Saturday 16 February 2019

Sesuatu Yang Kita Bakal Rindukan : Dunhill Flake

Keberadaan Dunhill di pasaran kita mungkin hanya sementara sahaja. Di US dan Eropah, tin-tin Dunhill sudah pun berkurangan secara drastik. Saya tekankan akan “berkurangan” di sini kerana masih lagi logik untuk pemipa menemuinya – terutamanya di kedai-kedai yang menjual tembakau pipa di kawasan-kawasan yang sedikit pedalaman, ataupun di laman sesawang tobakonis yang mungkin jarang dikunjungi netizen. Tiada lagi timbunan tin Dunhill di tobakonis-tobakonis terkemuka seperti suatu ketika dulu.
Sayang sekali situasi ini berlaku kepada dunia perpipaan yang mulia ini, kerana selain Peterson dan Erinmore, blend-blend Dunhill adalah sangat konsisten dari segi keberadaannya. Jarang sekali berlaku keputusan bekalan. Perihal ini tidak boleh ditandingi oleh kebanyakan blend walaupun Samuel Gawith. Perkara sebegini tentunya membuatkan para pemipa bersikap endah tak endah terhadap blend-blend ini, atau “take for granted” yang Nightcap atau My Mixture 965 akan masih berada di sisi mereka apabila mereka pencen kelak. Sekarang, kebarangkalian sebegitu adalah sangat-sangat tipis.
Dunhill Flake adalah sebuah penjelmaan semula blend lama mereka yang popular buat suatu ketika dahulu. Ia kembali menemui peminat Dunhill sekitar tahun 2015, dan secara mudah diterima oleh pemipa sedunia walaupun pada mereka yang tidak pernah merasai blend asal Dunhill Flake yang terdahulu. Cuma sudah tentu ia tidak dapat mengatasi populariti Nightcap dan My Mixture 965 jadi ia jarang menjadi topik perbualan pemipa. Walaupun begitu, bagaikan “best kept secret” bagi peminat Dunhill, blend ini lesap dari pasaran tempatan pada pertengahan 2018 lagi.
Seakan dibina untuk “ageing gracefully”, flake di dalam tin segi empat biru ini adalah sedikit lembap. Flake tebal yang agak lebar dari saiz flake biasa tersusun rapi dan padat namun diletak beralun seperti ombak di dalam tin, mungkin untuk memaksimakan kapasiti di dalam ruang tin. Nota virginia yang kaya dengan minyak mineral adalah sangat jelas. Ada bayangan grassy yang agak terkebelakang, diselaputi sedikit nota sos hoisin, marmite dan rolled oat. Percikan malt vinegar juga dapat dikesan sekali-sekala. Tiada zestiness untuk memberi pembayang akan penggunaan bright virginia di sini.
Dek kerana kadar lembapan flake ini yang sederhana tinggi, prepping yang cukup adalah disarankan. Struktur Flake juga adalah agak “springy” – dengan keanjalan yang cukup untuk memuaskan golongan pemipa yang suka dengan kaedah “fold and stuff”. Jika anda lebih cenderung untuk menggosok flake ini sehingga ia menjadi “broken flake” atau lebih ekstrem lagi mencarik flake ini satu-persatu, anda bebas untuk berbuat sedemikian. Sesetengah flake lain adalah agak rapuh atau brittle – dimana ia akan hancur sekiranya anda menggosok flake itu ataupun cuba untuk melipatnya ke dalam bowl pipa anda – sesuatu yang anda tidak perlu risau dengan Dunhill Flake.
Keaslian virginia yang Dunhill Flake mampu berikan adalah sedikit lain dari kebanyakan straight virginia stalwarts. Ia adalah agak refined – tidak memiliki banyak zestiness pada peringkat permulaan sebagaimana blend-blend straight virginia lain. Nota grassy dan hay yang ada padanya juga adalah agak terkedepan, sesuatu yang sangat diraikan oleh straight Virginia purists. Walaupun begitu, Dunhill Flake bukanlah sebuah blend yang agak straightforward – kompleksiti blend juga adalah sangat baik kerana flavor-flavor yang agak rustik masih boleh didapatkan dengan blend ini. Retrohale memberikan aroma fig dan plum yang sangat menyegarkan, dimana ia tidak lah terlalu terkedepan akan tetapi jelas lagi jitu.
Flavor-flavor yang lebih kompleks seperti tartness yang ampuh dan zestiness yang menyeluruh hadir pada mid smoke. Dan mid smoke adalah salah satu highlights kepada blend ini, dimana ia masih lagi kompleks dan penuh dengan flavor interplay berbanding dengan format standard straight Virginia yang kebiasaannya di pertengahan sesi perpipaan ia sudah pun mahu “setttled down” dan lebih mudah diramal flavornya. Flavor lain yang bersifat a-la pastri dan nutty yang memuaskan juga banyak dikesan di peringkat ini. Tidak keterlaluan untuk kita simpulkan yang Dunhill Flake ini adalah “rich” dengan flavor-flavor virginia dan memiliki sedikit pembayang white burley, walaupun ianya adalah sebuah blend straight Virginia.
Hentaman nikotin dari Dunhill Flake tidaklah terlalu tinggi akan tetapi agak jelas pada peringkat permulaan sesi. Masuk ke pertengahan dan penghujung, anda dapat merasakan sesuatu seakan “fullness” yang berada di anak tekak anda. Ini adalah flake yang sangat memuaskan – sepertimana Dunhill King Size (Dunhill Merah) memberikan anda kepuasan selepas sebuah makan malam yang mengenyangkan. Membesar dengan Dunhill merah di usia remaja dan di sekolah berasrama, kepuasan yang diberikannya adalah tiada taranya, dan rekoleksi itu dibawakan kembali apabila saya menyalakan Dunhill Flake di dalam bowl pipa.
Kebiasaannya apabila pemipa memperkatakan tentang blend straight Virginia, tiga atau empat blend dari McClelland adalah di dalam kedudukan tertinggi dan jarang sekali kita mendengar akan posisi Dunhill di dalamnya. Akan tetapi, Dunhill Flake adalah sebuah blend yang mampu untuk bersaing di sini, tambahan pula dengan kelainan persembahan straight VA nya yang tidak memiliki trademark “ketchup smell” McClelland (tidak semestinya sesuatu yang negatif, malah jika anda adalah peminat blend VA McClelland seperti Christmas Cheer atau Matured Virginia, anda akan terbiasa dengannya). Siapa tahu, secara drastik anda mungkin akan meninggalkan Samuel Gawith FVF apabila Dunhill Flake sudah berada di tangan, walaupun jika itulah situasi anda dengan flake emas berombak ini, anda harus kembali mencari penggantinya sekarang.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Thursday 24 January 2019

