Saturday 14 November 2015

Ancaman Kulat pada Baccy & Langkah Pencegahannya.

"...Sekembalinya dari kerja, badan yang lesu tiba-tiba menjadi bersemangat dan bertenaga sejurus melihat bungkusan dari UPS di atas rak kasut. Tanpa sempat menanggalkan stokin, parcel itu diambil dan dibawa masuk ke dalam bilik membaca. Badan dihempaskan ke kerusi cleopatra merah dan bungkusan dibuka dengan ganas. Plastik gelembung penyerap hentak pun dikoyakkan begitu sahaja. Di dalamnya....wow! Tin tembakau artisanal G.L Pease "Gaslight" tersimpan rapi, dan masih dalam keadaan baik. Penutup tin dibuka bunyi "hisss" dan bau latakia enak pantas menyerbu hidung. Corncob Missouri Meerschaum dicapai, pipa "tester" yang sememangnya banyak berjasa itu akan berbakti lagi petang ini. Sedikit baccy dicubit dan ditonyoh ke dalam bowl Missouri, dipack rapi tetapi.....argh! Adakah baccy ini berkulat? Apakah itu? Tidak! Tidak!..." ~ pemipa malang, Pekan Razaki, Ipoh.

Anda mungkin pernah melalui pengalaman sebegini. Baccy yang mahal, ditatang bagai minyak yang penuh akhirnya menjadi mangsa percambahan benih kulat. Angan-angan untuk cellaring putus di tengah jalan. Lebih sedih lagi, blend tersebut sudah sukar untuk didapati di pasaran.

Sebenarnya, tidak mudah juga untuk baccy dijangkiti kulat secara agresif. Percambahan kulat memerlukan elemen yang cukup untuknya bercambah: udara, air dan kebarangkalian tindakbalas mikroorganisma yang selalunya dikaitkan dengan sentuhan. Oleh itu, selalunya hanya baccy-baccy yang tinnya telah dibuka dan disentuh berpotensi untuk berkulat.

Walau bagaimanapun, sesetengah baccy yang belum dibuka juga terkadang memiliki masalah ini. Selalunya, ia terjadi mungkin disebabkan oleh kesilapan manusia di sepanjang proses penghasilan nya: mungkin penutup tin tidak "air right", gagal menggunakan sarung tangan ketika memasukkan baccy ke dalam tin dan sebagainya. Sebagai pengguna, kita haruslah bijak dengan membawa kembali baccy itu ke kedai dan meminta pertukaran pek yang lain.

Jangkitan kulat pun terdapat di dalam beberapa peringkat dan jenis. Yang paling selalu dijumpai adalah hablur-hablur putih halus yang tidak dapat dirasa dengan sentuhan. Ini sebenarnya adalah hasil pemeraman glukos yang biasa dan tidak langsung mengubah rasa, apatah lagi mendatangkan bahaya. Malah, ia adalah tanda pemeraman baccy berlaku dengan baik. Jangkitan kulat yang berbentuk seperti sarang labah-labah, keputihan dan kekadang kehijauan, perlu diambil tindakan dan tidak sepatutnya dihisap. Tiada kajian dijalankan yang boleh menentukan samada ia berbahaya atau tidak, namun ia tentunya merubah rasa baccy yang terjangkit. Sebaiknya, bahagian yang dijangkiti perlu dibuang dan bahagian yang tidak dijangkiti, walaupun masih baik untuk digunakan, seharusnya diasingkan, kerana khuatir ia akan menjangkiti baccy-baccy yang lain. Jangan pula dibuang semua - baccy adalah luxury dan mahal untuk dibazirkan!

Jadi, sebagai pemipa bijak alaf ke-21, apakah yang harus kita lakukan? Terdapat beberapa strategi yang boleh kita amalkan, demi menjaga kesinambungan baccy yang baik dan mendapatkan hasil yang terbaik dari usaha "cellaring" kita.

Pertama, utamakan hygiene yang baik. Kita berhabis duit membeli baccy bukan? Jadi ambil lah sedikit langkah berjaga-jaga agar baccy kita kekal lama. Pastikan tangan kita bersih ketika mengendalikan baccy. Samada proses pengalihan baccy dari tin-ke-balang atau dari balang-ke-piring pengudaraan, praktikkan hygiene yang baik. Malah, tidak keterlaluan jika anda menggunakan "tweezer" atau penyepit kecil untuk proses-proses sebegini, kerana meminimumkan kontek antara tangan dan baccy juga membantu mengurangkan kebarangkalian jangkitan kulat.

