Monday 9 May 2016

McClelland Grand Oriental Series : Satu Pengenalan Khusus Terhadap Variasi Tembakau Oriental.


Daunan oriental sememangnya sangat asing, terpencil, bersifat misteri, penuh dengan mitos dan tradisi tempatan yang sangat mengujakan saya. Sebagai manusia biasa, kita agak terpukul dengan sedikitnya maklumat dan pengetahuan am sedunia disebalik kepelbagaian rasa dan dinamik flavor yang terhasil dari daunan yang tumbuh di serata pelusuk Eropah Timur ini.

Negara-negara di bahagian ini tidaklah menjadi tumpuan pelancongan yang popular (selain Turki dan Greece) dan hal ini menambahkan lagi perasaan ingin tahu yang semakin menebal. Boleh dikatakan, akses kepada daunan Oriental adalah terhad dan kita penggemar daunan bangsawan sebegini semestinya terpinga-pinga menerima intuisi rasa yang sememangnya kaya dan penuh dengan kepelbagaian ini.

Sememangnya agak malang sekali bagi kita, kerana pengkelasan tembakau oriental adalah umum dan senantiasa mengelirukan. Kita sedia maklum akan rasa blend atau mixture oriental yang agak wangi, berempah dan "smoky", dengan kadar nikotin yang rendah dan kekuatan body yang sederhana dan mungkin agak "mild". Namun, itu adalah mixture yang menampilkan gabungan dua atau lebih jenis daunan oriental di dalamnya, jadi tona rasa adalah agak rawak dari mixture ke mixture.

Peluang untuk merasai setiap satu jenis daunan oriental ini adalah sangat terhad, dan mungkin hanya dapat terlaksana apabila kita sendiri menelusuri denai-denai ke ladang-ladang penanaman setiap jenis variasi daunan ini - satu impian yang masih di dalam perancangan hidup saya.

Mungkin kita boleh sentuh mengenai isu pengkelasan mixture oriental ini di dalam "Siri Berdamping Dengan Blend" kelak, tetapi buat kali ini baiklah kita menumpukan perhatian kita pada siri yang ada di depan mata kita sekarang, yakni Grand Oriental Series.

Hadirnya siri khusus dari pengeluar blend terkenal McClelland ini seakan satu peluang keemasan untuk kita merasai setiap satu varian daunan oriental secara lebih dekat. Mereka mengambil langkah yang bijak untuk menggunakan akses mereka terhadap variasi daunan ini dan mendekati konsumer dengan mengeluarkannya di dalam bentuk "blend", bukan varian individu yang khusus untuk blending.

Pendekatan ini, walaupun bertentangan dengan pendapat puritan yang mahukan 100% varian asli setiap jenis oriental, bagi saya adalah sangat mesra pengguna terutamanya kepada kita yang tidak memiliki pengalaman khusus di dalam blending tembakau. Ini kerana kelak, flavor dan rasa mixture yang kita hasilkan secara amatur mungkin akan tersasar dari tujuan untuk menampilkan rasa asal sesejenis varian oriental terbabit.

Di dalam dunia pemasaran sekarang di mana tembakau oriental datang dalam keadaan "oriental" pukal, bukan dengan jenis-jenisnya, McClelland telah menghabiskan masa lebih 30 tahun dalam pencarian daun-daun oriental ini secara satu-persatu. Ini adalah kali pertama jenis daunan oriental sebegini diasingkan dan diblend, selain penggunaan Yenidje untuk blend hebat Balkan Sobranie dahulu.

Siri hebat ini terdiri dari lapan jenis blend, dengan setiap satunya menampilkan satu jenis daun oriental yang berlainan. Yenidje, Smyrna, Drama, Katerini, Sokhoum, Yenice, Samsun adalah bintang-bintang siri ini, dibantu oleh beberapa lagi tambahan seperti Mahalla dan adunan virginia yang baik sebagai pentas untuk daunan ini mempersembahkan permainan citra ritma rasa mereka dengan cemerlang. Kita akan pergi kepada setiap satu jenis dari semasa ke semasa, tentunya sangat menarik untuk kita temui perbezaan rasa dari jenis-jenis yang akan diutarakan kelak.

Persembahan setiap blend variasi oriental ini adalah sangat menarik, dimana McClelland menggunakan gambar daun oriental itu sendiri di kertas pembungkusan tin, beserta dengan deskripsi tersendiri mengenai jenis tembakau oriental terbabit, lokaliti penanaman & kultivasinya, dan juga pendekatan blending yang dihasilkan. Malah, sesetengahnya disertakan dengan daunan asal dalam bentuk penuh, seperti contoh daunan Smyrna ini yang agak kecil berbanding daunan tembakau umum seperti virginia dan burley.

Pentingnya untuk mempelajari variasi daunan oriental adalah salah satu dasar pembelajaran daunan tembakau yang baik, dimana kita akan dibawa mengenali variasinya secara lebih dekat. Kelak kita akan lihat akan perbezaan antara variasi bagi daunan oriental yang sangat ketara; sesetengah jenis hanya secubit mampu memberi tona rasa yang kuat kepada sesebuah blend, manakala yang lain mungkin hanya menambahkan sedikit bauan wangi sahaja.

Kita juga telah melihat dimana abad ini kita sangat menitik-beratkan akan bahan mentah (ingredients) terutamanya di dalam segment gourmet dining - dimana anda akan diberikan penerangan mengenai bahan-bahan mentah yang digunakan, cara makanan dimasak, cara ia disajikan, malah juga minuman yang patut dipasangkan dengannya!

Begitulah yang kita mahukan untuk pipescene kita terus berkembang, dan pengetahuan tentang rasa itu haruslah dikongsi bersama, walaupun masing-masing memiliki pengalaman dan kecenderungan tersendiri.

Denai perjalanan mengenali daunan bangsawan ini penuh dengan liku dan onak duri yang walaupun agak mencabar, adalah amat indah untuk diterokai.

No comments:

Post a Comment