Friday 29 July 2016

Kabut Asap dan Signifikasinya pada Dunia Perpipaan & Persaudaraan Tembakau.

Masih di dalam mood "smoky rendition", dikelilingi kabut asap pipa sendiri atau dari rakan-rakan pemipa di sekeliling kita, semuanya menghasilkan  perkara yang sama. Sama ada di dalam wangian aromatik yang berbondong-bondong, "grassy & toasty" dari full virginia yang menyebabkan kita sedikit lapar dan mahu meng"order" pai sherperd itu, atau di dalam kepekatan bau latakia yang membuatkan makcik meja sebelah beristigfar dan menangisi kita yang seperti ketagihan kanabis, mari kita bermini-kontemplasi akan penghasilan asap putih yang keluar dari stem dan bowl pipa-pipa kita itu.

Asap adalah by-product dari pembakaran tembakau. Komposisi asas yang ada pada asap juga adalah sama bagi penggunaan tembakau dan Ia sering dikaji. Antara kajian yang pernah dilakukan berkenaan asap (asap rokok) adalah dari Guerin (1980); "asap dari rokok adalah aerosol pekat yang tersebar di atmosfera dan mengandungi partikel cecair yang terdiri daripada nitrogen, oksigen, karbon monoksida dan karbon dioksida".

Percaya atau tidak, asap adalah sangat penting dalam dunia tembakau, kerana pengguna tembakau sangat positif dalam hal-hal berkaitan asap berbanding masyarakat secara umumnya. Kita sering terdengar ungkapan-ungkapan tempatan seperti "janji berasap", yang membawa maksud sesebuah pengharapan dan kepuasan akan dapat dicapai, berbanding penggunaan masyarakat umum seperti "dapat asap je" atau "kelabu asap" yang membawa maksud tidak mencapai sesuatu yang fizikal dan "makan asap" yang membawa maksud ketinggalan di dalam sesebuah perlumbaan (biasanya dalam hal-hal permotoran).

Akan tetapi terkadang masyarakat umum mengakui pula akan kepentingan metafora asap ini, dimana penggunaan ungkapan "dapur tidak berasap" membawa maksud tidak memiliki rezeki pada masa tertentu. Jadi, adakah masyarakat umum yang rata-ratanya bencikan asap itu agak keliru, atau pengguna tembakau adalah golongan yang mampu berfikir secara lebih baik? Patutlah golongan penulis dan pemikir hebat seperti Sir Arthur Conan Doyle, Albert Camus, Mark Twain, J.R.R. Tolkien, John Steinbeck, Albert Einstein, C.S Lewis dan seumpamanya adalah pengguna tembakau yang tegar!

Secara saintifiknya, saya percaya bahawa asap memainkan peranan yang besar dalam kepuasan berpipa / bercerutu / bercigar / merokok / vaping ini. Jika ingatan saya masih kukuh, saya pernah terbaca akan satu kajian yang dijalankan tentang peranan asap dalam aktiviti-aktiviti di atas berkenaan dengan kepuasan menghisap rokok di dalam bilik yang gelap dibandingkan dengan situasi yang sama di dalam bilik yang cerah. Kadar kepuasan merokok menurun dengan mendadak di dalam bilik gelap tadi, tanpa keupayaan perokok untuk melihat asap yang dihasilkan. Menarik, bukan?

Anda masih ingatkah ketika belajar sains di tingkatan satu dahulu? Kajian penting terhadap pergerakan asap yakni zarah Brown menampilkan beberapa fakta yang menarik. Pergerakan partikel zarah asap ini, walaupun ia lebih besar dari zarah udara adalah bergantung pada zarah udara itu sendiri. Pendek kata, asap tidak akan menuju ke sesuatu arah, kecuali dipengaruhi oleh pergerakan udara.

Oleh itu, janganlah merasa sangat terganggu apabila asap pipa meleret ke meja anda di mana-mana kopitiam; kami pemipa semuanya budiman dan akan mencari "spot" terbaik supaya tidak mengganggu masyarakat dengan asap-asap kami, namun pergerakan Brown membuktikan bahawa anginlah yang bertanggungjawab membawa asap itu kepada anda (err hello, bukankah kebanyakan kopitiam menyediakan ruang berhawa dingin di dalam, kenapa anda memilih untuk duduk di luar bersebelahan kami, for God's sake?). Jadi, salahkan lah angin atau diri anda sendiri.