Kedua, kita sepatutnya mempraktikkan rotasi blend seluas yang mungkin. Jika pagi tadi anda sudah menyalakan Early Morning Pipe, apa salahnya "packing" Aged Burley Flake pula selepas makan tengahari ini, sambil mengudarakan sedikit Devil's Holiday di piring untuk disulam dengan teh Earl Grey pada petang harinya? Ini dapat membantu kerana anda tahu keadaan baccy anda jika anda rajin berotasi. Saya akui memang seronok melayan "go-to" baccy pilihan kita sepanjang minggu, namun rotasi baccy ada baiknya jadi cubalah amalkan selagi mampu.

Yang terakhir, luangkan sedikit masa untuk memeriksa "cellar" anda, dari masa ke semasa. Untuk baccy yang di"cellar", ianya adalah tanggungjawab kita sendiri. Maka rajin-rajinlah memeriksa baccy anda. Pastikan ia sentiasa dalam keadaan "air tight", disimpan di tempat yang jauh dari matahari dan dalam keadaan sejuk. Strategi "cellaring" yang baik, mampu memberi pulangan yang lumayan di kemudian hari, lebih-lebih lagi untuk anda menikmati blend-blend yang mungkin telah pun pupus lima ke enam tahun yang akan datang.

Saturday 7 November 2015

Castello : Pipa Berstatus Kultus.

Rata-rata pemipa sangat familiar dengan status Dunhill sebagai jenama pipa yang unggul dan penuh sejarah. Begitulah keupayaan strategi pemasaran dalam memainkan peranan dan status produk mereka. Namun, terdapat beberapa jenama yang beroperasi di luar strategi ini dan masih diminati ramai. Tanpa strategi pemasaran berskala besar, status kultus (cult) tentunya terbina dari kesedaran konsumer akan kualiti produk, dan disinilah Castello menempa namanya...

Merupakan antara jenama tertua Italy, Castello adalah satu nama besar dalam industri pipa. Selain Dunhill, Castello adalah jenama yang mampu memberikan konsep pelaburan ke dalam hasil kreasi mereka : harga pipa estate Castello mampu mencapai penaksiran yang tinggi dan sangat collectible. Namun begitu sebenarnya Castello bukanlah artisan; ianya adalah satu manufacturing unit yang memiliki 6-8 orang pipemakers yang rata-rata sudah berkhidmat lebih 30 tahun dengan pengasasnya Carlo Scotti. Antara nama pipemaker besar yang bermula sebagai pipemaker Castello adalah Luigi Radice dan Ascorti. Sejak pemergian Scotti, menantunya Franco Coppo (Kino) telah mengambil alih perniagaan dan meneruskan tradisi pipa Castello hingga ke hari ini.

Jika dilihat, kejayaan Castello sebagai jenama pipa terkenal bukanlah mudah. Carlo Scotti memulakan jenama ini sejak 1947 dan dari dahulu lagi telah menekankan penggunaan briar yang dirawat secara alami, air dry, dimana hanya briar yang sudah di air dry selama lebih 8 tahun sahaja digunakan. Ini memastikan briar tersebut benar-benar kering dan sesuai untuk dijadikan pipa. Selain itu, Castello juga berbelanja besar dalam mendapatkan bahan briar yang terbaik. Ini diakui oleh ramai pipemaker artisan Italy, di mana bagi mereka Castello selalunya mampu mendapatkan briar yang terbaik.

Gabungan tenaga mahir pipemakers Castello dan penggunaan briar yang terbaik dan matang adalah formula kejayaan jenama ini. Kebanyakan pemipa yang menggunakan Castello pastinya mengagung-agungkan smoking qualities yang mampu diberikan. Saya sendiri akui bahawa smoking qualities ini, di mana saya sendiri memiliki tiga buah pipa dari Castello, adalah benar dan kesemua pipa Castello saya mampu memberikan kepuasan berpipa yang maksimum. Walaupun begitu, saya tidak menolak "feel good factor" di mana pengaruh harga dan status Castello sedikit sebanyak memberi impak yang baik apabila kita menyalakan baccy di dalam bowl sesuatu Castello.

