Sunday 10 January 2016

Dunhill - "Titik Putih" yang Unggul.

Kalau Castello dikenali sebagai pipa yang memiliki status kultus - tidak mudah diperolehi di pasaran tetapi menjadi ikutan dan pujaan ramai peminatnya - Dunhill pula adalah sedikit lain. Pendekatan Dunhill lebih kepada "mass appeal", penjenamaan dan imej premium, sesuai dengan tagline mereka "gaya, mutu, keunggulan".

Memulakan perniagaan pada awal 1900, Alfred Dunhill mengubah haluan dari industri pemotoran ke tobacconist dan pembuatan pipa. Kebetulan juga pada ketika itu kualiti pipa-pipa yang ada di pasaran adalah agak rendah. Menyedari yang konsumerisma ketika itu sudah mula menitik-beratkan kualiti dan keunikan produk, Alfred mengambil langkah yang tepat dengan memulakan perniagaan pipa dan tembakaunya.

Apa yang ada pada minda Alfred ketika itu adalah untuk menghasilkan pipa yang tahan lama, melebihi usia pemiliknya. Untuk mencapai tahap sebegitu, bahan asas yang digunakan haruslah dari yang terbaik, dibuat oleh pakar-pakar dan kawalan kualiti yang ketat perlu diikuti. Dengan itu, Alfred mula mendapatkan bekalan briar-briar yang berusia agak tua yang telah dirawat dengan baik. Pada masa yang sama, Alfred juga menggaji berbelas pipemakers untuk membentuk pipa-pipa dengan baik. Kawalan kualiti yang ketat memperkenalkan kita dengan beberapa jenama "second" seperti Hardcastle dan Parker yang asalnya merupakan bowl dari Dunhill yang walaupun baik dan berkualiti, tetapi masih tidak menepati piawaian yang sangat ketat tadi.

Dikatakan, sesebuah pipa dari Dunhill perlu melalui 90 proses dan mengambil masa hingga enam minggu sebelum ia siap dan sedia untuk jualan.

Jolokan "The White Spot" pula dikatakan terhasil secara tidak sengaja, kerana asalnya ia merupakan tanda bagi menentukan kedudukan stem pada pipa. Sejak itu, jolokan ini dikenali di seluruh dunia dan digunakan oleh Dunhill secara meluas.

Dunhill juga telah meng-revolusikan dunia perpipaan dengan beberapa konsep dan ciptaan tersendiri, antaranya "innertube" untuk mencegah air channel dari tersumbat, "oil curing" di mana briar direndam di dalam minyak tertentu sebagai satu "treatment" tambahan untuk mematangkan bowl, dan yang paling penting ialah teknik "sandblast" - yang dikatakan tercipta secara tidak sengaja tetapi terbukti berkesan dalam menyelamatkan ribuan briar yang mungkin tidak memiliki grain yang baik tetapi berkualiti tinggi untuk dijadikan bowl.

Proses sandblast tadi menghasilkan beberapa siri pipa keluaran Dunhill. Yang paling biasa ditemui adalah "Shell Briar". Siri ini disudahi dengan warna hitam untuk memaksimumkan efek sandblast pada briar Algeria yang lembut, manakala "Tanshell" yang sudah pun diberhentikan pengeluarannya pula berwarna coklat terang demi memaparkan jalinan grain dari sandblast ke atas briar Sardinia yang lebih padat. "Ruby Bark" adalah hasil blast yang sama, cuma diwarnakan merah. Sebelum "Ruby Bark", ia dinamakan "Red Bark" tetapi pengeluarannya adalah terhad dan sudah pun diberhentikan. Kini, "Red Bark" menjadi buruan kolektor dek kerana kuantiti penghasilannya yang kecil itu.

Siri sandblast Dunhill juga mempunyai beberapa variasi yang istimewa dan sukar didapati seperti "Ring Grain" - briar straight grain yang disandblastkan - menghasilkan unjuran pola straight grain dan ring grain pada permukaan bowl. Jenis briar yang sama tetapi dilengkapkan dengan stem Cumberland dan diwarnakan sedikit coklat, dinamakan "Shilling". Dunhill "County" dan "Cumberland" juga menggunakan briar yang di sandblast, cuma warna coklatnya adalah lebih terang, dipercayai kerana grain briarnya lebih menarik berbanding "Shell" walaupun tidak seistimewa"Ring Grain" dan "Shilling". Secara peribadi, saya amat menggemari efek "County" terutamanya apabila birdseye tersebar meluas di permukaan sisi bowl.

Bagi versi "smooth" pula, "Bruyere" agaknya adalah yang paling mudah dijumpai, disudahi dengan warna coklat gelap. Finishing yang sama tetapi dengan stem Cumberland, menghasilkan "Chestnut". Kemudiannya, Dunhill "Dress" adalah briar dengan finishing hitam gelap yang menampilkan ciri-ciri elegan dan sesuai untuk majlis-majlis formal. Dan juga kita ada "Amber Root" dan "Amber Flame", briar-briar smooth yang disudahi dengan warna yang agak gelap tetapi memiliki flame grain yang menarik.

Agaknya yang paling kontroversional dan paling diinginkan adalah siri Dunhill "Dead Root" a.k.a DR, di mana ini adalah "fiammata" bagi Dunhill dengan jalinan straight grain mengikut skala bintang (*). Ia disudahi dengan warna coklat terang demi memanipulasikan impak straight grain, dan boleh diklasifikan sebagai "rare" dek kerana sukarnya untuk mendapatkan briar straight grain yang sesuai. Harganya? Sudah tentu melangit. Saya pernah membelek Dunhill DR dengan dua bintang (**) di Cigars Lounge KL sedikit masa dulu, straight billiard bersaiz 5 dengan straight grain yang baik dijual pada RM 6000. Anda bayangkan harganya jika ia berbintang 7 atau 8!

Selain DR, Ring Grain dan Shilling, masih terdapat banyak lagi siri-siri Dunhill yang sukar ditemui, istimewa dan sering diburu kolektor seperti OD (Own Design A,B atau C), Magnum (saiz mega), Quaint (bentuk-bentuk hybrid), Collector (plateau briar) dan beberapa shape dan jenis lagi yang selalunya cepat terjual di pasaran, terutamanya pasaran estate kerana tahap kolektiviti Dunhill yang sememangnya baik. Namun bersedialah untuk mengempiskan wallet anda kerana walaupun estate, harganya masih lagi tinggi!

Strategi pemasaran memainkan peranan yang penting dalam kejituan jualan dan penerimaan penjenamaan atau "branding" sesuatu pipa, malahan terkadang strategi pemasaran lah yang menentukan harga, bukan harga menentukan jenis strategi yang patut diambil. Dalam konteks ini, penjenamaan Dunhill, samada di dalam produk fesyen atau tembakau mereka, adalah senantiasa "premium" dan ia jelas terpampang dengan kadar harga produk-produk mereka berbanding jenama lain yang mungkin setara dari segi kualiti.

Ia semuanya adalah tentang satu "titik putih" yang walaupun ringkas tetapi menggambarkan maskuliniti dan citarasa yang unggul.

No comments:

Post a Comment