih kritikal) seringkali menghantui kita, menyebabkan kita seharusnya mengetahui sedikit sebanyak akan apa pilihan yang ada pada masa sekarang. 

 Kita biasa terdengar tentang briar Corsica, Calabria, Algerian, Grecian, Sardinian, Ligurian dan malahan Morocco, dan sudah tentu kita boleh sedikit-sebanyak menebak yang briar-briar ini dinamakan bersempena dengan lokaliti dimana ianya diperolehi. Lokaliti-lokaliti ini, jika kita rajin mengkajinya, adalah terdiri dari kawasan selat kepulauan yang memiliki bukit-bukit berbatu tinggi yang banyak membentuk tebing-tebing pesisir pantai disepanjang rantau yang kita kenali sebagai Mediterranean sekarang. Lokaliti sebegini sememangnya cantik untuk dipandang, namun bagi tumbuhan ia adalah bagaikan sebuah neraka dunia, kerana untuk hidup subur dan menjejak air di kawasan berhampiran air masin sebegini tentunya adalah sangat mencabar dan sukar.
kredit imej : alterra.cc



Seperti yang telah diperbincangkan di dalam siri-siri Talkin’ Bruyere yang terdahulu, banyak teori yang memperkatakan akan betapa pohon-pohon Erica Arborea yang tumbuh di tempat-tempat yang sukar akan menghasilkan briar-briar bergrain baik. Oleh kerana itu dapatlah kita fahami mengapa briar Corsica adalah sangat didambakan oleh banyak pipemaker, dan kenapa pilihan selepasnya seperti Calabrian, Ligurian, Sardinian atau Grecian tidak dapat menandingi kehebatan briar Corsica. Hal ini, walaupun diakui oleh ramai pipemaker tersohor, mungkin juga diperbesar-besarkan kerana walaupun briar Corsica sudah tidak lagi ada, masih banyak pipa-pipa baru yang terhasil dengan unjuran grain lurus yang sama memukau sekarang (yang diperbuat menggunakan briar selain Corsica, pastinya) sepertimana fiammata-fiammata di awal 80an. Jika Corsica adalah sangat berbeza, bukankah fiammata akan lenyap sekarang?
Masih, briar Corsica sememangnya disanjung tinggi oleh dunia perpipaan. Menurut Mette Oestergaard di dalam bukunya “Briar for Beginners”, briar yang memiliki burl yang terbaik selalunya datang dari kawasan berbukit disekitar pesisir pantai. Beliau juga mengakui yang briar-briar dari Corsica adalah berkelas tinggi. Mengulas perihal ini, saya selalu berpendapat yang faktor tanah, cuaca, benih dan kondisi persekitaran adalah sangat penting terhadap hasil sesebuah tanaman. Kita boleh mengambil beras Bario sebagai contoh; kenapa ianya agak unik berbanding beras-beras lain? Dan kenapa harganya jauh lebih mahal? Jika dilihat kembali akan briar Corsica, berkemungkinan faktor iklim dan suasana cuaca di pulau itu adalah sangat sesuai untuk erica arborea, lantas pohon-pohon di sana menghasilkan briar-briar dengan grain yang sangat bermutu dan memukau. Namun sayangnya sekarang ia sudah pun tidak dapat dihasilkan lagi, dek kerana briar-briar yang sesuai dituai sudah pun dituai habis untuk menjadi blok-blok briar kepada pipa-pipa terdahulu.
kredit imej : Trip in Corsica, discovering briar for pipemaking (Nicolas de Pipe Gazette video)

Kehilangan sumber prima dari pulau Corsica telah menyebabkan dunia beralih arah kepada alternatif terdekat yakni Calabria, Liguria dan Sardinia. Calabria sememangnya sudah di kenal-pasti akan kebaikan briarnya, terkenal dengan sifatnya yang keras dan ringan, namun agak tenggelam di dalam kemegahan Corsica dan hanya dipandang secara serius selepas briar Corsica semakin sukar untuk didapatkan. Walau bagaimanapun, secara tradisinya Savinelli adalah pengguna utama briar Calabria dan dikatakan masih terus menggunakannya sehingga kini, walaupun hanya untuk siri-siri yang lebih atas. Penggunaan briar Calabria yang memuncak sekitar pasca perang dunia ke-2 turut menyaksikan yang ianya diukir oleh nama-nama besar seperti Dunhill, Ashton dan banyak pipemaker artisan Danish.
kredit imej : gabrielepipes.com
Melonjak pada masa yang lebih kurang sama adalah briar dari Liguria. Struktur grainnya dikatakan padat namun memiliki banyak ruang lembut yang kecil diantaranya, menjadikannya lebih poros berbanding briar Calabria yang secara tidak langsung memudahkan getah, sap dan tannin untuk keluar dari blok briar ketika ia dirawat. Melihat secara kasar akan hal ini, besar kemungkinan ia akan memiliki peratusan yang lebih tinggi untuk menghasilkan pipa-pipa “good smoker” berbanding briar-briar jenis lain. Walau bagaimanapun, dek kerana struktur yang lebih poros, ia juga terdedah kepada lebih risiko untuk rosak; sandpit dan crack yang mungkin akan diketahui hanya bila briar-briar ini dikerjakan. Oleh yang demikian, tidak banyak pipemaker yang mahu mengambil risiko ini sekiranya mereka boleh memilih di antara briar Calabria dengan Liguria. Viprati diketahui memiliki kilang memproses briar Liguria tersendiri manakala Castello juga secara khusus menggunakan briar Liguria setelah stok briar Corsica mereka mulai berkurangan. Jika anda berpeluang melawat bandar-bandar kecil seperti Badalucco anda akan dapati yang banyak hasil kerjatangan pipa dari briar Liguria yang bersifat “souvenir” terjual di sana.