Dari segi harga, pipa Castello boleh dikatakan berada di kelas atas, sama seperti Dunhill. Bermula dari entry-level Sea Rock di sekitar RM1700 hingga lah ke Flame Series yang mampu meraih lima angka, Castello adalah jenama yang agak mahal. Namun beberapa kolektor tersohor berspekulasi tentang market pipa estate Castello, di mana dengan pengeluaran setahun yang sedikit (4000 buah) berbanding Dunhill yang memiliki 30 pipemakers dan pengeluaran yang lebih tinggi jumlahnya, harga yang mampu diraih adalah sangat baik.

Perlu ditekankan yang Castello juga mempelopori dasar "open airflow" di mana rata-rata pipa Castello memiliki air flow yang lebih terbuka. Sudah tentu konsep ini digemari sesetengah pemipa dan mungkin sebahagian pemipa pula lebih menyukai air flow yang lebih kecil. Apa pun open air flow ini membantu dalam pembakaran yang lebih konsisten dan mudah bagi pemipa pemula untuk memastikan amber bara kekal lebih lama.

Ketika kolektor-kolektor The White Spot mendambakan rarities mereka seperti Dunhill ODA, Red Bark, Dead Root dan Magnum, Castello juga memiliki beberapa keluaran yang sering dicari-cari seperti Epoca dengan ukiran berbentuk cairan wax mengalir, Castello "Flame" dengan ukiran nyalaan api, "L.O.B" - legendary old briar: di mana koleksi briar-briar unsmoked Castello dari tahun 60-70an dibeli semula oleh Carlo Scotti dan dijual kembali dengan tambahan nomenclature itu (bayangkan kebaikan briar-briar pada ketika itu, di mana pipemakers masih memiliki banyak pilihan untuk betul-betul menggunakan hanya briar yang terbaik) dan "Perla Nera" dengan finishing saduran hitam yang berlapis-lapis. Semua ini menambahkan lagi tahap keseronokan pengkoleksian pipa Castello.

Oleh itu tidak hairanlah apabila kita melihat harga yang diletakkan pada sesebuah pipa Castello adalah agak tinggi. Status kultus ini, disertai dengan kualiti briar yang terbaik dan hasil seni artisan-artisan yang sangat berpengalaman, menjadikan pipa keluaran Castello sebagai satu objek occult yang menjadi dambaan dan pujaan peminatnya di serata dunia.

“Among smokers, the Castello pipe is a true cult object which is often purchased for the simple pleasure of owning one, or for a collection.” (Anna Grandori, Organization and Economic Behavior, 2001, 320)

Sunday 1 November 2015

Coda untuk Arcadia.

* ini bukanlah sebuah review baccy...

Arcadia bukanlah suatu keluaran biasa. Ianya disasarkan oleh McClelland sebagai salah satu blend premium di dalam siri khas 221b. Penggunaan jenis tembakau, flavor yang didevelop dan tentang rasa akan kita bincangkan di baccy reviewnya nanti, tetapi kali ini saya hanya mahu memfokuskan kepada hikayat atau "lore" disebalik nama "Arcadia" ini.

"Arcadia" sebenarnya adalah blend fiksyenal di dalam novel lama bertajuk "My Lady Nicotine" karya J.M. Barrie. Di dalam karya tersebut, Arcadia digambarkan sebagai blend yang sangat ampuh; mampu memenuhi impian pemipa dan sangat lazat ia menjadi pujaan dan titik puncak kepada kepuasan berpipa. Malahan, kelab-kelab tercipta hanya untuk mengagumi Arcadia Mixture ini. Di dalam novel itu juga diceritakan tentang betapa sedapnya blend ini, pemipa-pemipa akan menjadi senyap dan menumpukan sepenuh perhatian ketika menikmati Arcadia Mixture di kelab-kelab mereka. Juga, sedikit petikan dari karya ini lagi, "One need only put his head in at my door to realize that tobaccoes are of two kinds, the Arcadia and others..." - meletakkan sanjungan yang sangat tinggi sehinggakan selepas menikmati Arcadia Mixture ini, seseorang pemipa hanya akan mengklasifikasikan dunia baccy kepada dua jenis sahaja: blend Arcadia dan blend bukan Arcadia!

