Sunday 17 September 2017

“The Castello Compendium” – Bahagian III – Siri & Pengkelasan Pipa (cont.)

Kita telah melihat akan beberapa siri-siri asas pipa Castello minggu lepas, kebanyakannya terdiri dari siri-siri entry level. Kali ini, kita akan terus melihat kepada lanjutan siri-siri tersebut, dimana siri-siri yang lebih unik dengan unjuran grain yang lebih menarik dan pengkhususan yang lebih istimewa ditampilkan dengan begitu bergaya.
v) Collection
Siri Collection adalah sangat menarik, terutamanya dari segi grain. Hanya briar-briar dengan unjuran grain yang tersusun rapi dan cantik sahaja yang layak untuk diklasifikasikan di dalam siri ini. Oleh yang demikian, selalunya kita akan mendapati yang pipa-pipa siri Collection kebiasaannya datang di dalam warna light tan – warna yang paling sesuai untuk menonjolkan unjuran grain yang indah sebegitu.
Siri ini juga adalah antara yang terawal dihasilkan oleh bengkel Castello, bermula sejak 1947 dan berada satu takuk di atas siri “Castello” dari segi kualiti grain dan harga permulaannya. Ia juga mengandungi beberapa sub-siri dengan keistimewaan dan kelainan masing-masing.
vi) Collection “Occhio di Pernice”
imej dari smokingpipes.com
Occhio di Pernice adalah satu memento Castello terhadap birdseye. Tiada keindahan briar yang terlepas dari penilaian mata Carlo Scotti dan para artisannya dan ini termasuklah unjuran mata beburung yang menarik dan memukau. Siri ini bermula sejak dari tahun 80an lagi, dan sebelum ini pipa-pipa dengan unjuran mata beburung yang cantik digolongkan di dalam siri “Collection”.
Walau bagaimanapun, Scotti agak tegas di dalam perihal kecantikan briar dan hanya unjuran mata beburung yang unik dan sangat cantik sahaja yang mampu meraih tempat di dalam siri ini. Kita dapat melihat sendiri akan kecenderungan kawalan kualiti ini kerana agak sukar untuk menemukan Occhio di Pernice – dimana saya percaya tidak banyak yang dihasilkan saban tahun.
vii) Collection Fiammata
imej dari Neatpipes.com
Collection Fiammata adalah satu epitom kepada siri Collection itu sendiri. Apabila sesebuah pipa yang memiliki unjuran grain lurks yang melebihi tahap “kkkk”, cap mohor fiammata akan diberikan kepada pipa tersebut. Siri ini bermula pada awal tahun 60an.
Sudah tentunya hanya pipa-pipa dengan unjuran grain lurus yang terbaik sahaja yang layak mendapat jolokan fiammata ini dan keseriusan Castello terhadap grading pipa mereka menjamin yang tidak banyak fiammata yang dikeluarkan saban tahun. Sudah tentu agak sukar juga untuk mendapatkannya kerana ia adalah buruan para kolektor, dan harga permulaannya juga adalah agak tinggi.
viii) Collection Greatline
imej dari fincatolacasadelhabano.com
Walaupun menghasilkan banyak pipa-pipa berbentuk tradisional, para artisan di Castello tidaklah membataskan diri mereka pada acuan-acuan tertentu sahaja. Terkadang mereka bereksperimentasi juga dengan bentuk-bentuk hibrid dan freehand maka dengan itu terhasillah siri Collection Greatline ini, yang bermula di bengkel artisanal Castello sejak dari tahun 70an lagi.
Kebiasaannya ia menampilkan bentuk-bentuk pipa yang hibrid, yang sedikit lain dari bentuk tradisional asal dan hal ini sendiri adalah satu ruang pengkolektivitian kepada para penggemar Castello kerana sudah tentu tidak banyak bentuk sebegini dihasilkan. Juga penghasilan bentuk-bentuk hibrid dan freehand sebegini bukanlah secara impromptu – mereka berlatih dan mengambil masa yang lama untuk “perfecting” bentuk-bentuk sebegini dan apabila mahir mereka akan menggunakan blok-blok terbaik untuk penghasilannya – lantaran itu setiap pengeluaran bentuk-bentuk sebegini kebiasaannya akan tergolong di dalam siri “Collection”.
ix) Collection Greatline Fiammata
imej dari smokingpipes.com
Mudah untuk kita memahami siri ini – ianya adalah sama seperti siri “Collection Greatline” cuma unjuran grain lurus yang ada pada pipa-pipa di dalam siri ini adalah layak untuk mendapat penganugerahan fiammata ke atasnya.
Apa yang penting adalah Greatline Fiammata adalah sangat-sangat “rare” – ia lebih sedikit dihasilkan berbanding Collection Fiammata dan sering menjadi buruan para kolektor yang sanggup menghabiskan wang mereka untuk siri ini.
Seterusnya minggu hadapan, kita akan melihat kepada penawaran-penawaran istimewa dari Castello, yakni beberapa siri pipa yang wujud di sepanjang siri-siri standard ini akan tetapi memiliki keistimewaan masing-masing yang tersendiri.

pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Thursday 7 September 2017

“The Castello Compendium” – Bahagian II – Siri & Pengkelasan Pipa

Setelah kita melihat kepada perkembangan sejarah Castello di bahagian I, sekarang adalah masa untuk kita mengenali selok-belok penawaran mereka.
Sepertimana kebanyakan jenama pipa yang lain, “entry line” atau model yang paling asas atau permulaan adalah sudah tentu adalah dengan finishing rusticated, kemudian naik ke sandblasted dan seterusnya ke pipa-pipa smooth, dimana kadar dan posisi grain menentukan gred dan tingkatan tertentu. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keluaran Castello dengan finishing rusticated akan tetapi memiliki gred yang agak tinggi – kesemuanya akan kita perjelaskan dan kupas satu per satu kelak, disepanjang siri Compendium ini.

i) Sea Rock
Sea Rock adalah siri Castello “entry level” yang telah diperkenalkan sejak dari Castello mula bertapak di dalam pembuatan pipa lagi. Scotti sangat menyukai fenomena batuan tepi laut yang sering terhakis dek ombak, menjadikan teksturnya cantik lagi menarik. Tanpa disedari Scotti, Sea Rock adalah lebih dari sekadar pengabadian memorinya terhadap fenomena itu.
Walaupun Sea Rock adalah Castello “entry-level”, ia merevolusikan pipa rusticated dengan permukaan rustiknya yang kasar, ditemani penggunaan tona warna merah dan hitam untuk permukaan berbeza-beza yang menjadikan keseluruhan penampilannya agak drastik tetapi “pleasing to the eye”. Masakan tidak, proses pembuatannya juga adalah sangat rumit, memakan masa dan tenaga. Para artisan di Castello menggunakan alat yang berupa skru dengan empat titik yang tajam, menggerakkan tangan mereka ke kiri dan kanan untuk meratakan bahagian rustifikasi itu secara menyeluruh. Koordinasi tangan dengan tenaga yang banyak dari lengan menjadikan proses ini sebagai agak “labour intensive”.
Design ini ternyata menarik minat banyak pemipa kerana bukan sahaja posisi harganya sebagai entry level tetapi juga kerana hasil rustifikasi itu yang indah dilihat dan sedap dipegang-pegang. Sea Rock boleh dibanggakan sebagai pipa rustifikasi yang paling terkenal di dunia, seiring dengan Ashton Pebble Grain. Dikatakan, design dan siri Sea Rock adalah antara yang terawal dihasilkan oleh Castello.

