Sunday 29 May 2016

Anekdot Perpipaan # 5 : A Lovat to Love-At.

Kita semua tahu kan, akan perihal lovat?


Lovat, bagi saya, is like a "love at the first sight". Dengan bentuk asas billiard, bowl billiard, shank bulat dan saddle stem, ia adalah satu variasi billiard yang agak menarik. Menarik sekali untuk kita sedari yang efek itu dimagnifikasikan oleh saddle stem yang sangat kecil - kejutan kontras yang membakar api kecil di dalam sanubari kita, bak api dalam sekam. Tahu-tahu dah jadi bara.

Semua pipemaker memiliki kesenian dan kecenderungan masing-masing. Tak usahlah kita pergi terlalu jauh; lovat dari English pipemaking scene dan lovat dari Italian juga ada sedikit perbezaan. Jadi, kecenderungan tadi mendorong kepada kita sendiri pemipa - adakah kita selesa dengan lovat itu atau tidak.

Lovat ini, adalah Group 3, 3111 "Ring Grain". Ia adalah antara pipa yang saya boleh kategorikan sebagai "love-at the first sight". Masa ia pertama kali dipegang, sudah diketahui yang wang akan melayang. Tapi kenapa? Adalah shaping bentuknya, kebiadapan ring grainnya, finishing dan warnanya, sandblastingnya, atau saiznya? Atau segala-galanya?

Jika "Ring Grain" - saya akui mungkin 30% adalah kerana itu tetapi tidak lebih dari 30% faktor pemilihan. Ring grain jatuh dalam kategori "specialty pipes", tidak mudah untuk mendapatkan siri ring grain ini - di luar negara juga agak sukar (kecuali sesetengah kedai yang membawa siri "Specialty Pipe" ini) apatah lagi di Malaysia.

Shilling pula adalah jauh lebih sukar (beza ring grain vs shilling hanyalah stem cumberland sahaja) tetapi jika ring grain (malah mungkin juga shilling) datang dalam bentuk yang saya kurang minati, tentunya saya tidak akan mencuba untuk memilikinya dari awal lagi. Perihal bentuk, sememangnya terpulang pada individu walaupun saya akui minat kita akan berubah dari semasa ke semasa.

Finishing dan warna? Hmm...bagi saya finishing ala County, dengan warna coklat kuning tanah liat terang yang sangat gemalai itu adalah lebih baik untuk penonjolan grain - terutamanya bila ring grain adalah perkara pokok kerana bukankah setiap pipemaker mahu menonjolkan grain lurus selagi boleh? Ini secara tidak langsung menghimbau kecenderungan saya kepada County yang memiliki bird's eye yang baik...satu halwa mata dan jari yang akan saya cari nanti.

Sandblasting? Err...ring grain dan shilling sendiri adalah kategori sandblast pipes yang terbaik dari Dunhill, yang juga bertanggungjawab memperkenalkan tekstur sandblast ini kepada dunia perpipaan, berdasarkan sejarah. Sudah tentu, lebih baik jika ianya DR (dead root) tetapi apakan daya jika ianya adalah DR, julat harganya pastinya sangat tinggi dan pasti juga ia tidak akan ada disini sekarang...

Saiz? Yang ini saya kategorikan sebagai "rather tricky". Umum tahu yang pipa-pipa bersaiz besar adalah "collector's item" (lihat saja pada harga Peterson House Pipe series, Dunhill Magnum, Castello GG etc). Malah, pengkoleksian bentuk billiard yang menarik juga adalah yang bersaiz besar yakni Dunhill LB (Large Billiard) dan lihatlah pada ODA, ODB dan lain-lain (bersaiz atas 6 tetapi di bawah magnum). Blok-blok briar bersaiz mega adalah mahal, dan mungkin tidak mudah dijual oleh briar cutter berbanding blok-blok ebauchon bersaiz standard, jadi faktor-faktor inilah yang mendorong kepada keistimewaan pipa-pipa bersaiz mega dan melonjakkan harganya lebih tinggi berbanding yang bersaiz biasa.