Idea ini turut mendapat kesinambungan yang baik oleh Sir Arthur Conan Doyle, penulis Sherlock Holmes yang juga merupakan pemipa tegar. Berinspirasikan romanticism dari My Lady Nicotine tadi, Sir Arthur mengaitkan Arcadia dengan karakter Dr Watson (di dalam filem Sherlock Holmes wataknya dilakonkan oleh Jude Law), yang menjadikan Arcadia sebagai go-to baccy nya. Ini sudah tentu agak mengesankan dan menjadikan nama "Arcadia" sebagai satu holy grail di dalam masyarakat pemipa.

Boleh dikatakan tahap legenda Arcadia Mixture ini boleh dibandingkan dengan Balkan Sobranie, cuma ianya hanya di alam maya. Persoalannya sekarang, mampukah Arcadia Mixture direalisasikan di dunia nyata?

McClelland sebenarnya menggalas beban yang agak berat ketika menamakan baccy kedua siri 221b ini sebagai Arcadia. Ini adalah kerana impresi dunia terhadap blend maya ini adalah tinggi sekali. Saya percaya kualiti produk harus didahulukan sebelum strategi pemasaran dijalankan dan seseorang di McClelland juga semestinya sedar akan perkara ini, kerana kualiti blend ini adalah sememangnya premium.

Kenyataan McClelland mengenai blend Arcadia ini adalah "Kami berharap yang formula kami ini, dibuat dengan kajian terperinci terhadap sampel vintage yang diketahui adalah blend asal Arcadia yang diperolehi dari kolektor-kolektor, akan memuaskan pemipa-pemipa tegar yang kritikal terhadap baccy-baccy mereka". Terdapat sekelompok pemipa yang mempersoalkan kesahihan perkara ini, terutamanya mengenai sampel vintage dimana McClelland bertindak untuk tidak menyatakannya dengan jelas. Mungkin ia adalah untuk keselamatan korporatnya (hampir kesemua blending house merahsiakan resepi sebenar blend-blend mereka bukan?) tetapi dakwaan ini kekal sebagai salah satu ura-ura yang besar berkaitan blend Arcadia ini.

Kesungguhan McClelland dalam mengolah kembali Arcadia Mixture ini seharusnya boleh dipuji. Ternyata bagi saya Arcadia keluaran mereka mampu untuk menzahirkan keagungan cerita nya, blend ini sangat baik dan tergolong antara blend Oriental terbaik yang pernah saya cuba. Flavornya yang dinamik memberi kita peluang untuk menghidupkan imaginasi asal Arcadia Mixture di zaman kita sendiri.

Malah, kertas penutup baccy di dalam tin ini juga menyatakan "Siri 221b ini memberikan penghormatan kepada detektif pemipa terkenal Sherlock Holmes, dimana nama siri ini adalah bersempena dengan alamatnya di Baker Street. Keluaran pertama siri adalah Black Shag. Yang kedua adalah Arcadia Mixture, kesukaan rakannya Dr Watson. Ia adalah blend legenda yang dikatakan menjadi inspirasi bangsawan. Kelab-kelab ditubuhkan khusus oleh peminat-peminatnya. Blend Arcadia dikatakan memiliki karakteristik sangat menarik sehingga ia mampu menjadi topik perbualan hangat pemipa-pemipa yang pemalu dan mendiamkan pemipa-pemipa yang kritikal tentang baccy..."

Peterson Meerschaum Experience : Explorasi yang Mengujakan.

Sebetulnya saya agak skeptikal untuk memberikan konsiderasi kepada meerschaum-meerschaum

Di sebalik kesangsian yang bersarang, Peterson sebenarnya mengeluarkan siri Sherlock Holmes meerschaum ini sebagai siri "top grade" yang memberi komplimen terhadap koleksi yang sememangnya popular. Siri ini dilengkapi dengan kemasan perak / silver band yang ditatah hallmark (pure silver, bukan nickel seperti kebanyakan band-band pipe Peterson), dan turut menampilkan P-Lip stem yang sememangnya unik dari Peterson. Cuma sayangnya mereka tidak mengeluarkan "system pipe" dengan versi meerschaum ini, tetapi mungkin mereka mempunyai alasan yang tersendiri.

Pengeluaran Peterson Sherlock Holmes meerschaum ini boleh dibahagikan kepada tiga jenis:
1) meerschaum Afrika yang berwarna kelabu-kuning dan rim hitam / efek hangus.
2) meerschaum Afrika yang ditatah corak "lattice" dan diwarnakan (samada hijau, hitam, merah, coklat etc).
3) meerschaum Turkish blok gred A yang berwarna sangat putih & tidak berukir.