Resolusi Pipa 2019 : Kita Adalah Jauh Lebih Baik Dari Mereka.

Selasa lalu, kita menyambut 2019 dengan penuh hemah. Seperti biasa kita akan memprojekkan pelbagai keazaman dan iltizam. Hakikatnya, masa terasa cepat berlalu, dan bahang 2018 masih dapat kita rasakan, walaupun perubahan yang berlaku adalah agak besar terutamanya bagi kita pemipa dan rakyat Malaysia secara amnya.
2018 secara tidak langsung menyaksikan banyak fenomena-fenomena aneh dan separa aneh yang melanda dunia perpipaan kita ini. Pada awal 2018 saya mulai mendapati yang stok-stok McClelland mulai menyusut, disusuli dengan berita sedih akan pemergian blending house yang terkenal dengan penghasilan blend-blend virginia bermutu tinggi. Kemudiannya stok-stok tembakau yang memiliki Syrian latakia pula mulai menghilang. Seperti yang pernah saya bincangkan di dalam artikel berkenaan mikro-ekonomi tembakau tidak lama dahulu, semua ramalan dan telahan kita bagai kan menjadi kenyataan.
Disebalik segala kekecewaan di 2018, kita masih perlu untuk memasang harapan dan iltizam untuk tahun baru ini. Namun, keseronokan memasang iltizam itu agak tenggelam dek kerana ideologi yang tidak menentu, yang datang saban tahun dan semakin menebal. Kepayahan yang bakal kita hadapi tahun ini menidakkan aktiviti-aktiviti temu pipa yang biasa kita lakukan, dek kerana tekanan masyarakat yang tidak tahu membezakan antara tempat “smoking” dan “non-smoking” (seriously? meja-meja di luar kedai makan di tempat terbuka itu untuk mereka yang merokok, anda yang memiliki tubuh sihat dan akan hidup sehingga 100 tahun, kenapa tidak makan sahaja di dalam kedai yang lengkap dengan kipas dan aircond itu? Dan kelak, mungkin ketika anda enjoy makan di bahagian luar kedai tanpa asap rokok, anda akan terhidu asap kenderaan pula, dimana secara tidak langsung kita terpaksa mengharamkan kenderaan pula selepas ini…).
Dan apa pula yang akan berlaku di 2019? Banyak kekelaman melebihi sinar di jalan perpipaan kita ini sebenarnya. Antara yang kita patut tahu dan risaukan adalah pelaksanaan “deeming act” dari FDA yang akan memberikan banyak halangan dan kesukaran untuk blending house menghasilkan blend-blend kegemaran kita. Pelaksanaannya, walaupun secara berperingkat, akan merencatkan usaha-usaha pengeluaran blend-blend baru dan mengurangkan keseronokan kita secara tidak langsung. Antara saranan dari deeming act adalah larangan menghasilkan blend-blend ulangtahun, blend-blend edisi terhad, malah hingga ke tahap larangan penggunaan warna ekslusif seperti warna emas di kotak cerut!
Selain itu, kita juga tahu yang Dunhill juga akan menghentikan pengeluaran blend-blend tembakau mereka. Ini bermakna blend-blend yang sinonim dengan pemipa seperti My Mixture 965, Nightcap dan Dunhill Flake akan mengucapkan selamat tinggal kepada kita tidak lama lagi. Sudah pasti, fenomena “hoarding” sudah pun bermula terhadap blend-blend ini maka sebagai pemipa yang memiliki kadar keberlangsungan hidup yang tinggi, adalah wajar untuk kita mula mencari blend-blend pengganti agar kita tidak didatangi mimpi ngeri di malam hari apabila keputusan blend tersebut mulai berlaku.
Juga berlaku pada tahun 2018 adalah penjualan firma besar Peterson kepada Laudisi. Laudisi adalah sebuah firma yang memiliki beberapa syarikat yang sinonim kepada tembakau dan pipa seperti Smokingpipes, dan berita ini diterima oleh pada pemipa sedunia dengan reaksi yang pelbagai. Ada yang meramalkan akan kehilangan besar tradisi perpipaan Irish dan kemandiriannya, manakala ada juga yang beranggapan yang jenama Peterson akan terkubur tidak lama lagi. Namun, saya lebih suka untuk bersikap optimistik di dalam hal ini kerana Laudisi tentunya tahu akan kehendak pelanggan pemipa mereka; sesuatu yang mungkin akan mereka terapkan di dalam halatuju pengeluaran pipa dan tembakau dari Peterson tidak lama nanti. Apa-apa pun, kita nantikan dengan nafas yang tertahan-tahan akan di mana kah Peterson mulai dari 2019 hingga ke suatu masa yang akan datang.
Cabaran-cabaran getir yang bakal kita hadapi kelak tentunya akan menguji kekuatan mental kita. Akan tetapi di situ lah terletaknya satu peluang untuk kita membuktikan kepada dunia akan daya tahan dan kemampuan pemipa untuk kekal wujud di celah-celah dugaan yang mendatang. Saya yakin, sikap positif, sering dahagakan ilmu dan pragmatik pemipa alaf baru akan memastikan keberlangsungan kita sebagai sebuah komuniti yang cekal dan matang, jauh melebihi tahap pemikiran masyarakat luar yang semakin prejudis dan paranoid terhadap apa yang kita perjuangkan. Kita, adalah jauh lebih baik dari mereka…
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Wednesday 12 December 2018