Tentunya sejauh mana pun pergerakan asap ini ditentukan oleh angin, kita pemipa dan pengguna tembakau secara amnya suka untuk memanipulasikan asap-asap yang terhasil. Gelungan asap atau "smoke rings" adalah aspirasi pengguna pemula tembakau dan pemipa khususnya, dimana ia melambangkan satu keseronokan yang bersifat "anti-stress" pada kita. Sudah tentu, semua pemipa mahukan kepakaran Gandalf di dalam mencipta asap berbentuk kapal yang berlayar di dalam filem epik Lord of The Ring - satu fantasi yang sangat menarik dan momento terbaik pemipa di layar perak, selain Kevin Costner duduk di patio menghasilkan asap tebal dari pipa "Devil Anse"nya di dalam minisiri Hatfields & McCoys.

Disebalik pancaroba dunia abad ke 21 yang mencemuh asap walaupun secara tidak sedar bergantung kepada kepentingannya, kita sebagai pengguna tembakau dan lebih khusus lagi pemipa ini sangat akrab dengan asap. Kita sedari kepentingannya, samada secara fizikal atau secara metafora, kita meraikan kehadirannya yang sangat dinantikan saban hari, membawa seribu aroma, rasa dan "essence" tertentu kedalam sanubari kita.

Dek kerana itulah saya suka sekali mengakhiri setiap artikel dengan tagline "blow smoke rings", kerana aspirasi pemipa adalah seperti gelungan halo asap pipa kita tadi; penuh pengharapan dan sangat simbolik, sebelum ia berpecah dan bergerak bebas bak cetusan idea yang kreatif sang pemipa yang selalu berfikiran kritis, wacana seorang pemipa budiman.

Tuesday 26 July 2016

PENCAPAIAN PIPA MALAYA

Saya sentiasa beraspirasi untuk menjadi pemipa yang tidak perlulah serba tahu tetapi memadai dengan menjadi seorang yang "know his stuff". Saya senantiasan suka untuk mengkaji apa sahaja yang saya ada, baik pipa mahupun blend-blend tembakau dan juga lain-lain perkara seperti persenjataan Melayu lama, batik, gamelan, senibina Melayu dan sebagainya. Ini adalah penting kerana kita harus sentiasa menerima perubahan secara terbuka dan senantiasa bereksperimen - barulah dimensi perpipaan kita agak terbuka dan berkembang.

Antara dugaan yang paling selalu ditempuhi adalah kehabisan bateri handphone ketika idea dan permasalahan pipa datang mencurah. Mujurlah, saya memiliki buku nota kecil yang selalu dibawa bersama terutamanya apabila saya merantau di dalam dan luar negara, jadi apa yang terlintas sentiasa dapat dicatat.

Juga terdapat sesetengah pihak yang tidak menyenangi penulisan-penulisan saya. Mengaspirasikan pemikiran Melayu masa kini, saya menolak faktor hasad dengki atau iri hati atau sikap "tidak boleh orang lain lebih" dari pihak-pihak ini. Saya suka bersangka baik dan mungkin kerana kekurangan dari diri saya sendiri yang menyebabkan mereka bersikap begitu. Ingin juga saya menyampaikan salam maaf kepada mereka dan semua pembaca atas kekhilafan diri ini.

Namun syukur dipanjatkan, segala kesusahan tersebut berbaloi dengan usaha untuk melestarikan budaya perpipaan dengan ilmu - bukan ilmu milik saya - tetapi kesinambungan pembelajaran itu dapat saya catitkan di sini secara kekal.

Pencapaian artikel ke-100 ini tentunya bukan milik saya - ia adalah milik anda semua pembaca budiman sekalian yang rajin menyingkap dan meluangkan masa membaca. Pertambahan trafik pembaca luar terutamanya dari USA, Indonesia, Sweden, Germany, Japan dan UK adalah juga memberansangkan. Saya tidak pasti adakah mudah untuk mereka memahami penulisan-penulisan saya dengan translasi automatik Google, mungkin agak sukar jadi kerana itulah saya mencuba sedaya upaya untuk menghasilkan translasi sendiri.

Juga faktor "feedback" juga adalah sangat penting. Ramai yang rajin menegur dan itu adalah perkara yang baik sekali kerana saya tidak pernah mengganggap diri ini sebagai "pakar" di dalam bidang perpipaan. Apa yang saya ada hanyalah aspirasi dan minat. Saya percaya, anda juga begitu.