Pengeluaran meerschaum kumpulan (1) sudah tidak ada lagi, dipercayai inilah keluaran asal Peterson Sherlock Holmes meerschaum, dan secara amnya kepupusan meerschaum Africa membuatkan produksinya turut terhenti. Begitu juga dengan meerschaum kumpulan (2), walaupun ia masih boleh didapati dengan harga USD 200 di beberapa tempat. Kumpulan meerschaum (3) adalah blok meerschaum meerschaum terbaik Turkish, jadi harganya berkisar di sekitar USD400.

Kekeliruan terjadi kerana meerschaum Afrika kumpulan (2) adalah berukir & berwarna, bagaimana harganya hampir setengah lebih murah dari meerschaum kumpulan (3) yang tidak berukir dan diwarnakan? Perlu kita sedar, meerschaum kumpulan (3) ini adalah blok meerschaum kelas A dari Turki, di mana ianya dijumpai jauh lebih dalam di dalam lombong meerschaum, sekaligus bloknya lebih lembut, putih yang sangat "pure" dan memiliki kadar absorbensi yang tinggi. Blok-blok meerschaum yang digali di bahagian lombong yang atas, memiliki ciri-ciri meerschaum Afrika dimana warnanya seakan kekelabuan dan agak keras berbanding meerschaum yang lebih jauh di dalam lombong.

Peterson Sherlock Holmes meerschaum versi blok gred A Turki inilah yang dikatakan sangat bermutu tinggi dan berbaloi dengan harga nya. Blok-blok meerschaum Turki kelas A yang digali dari bahagian lombong paling dalam ini agak sukar didapati walaupun untuk pipemakers Turki sendiri, justeru itu ianya jarang diukir kerana warna putih yang dimilikinya adalah yang terbaik. Blok meerschaum yang terbaik sekarang umpama batuan permata; saiz yang besar adalah sukar ditemukan dan mahal harganya. Umumnya saiz-saiz sebegini tidak kerap didapati, maka hal ini turut mempengaruhi kadar penghasilan Peterson meerschaum siri Sherlock Holmes ini yang boleh dikatakan "jarang-jarang kelihatan".

Oleh kerana kerajaan Turki telah mengharamkan export blok meerschaum mentah nya keluar dari negara, Peterson terpaksa mengupah pipemakers Turkish untuk membentuk bowl Sherlock Holmes mengikut modelnya dan setelah itu barulah ia dibawa masuk ke Ireland untuk kemasan perak dan finishing produk. Walaupun tiada data tentang pihak mana kah yang membentuk bowl ini, namun ternyata ia dibentuk oleh artisan yang sangat mahir tentang bentuk dan "plumbing" atau engineering pipa. Ini nyata berbeza dengan Peterson Sherlock Holmes yang menggunakan meerschaum Afrika, di mana tiada sekatan untuk blok-blok dibeli terus dan dihantar ke kilang di Laxey, Isle of Man.

Kawalan produksi dan kualiti yang ketat pula menyaksikan pipa Peterson Sherlock Holmes "Baker Street" versi meerschaum Turki ini mempamerkan pipe engineering yang terbaik saya pernah lihat. Lubang bowl ke shank yang betul-betul terletak di tengah-tengah, diameter open draw untuk draft yang sekata, dan boring shank yang licin dan tepat membuatkan sesi perpipaan dengan pipe ini sangat riang dan enjoyable. Setakat ini sudah 50 bowl lebih sesi perpipaan saya dengannya dan tiada satu pun gurgles atau basah! Ini adalah suatu rekod yang sangat baik, di mana pipa terbaik saya pun tidak mampu memberikan konsistensi kualiti yang sebegini baik (saya akui walaupun tiada gurgling, Castello Sea Rock bulldog "Legendary Old Briar" saya masih mempamirkan sedikit tanda basah ketika pipa dicuci: tidak kerap tetapi secara rambangnya mungkin sekali setiap 10 kali perpipaan). Jadi tanpa ragu Peterson Sherlock Holmes meerschaum version ini adalah pipa yang mempamirkan pipe engineering atau secara kasarnya "plumbing" yang terbaik saya pernah lihat.