Sekelumit Ucapan Selamat Tinggal untuk Seekor Katak

Tatkala memeriksa bekalan baccy tempohari, secara tidak sedar saya telah mengumpulkan stok Frog Morton untuk dibelek-belek. Tidak banyak pun yang tinggal. Dan apa yang ada hanyalah sisa-sisa yang tidak dapat dibeli-ganti kembali. Dan tiba-tiba saya mendapati hati menjadi sangat sayu…
Sedikit masa dahulu, sebelum McClelland mengumumkan yang mereka akan menghentikan pengeluaran blend-blend mereka, saya tidak pernah terfikir untuk mengumpulkan blend Frog Morton dengan kadar yang banyak. Ini kerana ia masih mudah untuk didapatkan pada ketika itu. Anda cuma perlu mencapai kunci kereta anda, hidupkan enjin, dan memandu ke tobakonis berdekatan dan mendapatkan sebuah nikmat blend English crossover untuk sesi pipa petang anda. Sekarang, dengan jumlah yang ada di dalam simpanan saya ini, saya merasakan yang ianya tidak cukup dan bakal kehabisan tidak lama kemudian.
Jika anda tidak familiar dengan perkataan “blend crossover”, secara ringkasnya ia adalah blend-blend yang mempunyai campuran tembakau latakia seperti sebuah blend English yang lengkap, akan tetapi ia juga memiliki kualiti blend aromatik. Kebiasaannya, ia diperisakan sedikit demi membantu pemipa junior untuk menerima blend sebegini dengan baik pada peringkat awal hobi perpipaan mereka. Ini kerana faktor tembakau latakia itu sendiri yang mungkin agak tengik, busuk atau pelik buat mereka yang pertama kali mencubanya, kebarangkalian pemipa muda untuk membenci blend English di peringkat ini adalah agak tinggi. Dan disinilah peranan blend crossover dimainkan, kerana ia adalah sebuah campuran yang masih adalah bersifat English namun lebih smooth, lebih ringan dan kebiasaannya lebih diaromatikkan, maka ia lebih senang diterima oleh pemipa pemula ataupun mereka yang baru mahu berjinak mengenali latakia.
Akan tetapi, sejauh manakah efektifnya blend Frog Morton sebagai sebuah blend crossover, membantu golongan pemipa pemula ini mengenali blend-blend latakia? Sangat membantu, kerana saya juga mengalami keadaan yang sama! Saya sendiri adalah salah seorang dari pemipa yang berjaya didekatkan dengan latakia olehnya. Bermula dengan sampel Frog Morton On the Bayou, dua bowl awal saya memberikan perasaan berkecamuk – adakah aku tengah membakar kuku atau bulu unta kering? Rasanya agak pelik, sukar untuk kita gambarkan apabila merasai latakia buat kali pertama. Apa yang jelas, Frog Morton telah berjaya memperkenalkan kita dengan elemen penting pertembakauan ini, sesuatu yang memang sepatutnya dicapai oleh blend-blend crossover.
Walaupun ribbon-ribbon gelap Frog Morton mungkin terasa sedikit kebasahan apabila ia dipek ke dalam bowl pipa, pembakaran yang baik adalah mudah untuk didapatkan. Sememangnya Frog Morton diciptakan untuk digunakan sedikit lembap, demi memberikan anda lebih aroma dan flavor. Ini adalah benar, kerana apabila sesi perpipaan mencapai 2/3 ke atas, aroma dan flavor Frog Morton akan sedikit tenggelam – berkemungkinan kerana ia sudah dikeringkan oleh haba pembakaran. Sesungguhnya memang jika sesebuah blend aromatik yang memiliki kondisi tembakau yang sebegini, akan saya prep atau keringkan sehingga paling tidak dua hingga ke tiga jam. Namun tidak buat Frog Morton, kerana saya tahu ia adalah “ready” walaupun di dalam keadaan yang sebegitu rupa.
Dan yang paling penting, blend-blend Frog Morton tidak membakar panas sepertimana kebanyakan blend-blend yang sebegini lembap (kebiasaannya adalah aromatik). Itulah yang membuatkan ramai pemipa, tidak mengira sama ada yang baru mahu berjinak-jinak dengan blend English ataupun yang sememangnya hanya menyukai blend-blend English, sangat asyik dengannya. Dengan itu tidak hairanlah jika kita terdengar orang mengatakan yang blend Frog Morton adalah blend crossover terbaik yang pernah dihasilkan.