Berbalik kepada lovat ini, saiz 3 mungkin masih boleh dikategorikan kecil dan secara idealnya saiz 4 lebih "meaty" tetapi hadapilah fakta bahawa harapan untuk menemui Ring Grain pada saiz skala itu adalah sangat tipis (come on, jika ada pun tentunya mereka akan menjadikannya DR dengan shape billiard bersaiz LB yang cantik - anda tidak akan percaya dengan "appeal" yang ada padanya sehinggalah anda memegangnya sendiri).

Secara tak langsung saya mungkin akan dikatakan seolah-olah cuba untuk menjadi "over-critical" ke atas lovat tetapi keseimbangan bentuk dan "proportionately accurate" lovat adalah penting bagi saya. Jika saya mahukan bowl tinggi, kenapa saya tidak mahu mencuba bentuk "Stack" atau "Chimney"? Atau tall Dublin, mungkin? Apa-apa pun, berbalik kepada selera masing-masing, kerana wang yang keluar, kecenderungan dalam menilai seni dan preferensi asas adalah hak mutlak individu.

Di atas dasar apa pun, sebuah lovat adalah kekal sebuah lovat dan sampai bila-bila pun akan kekal sebegitu. Yang berubah hanyalah minda dan persepsi kita sendiri ke atas sesebuah bentuk / shape yang dikenderai oleh tembakau enak dan blend-blend yang semakin kompleks.

Sekompleks minda kita mengalunkan romanticism perpipaan.



pack 'em, light 'em, and blow smoke rings outta 'em!

Wednesday 25 May 2016

Apabila Rokok Mulai Menghampiri Pipa...


Rata-rata kita pemipa bermula dengan rokok. Ada yang sudah berjaya 100% bertukar kepada pipa (tahniah kepada mereka), ada yang masih 50-50 (godspeed kepada mereka) dan ada juga yang balik pula kepada rokok atau sebaliknya bertukar kepada vape.

Walau di tebing mana pun anda, perkara pokoknya kita semua sedia maklum akan perihal rokok; betapa banalnya tabiat itu, dan hanya berlandaskan kepada keperluan nikotin semata. Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, merokok bagi saya adalah seperti satu koma dalam sesebuah ayat - ianya penting untuk memberikan sedikit rehat pada struktur ayat, tidak mengubah maksud ayat secara dasarnya dan jika tiada pun, tatabahasa kita masih lagi betul. Berbanding pipa dimana bagi saya adalah seperti sebuah perenggan, ia memberikan kesegaran sebelum kita memasuki idea berikutnya dan tanpanya karangan akan menjadi kaku, keras dan tidak menarik untuk dibaca.

Oleh yang demikian, berdasarkan pengalaman kita semua, rokok hanyalah konduit kepada nikotin. Yang membezakan hanyalah jenama. Dunhill "merah" (King Size) mungkin lebih "kaw" atau sedikit berat berbanding Marlboro, Salem lebih terkenal dengan penawaran mentholnya dan sudah tentu juga Gudang Garam dan Sempoerna yang mengungguli rokok kretek. Tidak banyak yang boleh kita perkatakan tentang struktur rasa.

Oleh kerana itulah, perbezaan rasa bagi rokok ini adalah agak "one-dimensional". Tidak pernah lagi saya melihat mana-mana perokok yang sanggup mempertahankan kualiti virginia Dunhill, kenikmatan "sun-cured burley" dari Pall Mall, atau keunikan "American blend" di dalam Lucky Strike. Malahan, kebanyakan kita mungkin langsung tidak tahu akan perbezaan jenis tembakau di antara jenama-jenama rokok ini!

Dari sudut inilah Dunhill bertindak untuk mengambil peluang terhadap keadaan "one-dimensional" tadi (Dunhill sememangnya agak kompeten di dalam strategi pemasaran sebegini). Penawaran barunya iaitu "Dunhill Mozambique" menampilkan penggunaan tembakau burley dari lokaliti khusus yakni dari negara Afrika itu sendiri. Dengan melabelkan keluaran ini sebagai "limited edition", ia agak klise bagi kita namun saya tidaklah menafikan akan faktor keberadaan burley Mozambique yang mungkin secara amnya adalah agak terhad sekarang, atau mungkin Dunhill tidak bercadang untuk bermain dengan idea penawaran  tembakau burley secara lokaliti tertentu ini dengan lebih lama.

