Wednesday 12 December 2018

Sekelumit Ucapan Selamat Tinggal untuk Seekor Katak

Tatkala memeriksa bekalan baccy tempohari, secara tidak sedar saya telah mengumpulkan stok Frog Morton untuk dibelek-belek. Tidak banyak pun yang tinggal. Dan apa yang ada hanyalah sisa-sisa yang tidak dapat dibeli-ganti kembali. Dan tiba-tiba saya mendapati hati menjadi sangat sayu…
Sedikit masa dahulu, sebelum McClelland mengumumkan yang mereka akan menghentikan pengeluaran blend-blend mereka, saya tidak pernah terfikir untuk mengumpulkan blend Frog Morton dengan kadar yang banyak. Ini kerana ia masih mudah untuk didapatkan pada ketika itu. Anda cuma perlu mencapai kunci kereta anda, hidupkan enjin, dan memandu ke tobakonis berdekatan dan mendapatkan sebuah nikmat blend English crossover untuk sesi pipa petang anda. Sekarang, dengan jumlah yang ada di dalam simpanan saya ini, saya merasakan yang ianya tidak cukup dan bakal kehabisan tidak lama kemudian.
Jika anda tidak familiar dengan perkataan “blend crossover”, secara ringkasnya ia adalah blend-blend yang mempunyai campuran tembakau latakia seperti sebuah blend English yang lengkap, akan tetapi ia juga memiliki kualiti blend aromatik. Kebiasaannya, ia diperisakan sedikit demi membantu pemipa junior untuk menerima blend sebegini dengan baik pada peringkat awal hobi perpipaan mereka. Ini kerana faktor tembakau latakia itu sendiri yang mungkin agak tengik, busuk atau pelik buat mereka yang pertama kali mencubanya, kebarangkalian pemipa muda untuk membenci blend English di peringkat ini adalah agak tinggi. Dan disinilah peranan blend crossover dimainkan, kerana ia adalah sebuah campuran yang masih adalah bersifat English namun lebih smooth, lebih ringan dan kebiasaannya lebih diaromatikkan, maka ia lebih senang diterima oleh pemipa pemula ataupun mereka yang baru mahu berjinak mengenali latakia.
Akan tetapi, sejauh manakah efektifnya blend Frog Morton sebagai sebuah blend crossover, membantu golongan pemipa pemula ini mengenali blend-blend latakia? Sangat membantu, kerana saya juga mengalami keadaan yang sama! Saya sendiri adalah salah seorang dari pemipa yang berjaya didekatkan dengan latakia olehnya. Bermula dengan sampel Frog Morton On the Bayou, dua bowl awal saya memberikan perasaan berkecamuk – adakah aku tengah membakar kuku atau bulu unta kering? Rasanya agak pelik, sukar untuk kita gambarkan apabila merasai latakia buat kali pertama. Apa yang jelas, Frog Morton telah berjaya memperkenalkan kita dengan elemen penting pertembakauan ini, sesuatu yang memang sepatutnya dicapai oleh blend-blend crossover.
Walaupun ribbon-ribbon gelap Frog Morton mungkin terasa sedikit kebasahan apabila ia dipek ke dalam bowl pipa, pembakaran yang baik adalah mudah untuk didapatkan. Sememangnya Frog Morton diciptakan untuk digunakan sedikit lembap, demi memberikan anda lebih aroma dan flavor. Ini adalah benar, kerana apabila sesi perpipaan mencapai 2/3 ke atas, aroma dan flavor Frog Morton akan sedikit tenggelam – berkemungkinan kerana ia sudah dikeringkan oleh haba pembakaran. Sesungguhnya memang jika sesebuah blend aromatik yang memiliki kondisi tembakau yang sebegini, akan saya prep atau keringkan sehingga paling tidak dua hingga ke tiga jam. Namun tidak buat Frog Morton, kerana saya tahu ia adalah “ready” walaupun di dalam keadaan yang sebegitu rupa.
Dan yang paling penting, blend-blend Frog Morton tidak membakar panas sepertimana kebanyakan blend-blend yang sebegini lembap (kebiasaannya adalah aromatik). Itulah yang membuatkan ramai pemipa, tidak mengira sama ada yang baru mahu berjinak-jinak dengan blend English ataupun yang sememangnya hanya menyukai blend-blend English, sangat asyik dengannya. Dengan itu tidak hairanlah jika kita terdengar orang mengatakan yang blend Frog Morton adalah blend crossover terbaik yang pernah dihasilkan.

