Wednesday 10 February 2016

Siri "Berdamping Dengan Blends" - Va/Per.

Va/per adalah akronim kepada "virginia + perique" dan walaupun terma ini tidak rasmi, ia digunakan secara meluas di dunia perpipaan. Mengapa tidak "vi/per"? Rasanya adalah agak jelas yang pemipa tidak sukakan reptilia berbisa dan penggunaan "/" sepatutnya membezakannya dengan "vaper" yakni pengguna vape atau rokok elektronik.

Seperti yang kita sedia maklum, semudah persamaan di atas merujuk kepada penggunaan tembakau virginia dan perique, kondisi sebenar va/per adalah tidak sebegitu lurus. Perlu diingatkan yang kebanyakan pemipa adalah "non-inhaler" dan itu menjadikan palate dan deria rasa mereka sangat serius dan berfungsi dengan baik. Jadi, apa yang mereka selalunya harapkan pada sesuatu blend adalah kompleksiti rasa, disebalik flavor yang enak dan komprehensif.

Jadi kebanyakan blend va/per yang ada di pasaran bukanlah sekadar full virginia yang ditabur secubit perique dan digaul rata. Jenis virginia yang digunakan terkadang memiliki lapisan demi lapisan yang baik, biasanya dapat dicapai dengan penggunaan jenis-jenis virginia yang berlainan, dan jenis perique yang digunakan juga haruslah bertepatan dengan "volume" ia dicampurkan ke dalam blend.

Secara biologikal, variasi virginia akan datang dengan kemanisan masing-masing yang tersendiri. Bright, dark, red virginia, semuanya memiliki kadar gula yang berlainan. Itu belum diambil kira akan faktor lokaliti lagi. Jadi, campuran pelbagai virginia ini memainkan peranan penting sebagai asas sesebuah blend va/per. Tugas utama perique pula adalah untuk mengolah kemanisan tadi, menjadikannya lebih "refined" dan menambahkan elemen "musky" dan "spiciness". Gabungan antara kedua jenis tembakau inilah yang akan menentukan hala tuju sesuatu blend va/per. Sesetengah blend menggunakan dark virginia yang akan memberikan sedikit rasa "full-bodied" dan "punchy" tetapi kemanisan virginia dan "earthiness" perique tadi mungkin akan sedikit terkebelakang. Letakkan lebih "bright" virginia dan anda akan mendapat suatu blend yang manis dan sedikit pedas tetapi kurang dari segi "full-bodied" nya. Keseimbangan yang terbaik adalah sukar untuk dicari, maka sebab itulah tidak semua blending house berjaya menghasilkan va/per yang kompeten.

Secara asasnya, kita boleh mengklasifikasikan blend va/per kepada yang mengikut formula asal dan yang memiliki sedikit daunan lain sebagai "enhancer".  Blend-blend "bona fide" va/per adalah yang tepat mengikut unjuran namanya; hanya virginia dan perique yang ada di dalam blend. Dunhill Elizabethan Mixture adalah contoh terbaik untuk kategori ini; permainan pelbagai daunan virginia yang ditekankan oleh blend revival Dunhill ini menghasilkan va/per yang tidak terlalu "spicy" dan kurang manis tetapi lebih banyak "layering" pada flavornya, menjadikannya lebih kompleks. Namun, takhta segala va/per yang "bona fide" setakat ini dipegang oleh Escudo. Escudo menawarkan flavor virginia yang "tangy" walaupun tidak terlalu manis, rasa tembakau "full-bodied" yang memuaskan dan "spiciness" perique yang masih lagi "earthy". Boleh dikatakan, Escudo mampu memberikan tekstur "all rounder" di dalam peta topografi setiap peminat va/per.

Selain dari itu terdapat juga beberapa va/per yang sedikit terkeluar dari genre tetapi masih dikategorikan sebagai va/per. Di sini, virginia masih dominan dan perique tetap hadir, ditambah dengan daunan ketiga sebagai pelengkap blend. Walaupun bukanlah "bona fide" va/per tetapi sesetengahnya berjaya memikat palate pemipa dengan baik hingga dikategorikan sebagai blend va/per yang "legendary", seperti Peter Stokkebye Luxury Bullseye Flake (ditambah sedikit cavendish), Rattray's Hal 'O The Wynd dan Old Gowrie (ditambah sedikit Kentucky) dan Reiner Long Gold Flake (terdapat penggunaan sedikit white burley). Saya sendiri ingin bangun untuk mengrekomenkan Old Gowrie dan terutamanya Reiner LGF kepada anda - ianya adalah antara va/per yang sangat smooth dan menyelerakan yang pernah saya alami, hasil amalgamam resepi asal va/per dengan sedikit white burley. Menakjubkan!

Selain itu, antara blend va/per yang paling mudah didapati di sini adalah Peterson Irish Oak. Ia sendiri adalah satu contoh blend dengan penggunaan bright virginia sehingga rasa "tangy" dan "zesty" yang biasanya dikaitkan dengan full bright virginia dapat dirasakan. "Spiciness" perique nya juga jelas dan hadir dari awal lagi, disulami dengan cavendish yang membantu menambahkan sedikit kemanisan pada keseluruhan blend.

Genre ini menyaksikan penggunaan tembakau yang agak langka atau "rare" iaitu perique yang merupakan komponen kedua terpenting selepas virginia. Walaupun hanya secubit-dua, ternyata perique dapat memberikan nafas baru pada virginia dan mengolah teksturnya menjadi pelbagai dan lebih versatil. Namun, dengan kultivasi perique yang terhad, kebergantungan va/per terhadap perique adalah sangat signifikan. Begitulah besarnya peranan perique dalam industri tembakau, walaupun penggunaannya kecil ia mampu memberikan perbezaan yang ketara pada sesuatu blend.

Harapan kita sebagai pemipa ialah agar kultivasi perique dapat distabilkan untuk kita terus dapat menikmati blend-blend va/per di masa akan datang. Saya percaya ramai pemipa yang menjadikan blend va/per sebagai "go-to" blend mereka dan sudah tentu lebih ramai yang memiliki tin-tin va/per di dalam rotasi blend mingguan mereka. Jika ditakdirkan pada suatu hari nanti kita akan kehilangan genre ini, ia adalah ibarat kita kehilangan masakan-masakan pedas yang pastinya akan membuatkan ramai orang termenung panjang.

Bagi mereka yang masih belum pernah mencuba genre ini, cubalah untuk berjinak-jinak dengannya dan ketahuilah yang palate anda berhak untuk mendapat diversifikasi rasa yang mampu diberikan oleh sesebuah blend va/per yang baik. Selain dari blend-blend yang ada disebut di atas, saya percaya masih banyak lagi yang rakan-rakan pemipa kita boleh sarankan nanti.

No comments:

Post a Comment