Sunday 10 January 2016

Berpipa Adalah Suatu Percutian yang Budiman.

Keseronokan berpipa selalu bertambah menarik dari semasa ke semasa. Ia bagaikan satu habitual organik, yang sentiasa berubah-ubah dan semakin kita "upgrade" diri kita menjadi pemipa yang lebih mapan, makin seronok dan makin kompleks jadinya hobi ini. Perhatian dan fokus seseorang pemipa mapan ini akan sentiasa berlegar-legar; dari pipa kemudian ke baccy dan seterusnya ke aksesori dan sebagainya. Ada sahaja yang "tak kena" - perlu diberi perhatian dan diupgrade lagi dari semasa ke semasa. Perkataan "statik" atau "plateau" seolah-olah tidak wujud bagi kami.

Kerana itulah, saya selalu mengaitkan hobi berpipa ini dengan percutian. Percutian adalah suatu perkara yang semestinya menyeronokkan sesiapapun yang terlibat. Secara amnya, apabila anda pergi bercuti tentunya anda akan bebas dari kerja harian, bebas dari masalah di tempat kerja dan masalah domestik di rumah, bebas dari kesibukan hiruk-pikuk kota, bebas dari segalanya dan tumpuan anda hanyalah pada percutian itu sahaja - lihat, eksplorasi dan nikmati saat-saat yang ada.

Boleh dikatakan, berpipa juga memiliki ciri-ciri dan konsep percutian seperti yang kita bincang tadi, kerana apa pun aktiviti yang melibatkan pipa, ia adalah satu ruang rehat yang unik. Sambil berehat, membersihkan bowl dengan pipecleaners, membuang habuk-habuk dan menggosok permukaan bowl supaya berkilat, lantas menikmati kecantikan straight atau flame grain atau corak-corak sandblast dan rustik, ianya adalah saat-saat yang indah, seperti percutian. Mungkin berjam-jam masa dihabiskan untuk proses tersebut tetapi begitulah, "it's not a waste of time if you enjoy the time you waste" kata orang...

Sebelum bertolak untuk bercuti, kita pastinya teruja mengemas bagasi, memastikan semua cukup; baju sejuk kalau ke negara sejuk, seluar mandi kalau ke pulau-pulau. Malah, kalau tak cukup barang, kita sanggup membelanjakan sedikit duit untuk melengkapkan "keperluan bercuti" ini. Berpipa juga tidak lari dari konsep ini, kita mengemas beg pipa, membersihkan pipa-pipa, memastikan kelengkapan seperti tamper, pipecleaners semua cukup, sebelum turun pipesmeet atau turun berpipa secara solo. Acara mengemas ini, yang sudah tentunya jarang-jarang mendapat tempat di kamus hidup lelaki, menjadi satu acara yang menarik dan mengujakan pula.

Keseronokan bercuti ialah apabila kita sampai di destinasi percutian. Ini lebih mengujakan sekiranya tempat itu belum pernah dikunjungi dan suatu perasaan seronok untuk eksplorasi dan melihat-lihat kita rasakan. Begitu juga halnya ketika kita membeli baccy atau blend keluaran baru; perasaan ingin tahu apakah blend baru itu lebih baik dari yang sedia ada, hebatkan penggunaan tembakaunya, sedap ke tidak flavornya, adalah juga satu eksplorasi pada kadar yang tidak kurang hebatnya. Ya, memahami rasa blend yang dibeli dan menikmati dedaun berharga yang dituai dan diperamkan, kemudian diadun dengan beberapa daunan lain, menjadikan blend itu "potent", stabil dan enak untuk diulit, itu lah destinasi kita.

Percutian juga tidak sah tanpa mengambil gambar dan posing sana sini. Tentulah gambar kita berlatar-belakangkan tempat-tempat atau scenery menarik itu akan menjadi kenangan yang indah bila dilihat semula kelak. Berpipa juga serupa. Seringkali kita lihat pemipa seronok bergambar dengan pipa -pipa mereka, dengan baccy-baccy baru dan juga gambar-gambar di pipesmeet. Nah, lihat saja gambar rakan-rakan kita di dalam whatsapp group masing-masing. Meriah bukan?

Dalam mengkaji dan meneliti persamaan hobi berpipa dengan keseronokan percutian ini, saya merasakan betapa bertuahnya kita kerana memiliki kedua-dua keseronokan ini secara serentak, apabila bersiap-siap untuk bercuti. Keseronokan tambahan yang pemipa miliki adalah dalam mengemaskan beg pipa mereka bersama-sama bagasi percutian. Kita boleh tenggelam di dalam keasyikan memilih pipa-pipa yang mahu dibawa bersama (ya, kita harus adil dan mengikuti rotasi pipa sebaik mungkin; bukan semuanya harus dibawa serentak), memilih baccy-baccy yang mahu dinikmati ketika percutian, memastikan alatan / tools semua cukup dan sebagainya. Malahan, kadangkala menyiapkan beg pipa mengambil masa yang lebih lama dari menyiapkan bagasi baju sendiri!

Sesungguhnya berpipa ini adalah suatu hobi yang menyeronokkan dan bermakna. Baik atau buruk terpulanglah kepada anda atau individu masing-masing tetapi dedikasi pemipa terhadap hobi ini sememangnya kuat dan pembudayaan berpipa adalah satu gerakan yang sangat maskulin lagi budiman (gentlemanly). Ia adalah satu percutian yang budiman bagi kami dan berilah kami peluang untuk menikmati percutian ini tanpa sebarang prejudis...

No comments:

Post a Comment