Akan saya risaukan tentang hari-hari mendatang dimana tin-tin ini akan habis dan tidak akan dapat dicari kembali. Mungkin ia masih boleh didapati pada bootleggers di pasaran gelap kelak, dengan harga 10 kali ganda dari apa yang anda bayar sekarang. Atau mungkin setin yang tidak dibuka akan disimpan rapi oleh tobakonis-tobakonis, sebagai satu “display” atau hiasan kedai, yang akan mengundang air liur berciciran setiap kali kita melawat tobakonis-tobakonis ini.
Dan mungkin sekali-sekala kita akan terjumpa tin kosong simpanan cellar kita sendiri, untuk dikeluarkan dan dicium-cium, yang mana aromanya akan mengimbaskan semula saat riang ini – sebuah petang yang damai dengan tin Frog Morton masih penuh di tangan dan aroma coffee, mocha, dried fruit dan tengik latakia seperti rumput kering salai yang sangat menyelerakan ini bermain di nasal kita, membawa bersamanya jaminan cool-smoking yang utuh.
Oleh yang demikian, mari lah kita minum petang dan “toast” kan ucap selamat kepada seekor katak yang mewarnai dunia perpipaan kita dengan girang sepertimana girangnya seekor katak tatkala hujan, sebelum kita kehilangan siri indah ini buat selama-lamanya.

pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Wednesday 5 December 2018

Devil Anse, Large Jap, Popular Culture, dan Entah Apakah Lagi…(ekstensi Peterson POY 2017)

Pada pembukaan 2018, saya ada mengutarakan tentang retro-isma yang semakin mendapat tempat di hati para pemipa sekarang. Old is gold, dan ketaksuban kita pada pemodenan sedikit terpukul dengan kecenderungan terbaru kita dengan rekabentuk lampau yang mementingkan faktor aestetik jauh ke depan berbanding faktor fungsi dan ergonomik. Dan ironinya, ergonomik juga hanya diterima-pakai secara meluas semenjak artikel dari tahun 1857 dari seorang ahli akademik Polish, Wojciech Jastrzębowski diterjemahkan kedalam bahasa Inggeris pada 1997.
Pipa, seperti jin, datang di dalam pelbagai saiz dan bentuk demi memberikan kepelbagaian pilihan buat pemipa yang semakin hari semakin peka dan “demanding”. Dari hanya sekadar variasi, ia berkembang menjadi titik tolak identiti sehinggakan ada pemipa yang menumpukan untuk mengumpul sejenis bentuk sahaja. Ada sahaja bentuk pipa yang sesuai untuk seseorang pemipa, yang tidak menjadi pujaan kawan-kawannya yang masing-masing memiliki preferensi tersendiri. Tidak ada masalah, kerana ini adalah negara demokrasi.
Walau bagaimanapun, salah satu dari bentuk-bentuk ini memiliki pesona tersendiri yang sering menyebabkannya mendapat “wow!” apabila muncul di temupipa-temupipa diserata negara. Ya, ia adalah bentuk yang kita kenali sebagai “Devil Anse” atau DA. Nama ini sebenarnya wujud sebagai “slang” pemipa apabila merujuk kepada pipa yang digunakan oleh watak Devil Anse Hatfield lakonan Kevin Costner itu. Walaupun tidak rasmi, ia telah pun digunapakai oleh pemipa sedunia sehingga sekarang. Dan terima kasih kepada gambar promosi filem tersebut yang menampilkan Costner menggamit pipa itu di bibir, bentuk Devil Anse terus menjadi buruan para pemipa.
Hampir kesemua kita menyangka yang bentuk DA ini berasal dari cetusan idea minisiri Hatfield & McCoys itu. Tidak ada seorang pun yang dapat menyangka yang lebih dari seabad yang lepas, bentuk ini sudah pun dikeluarkan dan tiada siapa peduli tentangnya! Lebih mengelirukan lagi adalah kerana kita juga tidak pernah melihat bentuk ini di dalam standard “pipeshape chart”. Apabila Peterson mengeluarkan idea akan penghasilan POY 2017 mereka dengan bentuk ini, dan mengemukakan fakta akan ini adalah penjelmaan semula sebuah bentuk lama, kita semua terpegun dan tersedar dari lamunan.
Dek kerana bentuk DA ini sememangnya sentiasa mendapat tempat di hati ramai pemipa, tambahan pula tidak banyak pipa-pipa yang dihasilkan dengan bentuk DA di dunia ini, POY 2017 menyaksikan satu fenomena di mana banyak darinya telah habis terjual dalam jangkamasa yang pantas – berbeza dengan kebanyakan POY tahun-tahun terkebelakang yang ada di antaranya masih boleh dilihat terpampang di dinding-dinding tobakonis. Pemburuannya adalah indah, penuh debaran dan bersifat ritualistik kadang kalanya, kerana ada juga kolektor yang mengumpulkan ketiga-tiga versi POY 2017 ini yakni smooth, sandblasted dan rustik.
Memang dipaparkan di dalam beberapa laman web akan katalog yang dengan jelas merujuk kepada bentuk “large jap” yang menjadi inspirasi kepada POY 2017. Namun ironinya adalah lebih ketara kerana bentuk ini tidak kelihatan selepas itu – dimana tidak pernah pula kita lihat Peterson dengan bentuk “Jap” di pasaran estate, vintaj mahupun di kedai-kedai antik. Katalog yang memaparkan bentuk “large jap” ini diterbitkan pada tahun 1906, namun tidak pula kita dapat selalu melihatnya. Mengapa begitu? Pada firasat saya, kemungkinan yang paling hampir dengan fakta ini adalah kerana bentuk / shape ini tidak berjaya untuk memiliki populariti yang baik sepertimana bentuk-bentuk Peterson lain contohnya 999 (rhodesian), 15 (billiard), 302 (System Standard bent tomato) atau 313 (small bent billiard). Bentuk-bentuk ini dapat kita temukan di pasar-pasar karat dan jualan pipa-pipa estate diserata dunia.
Juga satu persoalan yang bakal timbul adalah kenapa Peterson tidak mahu memperkenalkan shape Jap ini di kemuncak populariti DA selepas siri Hatfield & McCoy dikeudarakan?Ini juga adalah satu misteri pemasaran yang tidak dapat difahami ramai. Kebanyakan firma atau jenama pipa akan segera terjun untuk mengeluarkan bentuk ini sebaik sahaja populariti DA bermula, dan kawan kita di Sallynoggin ini memilih untuk tidak bersemuka dengan “popular culture”. Peterson tidak mahu terjun ke dalam “bandwagon” tatkala pipemaker-pipemaker sedunia masing-masing mencuba sebaik mungkin untuk tampil dengan shape DA, masing-masing dengan pegangan tersendiri akan ciri apakah yang membuat kan sesebuah DA itu klasik.Oleh kerana Devil Anse bukanlah sebuah bentuk pipa tradisional, maka definisi DA yang klasik adalah tidak terbatas dan semua pipemaker datang dengan interpretasi klasik sesebuah DA secara tersendiri. Dan mengenangkan betapa elusifnya sesebuah DA itu, klasik atau tidak, capai dan bayar sahaja lah… 
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Monday 26 November 2018

