Sunday 10 January 2016

Anekdot Perpipaan #3 : "first smoke is the sweetest..."

Suatu hari di bulan Ramadhan itu...

Keinginan untuk berpipa ini datangnya tidak dijangka. Ia boleh jadi diajak rakan-rakan, boleh juga kerana kagum melihat watak filem bergaya mengenakan pipa. Juga mungkin, terlihat pergerakan aktiviti berpipa di Facebook atau internet.

Permulaan saya agak berlainan; seronok tetapi merasa ketinggalan apabila berpeleseran minum-minum teh tanpa pipa di mulut bersama pakcik-pakcik geng "pencen" yang masing2 mengelumit pipa sambil bercerita tentang sawit, tentang kebun pisang, tentang perkara-perkara yang jauh dari keserabutan digital di pekan kecil bernama Bidor. Liberasi ini sememangnya sesuatu yang sangat saya perlukan, memandangkan kesibukan saya bekerja sepanjang hari terubat dengan aktiviti ini saban hari minggu. Jadi, pada malam itu, saya sudah pun merancang untuk mendapatkan "satu".

Mengenangkan diri datangnya dari working class yang mendapatkan duit hanya dari hasil titik peluh bekerja, Dunhill, Castello, Ser Jacopo, Winslow dan seumpamanya bukanlah dalam lingkungan target pertama saya. Apatah lagi Danish Artisans. Peruntukan yang saya berikan untuk diri adalah RM 300; jika kurang adalah bonus untuk makan-makan dan seumpamanya. Jika kita lihat, dengan RM 300 ini bolehlah untuk mendapatkan pipa-pipa briar jenama sedikit bawah dari pertengahan. "Decent brand" lah kata orang.

Jadi, setelah menempuhi perjalanan penuh debar ke kedai pipa, menilik segala pipa yang ada (termasuklah Ferrari Design dan Dunhill, walaupun tahu ia bukan dalam lingkungan peruntukan asal), saya memilih Big Ben "Bora" yang berbentuk tidak kontemporari ini, tetapi memiliki birdseye yang cantik pada kedua belah bowl. Savinelli Pisa juga sangat menarik, namun berharga RM 350 dan sedikit tinggi melangkaui peruntukan asal ketika itu.

Mengapa tidak corn cob? Sebenarnya, jika ketika itu saya sudah menjumpai kedai yang menjual corncob, pasti saya akan makan besar pada malam itu. Pergi membeli pipa pertama dengan pengetahuan yang agak limited, corncob tidak muncul di fikiran saya ketika itu. Tetapi, ada rahmatnya. Pendapat personal saya mengatakan yang corncob ini lebih baik untuk pemipa yang sudah sedikit berpengalaman, yang mulai meneroka material lain selain briar. Ini adalah kerana corncob tidak memiliki novelti dan "longevity" untuk pemipa pemula jatuh cinta padanya; tiada grain-grain cantik, tiada birdseye untuk memukau perhatian, tiada urat-urat halus sandblasted untuk mengguris jari jemari. Jadi, pemipa pemula mungkin akan cepat jemu dan beralih arah kepada rokok semula.

Lagi pun, faktor harga corncob mungkin membuatkan pemipa pemula acuh tak acuh pada hobi ini. Briar adalah sedikit mahal jadi pemipa pemula mungkin lebih menghargai "pelaburan" yang telah dilakukan dan mengambil pendekatan yang lebih serius dalam hobi berpipa ini - sekadar pendapat saya.

Lama Big Ben itu ditilik-tilik pada jam pertama pembeliannya, sambil menghabiskan baki peruntukan tadi di kedai Nasi Ganja Ipoh, sehingga mamak-mamak di situ agak hairan. Dan saya akui sepanjang sebulan dua pertama itu, "angau" kepada pipa pertama adalah kuat. Ia dibawa ke mana saja. Birdseye nya adalah sangat memukau (berbalik kepada konsep "longevity" tadi) dan menarik untuk dilihat dan ditilik pada penataan cahaya yang berbeza-beza.

Adalah satu rahmat juga yang pipa pertama saya ini memiliki airflow yang baik, kejuruteraan pipa yang mantap dan memuaskan. Entah berapa ratus saudara kita di luar sana yang meninggalkan dunia pipa dengan tanggapan pipa adalah hobi yang sukar - selalunya disebabkan airflow yang teruk dari pipa yang berkategori "basket". Bukan teknik sahaja yang penting untuk kesinambungan berpipa tetapi jenis pipa pertama juga memainkan peranan; jika anda bernasib tidak baik untuk memiliki "basket pipe" yang datang dengan airflow yang kurang memuaskan, khatamlah segala ilmu dan teknik berpipa pun, airflownya tetap tidak baik dan nikmat berpipa tetap tidak dapat dinikmati.

Tahun demi tahun berlalu dan pipa-pipa lain datang dan pergi, pipa pertama masih kekal berkhidmat dan sedia beraksi apabila diperlukan. Sememangnya nostalgik memikirkan akan saat itu, lebih-lebih lagi keseronokan dan "thrill" pembelian pertama di mana pengetahuan kita adalah terhad tetapi kebarangkalian di hadapan adalah pelbagai. Masih, terjunan ke dunia pipa diambil tanpa sedikit pun rasa gusar.

Kalau kecundang bercinta kita disogokkan dengan pepatah "first cut is the deepest", mengapa berpipa kita tidak menggunakan "first smoke is the sweetest" ?

No comments:

Post a Comment