Akan saya risaukan tentang hari-hari mendatang dimana tin-tin ini akan habis dan tidak akan dapat dicari kembali. Mungkin ia masih boleh didapati pada bootleggers di pasaran gelap kelak, dengan harga 10 kali ganda dari apa yang anda bayar sekarang. Atau mungkin setin yang tidak dibuka akan disimpan rapi oleh tobakonis-tobakonis, sebagai satu “display” atau hiasan kedai, yang akan mengundang air liur berciciran setiap kali kita melawat tobakonis-tobakonis ini.
Dan mungkin sekali-sekala kita akan terjumpa tin kosong simpanan cellar kita sendiri, untuk dikeluarkan dan dicium-cium, yang mana aromanya akan mengimbaskan semula saat riang ini – sebuah petang yang damai dengan tin Frog Morton masih penuh di tangan dan aroma coffee, mocha, dried fruit dan tengik latakia seperti rumput kering salai yang sangat menyelerakan ini bermain di nasal kita, membawa bersamanya jaminan cool-smoking yang utuh.
Oleh yang demikian, mari lah kita minum petang dan “toast” kan ucap selamat kepada seekor katak yang mewarnai dunia perpipaan kita dengan girang sepertimana girangnya seekor katak tatkala hujan, sebelum kita kehilangan siri indah ini buat selama-lamanya.

pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Wednesday 5 December 2018

Devil Anse, Large Jap, Popular Culture, dan Entah Apakah Lagi…(ekstensi Peterson POY 2017)