Peterson POY 2017

Pipe of the year (POY) adalah sebuah keraian yang sering ditampilkan oleh beberapa firma dan jenama perpipaan tersohor, termasuklah Peterson. Tujuan utama ia diadakan selalunya adalah untuk meraikan peminat-peminat, memanjakan mereka dengan keluaran khusus yang biasanya adalah istimewa dan di dalam edisi terhad. Tambahan pula dengan status Peterson yang tergolong di antara pengeluar pipa terbesar dunia, POY adalah satu cara terbaik untuk mencapai kesemua matlamat tersebut, dan disamping itu ia juga memberikan kesegaran kepada minda para pipemaker mereka untuk mengambil sedikit nafas segar dengan mengerjakan sesebuah line yang istimewa, selain dari pengeluaran standard mereka saban hari.
Pendekatan yang diambil oleh Peterson adalah agak berbeza bagi setiap POY saban tahun. Memilih bentuk khusus dan aksentuasi tertentu untuk POY sememangnya sesuatu yang sangat mencabar dan sukar. Perlu ada sebab kenapa sesetengah bentuk itu dipilih, dan apa perlambangannya kepada peminat dan pengkolektivian – itu semua harus difikirkan oleh kumpulan khas yang menerajui setiap misi POY ini. Selain itu, penggunaan briar terpilih yang dirawat rapi juga adalah satu cabaran yang tersendiri, dimana mereka harus mulai mengasingkan blok-blok terpilih untuk tujuan ini. Juga, mereka turut berperang dengan masa dan “deadline”. Peterson mahukan nomenclature yang memberikan indikasi tarikh yang tepat hadir pada band perak yang menghiasi pipa-pipa POY mereka dan di sini lah ia agak mencabar kerana Assay Office of Dublin – satu badan yang bertanggungjawab menentukan ketulenan perak di Ireland – memerlukan masa yang khusus untuk meluluskan kesemua ini. Perihal ini juga adalah sebab utama mengapa kita hanya dapat melihat Peterson POY hanya dari bulan Julai ke atas pada setiap tahun.
Saya bukanlah seorang Peterson die-hard yang akan membeli dan mengumpul setiap POY yang mereka keluarkan. Akan tetapi, ada beberapa POY yang sangat menarik dan bagi dekad ini, POY 2017 mungkin adalah yang terbaik mereka pernah hasilkan. Sudah tentu, jika kita kirakan akan keluaran yang lebih istimewa, The Founder’s Edition yang dikeluarkan sebagai keluaran khusus bersempena dengan 150 tahun Peterson di dunia ini yang turut merangkumi POY bagi tahun 2015, adalah jauh lebih bernilai dari segi komemoratif dan kolektibilitinya, dan jauh lebih “celebrated” – dengan bentuk Oom Pol (Oom Paul) yang bersaiz besar, imej “the thinking man” yang tersembul indah di band peraknya dan lengkap dengan kotak persembahan dari bahan styrofoam – ia mungkin adalah epitom kepada POY dekad ini. Namun masih, keluaran 2017 adalah sangat popular, sangat mencuri hati kita pemipa. Kenapa begitu?
Semuanya adalah dek kerana bentuk atau shape POY 2017 ini, yang mengemulasikan bentuk “Jap” atau “large Jap” yang mereka pernah keluarkan pada awal 1900. Bentuk ini adalah sangat sinonim dengan bentuk “Devil Anse” yang agak popular sedikit masa dahulu (dan saya perkirakan masih lagi popular sekarang) – bowl seumpama bunga tulip yang menguncup, dengan inklinasi bowl ke shank di sekitar 30-45 darjah, shank bulat yang lurus dan langsung disudahkan dengan kemasan band perak selebar seinci setengah, dan stem saddle akrilik hitam. Bowl pula adalah berbentuk / chamber “v” dengan inklinasi sama seperti canting bowl tadi. Mungkin dari satu sudut lain, ia kelihatan seperti bentuk sebuah kon yang agak menirus di hujung.
Sekejap – Devil Anse?
Ya, sememangnya sekali imbas, Peterson POY 2017 adalah berbentuk Devil Anse. Cuma bagi purist, mungkin Devil Anse anda harus memiliki shank bulat yang menirus ke stem, yang juga harus berbentuk tapered. Namun saya percaya tidak ramai yang memperdulikan soal ketepatan bentuk Devil Anse ini – kerana bentuk ini sendiri bukanlah sebuah bentuk tradisional, ia adalah hasil pertembungan pemipa dengan “popular culture” semata-mata. Namun “appeal” atau pesona Devil Anse adalah satu legenda hidup yang sentiasa mendapat tempat di hati pemipa – siapa tidak pernah membayangkan diri mereka sebagai Kevin Costner, mengulit pipa di bibir sambil menyilangkan kaki di atas kerusi malas di beranda rumah? Ia adalah satu imej “manhood” yang sangat mengesankan, terutamanya buat warga pemipa seperti kita.
Bagi pemipa yang sudah lama mengidam untuk memiliki bentuk Devil Anse ini, ia adalah bagaikan satu peluang baik yang terbentang luas menanti anda. Tambahan pula pipa dengan bentuk Devil Anse ini adalah sangat sukar untuk ditemukan – tidak banyak pipemaker yang mahu membuat shape ini, dan banyak yang mencuba tapi agak gagal untuk menghasilkan sesuatu yang solid dan seksi – yang berbaloi untuk kita kategorikan sebagai Decil Anse. Tom Eltang adalah antara pipemaker yang mampu menghasilkan Devil Anse yang seksi, namun anda perlu membelanjakan banyak ribu ringgit untuk memilikinya.