Dengan desakan kerja pejabat yang tidak memperuntukkan masa panjang untuk rehat dan ditambah dengan banyak mesyuarat-mesyuarat mengejut, saya sendiri tidak mampu untuk berpipa di dalam waktu kerja dan rokok adalah "your typical quick fix". Oleh itu peluang untuk mencuba Dunhill Mozambique adalah sesuatu yang tidak akan saya lepaskan. Selepas menghabiskan dua kotak 20's (yang mengambil masa hampir 2 minggu), boleh dikatakan yang flavor burleynya agak "refined" dan sedikit lembut berbanding Dunhill King Size standard (Dunhill "Merah").

Secara jujur, saya juga mencuba rokok ini di dalam pipa demi semangat ingin tahu saya terhadap varian burley Mozambique yang digembar-gemburkan ini. Anda akan terkejut untuk melihat yang anda memerlukan 2 batang rokok untuk mencapai hanya setengah bowl pipa standard saiz 3 - jadi secara kasarnya satu pek hanya akan memberikan anda 4 ke 5 bowl kenikmatan berpipa - ia bukanlah satu jalan penyelesaian yang mesra-ekonomik buat anda.

Menggunakan clay bersaiz mini ini - ihsan sole distributor of Old German Clay Pipe, Mr Saiful Haizan (dari Malaysia Pipe Smoker Journal / MyPSJ), satu batang rokok sudah mencukupi untuk memenuhkan bowl clay yang agak kecil - sangat praktikal digunakan sebagai "tasting" pipe. Bukan sahaja kerana saiz, sifat pipa clay yang mampu memberikan rasa neutral mutlak kepada tembakau juga menyebabkan ianya adalah salah satu bahan terbaik untuk "tasting", atau dapatkan sahaja bowl standard sebagai alternatif kepada pipa briar anda.

Dengan pipa clay ini, saya dapati Dunhill Mozambique adalah agak "full-flavored", dengan sedikit bayangan beberapa blend Dunhill yang bersifat "top line" seperti De Luxe Navy Rolls. Juga, flavor virginia yang mungkin peratusannya adalah lebih kecil dari burley Mozambique tadi juga agak terserlah.

Retrohale juga memberikan sedikit "hint" daunan virginia di sebalik dominasi burley itu tadi, namun ianya agak memeritkan. Permainan palate adalah baik dan rasa "full-flavor" tadi dapat dikesan. Ia seakan satu percubaan Dunhill untuk mencipta tembakau ala "American blend" versi mereka sendiri, di mana sedikit selitan "bright leaf" dapat dirasai. Hal ini ada kelainannya dengan "American blend" asal yang dipelopori oleh Lucky Strikes dan Pall Mall, dimana dominasi burley lebih jelas dan rasa "buttery-nutty" lebih kuat.

Sayugia itu, tahulah kita yang rokok masih boleh menjadi menarik di sebalik segala sekatan pemasaran dan pengiklanan ke atas mereka. Tetapi, sejauh manakah ia mampu berevolusi?  Persoalan wajib yang kita perlu lontarkan adalah berapa lama pengeluaran edisi berlokaliti seperti Dunhill Mozambique ini akan masih berjalan? Akan adakah nanti penawaran yang seakan serupa, sepertimana McClelland mampu berikan dengan siri Christmas Cheers saban tahun?

Terus terang saya katakan yang rokok tidak mengujakan saya, dan saya percaya mana-mana pemipa yang masih merokok sekali sekala juga tidak memberi banyak perhatian pun pada rokok. Namun, apabila datang keluaran sebegini yang mengenengahkan penggunaan tembakau berdasarkan lokaliti tertentu, jiwa kita pemipa akan bergolak dan perasaan ingin mencuba akan menebal.