 


ii) Old Antiquari
Old Antiquari adalah pipa Castello bergred biasa / regular run yang paling sedikit dihasilkan – kerana 10% briar dan tenaga kerja diperuntukkan untuk menghasilkannya. Ia disudahi dengan proses sandblast yang walaupun tidak menggunakan kederat yabg banyak, ia masih memakan masa yang agak panjang untuk dihasilkan oleh seseorang artisan. Siri ini bermula agak lewat, tidak seawal Sea Rock dan kadar kedalaman blasting nya juga turut bertambah dari masa ke semasa – terutamanya apabila pasaran 90an mulai meminati stail blasting yang lebih dalam.

Castello menggunakan blok-blok dengan unjuran grain lurus sebaik mungkin untuk finishing ini, oleh kerana itu anda akan mendapati banyak Old Antiquari yang sangat menguji kesabaran kita. Kebiasaannya, pipa-pipa yang memiliki unjuran grain yang cantik akan menerima finishing “light tan” demi memperlihatkan grain-grain yang cantik itu, manakala yang lain menerima warna finishing yang lebih gelap.

 


iii) Trademark
Trademark pula adalah entry level kepada Castello-Castello berkategori “smooth finish”. Kebiasaannya pipa-pipa smooth yang tidak tersenarai untuk kategori Collection dan Castello akan digolongkan di dalam siri ini. Namun ini bukanlah bermakna siri ini adala “reject” kerana terkadang banyak pipa-pipa Trademark yang memiliki unjuran grain yang memukau. Cuma mungkin apa yang terdapat adalah sedikit “blemishes” atau “sandpit” yang tidak terlalu nyata di sekitar bowl atau shank. Atau mungkin juga unjuran grain yang baik tetapi tidak sekata – juga akan dikategorikan di dalam siri Trademark.


Kebiasaannya, pipa-pipa Trademark yang memiliki unjuran grain yang sangat baik akan disudahkan dengan tona warna “tan brown” yang terang, warna gelap untuk flame grain diikuti dengan warna merah untuk yang lainnya – bukan sebarang merah kerana ianya adalah dari Cochineal (kita akan selitkan perihal cochineal ini kemudian)!




iv) Castello
Siri ini dinamakan “Castello” untuk sebab-sebab yang saya tidak ketahui. Tidak lama dahulu, banyak album pertama dari artis-artis yang dikeluarkan dengan “self-titled” seperti satu petanda yang ianya adalah album sulung. Jika teori Ini adalah berkaitan, mungkin it is worth mentioning yang pipa Castello siri “Castello” adalah pipa yang pertama menampilkan finishing smooth, jauh sebelum siri Trademark diperkenalkan.
 

Oleh kerana siri ini berada “di antara dua darjat” – entry level “Trademark” dan higher level “Collection”, anda akan menemui bermacam-macam unjuran grain di sini. Kebiasaannya, pipa-pipa dengan grain cantik tetapi tidak memiliki unjuran yang terbaik akan diklasifikasikan di siri “Castello”, seperti contohnya flame grain yang cantik tetapi agak berserakan susunannya. Ataupun straight grain yang tidak rapat. Kebiasaannya unjuran grain pada sesebuah pipa dari siri Castello Ini adalah lebih menarik berbanding siri Trademark. Atau “nicely priced great grains” – terpulang kepada bagaimana anda mahu menterjemahkannya.
(bersambung minggu hadapan)
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Sunday 3 September 2017

“The Castello Compendium” – Bahagian I – Sejarah & Perkembangan Castello

 Masihkah anda ingat kepada filem James Bond “Casino Royale”?
imej dari movieplacepicture.com

Di dalam babak akhir yang menemukan Bond dengan Mr White di sebuah vila yang indah di pesisir tasik, Lake Como Itali adalah lokasi penggambaran tersebut. Pada masa yang sama, tidak jauh dari situ, beberapa bongkah briar sedang diperhalusi, di”stamp” logo sebuah castle dan diberikan nama “Castello”…