Apa-apa pun, saya sangat menghargai sokongan dari semua dalam apa bentuk pun; samada penghargaan, teguran atau kritikan. Jauh dari menganggap blog ini sebagai sumber rujukan, ianya adalah satu pemacu pembelajaran kepada diri saya sendiri dan anda semua pemipa adalah aspirasi saya selamanya.

Saya fikir, sudah sampai masanya kita pemipa mencapai anjakan paradigma kendiri, menuju ke arah pemipa budiman seperti yang kita selalu laung-laungkan...

Thursday 14 July 2016

"Ramadhan Conjuring" : Letusan Kegembiraan Pemipa di Bulan Mulia

Sedar tak sedar, sudah hampir sebulan kita berpuasa. Hari ini adalah Jumaat Ramadan terakhir pada tahun ini dan semestinya ramai yang sudah tidak sabar untuk meraikan Aidil Fitri kelak.

Kitaran hidup sewaktu berpuasa adalah agak singkat. Kita terkejar-kejar dengan aktiviti ibadah, aktiviti makan-minum dan juga aktiviti berpipa kita pada waktu malam hari yang singkat. Tambahan pula dengan Euro 2016 yang sedang berlangsung ini, menjadikan malam kita lebih meriah dan sibuk sekali.

Pada siang harinya pula, kita menahan lapar dan dahaga dan suka untuk membayangkan perkara-perkara kecil yang mampu meletuskan sedikit bibit -bibit kegembiraan seperti persoalan tentang juadah berbuka, game Euro apakah malam ini dan tentunya baccy apakah yang mahu dinyalakan selepas berbuka nanti. Small things that matters, kan?

Kita sebagai manusia ternyata sangat suka akan letusan-letusan kegembiraan sebegini. Masih ingat sewaktu kecil akan siri Rumah Kedai, siri Jejak Rasul, kuih tepung pelita dan beberapa perkara lagi yang menggamit memori Ramadan? Ini adalah beberapa contoh letusan-letusan kegembiraan yang kita hadapi sewaktu kecil dahulu.

Paling istimewa bagi saya adalah siri Rumah Kedai, menonton lakonan Ebby Yus dan (al fatihah untuk arwah) Harun Salim Bachik sambil mata menjeling-jeling jam berharap jarum jam membuat "quantum leap" ke 7 petang. Ketika itu juga, desiran sudip menghentak kuali dari dapur kedengaran nyaring dan bau rendang daging masakan ibu menusuk-nusuk kalbu. Semua ini masih segar dalam ingatan dan tentunya memberikan saya satu "teleporting experience" apabila situasi-situasi terbabit bermain semula.

Mengenai letusan kegembiraan Ramadan pada situasi perpipaan pula, ia ternyata agak istimewa bagi saya. Saya bermula ketika itu sememangnya hampir bulan puasa, dan saya masih ingat tatkala bulan puasa menjelma, saya sedang "gila" dengan PAD dan TAD dan memandu ke Ipoh untuk membeli baccy ketiga pada ketika itu (baccy pertama adalah blend aromatik Winslow Harlekin dan baccy kedua adalah Frog Morton On the Bayou). Jadi, misi ketika itu berkisar tentang keperluan untuk pendedahan yang lebih mendalam tentang latakia tetapi cuba untuk mengelak dari "lat bomb" kerana merasakan masih terlalu awal untuk berdansa dengan latakia full throttle, saya disogokkan dengan blend menarik ini, Sillem Black, sebagai pilihan terbaik.

Sudah tentu, membeli baccy pada bulan puasa memerlukan koordinasi imaginasi yang lebih, kerana kita tidak boleh mencuba baccy terbabit pada waktu itu. Jadi, "anticipation going wild" dan saya hanya mampu mencium bau Sillem Black terbabit. Dan wow, aromanya yang sangat menarik; sedikit floral dan eksotik, bercampur dengan sedikit bauan stik wagyu yang di"glazed" dengan Hickory BBQ Sauce, disirami dengan allspice dan thyme, serta merta saya menjadi lapar. Sepanjang perjalanan balik dari Ipoh ke Bidor saya tidak mampu menahan keinginan untuk mencium dan terus mencium baccy Sillem Black tersebut. Sememangnya satu hari yang penuh dengan perilaku makruh pada ketika itu.