Satu masalah yang akan anda hadapi ketika menggunakan meerschaum blok kelas A Turki ini adalah ianya sangat sensitif dan lembut. Sedikit kekasaran akan mampu mencalarkan pipa anda. Namun, kenikmatan merasai flavor tembakau yang optimum tanpa gangguan faktor lain sudah memadai untuk anda memberi lebih perhatian atau extra caution ketika berpipa dengannya. Saya secara peribadi sudah merasa pipa-pipa meerschaum keluaran Turki seperti Altinok, SMS, Cantekin dan beberapa "no names" namun tiada yang mampu menandingi kualiti meerschaum Peterson ini. Walau bagaimanapun perbandingan dengan meerschaum gred A dari master carver Turki seperti Fikri Baki, Yanik dan lain-lain masih dinantikan. Beberapa kolektor dari luar juga mengakui yang Peterson meerschaum dari siri ini mampu mengatasi kejuruteraan pipa kelas A dari pipemaker-pipemaker tersohor Turki.

Datang dengan stem P-Lip yang sememangnya unik, peminat stem fishtail akan sedikit hampa kerana tiada variasi itu dibuat untuk siri ini. Saya agak beruntung juga kerana dari silver hallmark pipa ini menunjukkan ia dibuat pada 1992, jadi boleh dikatakan pipa ini sudah agak matang untuk digunakan. Cuma kerana ia terbiar agak lama di kedai, stem vulcanite nya sudah sedikit teroksidasi, namun itu bukanlah suatu masalah yang besar.

Penggunaan silver band adalah suatu perkara yang menambahkan "appeal" kepada keseluruhan persembahan pipa ini. Ia ternyata memberi penampilan yang elegant, terutama ketika mata kita menyorot dari stem yang gelap,dikontras oleh silver band yang ditatah hallmark dan logo Sherlock Holmes. Selepas itu warna putih yang dalam dan mulus menandakan permulaan shank bersegi bulldog meerschaum itu menjemput mata kita,seolah-olah antitesis kepada kontras yang baru berlaku.

Sebagai seorang peminat pipa berbentuk bulldog, saya akui Peterson tidak mampu menzahirkan bulldog yang mampu mencairkan jiwa saya - bahagian bawah bowlnya selalu bersaiz agak besar dan kurang proportionate dengan keseluruhan bentuk. Boleh saya katakan bahagian bawah bowlnya tidak "flush" dengan eksekusi yang agak kasar. Namun, terima kasih kepada dasar luar Turki yang mengharamkan eksport blok meerschaum secara mentah, pipa bulldog ini diukir dan diengineered oleh pipemaker Turki yang dikontrak oleh Peterson. Oleh itu, bukan sekadar saya dapat menikmati pipa bulldog yang, walaupun mengikut standard bentuk bulldog Peterson, tetapi sedikit "flamboyant" dan tidak terlalu kaku. Yang penting, bahagian bawah bowlnya agak "flush" dan ini memberikan impak fizikal yang menarik.

Saya menantikan waktu bila pengwarnaan pipa meerschaum ini akan lengkap namun saya tahu ia akan mengambil masa yang agak panjang. Secara ikhlas, terasa agak sayang untuk menghisap pipa ini kerana warna putihnya akan diselamuti "stain" dari baccy akan tetapi bukankah pipa dicipta untuk dinikmati, maka saya gagahi juga. Penjagaan yang rapi saya tentukan apabila menggunakan pipa ini kerana seperti yang kita maklum meerschaum adalah material yang lembut dan mudah pecah.

Telah kita bincangkan sebelum ini bahawa meerschaum adalah bahan terkawal dan blok bergred A adalah sukar untuk didapati walaupun di Turki, jadi jika anda berpeluang menemuinya bolehlah berkira-kira untuk melamar. Juga diingatkan faktor limitasi mineral, pengeluarannya yang tidak menentu dan lambakan meerschaum tiruan dan kualiti rendah yang menandakan betapa sukarnya untuk mendapatkan yang asli dan terbaik.

Gabungan ketulusan warna putih, kejuruteraan pipa yang sangat baik dan didatangkan dengan bentuk yang anda hajati, bagi saya umpama bulan jatuh ke riba.
keluaran luar Turki. Apalah yang pengeluar pipa briar ini tahu mengenai meerschaum? Mampukah pipemakers-pipemakers mereka menggerudi meerschaum sebaik mungkin? Bagaimana meerschaum boleh survive dengan kedinginan bayu Irish highlands yang bersuhu rendah itu?