Disebalik bentuk Devil Anse atau “Jap” yang sememangnya sangat memukau itu, apa yang lebih menarik tetapi agak tersembunyi adalah bentuk chambernya. Chamber “v” sememangnya agak “nasty” pada saya buat peringkat awal, namun apabila ia mampu dijinakkan, anda akan dihadiahkan dengan sebuah pipa yang mampu menjadi top-3 di dalam rak pipa anda tanpa perlu bertanding banyak. Chamber “v” nya pula bukanlah bersifat konikal dan tajam, akan tetapi sebaliknya ia bersifat progresif – menjadi sedikit landai apabila hampir sampai ke dasar. Dan ia juga tidak lah terlalu besar, dan tidak pula terlalu kecil kerana kebanyakan anda mampu untuk membenamkan separuh ibu jari anda ke dalam chamber ini. Kelihatan, ia adalah sangat sesuai untuk flake dan saya pasti ia juga akan menjadi sebuah pipa yang baik untuk tujuan itu.
Peterson telah mengeluarkan sebanyak 500 unit POY 2017 ini, dan boleh dikatakan kebanyakannya sudah pun disambar peminat. Seperti biasa, hanya edisi “smooth” dikenakan nombor siri manakala edisi sandblast dan rustik tidak dinomborkan. Stamping lazer digunakan untuk nomenclature ini, sesuatu yang Peterson sudah pun mulakan sejak dari POY 2016 atau Founder’s Edition. Penggunaan cincin perak yang tebal – untuk POY 2017 ini adalah hampir satu inci – menyemarakkan lagi rasa cinta dan berahi para pemipa apabila mereka melihatnya terpampang di dinding tobakonis.
Jika anda belum pernah memiliki POY dari Peterson, versi 2017 adalah sebuah keluaran yang sangat unik lagi menarik untuk anda pertimbangkan. Malah jika anda tidak menggemari bentuk Devil Anse, anda masih boleh menempah stem taper panjang untuk mengklasifikasikan bentuknya kepada seakan “Cutty”. Tidak kita ketahui akan adakah Peterson masih mahu mengeluarkan bentuk sebegini lagi di lain hari. Jadi, daripada kita berharap akan sesuatu yang mungkin tidak akan datang, adalah lebih baik untuk berfikir panjang dan bertindak apabila waktu dan ketika yang sesuai sedia terhidang.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Wednesday 21 November 2018

