Wednesday 24 February 2016

Semois : Kultivasi Sejuk Belgium.

Reaksi hasil kultivasi dengan faktor-faktor lokaliti yang tersendiri seringkali membawa hasil yang

Pada ketika kita menjulang Perique dan Syrian latakia sebagai tembakau-tembakau di penghujung zamannya - satu dengan produksi kecil-kecilan yang semakin mengecil dan lagi satu sudah pun tidak diproduksikan dek kerana situasi politik dan sosio-ekonomi setempat - datang pula sesuatu yang tidak disangka-sangka. Ini jelas adalah bukti yang alam ini kaya dengan hasil untuk kita apabila kita rajin untuk menerokainya.

"Semois" adalah sesuatu yang asing bagi kita. Bukan sahaja pada kita, malahan juga kepada pemipa di barat dan dunia perpipaan secara amnya. Pemipa hanya mula mengenali Semois secara meluas semenjak dari tiga ke empat tahun lepas. Mana tidaknya, tembakau ini hanya diproduksikan di satu lokalisasi yakni di lembah Ardennes, Belgium, di mana sungai Semois mengalir (ya, dari situlah ia mendapat namanya) dan diusahakan oleh lebih kurang empat keluarga sahaja sekarang, secara turun-temurun.

Hanya selepas contohnya dibawa ke US oleh pemipa-pemipa yang balik bercuti di Belgium sebagai buah tangan, barulah secara perlahan dunia perpipaan sedar akan kewujudan sejenis daun yang agak "potent" dan lebih menarik lagi, adalah "standalone" - Semois tidak perlu diadun dengan daunan lain. Agen-agen dari syarikat jualan tembakau pipa pun berkejaran ke sana dan hanya selepas itu barulah pemipa sedunia dihidangkan dengan seleksi Semois yang diimport khusus oleh beberapa tobacconist.

Meneruskan tradisi keluarga masing-masing, tidak dapat dipastikan mengapa penanam-penanam tembakau Semois ini tidak pernah memikirkan tentang eksport / pengedaran tembakau mereka ke luar Belgium sebelum ini. Sama ada kuantiti pengeluarannya yang terpencil, atau kurang yakin dengan produksi sendiri, ataupun mereka sudah selesa dengan hasil penjualan konsumasi tempatan, perkara ini masih lagi menjadi spekulasi dan tanda tanya kita.

Semois secara biologinya adalah hasil percambahan benih burley dari zaman terdahulu, yang ditanam di sekitar lembah Ardennes yang bercuaca sejuk dan diselaputi kabus sepanjang musim. Inilah perkara yang menarik sekali, kerana kita tahu tembakau sememangnya memerlukan matahari dan kepanasan tertentu untuk bercambah dengan baik akan tetapi di lembah Ardennes ini, segala teori itu adalah terbalik!

Namun mungkin bagi penanam kecil-kecilan ini, itulah rahsia Semois; rasanya yang unik terhasil dari gabungan mineral yang khusus terdapat di dalam tanah di lembah ini, keadaan berkabus, kadar sinaran matahari yang tidak terik, cuaca sejuk dan juga proses kultivasi tradisi mereka. Mereka dikatakan sangat berbangga dan mengambil berat akan pengekalan proses kultivasi tembakau ini, di mana proses yang sama sejak seratus tahun dahulu masih dikekalkan. Praktik sebegini adalah sangat dialu-alukan demi pengekalan keaslian hasil kultivasi setempat.

Semois keluaran lembah ini dipek seperti pembungkusan mentega; segiempat tepat dengan kertas emas tebal dan dilabel dengan kertas bergrafik retro yang menaikkan tahap "curiosity" kita. Cuma perbezaan yang ketara dengan pembungkusan mentega adalah beratnya; Semois ini sangat ringan! Semois sememangnya dipasarkan dalam keadaan tembakaunya yang agak kering, malah anda juga dinasihatkan untuk terus menikmatinya sebegitu, tanpa melembapkan untaian ribon-ribon kering ini.