Castello telah berpusat di Cantù sejak dari 1947 di mana pengasas Carlo Scotti telah mengumpulkan 6 artisan pembuat pipa tempatan untuk berkarya di bawah satu bumbung. Sebelum itu, Scotti sendiri turut menghasilkan pipa-pipa bersaiz mega dan menjualnya di beberapa tobakonis di Switzerland, dengan sambutan yang agak dingin. Apabila beliau pulang dari sana selepas perang dunia ke-2, Scotti mendapati yang senario pembuatan pipa Itali pada masa itu bersifat lebih kepada penghasilan pipa-pipa yang murah dan cepat, dengan bentuk-bentuk tradisional yang sama dan tidak “inspiring”, dek kerana pengeluaran pra dan pasca perang yang menghasilkan jutaan pipa setahun dan kebanyakannya diperuntukkan untuk para perajurit di medan pertempuran. Hal sebegini menyebabkan tumpuan pada kualiti adalah tidak munasabah sama sekali. Beliau bertekad mahukan sesuatu yang lain dari pendekatan “mass production” sebegitu.
Setiap perkara yang penting pastinya bermula dengan sebuah nama yang memberikan signifikasi yang mendalam. Scotti mahukan sebuah nama yang mudah dikenali dan tidak asing bukan sekadar di Itali sahaja tetapi di sekitar Eropah, jadi nama “Castello” yang membawa maksud “castle” atau istana di dalam bahasa Inggeris adalah sangat bersesuaian – ia juga sangat dekat dengan bahasa Sepanyol (Castillo) dan Portugis (Castelo). Ini bermakna Scotti dari awal lagi sudah mensasarkan untuk pipa Castello menembusi pasaran luar Itali, satu cita-cita yang bakal menjadi bukan setakat kenyataan, malah jauh lebih baik daripada itu!
imej dari pipacastello.com

Walaupun begitu, segalanya bukanlah boleh menjadi kenyataan dengan begitu mudah. Castello juga perlu melalui onak dan duri tersendiri pada peringkat awalnya, di mana walaupun mereka berjaya mendapat sambutan pelanggan tempatan terutamanya keluaran awal dari Scotti iaitu siri “Mi Reserva”, dunia luar bagaikan tidak menyedari kehadiran mereka. Tanpa strategi pemasaran yang baik, adalah agak mustahil untuk Castello menembusi pasaran dunia. Akan tetapi nasib memang menyebelahi Scotti pada ketika itu apabila Wally Frank, seorang pengimport pipa dari USA yang secara kebetulan datang ke Itali untuk membeli pipa yang akan dipasarkan di negaranya, diberitahu mengenai Castello dan cukup berminat untuk melawat bengkel Castello. Tidak lama kemudian kata sepakat dicapai antara mereka berdua dan pipa Castello pun mulai dipasarkan di USA.
imej dari smokingpipes.com
Pengaturan masa pipa Castello ini memasuki pasaran US juga adalah satu keajaibannya yang tersendiri, kerana kebetulan pula pada ketika itu produk Itali mula bersinar di Amerika terutamanya di dalam industri fesyen; kegilaan terhadap sut Armani dan butik-butik “superbrands” Itali seperti Gucci etc sudah mula bertapak di sana, membuatkan persepsi Amerika terhadap produk Itali berada di tahap yang tinggi. Ketika itu juga lah penggunaan “diamond” sebagai logo untuk Castello pasaran US mula digunakan (kerana logo “white bar” sudah pun digunakan dan dipaten oleh jenama lain). Kehadiran briar-briar bersaiz besar, dengan grain yang sangat indah dan imej “100% handmade” yakni satu usaha dan hasil seni seorang artisan yang melarik pipa dari sebuah blok briar yang kasar sehingga ia siap, membuatkan pemipa dan kolektor US yang sudah terbiasa dengan pipa keluaran industri tidak ragu-ragu lagi untuk mendapatkan Castello sehinggakan ianya habis terjual dalam masa yang sangat singkat.