Whatever & Ever Balkan…

Selain dari Balkan Sobranie dan Balkan Sasieni, masih terdapat beberapa blend Balkan yang cukup indah untuk dikeutarakan. Bukan sahaja indah, malah ada di antaranya yang agak “revolutionary” dan kreatif dengan penambahan tembakau-tembakau berlainan, yang mewarnai genre ini dengan lebih terang lagi.
Mari kita lihat dengan lebih dekat akan blend-blend ini;
Gawith Hoggarth & Co. “Balkan Mixture”
Blend Balkan adalah agak unik sebenarnya kerana ia berada di pertengahan English vs Oriental – jadi selalunya orang akan bertanya akan “adakah blend Balkan ini lebih cenderung ke arah English (lebih latakia) atau Oriental (lebih kandungan tembakau oriental / Turkish nya)?” – dan Balkan Mixture dari Gawith Hoggarth ini adalah lebih ke arah English. Sesuatu yang baik kerana flavornya lebih full dan memuaskan, walaupun nota rasa “sweet spiciness” orientalnya tidak terlalu ketara.
Hearth & Home “Fusilier’s Ration”
Dengan nama yang mungkin menjolok kepada infantri Belgium, yang bukanlah sebuah negara Balkan namun semua itu tidak perlu kita pedulikan kerana hadirnya Black Cavendish di dalam resepi blend ini, ia menjanjikan sebuah citra Balkan yang agak manis. Ini ditambah pula dengan nota tin yang agak menyelerakan, anda akan hairan adakah skuadron fusilier mampu berperang selepas menikmati blend ini?
Bengal Slices
Penjelmaan semula Bengal Slices adalah salah satu rahmat kepada pemipa zaman ini. Mempelopori blend Balkan dengan fusion black cavendish, Bengal Slices mampu membuat kan hari-hari sedih anda kembali ceria dan manis. Saya tidak sempat merasai Bengal Slices yang asal, jadi mungkin perbandingan antara keduanya tidak lah relevan bagi saya.
Sutliff Balkan Luxury Blend 957
Kelainan yang dipelopori oleh Bengal Slices dan diemulasi ramai kemudiannya (termasuklah oleh Fusilier’s Ration) menemui jalan lebih berliku kreativitinya dengan blend dari siri Sutliff Private Stock ini – dengan penambahan tembakau pedas suka-ramai iaitu perique. Mungkin ada sedikit kecelaruan di dalam menikmati “spiciness” oriental apabila tambahan perique ini berlaku, namun flavor yang terhasil adalah agak menarik untuk dicuba.
Bill Bailey Balkan Blend
Jika anda rasa yang blend Sutliff di atas sudah pun sangat kompleks – nanti dahulu. Keadaan menjadi lebih tidak terkawal apabila Bill Bailey Balkan Blend pun mulai menerobos ke pasaran blend Balkan, dengan penambahan daun dark fired Kentucky. Ini membuatkan ia terkadang lebih “potent” berbanding blend English biasa, dengan kelebihan “sweet spiciness” Balkan yang tiada taranya. Mana mahu kita dapatkan kebaikan berganda sedemikian di tempat lain?
New York Pipe Club – Hell’s Kitchen
Jika Balkan Mixture dari Gawith Hoggarth & Co lebih menjurus ke arah English, Hell’s Kitchen ini menjanjikan sebuah blend Balkan yang lebih “oriental forward” (hmm, kalau mahukan lebih flavor oriental, bukankah lebih baik dapatkan sahaja blend oriental yang sebenar?). Daunan oriental adalah asas kepada blend ini, dengan latakia dan virginia dimasukkan secukup rasa. Dark fired Kentucky, sesuatu yang jarang ada di dalam blending genre ini, sekali lagi memunculkan dirinya untuk memberikan rasa yang lebih “fuller” dan “refined”, walaupun saya boleh mengatakan yang daunan dark fired itu lebih membantu di dalam “refinery” kemanisan dari menambahkan kekuatan keseluruhan blend.
Peterson Balkan Delight
Sukar untuk mengatakan yang blend ini adalah blend Balkan kerana tiada kehadiran daunan oriental di dalamnya. Saya merasakan yang mereka agak keliru dan blend ini adalah sebuah blend English. Malah, blend Old Dublin adalah jauh “lebih Balkan” dari Balkan Delight – paling tidak ia memiliki daunan Basma disebalik campuran Cyprian latakia dan virginianya. Namun, ia tetap adalah sebuah blend yang baik dan lazat, walaupun anda tidak tahu genre manakah yang ingin ditujuinya.
Dunhill London Mixture
Blend ini adalah satu blend Balkan yang sangat “decent” dan “acceptable” – komposisi nya memang adalah Balkan, keberadaannya adalah sangat baik (cuma sekarang mungkin kita akan ada masalah untuk mendapatkannya), cuma ia mungkin ditenggelami oleh kepopularitian My Mixture 965 dan Nightcap.
Selain dari blend Gawith Hoggarth, blend-blend lain yang dikeutarakan kali ini masih boleh didapati di pasaran. Jika anda menemukan blend-blend di atas, jangan lepaskan peluang untuk menikmati keunikan Balkan kerana genre ini sememangnya selalu diancam kepupusan, dek kerana sifatnya yang berada “in-between” genre yang jauh lebih besar dan berdefinisi yang lebih tepat, yakni blend English dan Oriental.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Sunday 28 October 2018