Ternyata imej "old school" pada pembungkusannya tidak terhenti sekadar disitu sahaja. Rasa dan flavor yang diberikan oleh tembakau ini juga adalah se"rustic" imej tersebut. Tidak terlalu "full bodied" seperti mana daunan dari benih asalnya iaitu burley, Semois agak menyenangkan di palate dan terkadang memberikan impak terjahan di tekak dan sedikit kepedasan di lidah, sepertimana perique, walaupun tidaklah begitu kuat.

Biar pun sedikit "pungent" dan "earthy" yang mungkin sedikit "unbearable", kualiti tembakau oriental ada di sekeliling flavornya. Ini ditambah pula dengan satu lagi kelebihan Semois - ia  memiliki "punch" yang jauh lebih baik. Balikkan hembusan terutamanya melalui laluan nasal memberikan kita impak "earthiness" dengan baik sekali. Juga hadir sedikit pahit dan "saltiness" di lidah pada ketika tertentu, menjadikan ia satu karakter yang tersendiri.

Peminat aromatik dengan "sweet tooth" mungkin akan bertempiaran lari tetapi "seasoned gentlemen" yang mengunyah burley disulam latakia dengan percikan perique saban hari, ia umpama menikmati lebih "kick" dan lebih nikotin dengan sesuatu yang agak eksotik dan bersifat produksi industri "cottage". Not-not "grassy" dan sedikit kepahitan itu adalah kualiti tembakau "old-school" yang sangat maskulin dan semakin dilupakan.

Semois adalah cukup unik untuk diberikan klasifikasi khusus, lain dari "genre-genre" yang sedia ada. Ia menghubungkan banyak kualiti-kualiti tersendiri genre-genre terbabit; sedikit "spicy" (walaupun tidak begitu jelas) seperti oriental, "medium bodied" seperti white burley, "rustic" seperti sesetengah oriental dan staved virginia tanpa kemanisan glukosnya, "earthy" seperti latakia yang agak "muted", sedikit kekuatan perique, dan "musky" dengan caranya yang tersendiri. Sememangnya ia layak untuk menerima dedikasi tertentu dari salah satu pipa anda.

Perbandingan dengan tembakau Sumatra dan kualiti cigar yang dimilikinya juga sering diperkatakan. Agak menghairankan kerana kondisi cuaca yang berbeza antara Malay archipelago dengan lembah Ardennes yang cukup berbeza masih mampu menghasilkan sesuatu yang identik. Saya tidak dapat menafikan untuk turut memikirkan dan mengaitkan tembakau Bachok di dalam hal ini - jika kita mampu mengeluarkan blend pipa berasaskan tembakau Bachok, bukankah ia akan menjadi eksotik kepada pemipa luar?

Terkadang saya merasakan yang ancaman kepupusan kultivasi tembakau Bachok adalah satu kehilangan besar yang bakal negara kita hadapi, sedang kita sibuk dialun hentaman golongan anti-tembakau yang percaya mereka mampu hidup untuk seribu tahun lagi. But I digress - nanti kita akan bincangkan perihal ini di lain masa dan ketika.

Semois, bagi kebanyakan mereka yang mengenalinya, adalah seperti buah-buahan eksotik yang anda beli untuk dinikmati sekali sekala, pada masa dan ketika anda menginginkan kepuasan dan sedikit rasa eksotik. Saya secara peribadi berpendapat yang adunan rasanya adalah agak mengujakan dan unik, mungkin tidak untuk dijadikan go-to blend (atau mungkin kita belum cukup mencubanya untuk sampai ke konklusi itu) namun sebagai rotasi harian ia adalah blend yang agak baik dan sangat memuaskan.

Seperti halnya dengan perique, kita tidak pasti bilakah kultivasi dan produksi Semois akan terhenti jadi capailah jongkong emas ini apabila anda berpeluang. Jika anda mendapati ianya tidak mendapat perhatian palate anda, sekurang-kurangnya anda tahu dan peka tentang "hpye" yang terbina di sekeliling tembakau kultivasi sejuk ini.
unik dan menakjubkan...

No comments:

Post a Comment