Tidak lama kemudian demam Castello pun melanda USA, dengan dikhabarkan pada kemuncaknya pipa Castello tidak sempat diletakkkan di dalam “display” di kedai-kedai tobakonis – ia sudah pun ditempah dan senarai menunggu tempahan juga adalah sangat panjang! Dengan permintaan yang memuncak, Castello memiliki keupayaan untuk “push production” dan mempercepatkan penghasilan pipa-pipa mereka tetapi Scotti tetap berpegang kepada janji kualiti yang diterapkan, tanpa sedikit pun ruang untuk kompromi. Scotti sangat yakin yang mengejar “push production” adalah tidak sejajar dengan etika dan janji kualiti Castello dan oleh kerana itulah “brand prestige” Castello masih lagi kekal sehinggalah ke hari ini. 
imej dari marcoreggi.it


Tidak dinafikan juga akan pendekatan baru yang segar dari Castello terhadap bentuk-bentuk pipa tradisional juga memainkan peranan yang penting di dalam dominasi pipa mereka di USA. Walaupun penghasilan awal pipa-pipa Castello adalah berteraskan bentuk-bentuk tradisional seperti apa yang diusahakan oleh Dunhill dan Charatan, pendekatan artisanal Carlo Scotti dan “Italianesque flair” yang dapat dikesan dari seni zaman renaissance (yang memang jelas terpampang di dalam senibina bangunan dan fountain di tengah-tengah bandar mereka, walaupun bandar kecil!) menyebabkan dengan mudah pipa keluaran Castello berubah kepada karya seni yang masih mengekalkan shape-shape tradisional, tetapi dengan “flow & lines” yang lebih bebas, lebih seksi dan lebih organik. Ini menjadi satu “appeal” yang sangat menarik terutamanya di waktu pasca perang, dimana bentuk-bentuk pipa tradisional yang praktikal terdahulunya mulai kelihatan membosankan dan banal.

Dengan unjuran grain yang cantik dan padat blok-blok briar “top grade” dari Corsican dan kemudiannya Legurian, agak mudah untuk briar-briar Itali ini menarik mata pencinta pipa Amerika yang lebih terdedah kepada pipa-pipa British pada mulanya. Hal ini juga dikuatkan lagi dengan obsesi Scotti kepada kualiti – beliau memastikan hanya briar-briar dari gred yang terbaik sahaja yang diperolehi untuk pipa-pipa Castello. Integrasi sebegini menjadikan Castello sangat popular – kerana mereka hanya menggunakan briar terbaik dan mampu untuk menyimpan sebegitu banyak stok briar di bengkel mereka – setiap satunya melalui proses “air curing”, jauh dari cahaya matahari dan lembapan sehinggalah ia betul-betul matang selepas satu dekad berlalu.
 

Peperangan adalah satu peristiwa yang walaupun pahit, sebenarnya sangat membantu dalam melonjakkan daya kreativiti kepada umat manusia. Telegraf, teknologi atom, radar dan sebagainya berevolusi dek kerana peperangan. Begitu jua halnya dengan teknologi kepenggunaan. Jika Peterson memperkenalkan kemasan Spigot kepada pemipa hasil dari idea perajurit yang memperbaiki shank pipa mereka yang retak dengan kelongsong peluru dek kerana kelasakan di medan perang, Castello pula memainkan peranan yang sama besar dengan membawa masuk bahan akrilik di dalam dunia perpipaan. Sebelum itu, vulcanite adalah bahan utama untuk stem pipa dan Carlo Scotti, menjadi seorang “gentlemen” yang diakui oleh ramai pipemakers yang pernah bekerja dengannya, tentu tidak mahu stem pipa keluarannya berwarna kusam, pudar dan dinaiki oksidasi. Bahan lucite yang diperkenalkan Castello menjamin stem pipa kekal berada di dalam keadaan senantiasa berkilat dan “maintenance-free”, yang sekarang digunapakai oleh mungkin 75% pengeluar pipa sedunia.
Pendekatan artisanal Carlo Scotti juga bukan setakat memberikan satu revolusi baru kepada industri pembuatan pipa Itali, ia juga melahirkan ramai artisan yang kemudiannya membentuk jenama sendiri selepas berkhidmat di bengkel Castello. Antara nama-nama yang terkenal adalah seperti Luigi Radice dan Giuseppe “Peppino” Ascorti yang keluar dan membentuk jenama Caminetto, sehingga masing-masing mengambil haluan sendiri dengan jenama Radice dan Ascorti. Bukan itu sahaja, beberapa artisan lain seperti Baldo Baldi juga bermula dengan mengukir beberapa blok briar dari bengkel Castello dan terus mengorak langkah semenjak dari itu. Begitulah besarnya pengaruh Castello di dalam “renaissance” dunia perpipaan Itali yang masih kekal sehingga kini.
imej dari smokingpipes.com