Pada sebelah malamnya, berkumpul dengan kawan-kawan pencen selepas solat terawikh dan menikmati baccy baru Sillem Black adalah sangat menyeronokkan. Ia adalah sebuah blend "crossover" dengan enigma "lakeland" dan English saling bertembungan. Tentunya bau yang separa wangi separa "jerky" itu mendapat perhatian orang sekitar, tetapi di dalam tanggapan yang baik, kerana "room note" Sillem Black sememangnya menjurus kepada floral dan kualiti itu kekal hingga ke hari ini.

Persembahan Sillem Black dengan tin yang hitam legap dan logo a-la Templars berwarna perak adalah agak elegan dan misteri. Sayangnya hanya keluaran ini yang mengenengahkan penggunaan latakia; keluaran Sillem yang lain adalah aromatik. Sebagaimana permulaan mengenalinya di dalam bulan puasa beberapa tahun yang lalu, Sillem Black sekarang adalah "Ramadhan Conjuring" bagi saya. Ia bagaikan satu ritual untuk menyediakan blend indah ini di atas piring sambil baunya naik ke hidung, hanya untuk dibakar di dalam bowl selepas solat terawikh kelak. Umpama anda memerlukan murtabak atau roti john sebagai juadah moreh, saya sangat memerlukan Sillem Black untuk ketika itu.

Menghormati Ramadan, kita mengurangkan aktiviti-aktiviti luar dan lebih banyak merehatkan diri. Namun, terlalu banyak rehat juga adalah tidak baik dan mungkin akan lebih melemahkan badan kita nanti. Jadi, Ramadan adalah peluang bagi saya untuk melakukan "stock take" - memeriksa pipa-pipa dan baccy-baccy secara lebih mendalam. Tentunya ia juga memberi lebih peluang untuk membersihkan pipa-pipa, mengelap bowl-bowl dengan briar polish / wax, membersihkan stem-stem terutamanya yang ebonite / vulcanite. Biasanya, wax tanpa penggunaan bahan yang lebih "abrasive" adalah pendekatan saya.

Baccy "stock take" adalah agak menarik kerana dengan cara itu kita dapat menggamit kenangan-kenangan perpipaan sewaktu kita adalah pemula. Agak nostaljik tetapi praktikal, kerana pada masa yang sama kita berkemungkinan tergerak untuk mencuba kembali beberapa blend yang tidak kena dengan selera kita pada waktu itu tetapi situasinya mungkin berlainan sekarang. Ada beberapa blend yang saya tidak ambil pusing dahulu dan dilabelkan sebagai "tersalah beli" (beserta dengan ikrar untuk TIDAK AKAN terbeli lagi baccy ini) yang bila saya keluarkan semula pada stock take Ramadan Conjuring ini, ternyata memiliki rasa yang hebat seperti Dunhill Royal Yacht ini. Mungkin sedikit "shelf time" membantu di dalam hal ini, tetapi tanpa "stock take" sebegini berkemungkinan blend Virginia berperisa sebegini akan luput dari kamus perpipaan saya.

Juga aktiviti ini membantu kita melihat kepada strategi "cellaring" kita; mungkin "go-to" blend / blend harian kita sudah hampir habis, menunggu masa yang sesuai untuk "re-stock". Juga mungkin sesetengah baccy yang kita rasa terlalu mustahil untuk mendapat tempat di palate kita - nah sedekahkan kepada kawan-kawan pemipa lain, kerana apa yang kita tidak suka mungkin akan menjadi baccy harian pemipa lain. Silap-silap, kawan pemipa kita akan "barter" pula baccy yang kita sukai kepada kita. It is the art of giving...

Begitulah sedikit sebanyak mengenai signifikan Ramadan kepada dunia perpipaan. Sebagaimana bulan mulia ini mengajar kita erti bersabar dan kesederhanaan, kita pemipa mengalami kuantum nikmat yang lebih besar selepas berbuka, dimana menghela asap dari sedapur pipa selepas seharian mengatasi rasa lapar dan dahaga adalah satu nikmat kehidupan yang terlalu berharga, gambar dan cerita seakan tidak mampu mewakilkan apa yang kita rasai.


pack 'em, light 'em, and blow smoke rings outta 'em!