Sardinia pada lewat 70-an agak terkenal dengan kegiatan samun dan culik. Walaupun masyarakat umum meneruskan kehidupan seperti biasa, ia masih memberi impak yang tidak baik kepada import eksport Sardinia. Dengan itu briar Sardinia, yang banyak datang dari hutan Supramonte dan di tebing-tebing pesisir timur dan utara pulau kedua terbesar Itali itu, adalah di dalam kondisi yang agak terjaga dan jauh dari tangan penjarah-penjarah dari luar. Diberitakan, hanya Dunhill yang agak konsisten di dalam mengeksport briar dari pulau ini, khas untuk siri “Tanshell” mereka. Namun Amorelli adalah antara pipemaker tempatan yang menggunakan 100% Sardinian briar dan cuba sebaik mungkin mempromosikan briar dari pulau itu kepada dunia. Akan tetapi beliau tidak perlu berpromosi dengan begitu gigih lagi sekarang sementelahan faktor harga dan keberadaan briar-briar Corsican dan Ligurian yang sudah tiada dan semakin sukar didapati telah menyebabkan ramai pipemakers turut menjadikan Sardinia sebagai salah satu sumber penting stok briar mentah mereka.
kredit imej : skleinpipes.com
Dan apa pula kisahnya dengan briar Algeria? Pipemaker British & France lebih terarah untuk menggunakan briar dari France (yang diperolehi dari Algeria) yang kita boleh perkirakan kerana bekalannya amat mudah untuk didapati berbanding dengan briar-briar Mediterranean. Namun Dunhill telah mendapati yang briar Algeria adalah jauh lebih lembut, maka penggunaannya hampir ditamatkan jika tidak kerana secara tidak sengaja, briar Algeria yang pipemaker mereka tinggalkan di kilang telah terdedah kepada kepanasan haba, yang secara tidak langsung mengubah struktur permukaannya menjadi seolah ia menerima rawatan sandblasted – dengan efek yang lebih mendalam berbanding briar-briar lain yang melalui proses itu. Dengan itu, tercatitlah di dalam sejarah akan permulaan era Dunhill “Shell”. Dikatakan juga pada ketika itu, Dunhill mula menggunakan briar Algeria yang lebih lembut ini khusus untuk siri “Shell Briar” mereka, briar Sardinia untuk siri “Tanshell” dan briar Calabria untuk siri “Bruyere” dan Corsica untuk “Root”, sebelum briar Corsica menjadi sukar untuk didapatkan dan Dunhill kembali menggunakan briar Calabria yang terpilih untuk siri itu.

Politik ternyata memberi impak yang mendalam terhadap briar Algeria, kerana apabila mereka berhadapan dengan krisis perang menuntut kemerdekaan dari kolonialisma Perancis, eksport briar Algeria turut merosot dengan teruk. Walaupun ia telah berlalu, briar Algeria yang boleh didapati sekarang adalah sangat berbeza berbanding dengan yang terdahulu dimana ia sama sekali bukanlah briar poros yang lembut sepertimana yang diperolehi Dunhill untuk “Shell Briar” mereka. Tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah dari daerah yang berlainan atau proses rawatan yang menyebabkan perbezaan yang ketara ini. Oleh yang demikian, bagi peminat “Shell Briar” yang tulen, pemburuan pipa-pipa estate sebelum 1950an adalah jauh lebih bermakna.
kredit imej : hobopipes.blogspot.com
Selain itu banyak juga briar dari Greece yang turut digunakan oleh para pipemaker. Malah ia adalah lebih mudah didapati kerana jumlahnya yang banyak yang dikatakan jauh menandingi jumlah briar-briar Itali (jika kita perkirakan akan jumlah briar yang dieksport keluar, kerana Itali sebenarnya hanya mengeksport sedikit sahaja briar-briar mereka semenjak ia semakin berkurangan suatu ketika dahulu), dan dikatakan adalah sumber briar terbaik yang masih boleh didapatkan sekarang. Ia mulai digunakan semenjak tahun 70an, ketika Itali mula mengurangkan eksport briar mereka keluar negara. Namun walaupun Itali membuka kembali eksport briar mereka sejak tahun 80an, briar Greece sudah mulai mendapat tempat di pasaran briar.

Juga terdapat lagi briar dari negara-negara lain seperti Morocco, Sepanyol dan Israel. Briar Morocco digunapakai oleh Peterson sejak dari dahulu lagi manakala briar Sepanyol pula sering dianggap berkelas rendah. Tidak banyak maklumat yang dapat saya perolehi berkenaan dengan briar-briar ini namun ia adalah sesuatu yang masih saya perkirakan positif, kerana jika briar akan betul-betul pupus di masa akan datang, kita masih memiliki beberapa pilihan sebegini walaupun ianya tidaklah seindah briar Corsica.
Begitulah sedikit sebanyak mengenai briar dan lokalitinya. Untuk persoalan mengenai briar manakah yang terbaik, terlalu banyak pendapat dan preferensi dari segenap pihak, sehingga sukar untuk kita menentukannya. Namun jika anda berpeluang, cubalah untuk memiliki pipa dari setiap jenis briar dan nilaikanlah sendiri akan yang mana satu yang betul-betul menyentuh hati anda.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

No comments:

Post a Comment