Sunday 28 October 2018

Talkin’ Bruyère : Plateaux vs Ebauchon

kredit imej : vapourhouse.com
Sebagai seorang pemipa konsumer, kebanyakan kita tidak memperdulikan sangat akan persoalan jenis blok briar yang digunakan untuk menghasilkan pipa yang kita sedang pegang di tangan. Asalkan ia cantik dan memiliki grain-grain yang menawan, dan yang paling penting – a good smoker, sudah memadai bagi kebanyakan kita. Hidup lebih indah tanpa komplikasi-komplikasi melampau, bukan? 
Namun cuba anda lihat diri anda dan tanyakan, betapa seorang pemipa alaf baru sepatutnya mempunyai pengetahuan dan pengamatan yang lebih dari apa yang sedia ada, kerana hanya dengan ini barulah kita mampu menikmati hobi ini sebaik mungkin. Ini juga adalah tujuan mengapa siri Talkin’ Bruyere ini dikeudarakan – untuk mendekatkan pemipa dengan pengetahuan tentang bahan briar – sesuatu yang kita pegang saban hari, yang didalamnya juga kita bentukkan api ember yang menghasilkan asap indah membawa seribu satu flavor dan rasa yang merangsang minda kita.
kredit imej : rawkrafted.com
Adalah satu fakta bahawa briar yang kita gunakan datang dari umbi pohon Erica Arborea yang tumbuh disepanjang persisiran Mediterranean. Akan tetapi bukan semua bahagian umbi ini akan digunakan. Bahagian tengah biasanya akan dibuang, bahagian lainnya akan dipotong untuk menghasilkan blok-blok di dalam bentuk plateaux dan ebauchon. Dan dari sini berkemungkinan ramai antara kita yang agak terbiasa mendengar akan penggunaan blok plateaux atau ebauchon di laman-laman sesawang pipemaker mereka. Walau bagaimanapun, biasa mendengar bukan bererti kita memahami dengan jelas tentang jenis-jenis blok ini. Oleh itu, mari kita kupas sedikit-sebanyak perihal plateaux vs ebauchon ini.


Blok-blok plateaux adalah bahagian briar yang paling hampir dengan permukaannya. Oleh kerana itu, biasanya blok-blok plateaux dipotong bersama dengan bahagian luar burl, yang selalunya menggerutu dengan birdseye, dan selalunya ia berbentuk seakan “wedge”. Dek kerana kebiasaannya bahagian luar burl ini adalah sangat natural / alami dah cantik, maka banyak pipemaker yang menggunakan kesempatan ini untuk menghasilkan pipa-pipa dengan craggy rim / top, sebagai komplimen tambahan kepada unjuran grain yang selalunya indah pada blok-blok plateaux.

kredit imej : pfeifenecke.de
Oleh kerana ketidakseragaman saiz bagi sesebuah briar, jadi blok-blok plateaux juga tidak memiliki saiz yang sekata. Harga bagi sesebuah blok plateaux adalah berdasarkan timbangan. Pemotong briar akan memotong blok-blok plateaux mengikut unjuran grain sesebuah briar dan mengambil kira akan faktor bahawa dengan unjuran grain yang baik, mereka mampu meraih harga yang lebih untuk sesebuah blok plateaux. Oleh kerana itu, proses ini memerlukan lebih masa dan juga adalah salah satu faktor kenapa harganya adalah mengikut timbangan. Jadi, tidak hairanlah blok-blok plateaux adalah lebih mahal berbanding blok-blok ebauchon.
Blok-blok ebauchon pula adalah apa yang ada di bahagian bawah blok-blok plateaux – bermaksud bahagian briar yang agak jauh dari permukaan. Kebiasaannya blok-blok ebauchon akan dipotong dengan bentuk “L” atau terkadang seperti bentuk “trapezium”, untuk memaksimakan penghasilan blok dari setongkol briar. Ini adalah benar kerana bagi blok ebauchon, kuantiti dan saiz blok adalah lebih diutamakan oleh pemotong briar kerana ia menentukan mereka dapat menghasilkan lebih duit untuk blok-blok mereka. Jadi, penghasilan blok ebauchon adalah lebih menjimatkan briar berbanding blok plateaux yang lebih banyak “memakan” briar kerana ia dipotong mengikut unjuran grain terbaik, supaya ia dapat dijual dengan harga yang lebih mahal.

kredit imej : literaryworkshop.wordpress.com
Terdapat juga beberapa pendapat yang mengatakan akan blok plateaux adalah lebih sesuai untuk pipa-pipa “freehand” dan blok ebauchon adalah untuk pipa-pipa dengan shape tradisional. Saya boleh mengatakan yang ya, mungkin ada betulnya akan tetapi ia bukanlah satu kemestian. Blok plateaux biasanya bersaiz lebih besar dan memungkinkan seseorang pipemakers itu untuk menjadi lebih kreatif di dalam menghasilkan bentuk-bentuk freehand, yang selalunya bergantung kepada imaginasi pipemaker tersebut. Hasil akhir terkadang tidak seperti apa yang dirancangkan pada awalnya, jadi oleh kerana itulah saiz blok yang besar sememangnya diperlukan. Walau bagaimanapun, kita masih melihat banyak pipa-pipa bentuk tradisional yang memiliki “craggy rim” dan unjuran straight grain yang indah, hasil dari penggunaan blok-blok plateaux.
Juga terdapat beberapa pendapat yang mengatakan betapa blok-blok plateaux digunakan oleh para pipemakers artisan, dan pengeluar pipa berjenama besar pula hanya menggunakan blok ebauchon sahaja. Ini juga adalah tidak tepat, kerana banyak pipemaker artisan yang menggunakan kedua-dua jenis blok – ebauchon untuk keluaran yang biasa dan plateaux untuk keluaran istimewa atau untuk keluaran kelas tinggi mereka. Disebalik itu, banyak juga nama-nama besar seperti Dunhill dan Castello, malah beberapa jenama “factory pipes” seperti Savinelli dan Peterson turut menggunakan blok-blok plateaux, walaupun mungkin di dalam skala yang kecil.

Sedikit sebanyak saya berharap kita dapat memahami akan perbezaan di antara dua jenis potongan asas bagi briar ini. Ia sangat berguna apabila kita mahu membeli pipa atau menempah pipa kita secara peribadi, di mana kita tahu memilih blok jenis manakah yang kita mahukan, sesuai dengan kehendak rekabentuk yang menarik minat kita berdasarkan budget / peruntukan yang kita selesa untuk dibelanjakan.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

No comments:

Post a Comment