Wednesday 10 February 2016

PIPA DI DUNIA FANA almanak & refleksi perpipaan Malaya Dedikasi Pipa @ “Berflavor Biar Satu”

Dedikasi Pipa adalah sebahagian dari idea “Rotasi Pipa” sepertimana yang telah kita sama-sama kupas tempohari. Ataupun mungkin kita boleh klasifikasikan ia sebagai satu percambahan dari teori asal.

 Ini adalah kerana, tujuan utama dedikasi pipa ini bukanlah untuk menyelamatkan pipa-pipa anda dari penggunaan melampau atau “overuse”, walaupun ia merupakan salah satu kebaikannya. Dedikasi pipa merujuk kepada memperuntukkan sesebuah pipa terhadap sebuah blend atau “genre”. 
Terdapat bermacam sebab untuk seseorang pemipa mendedikasikan pipa mereka mengikut blend. Kebiasaannya, mana-mana pemipa akan memiliki “go-to” blend atau blend kesukaan masing-masing dan blend ini akan menjadi sangat sedap dengan sesetengah pipa kita. Jadi, pipa tersebut akan hanya digunakan khusus untuk blend ini. Seperti contoh, saya akan menggunakan Savinelli Leonardo “Il Cavallo” ini hanya dengan Samuel Gawith Bob Chocolate Flake kerana dari awal lagi gandingan pipa-baccy ini mantap dan menghasilkan flavor terbaik.
Namun, sebaiknya kita tidak lah terlalu fokus dengan sesuatu blend sahaja (hidup ini terlalu singkat untuk hanya menikmati beberapa blend). Dan untuk mendedikasikan setiap blend dengan sebuah pipa juga adalah agak mustahil kecuali anda mempunyai kapasiti kewangan dan ruang untuk menempatkan ratusan pipa terhadap ratusan blend yang mungkin anda miliki. Dengan itu, kita selalu disarankan untuk mendedikasikan pipa kepada “genre”.
 Pengasingan genre adalah satu kerja yang tidak kurang menariknya juga. Seperti yang kita sudah maklum, pembahagian yang boleh kita kumpulkan adalah dengan aromatik, full virginia (VA), virginia + perique (va/per), virginia + burley (va/bur), full burley, English, Scottish, Oriental, Balkan dan Lakelands. Sesetengah baccy yang dibawah genre yang sama, contohnya Samuel Gawith Squadron Leader dan Rattray’s Red Rapparee dan NYPC’s Hell’s Kitchen, anda boleh mengkategorikan mereka sebagai satu genre (ya, genre English yang tidak terlalu “heavy” dan agak santai bagi saya) dan menggunakan satu pipa untuk mereka.
Seterusnya anda bolehlah mula membahagikan dedikasi pipa-pipa anda mengikut klasifikasi genre tadi. Jika anda memerlukan contoh, ini adalah apa yang saya lakukan; 
  1. satu pipa untuk blend English berat yang “full-gear” seperti Dunhill Nightcap, Peterson Old Dublin, DTM Old Ironsides… 
  2. satu pipa untuk full Virginia blend seperti SG FVF, McClelland Christmas Cheers dan DTM Hamborger Veermaster… 
  3. satu pipa untuk blend Va/Per seperti Reiner Long Gold Flake, Rattray’s Old Gowrie, Dunhill Elizabethan Mixture… 
  4. satu pipa untuk blend Burley seperti Solani Aged Burley Flake, MacBaren London Burley dan C&D Pennington Gap (burley aromatik tetapi dengan prep yang extra anda mampu menikmati burleynya lebih dari aromatik)… 
  5. satu pipa untuk blend Kentucky-based seperti RMC Scottish Cake dan Orlik Dark Strong Kentucky… 
  6. satu pipa untuk blend Oriental seperti McClelland Arcadia, Dunhill Standard Mixture dan RMC Oriental… 
  7. satu pipa untuk blend bercirikan Maduro / cigar-based seperti Savinelli Special Tobacco dan NYPC Jack Shanty… 
  8. satu pipa untuk blend aromatik seperti DTM Devil’s Holiday dan Peterson Connoisseur’s Choice… 
  9. satu pipa untuk blend crossover seperti siri Frog Morton dan Sillem Black… 
  10. satu pipa untuk setiap blend-blend “istimewa” yang saya khaskan khusus untuk blend-blend sebegini, sebagai contoh untuk SG Bob Chocolate Flake, NYPC Bedloe’s Island, Ashton Artisan Blend, Hearth & Home Black House, tembakau semois dan Solani White & Black. Blend-blend ini adalah agak istimewa bagi saya dan saya memerlukan pipa khusus untuk mereka supaya flavor yang tepat dan mutlak dapat saya nikmati.
 Perlu juga saya mengingatkan yang sesetengah blend seperti blend burley adalah sangat sensitif dan memiliki kualiti rasa yang halus, dimana anda sukar untuk menikmati kebaikan burley secara total tanpa mendedikasikan pipa untuknya. Mungkin kerana faktor inilah, blend-blend burley kurang mendapat sambutan di pasaran. Sayang sekali kerana burley jika dinikmati dengan baik, adalah sangat mengasyikkan!
Semua kegilaan ini memiliki satu tujuan – untuk mengurangkan intervensi rasa di dalam bowl anda dan seterusnya memastikan anda mendapat peratusan ketepatan rasa yang paling hampir pada setiap bowl. Juga, faktor “ghosting” dapat diminimalkan. Semakin anda maju sebagai pemipa mapan, semakin anda hargai kejituan dan “details” dalam menikmati blend-blend secara total. Komplikasi sebegini sememangnya memeningkan tetapi begitulah maskuliniti, sangat gemar dengan perkara-perkara yang kompleks.
Bagi sesetengah pemipa pula, dedikasi pipa adalah sesuatu yang “overrated” dan tidak perlu. Seperti yang kita tahu, tidak mengapa untuk mengenepikan semua ini dan nyalakan pipa kegemaran anda pada bila-bila masa dengan apa-apa blend sekali pun. Kepuasan yang dinikmati adalah sangat subjektif. Cuma bagi saya, tembakau bukan lagi komoditi biasa yang boleh dipandang ringan, ianya semakin mahal, diusahakan dengan susah payah dan berkemungkinan pupus apabila tiba masa nya. Hidup ini adalah terlalu singkat untuk tidak bereksperimen dan menikmati flavor blend-blend secara total.
Juga mungkin agak sukar untuk pemipa pemula melakukan dedikasi pipa di peringkat awal hobi mereka, di mana jumlah pipa mereka masih kecil. Namun, suatu hari nanti bilangan pipa anda pastinya bertambah dan pasti ada yang semakin dilupakan, jarang-jarang menerima packing baccy. Dengan dedikasi pipa, anda dapat mengoptimumkan penggunaan pipa-pipa anda di samping memberi ruang untuk pipa-pipa kesayangan anda berehat dan dirotasikan.
Sebagai kesinambungan dari artikel minggu lepas, ingin saya tegaskan intipati keduanya disini, “berpipa biar seribu, berflavor biar satu”…
pack ’em, light ’em, make smoke rings outta ’em!

No comments:

Post a Comment