Wednesday 21 December 2016

Perlukah Kita Terjun ke Dasar Pipa?

Perpipaan dan tembakau adalah salah satu dari banyak perkara yang organik dan tidak faktual di dalam dunia ini. Terlalu banyak petua, amalan, tabiat, nasihat, know-how dan pantang-larang yang menyertai hobi dan gaya hidup ini sejak azali lagi. Kita cuba untuk mengikuti satu-persatu pada permulaan kita berpipa, kemudiannya kita mulai menyisih beberapa norma yang tidak sesuai dengan gaya dan cara kita, dan mungkin membentuk cara tersendiri di dalam menangani masalah-masalah kecil disepanjang hidup berpipa.

Ironinya, masalah-masalah sebeginilah yang memberikan pelbagai kerumitan, dan umum kita tahu yang kerumitan membawa kepada kompleksiti, dan kompleksiti menjurus kepada komplikasi yang menyerlahkan lagi keseronokan dan gaya hidup sang pemipa. Lihat sahaja pada jam-jam mewah, bertambah komplikasi seperti dual-time zone, tourbillon atau chronograph maka makin rumit ia untuk dihasilkan dan makin mahal harganya. Percayalah, kita manusia suka akan kompleksiti dan komplikasi. Hidup yang tenang adalah hambar, monokrom, rutin dan robotik.
Oleh yang demikian, persoalan-persoalan yang kelihatan mudah pun akan menjadi susah bagi seseorang pemipa. Haruskah anda menghabiskan tembakau di dalam bowl pipa anda hingga ke cebisan ribon yang terakhir? Jika anda menyangka soalan ini adalah semudah “haruskah kita menghabiskan minuman hingga ke titisan yang terakhir?”, anda ternyata silap. Ia tidak semudah itu.
Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan di dalam keputusan untuk menghabiskan tembakau hingga anda mencipta “bona-fide” white ash yang sering menjadi satu matlamat pemipa yang tersasar. Pertama sekali kita perlu melihat kepada kemampuan kita untuk menyalakan pipa hingga ke “ground zero”. Akan terdapat beberapa cebisan kecil tembakau / “dottles” yang secara misterinya (tidak terlalu misteri, sebenarnya) memang enggan terbakar. “Dottle” sebegini biasanya terdiri dari ketulan urat daun yang sememangnya keras dan liat. Ini, ditambah pula dengan keadaan di dasar pipa yang terkadang agak basah, menjadikannya seperti percubaan untuk membakar kaktus – boleh terbakar tetapi sangat sukar untuk dinyalakan.
Okay katakanlah kita pyromaniac semua mampu untuk membakar hingga ke dasar, adalah kita tahu petanda yang kita sudah pun berada di ground zero? Sukar sebenarnya untuk kita mengetahui situasi sebegitu, melainkan dengan kegagalan untuk menyalakan semula pipa tersebut. Di sinilah segala punca kepada masalah “charred bowl” yang merudumkan sedikit harga pipa-pipa estate (to our liking) bermula, kerana kita mungkin mencucuh api kepadanya beberapa kali sebelum menyedari yang ia telah pun habis. Jika anda merupakan pengguna torch lighter untuk pipa anda, awas – anda mungkin menghisap dinding bowl anda pada nyalaan terakhir, bukannya tembakau!
Persoalan ekonomi, tentang betapa mahalnya harga tembakau sekarang, betapa blend-blend itu dan ini sudah pun diberhentikan pengeluarannya, adalah satu sebab yang wajar kenapa anda perlu menghabiskan tembakau di dalam bowl pipa anda. Tetapi ia dengan mudah menjadi satu malapetaka kepada anda sekiranya anda ter”charred” dinding bowl pipa anda. Jadi seorang pemipa yang kritikal harus tahu mengimbangi faktor-faktor kos jangka pendek dan jangka panjang sebegini.
Pada masa yang sama, saya juga bukanlah seorang pemipa yang suka menyampaikan wacana anti-klimaks dengan tiada segan-silu kepada anda. Sebaliknya, saya sendiri adalah seorang pemipa pragmatik yang menyayangi tembakau dengan sepenuh jiwa dan raga. Saya tahu akan limitasi beberapa blend dan kebarangkalian untuk blend-blend lain menjadi “obsolete” dan sejarah tidak lama lagi (tin MacBaren Solent Mixture mulai tergambar di pemikiran kita, terbang ke awangan dengan sayap dikiri-kanan tin). Apa yang kita perlukan untuk menikmati tembakau hingga ke jurang Mariana pipa kita hanyalah sedikit keterbiasaan dan sikap berhati-hati.
Jadi, apa yang ada di bawah sana? Pemipa yang cermat semestinya akan dihadiahkan dengan pelbagai kebaikan, seperti teori “law of attraction”. Setelah anda menikmati bahagian atas dan tengah tembakau anda di dalam bowl, bahagian bawah adalah “dim sum” anda; tembakau yang sudah terkukus oleh asap dan wap panas dari pembakaran tembakau yang di bahagian atas. Tembakau bahagian ini memiliki intensiti rasa yang agak tinggi. Flavornya memiliki lebih konsentrasi, dimana kebanyakan kita akan sedar sekiranya ia tidak dilitupi oleh abu pembakaran awal yang meminjamkan sedikit rasa hangit.
Di samping itu, tembakau bahagian ini juga kaya dengan nikotin (mungkin sangat kurang juga untuk blend aromatik). Jadi anda boleh membayangkan yang lebih kepuasan akan didapati di bahagian ini. Ia sekaligus menjawab persoalan tentang tembakau-tembakau pipa sekarang yang bagi pemipa veteran adalah agak “lightweight” dan ringan berbanding blend-blend yang mereka biasa pack dahulu. Golongan mereka sememangnya menghisap pipa hingga ke dasar (sebab itulah pembuatan dapur pipa sangat ditekankan di zaman dahulu, juga penemuan pipa-pipa “extra-terrestrial” yang menggunakan duit shiling sebagai dapur banyak didapati pada pipa-pipa terdahulu) dan sudah tentunya intensiti nikotin sudah menjadi kebiasaan bagi mereka.
Dengan itu para pemipa, haruskah kita terjun ke dasar bowl dan membakar semua tembakau tersebut hingga ke cebisan yang terakhir? Apa yang saya boleh sarankan adalah untuk anda teruskan jika anda boleh mengawalnya, cuba jika anda belum menemui rentak itu, dan pelajari selok-belok pengawalannya, kerana di dasar sana bermacam kenikmatan flavor yang baik ditambah dengan dos vitamin N untuk anda renangi dengan damai.








pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

No comments:

Post a Comment