Dari sinilah kita tahu yang kita bukannya ketagihan nikotin seperti seseorang yang ketagihan candu, sebaliknya kita agak teruja oleh daunan bangsawan iaitu tembakau; ralit diulit citra rasa yang pelbagai, dan lemah dengan penawaran-penawaran variasi bersemi yang senantiasa dibisikkan olehnya.

Sunday 15 May 2016

"The Pesaro School" - Jawapan Italianesque Terhadap Dunia Freehand.

Dunia pembuatan pipa ini boleh kita kategorikan mengikut bangsa. Yang menyukai bentuk-bentuk tradisional yang maskulin dan "sharp" akan meminati pipa-pipa keluaran English dan Italy, manakala yang meminati bentuk-bentuk freehand yang unik dan kreatif pula akan lebih terarah kepada artisan-artisan dari negara-negara Scandinavia terutamanya Denmark.

Bagaimana pula bagi mereka yang meminati kedua-dua konsep tradisional dan freehand ini, adakah ruang untuk mereka memiliki sebuah pipa yang mampu menerapkan kedua-dua aspek tersebut? Jawapannya adalah = the Pesaro School!

Sebetulnya pembuatan pipa Italy adalah terbahagi kepada dua lokaliti kedaerahan yang memiliki gaya masing-masing yang tersendiri : konsep tradisional dari Milan / Como (Castello, Radice, Savinelli) dan konsep "freestyle" dari Pesaro (Ser Jacopo, Mastro de Paja, Il Ceppo, L'anatra).

Sekitar tahun 60an, beberapa pipemaker muda Pesaro telah memulakan Mastro de Paja, yang menjadi jenama awal yang sangat dominan di bahagian selatan Itali ini. Dari situ kemudiannya seorang pipemaker genius bernama Giancarlo Guidi telah keluar dan memulakan pembuatan pipa-pipa dengan jenama Ser Jacopo, yang menerapkan pendekatan tradisional tetapi dipengaruhi dengan sedikit "twang" dari konsep freehand yang dipelopori oleh pembuatan pipa Denmark. Sejak dari hari itu, Pesaro School tidak menoleh ke belakang lagi.

Pipa-pipa yang terhasil dari Pesaro School ini walaupun masih memiliki bentuk-bentuk tradisional yang ketara, sedikit olahan dan kelonggaran dimensi diberikan oleh pipemakers dan alunan garis-garis yang seksi dan moden ini dapat dikesan pada bentuk-bentuk tradisional seperti billiard, dublin, lovat, bulldog, cutty dan lain-lain. Ia seumpama kereta Ferrari - tidaklah terlalu futuristik seperti Lamborghini tetapi tidak juga "elegan" seperti Bentley atau se"classic" design-design Rolls Royce.

Giancarlo Guidi telah menerapkan konsep freehand ke dalam pipa-pipa keluaran Ser Jacopo, dan memaksimumkan penggunaan mounting-mounting perak dan lain-lain bahan. Dengan keutamaan briar-briar terawat Corsica, ditambah dengan konsep open airflow yang tidak asing dengan kejuruteraan pipa Italy, Gian cuba untuk menambahkan lagi dimensi pembuatan pipa jadi tidak hairanlah yang Pesaro School semakin mendapat tempat di hati pemipa dan pipemakers. Siri "Delecta" memberi gambaran yang jelas akan misi dan visi pipemaker berbakat ini.

Pendekatan Gian yang memberikan definisi yang agak longgar kepada bentuk-bentuk pipa tradisi ini memberikan satu ruang kreativiti yang menarik, membuatkan pipemaker-pipemaker di bawah kelolaan Gian mampu berfikir di luar kotak dan berkarya sebaik mungkin. Juga kita tidak boleh menolak faktor penerimaan yang baik dek kerana masa yang sesuai, di mana kejayaan "freehand" Danish pada ketika itu memungkinkan pemipa-pemipa untuk mencuba pendekatan-pendekatan baru dalam pembuatan pipa. Bagi saya, inilah punca kejayaan "Pesaro School" sehinggakan ia dianggap sebagai satu lagi revolusi perpipaan Italy selepas Carlo Scotti menempa kejayaan tersendiri melalui Castello.

