Tuesday 26 July 2016

PENCAPAIAN PIPA MALAYA

Saya sentiasa beraspirasi untuk menjadi pemipa yang tidak perlulah serba tahu tetapi memadai dengan menjadi seorang yang "know his stuff". Saya senantiasan suka untuk mengkaji apa sahaja yang saya ada, baik pipa mahupun blend-blend tembakau dan juga lain-lain perkara seperti persenjataan Melayu lama, batik, gamelan, senibina Melayu dan sebagainya. Ini adalah penting kerana kita harus sentiasa menerima perubahan secara terbuka dan senantiasa bereksperimen - barulah dimensi perpipaan kita agak terbuka dan berkembang.

Antara dugaan yang paling selalu ditempuhi adalah kehabisan bateri handphone ketika idea dan permasalahan pipa datang mencurah. Mujurlah, saya memiliki buku nota kecil yang selalu dibawa bersama terutamanya apabila saya merantau di dalam dan luar negara, jadi apa yang terlintas sentiasa dapat dicatat.

Juga terdapat sesetengah pihak yang tidak menyenangi penulisan-penulisan saya. Mengaspirasikan pemikiran Melayu masa kini, saya menolak faktor hasad dengki atau iri hati atau sikap "tidak boleh orang lain lebih" dari pihak-pihak ini. Saya suka bersangka baik dan mungkin kerana kekurangan dari diri saya sendiri yang menyebabkan mereka bersikap begitu. Ingin juga saya menyampaikan salam maaf kepada mereka dan semua pembaca atas kekhilafan diri ini.

Namun syukur dipanjatkan, segala kesusahan tersebut berbaloi dengan usaha untuk melestarikan budaya perpipaan dengan ilmu - bukan ilmu milik saya - tetapi kesinambungan pembelajaran itu dapat saya catitkan di sini secara kekal.

Pencapaian artikel ke-100 ini tentunya bukan milik saya - ia adalah milik anda semua pembaca budiman sekalian yang rajin menyingkap dan meluangkan masa membaca. Pertambahan trafik pembaca luar terutamanya dari USA, Indonesia, Sweden, Germany, Japan dan UK adalah juga memberansangkan. Saya tidak pasti adakah mudah untuk mereka memahami penulisan-penulisan saya dengan translasi automatik Google, mungkin agak sukar jadi kerana itulah saya mencuba sedaya upaya untuk menghasilkan translasi sendiri.

Juga faktor "feedback" juga adalah sangat penting. Ramai yang rajin menegur dan itu adalah perkara yang baik sekali kerana saya tidak pernah mengganggap diri ini sebagai "pakar" di dalam bidang perpipaan. Apa yang saya ada hanyalah aspirasi dan minat. Saya percaya, anda juga begitu.

Apa-apa pun, saya sangat menghargai sokongan dari semua dalam apa bentuk pun; samada penghargaan, teguran atau kritikan. Jauh dari menganggap blog ini sebagai sumber rujukan, ianya adalah satu pemacu pembelajaran kepada diri saya sendiri dan anda semua pemipa adalah aspirasi saya selamanya.

Saya fikir, sudah sampai masanya kita pemipa mencapai anjakan paradigma kendiri, menuju ke arah pemipa budiman seperti yang kita selalu laung-laungkan...

No comments:

Post a Comment