Talkin’ Bruyère : Plateaux vs Ebauchon

kredit imej : vapourhouse.com
Sebagai seorang pemipa konsumer, kebanyakan kita tidak memperdulikan sangat akan persoalan jenis blok briar yang digunakan untuk menghasilkan pipa yang kita sedang pegang di tangan. Asalkan ia cantik dan memiliki grain-grain yang menawan, dan yang paling penting – a good smoker, sudah memadai bagi kebanyakan kita. Hidup lebih indah tanpa komplikasi-komplikasi melampau, bukan? 
Namun cuba anda lihat diri anda dan tanyakan, betapa seorang pemipa alaf baru sepatutnya mempunyai pengetahuan dan pengamatan yang lebih dari apa yang sedia ada, kerana hanya dengan ini barulah kita mampu menikmati hobi ini sebaik mungkin. Ini juga adalah tujuan mengapa siri Talkin’ Bruyere ini dikeudarakan – untuk mendekatkan pemipa dengan pengetahuan tentang bahan briar – sesuatu yang kita pegang saban hari, yang didalamnya juga kita bentukkan api ember yang menghasilkan asap indah membawa seribu satu flavor dan rasa yang merangsang minda kita.
kredit imej : rawkrafted.com
Adalah satu fakta bahawa briar yang kita gunakan datang dari umbi pohon Erica Arborea yang tumbuh disepanjang persisiran Mediterranean. Akan tetapi bukan semua bahagian umbi ini akan digunakan. Bahagian tengah biasanya akan dibuang, bahagian lainnya akan dipotong untuk menghasilkan blok-blok di dalam bentuk plateaux dan ebauchon. Dan dari sini berkemungkinan ramai antara kita yang agak terbiasa mendengar akan penggunaan blok plateaux atau ebauchon di laman-laman sesawang pipemaker mereka. Walau bagaimanapun, biasa mendengar bukan bererti kita memahami dengan jelas tentang jenis-jenis blok ini. Oleh itu, mari kita kupas sedikit-sebanyak perihal plateaux vs ebauchon ini.


Blok-blok plateaux adalah bahagian briar yang paling hampir dengan permukaannya. Oleh kerana itu, biasanya blok-blok plateaux dipotong bersama dengan bahagian luar burl, yang selalunya menggerutu dengan birdseye, dan selalunya ia berbentuk seakan “wedge”. Dek kerana kebiasaannya bahagian luar burl ini adalah sangat natural / alami dah cantik, maka banyak pipemaker yang menggunakan kesempatan ini untuk menghasilkan pipa-pipa dengan craggy rim / top, sebagai komplimen tambahan kepada unjuran grain yang selalunya indah pada blok-blok plateaux.

kredit imej : pfeifenecke.de
Oleh kerana ketidakseragaman saiz bagi sesebuah briar, jadi blok-blok plateaux juga tidak memiliki saiz yang sekata. Harga bagi sesebuah blok plateaux adalah berdasarkan timbangan. Pemotong briar akan memotong blok-blok plateaux mengikut unjuran grain sesebuah briar dan mengambil kira akan faktor bahawa dengan unjuran grain yang baik, mereka mampu meraih harga yang lebih untuk sesebuah blok plateaux. Oleh kerana itu, proses ini memerlukan lebih masa dan juga adalah salah satu faktor kenapa harganya adalah mengikut timbangan. Jadi, tidak hairanlah blok-blok plateaux adalah lebih mahal berbanding blok-blok ebauchon.
Blok-blok ebauchon pula adalah apa yang ada di bahagian bawah blok-blok plateaux – bermaksud bahagian briar yang agak jauh dari permukaan. Kebiasaannya blok-blok ebauchon akan dipotong dengan bentuk “L” atau terkadang seperti bentuk “trapezium”, untuk memaksimakan penghasilan blok dari setongkol briar. Ini adalah benar kerana bagi blok ebauchon, kuantiti dan saiz blok adalah lebih diutamakan oleh pemotong briar kerana ia menentukan mereka dapat menghasilkan lebih duit untuk blok-blok mereka. Jadi, penghasilan blok ebauchon adalah lebih menjimatkan briar berbanding blok plateaux yang lebih banyak “memakan” briar kerana ia dipotong mengikut unjuran grain terbaik, supaya ia dapat dijual dengan harga yang lebih mahal.

kredit imej : literaryworkshop.wordpress.com
Terdapat juga beberapa pendapat yang mengatakan akan blok plateaux adalah lebih sesuai untuk pipa-pipa “freehand” dan blok ebauchon adalah untuk pipa-pipa dengan shape tradisional. Saya boleh mengatakan yang ya, mungkin ada betulnya akan tetapi ia bukanlah satu kemestian. Blok plateaux biasanya bersaiz lebih besar dan memungkinkan seseorang pipemakers itu untuk menjadi lebih kreatif di dalam menghasilkan bentuk-bentuk freehand, yang selalunya bergantung kepada imaginasi pipemaker tersebut. Hasil akhir terkadang tidak seperti apa yang dirancangkan pada awalnya, jadi oleh kerana itulah saiz blok yang besar sememangnya diperlukan. Walau bagaimanapun, kita masih melihat banyak pipa-pipa bentuk tradisional yang memiliki “craggy rim” dan unjuran straight grain yang indah, hasil dari penggunaan blok-blok plateaux.
Juga terdapat beberapa pendapat yang mengatakan betapa blok-blok plateaux digunakan oleh para pipemakers artisan, dan pengeluar pipa berjenama besar pula hanya menggunakan blok ebauchon sahaja. Ini juga adalah tidak tepat, kerana banyak pipemaker artisan yang menggunakan kedua-dua jenis blok – ebauchon untuk keluaran yang biasa dan plateaux untuk keluaran istimewa atau untuk keluaran kelas tinggi mereka. Disebalik itu, banyak juga nama-nama besar seperti Dunhill dan Castello, malah beberapa jenama “factory pipes” seperti Savinelli dan Peterson turut menggunakan blok-blok plateaux, walaupun mungkin di dalam skala yang kecil.

Sedikit sebanyak saya berharap kita dapat memahami akan perbezaan di antara dua jenis potongan asas bagi briar ini. Ia sangat berguna apabila kita mahu membeli pipa atau menempah pipa kita secara peribadi, di mana kita tahu memilih blok jenis manakah yang kita mahukan, sesuai dengan kehendak rekabentuk yang menarik minat kita berdasarkan budget / peruntukan yang kita selesa untuk dibelanjakan.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!