Kedatangan Franco Coppo, yang mengahwini anak perempuan Scotti Savina pada awal 80an, adalah satu rahmat buat Castello. Coppo kemudiannya turut mengemudi legasi Castello dengan sangat baik sekali. Pengkelasan pipa-pipa Castello diperkemaskan lagi dengan insignia “K” (yang kemudiannya ditukar ke aksara kecil “k” di dalam gelungan) untuk menggred saiz bagi siri Old Antiquari ke bawah. Ia juga turut digunakan untuk menggred unjuran grain bagi siri Trademark ke atas. Ini menggantikan sistem SA-SS untuk penggredan saiz bagi pipa Castello. Coppo yang lebih mesra dikenali sebagai “Kino” itu tentunya sangat memahami akan signifikasi “dating” di dalam pengkoleksian sesebuah jenama pipa, jadi penggunaan logo ikonik “castle” dengan nombor di bahagian bawah logo diperkenalkan pada 1987. Kino sangat menitip-beratkan konsep “dating” untuk sesebuah pipa Castello dimana kita boleh mengetahui pada tahun mana sesebuah pipa Castello itu diperbuat. Perkara ini ternyata telah mempertingkatkan lagi tahap kolektiviti sesebuah pipa Castello, sepertimana Dunhill dengan konsep “birth year” mereka.

Dunia perpipaan bersedih pada 1992 dengan pemergian Scotti dari dunia yang fana ini, meninggalkan di belakangnya satu legasi yang besar dan jenama yang bersifat “cult status”. Kino kemudiannya mengambil-alih teraju firma pipa artisan Itali ini dan meneruskan legasi yang telah diterapkan oleh Scotti selama hampir setengah abad yang lalu. Antara pembaharuan yang ketara dibawa oleh Kino adalah “Castello Flame” yang mula dikeluarkan sejak tahun 2000. Walaupun percubaan mengenai design “flame” ini telah lama diterapkan oleh Castello dan Scotti sebelumnya, Kino telah berjaya merealisasikan impian ini dengan sangat baik sekali. Sehingga ke hari ini, dikatakan hanya seorang artisan sahaja yang memiliki kepakaran terbaik dalam menghasilkan ukiran api di pipa-pipa terpilih ini, yang hanya dikeluarkan pada kuantiti yang sangat terhad.
 
Kini Castello kekal sebagai “gold standard” kepada pipa-pipa keluaran Itali. Status penjenamaannya adalah setaraf dengan pipa Dunhill, atau mungkin lebih tinggi lagi dengan ramai pemipa yang tidak ragu-ragu untuk menceritakan tentang “smoking qualities” yang mereka dapat dari sesebuah pipa Castello, disamping kualiti kemasan luaran dan penggunaan briar “top grade” yang sudah menerima proses “curing” sebaik mungkin.
Sama ada sebagai konduit untuk menikmati tembakau atau sebuah koleksi karya seni yang cantik dan bergaya, setiap pipa Castello mampu memberikan anda kedua-dua dimensi tersebut tanpa mengira sama ada yang berkondisi baru, estate atau yang telah lama dihasilkan.


pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!