Kejayaan "Pesaro School" ini kekal walaupun selepas sesetengah pipemaker meninggalkan Ser Jacopo dan meneruskan kareer mereka mengikut haluan sendiri. Gaya pembuatan pipa "Pesaro School" terserlah bukan setakat pada karya-karya L'anatra dan Don Carlos sahaja, malah turut dikesan dalam pembuatan sesetengah pipa-pipa lain, seperti Savinelli contohnya, yang berpusat di Milan.

Ini ditambahkan lagi dengan kecenderungan Gian terhadap artis-artis seperti Van Gogh yang diabadikan dalam siri-siri pipa "Picta" keluarannya. Sememangnya Gian sendiri adalah seorang peminat seni, dan ini jelas mempengaruhi gaya dan konsep pembuatan pipanya. Selain itu, Gian juga sangat suka bereksperimentasi dengan design dan teknologi-teknologi baru untuk pembuatan pipa. Kita akan pergi lebih mendalam berkenaan siri-siri ini di dalam artikel khusus untuk Ser Jacopo nanti.

Beberapa nama besar seperti Bruto Sordini (sekarang pemilik Don Carlos Pipes), keluarga Rinaldo (sekarang mengoperasikan sendiri syarikat keluarga mereka - Rinaldo Pipes) dan dua pipemaker L'anatra Massimo Palazzi & Andrea Pascucci adalah antara pipemaker yang pernah mengukir nama di Ser Jacopo. Bermula dengan teknik-teknik pipemaking ajaran Gian, sentuhan Pesaro pada pipa-pipa mereka sekarang adalah sangat jelas dan menarik.

Oleh itu jelas dan terbuktilah, sedikit kreativiti yang asalnya hanya mahu bercambah dari kepompong bentuk-bentuk pipa tradisi akhirnya menjadi satu gerakan pembuatan pipa yang mengukir tempat dalam sejarah perpipaan dunia. Gian ternyata berjaya menaikkan Pesaro di mata dunia. Walaupun beliau telah tiada, tinggalan kreativitinya terus menjadi ikutan dan aspirasi para pemipa sedunia.

Monday 9 May 2016

McClelland Grand Oriental Series : Satu Pengenalan Khusus Terhadap Variasi Tembakau Oriental.


Daunan oriental sememangnya sangat asing, terpencil, bersifat misteri, penuh dengan mitos dan tradisi tempatan yang sangat mengujakan saya. Sebagai manusia biasa, kita agak terpukul dengan sedikitnya maklumat dan pengetahuan am sedunia disebalik kepelbagaian rasa dan dinamik flavor yang terhasil dari daunan yang tumbuh di serata pelusuk Eropah Timur ini.

Negara-negara di bahagian ini tidaklah menjadi tumpuan pelancongan yang popular (selain Turki dan Greece) dan hal ini menambahkan lagi perasaan ingin tahu yang semakin menebal. Boleh dikatakan, akses kepada daunan Oriental adalah terhad dan kita penggemar daunan bangsawan sebegini semestinya terpinga-pinga menerima intuisi rasa yang sememangnya kaya dan penuh dengan kepelbagaian ini.

Sememangnya agak malang sekali bagi kita, kerana pengkelasan tembakau oriental adalah umum dan senantiasa mengelirukan. Kita sedia maklum akan rasa blend atau mixture oriental yang agak wangi, berempah dan "smoky", dengan kadar nikotin yang rendah dan kekuatan body yang sederhana dan mungkin agak "mild". Namun, itu adalah mixture yang menampilkan gabungan dua atau lebih jenis daunan oriental di dalamnya, jadi tona rasa adalah agak rawak dari mixture ke mixture.

Peluang untuk merasai setiap satu jenis daunan oriental ini adalah sangat terhad, dan mungkin hanya dapat terlaksana apabila kita sendiri menelusuri denai-denai ke ladang-ladang penanaman setiap jenis variasi daunan ini - satu impian yang masih di dalam perancangan hidup saya.