Pada pembukaan 2018, saya ada mengutarakan tentang retro-isma yang semakin mendapat tempat di hati para pemipa sekarang. Old is gold, dan ketaksuban kita pada pemodenan sedikit terpukul dengan kecenderungan terbaru kita dengan rekabentuk lampau yang mementingkan faktor aestetik jauh ke depan berbanding faktor fungsi dan ergonomik. Dan ironinya, ergonomik juga hanya diterima-pakai secara meluas semenjak artikel dari tahun 1857 dari seorang ahli akademik Polish, Wojciech Jastrzębowski diterjemahkan kedalam bahasa Inggeris pada 1997.
Pipa, seperti jin, datang di dalam pelbagai saiz dan bentuk demi memberikan kepelbagaian pilihan buat pemipa yang semakin hari semakin peka dan “demanding”. Dari hanya sekadar variasi, ia berkembang menjadi titik tolak identiti sehinggakan ada pemipa yang menumpukan untuk mengumpul sejenis bentuk sahaja. Ada sahaja bentuk pipa yang sesuai untuk seseorang pemipa, yang tidak menjadi pujaan kawan-kawannya yang masing-masing memiliki preferensi tersendiri. Tidak ada masalah, kerana ini adalah negara demokrasi.
Walau bagaimanapun, salah satu dari bentuk-bentuk ini memiliki pesona tersendiri yang sering menyebabkannya mendapat “wow!” apabila muncul di temupipa-temupipa diserata negara. Ya, ia adalah bentuk yang kita kenali sebagai “Devil Anse” atau DA. Nama ini sebenarnya wujud sebagai “slang” pemipa apabila merujuk kepada pipa yang digunakan oleh watak Devil Anse Hatfield lakonan Kevin Costner itu. Walaupun tidak rasmi, ia telah pun digunapakai oleh pemipa sedunia sehingga sekarang. Dan terima kasih kepada gambar promosi filem tersebut yang menampilkan Costner menggamit pipa itu di bibir, bentuk Devil Anse terus menjadi buruan para pemipa.
Hampir kesemua kita menyangka yang bentuk DA ini berasal dari cetusan idea minisiri Hatfield & McCoys itu. Tidak ada seorang pun yang dapat menyangka yang lebih dari seabad yang lepas, bentuk ini sudah pun dikeluarkan dan tiada siapa peduli tentangnya! Lebih mengelirukan lagi adalah kerana kita juga tidak pernah melihat bentuk ini di dalam standard “pipeshape chart”. Apabila Peterson mengeluarkan idea akan penghasilan POY 2017 mereka dengan bentuk ini, dan mengemukakan fakta akan ini adalah penjelmaan semula sebuah bentuk lama, kita semua terpegun dan tersedar dari lamunan.
Dek kerana bentuk DA ini sememangnya sentiasa mendapat tempat di hati ramai pemipa, tambahan pula tidak banyak pipa-pipa yang dihasilkan dengan bentuk DA di dunia ini, POY 2017 menyaksikan satu fenomena di mana banyak darinya telah habis terjual dalam jangkamasa yang pantas – berbeza dengan kebanyakan POY tahun-tahun terkebelakang yang ada di antaranya masih boleh dilihat terpampang di dinding-dinding tobakonis. Pemburuannya adalah indah, penuh debaran dan bersifat ritualistik kadang kalanya, kerana ada juga kolektor yang mengumpulkan ketiga-tiga versi POY 2017 ini yakni smooth, sandblasted dan rustik.
Memang dipaparkan di dalam beberapa laman web akan katalog yang dengan jelas merujuk kepada bentuk “large jap” yang menjadi inspirasi kepada POY 2017. Namun ironinya adalah lebih ketara kerana bentuk ini tidak kelihatan selepas itu – dimana tidak pernah pula kita lihat Peterson dengan bentuk “Jap” di pasaran estate, vintaj mahupun di kedai-kedai antik. Katalog yang memaparkan bentuk “large jap” ini diterbitkan pada tahun 1906, namun tidak pula kita dapat selalu melihatnya. Mengapa begitu? Pada firasat saya, kemungkinan yang paling hampir dengan fakta ini adalah kerana bentuk / shape ini tidak berjaya untuk memiliki populariti yang baik sepertimana bentuk-bentuk Peterson lain contohnya 999 (rhodesian), 15 (billiard), 302 (System Standard bent tomato) atau 313 (small bent billiard). Bentuk-bentuk ini dapat kita temukan di pasar-pasar karat dan jualan pipa-pipa estate diserata dunia.
Juga satu persoalan yang bakal timbul adalah kenapa Peterson tidak mahu memperkenalkan shape Jap ini di kemuncak populariti DA selepas siri Hatfield & McCoy dikeudarakan?Ini juga adalah satu misteri pemasaran yang tidak dapat difahami ramai. Kebanyakan firma atau jenama pipa akan segera terjun untuk mengeluarkan bentuk ini sebaik sahaja populariti DA bermula, dan kawan kita di Sallynoggin ini memilih untuk tidak bersemuka dengan “popular culture”. Peterson tidak mahu terjun ke dalam “bandwagon” tatkala pipemaker-pipemaker sedunia masing-masing mencuba sebaik mungkin untuk tampil dengan shape DA, masing-masing dengan pegangan tersendiri akan ciri apakah yang membuat kan sesebuah DA itu klasik.Oleh kerana Devil Anse bukanlah sebuah bentuk pipa tradisional, maka definisi DA yang klasik adalah tidak terbatas dan semua pipemaker datang dengan interpretasi klasik sesebuah DA secara tersendiri. Dan mengenangkan betapa elusifnya sesebuah DA itu, klasik atau tidak, capai dan bayar sahaja lah… 
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!