Mungkin kita boleh sentuh mengenai isu pengkelasan mixture oriental ini di dalam "Siri Berdamping Dengan Blend" kelak, tetapi buat kali ini baiklah kita menumpukan perhatian kita pada siri yang ada di depan mata kita sekarang, yakni Grand Oriental Series.

Hadirnya siri khusus dari pengeluar blend terkenal McClelland ini seakan satu peluang keemasan untuk kita merasai setiap satu varian daunan oriental secara lebih dekat. Mereka mengambil langkah yang bijak untuk menggunakan akses mereka terhadap variasi daunan ini dan mendekati konsumer dengan mengeluarkannya di dalam bentuk "blend", bukan varian individu yang khusus untuk blending.

Pendekatan ini, walaupun bertentangan dengan pendapat puritan yang mahukan 100% varian asli setiap jenis oriental, bagi saya adalah sangat mesra pengguna terutamanya kepada kita yang tidak memiliki pengalaman khusus di dalam blending tembakau. Ini kerana kelak, flavor dan rasa mixture yang kita hasilkan secara amatur mungkin akan tersasar dari tujuan untuk menampilkan rasa asal sesejenis varian oriental terbabit.

Di dalam dunia pemasaran sekarang di mana tembakau oriental datang dalam keadaan "oriental" pukal, bukan dengan jenis-jenisnya, McClelland telah menghabiskan masa lebih 30 tahun dalam pencarian daun-daun oriental ini secara satu-persatu. Ini adalah kali pertama jenis daunan oriental sebegini diasingkan dan diblend, selain penggunaan Yenidje untuk blend hebat Balkan Sobranie dahulu.

Siri hebat ini terdiri dari lapan jenis blend, dengan setiap satunya menampilkan satu jenis daun oriental yang berlainan. Yenidje, Smyrna, Drama, Katerini, Sokhoum, Yenice, Samsun adalah bintang-bintang siri ini, dibantu oleh beberapa lagi tambahan seperti Mahalla dan adunan virginia yang baik sebagai pentas untuk daunan ini mempersembahkan permainan citra ritma rasa mereka dengan cemerlang. Kita akan pergi kepada setiap satu jenis dari semasa ke semasa, tentunya sangat menarik untuk kita temui perbezaan rasa dari jenis-jenis yang akan diutarakan kelak.

Persembahan setiap blend variasi oriental ini adalah sangat menarik, dimana McClelland menggunakan gambar daun oriental itu sendiri di kertas pembungkusan tin, beserta dengan deskripsi tersendiri mengenai jenis tembakau oriental terbabit, lokaliti penanaman & kultivasinya, dan juga pendekatan blending yang dihasilkan. Malah, sesetengahnya disertakan dengan daunan asal dalam bentuk penuh, seperti contoh daunan Smyrna ini yang agak kecil berbanding daunan tembakau umum seperti virginia dan burley.

Pentingnya untuk mempelajari variasi daunan oriental adalah salah satu dasar pembelajaran daunan tembakau yang baik, dimana kita akan dibawa mengenali variasinya secara lebih dekat. Kelak kita akan lihat akan perbezaan antara variasi bagi daunan oriental yang sangat ketara; sesetengah jenis hanya secubit mampu memberi tona rasa yang kuat kepada sesebuah blend, manakala yang lain mungkin hanya menambahkan sedikit bauan wangi sahaja.

Kita juga telah melihat dimana abad ini kita sangat menitik-beratkan akan bahan mentah (ingredients) terutamanya di dalam segment gourmet dining - dimana anda akan diberikan penerangan mengenai bahan-bahan mentah yang digunakan, cara makanan dimasak, cara ia disajikan, malah juga minuman yang patut dipasangkan dengannya!

Begitulah yang kita mahukan untuk pipescene kita terus berkembang, dan pengetahuan tentang rasa itu haruslah dikongsi bersama, walaupun masing-masing memiliki pengalaman dan kecenderungan tersendiri.

Denai perjalanan mengenali daunan bangsawan ini penuh dengan liku dan onak duri yang walaupun agak mencabar, adalah amat indah untuk diterokai.