Saturday, 30 December 2017

2017 Recap : Melarat Hingga Ka-Senja

Masa adalah jauh lebih berharga dari wang dan darjat. Masa yang pergi tidak boleh dikembalikan dan apa yang sudah terlepas tidak dapat kita nikmati semula apabila kita mahukan ia sekarang. Kita tidak menjadi semakin muda. Masa juga tidak menjadi semakin panjang.
2017 bakal meninggalkan kita minggu hadapan dan 2018 pula akan menyambut kita dengan segala azam dan janji baru yang dibawa bersama olehnya. Saya berharap di sepanjang 52 minggu kita bersama pada tahun 2017 ini, kita telah pun hidup untuk setiap hari dan mencapai apa jua resolusi tahunan kita. Atau paling tidak berusaha kearah merealisasikan mimpi itu dan mungkin kita akan bernasib baik untuk mendapatkannya pada tahun hadapan.
Sebagai satu penghormatan buat Allahyarham Shahnon Ahmad, sasterawan negara yang baru sahaja pergi meninggalkan kita (alFatihah buat arwah), adalah sangat berpadanan untuk saya mengenakan tajuk recap kita pada tahun ini bersempena dengan salah satu tajuk di dalam novel beliau “Rentong”, yang juga sangat sesuai dengan kondisi kita pemipa yang semakin melarat dek kerana tekanan-tekanan semasa.
Dengan itu marilah kita lihat kepada beberapa faktor-faktor downturn untuk pemipa disepanjang 2017.
 
1. Larangan Anti-Tembakau yang Semakin Ganas.
Adalah menjadi satu fitrah manusia untuk hidup sihat. Semua kita tentunya mahukan kehidupan yang begitu. Namun secara faktualnya manusia semakin sakit. Anda tidak sedarkah yang semakin banyak hospital baru dibina? Ini adalah kerana semakin ramai pesakit yang menerima rawatan di hospital sepanjang tahun. Dan adakah punca pertambahan jumlah pesakit ini adalah disebabkan oleh produk-produk tembakau – Are you kidding me?
Tanpa larangan penggunaan tembakau di sana-sini, tanpa percukaian tembakau yang tinggi, tanpa kerisauan tentang “secondary smoke” (terkadang, saya terfikirkan bagaimana agaknya golongan anti tembakau duduk di sebelah perokok di dalam kapal terbang dahulu?) dan sebagainya, datuk-nenek kita masih mampu hidup sihat sehingga ke umur 100 tahun.
2. Ketidakstabilan dan Kejatuhan Ringgit.
Membeli pipa dan baccy, sama ada melalui internet atau ketika melancong / bekerja di luar negara adalah sesuatu yang lebih mahal berbanding tahun lepas. Kita menyaksikan nilai Ringgit menjunam dari RM3.35 hingga ke RM5 kepada $1! Ini menyebabkan harga pipa dan baccy yang kita beli meningkat hingga 25-30%, dan sudah tentu ianya sesuatu yang kita tidak mahukan secara berterusan.
Bahan-bahan mentah untuk pipemaker seperti blok briar, akrilik untuk stem dan lain-lain juga turut meningkat kerana kesemuanya dibeli dari luar. Jadi sedikit sebanyak ia akan menyebabkan kepada kenaikan harga pipa tempatan, atau paling tidak akan mengurangkan profitabiliti untuk pemipa tempatan terus berkarya.


3. Ancaman “Deeming Act”.
Mulai 2009 the Tobacco Control Act (TCA) telah memperkenalkan satu regulasi baru yang dikenali sebagai “deeming process” (atau lebih dikenali sebagai “deeming act” di kalangan industri pertembakauan) yang memberikan kuasa kepada FDA untuk campurtangan di dalam pengeluaran dan penjualan produk-produk tembakau. Ini meletakkan industri pertembakauan di dalam satu situasi yang agak stagnant kerana banyak larangan yang dikenakan dan aturan yang lebih ketat menanti.
Antara yang bakal diregulasikan adalah larangan untuk special packing, larangan untuk pengeluaran edisi-edisi terhad atau keluaran tahunan khusus, malah lebih dahsyat lagi adalah larangan untuk penggunaan kotak-kotak atau tin yang menarik pengguna seperti hiasan berwarna emas dan sebagainya. Ia mungkin agak memakan masa untuk diregulasikan namun tidak salah untuk kita jangkakan sesuatu yang malap dan banal di dalam industri pertembakauan sedikit masa lagi.
Walau bagaimanapun dunia perpipaan kita juga turut diwarnai oleh beberapa highlights yang kita boleh lihat;

4. Kurangnya Jurang Antara Pipa dan Cerut
Sebelum ini pemipa dan pencerut agak sukar untuk duduk semeja. Kita masih ingat bagaimana pencerut berkerut muka apabila tercium bau asap English blend dan bagaimana pemipa melihat pencerut sebagai “snobbish kind of person”. Well, mungkin masih ada segelintir snobbishness di situ akan tetapi sekarang pencerut dan pemipa secara amnya dapat duduk semeja dan menikmati tembakau secara aman.
Buktinya? Ada banyak pipemeet cum cigarmeet yang berlaku di sepanjang 2017 dan kebanyakan pemipa juga enjoy menikmati cerut, sama ada secara berterusan atau occasionally. Which is a good thing. Dan inilah apa yang seharusnya berlaku, dimana kenikmatan tembakau dapat diperluaskan lagi.


5. We Are In Retrograde – ketaksuban kita kepada cara lama
Old school is a good school. Kita selalu membandingkan dan mengeluh tentang betapa baiknya sesuatu yang kita lakukan seperti waktu terdahulu. Terkadang kita terlalu sibuk dengan perkembangan teknologi sehinggakan kita lupa yang cara lama adalah masih baik dan relevan.
Antara perkara-perkara lama yang membuat comeback di dunia perpipaan adalah seperti pipa clay, stem amber dan tanduk, penjelmaan semula bentuk-bentuk yang sangat popular pada sedikit masa dahulu seperti Cutty. Malah, untuk pencerut juga kita memiliki beberapa old-style revival seperti kaedah Pilon dan Entubado.
Dari sudut apa pun kita melihat, dunia perpipaan masih menjanjikan keseronokan yang sama seperti dahulu. Mungkin 2017 mengandungi banyak dugaan dan cabaran, namun cabaran-cabaran sebeginilah yang mematangkan kita pemipa. Oleh itu marilah kita ucapkan terima kasih kepada 2017 dan bersedia untuk menempuhi 2018 yang kita tidak ketahui apa lagi halangan dan onak duri yang bakal terbentang…
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Friday, 22 December 2017

Peterson Amber Spigot : Menjejak Praktikaliti & Keindahan Amber Di Dalam Dunia Perpipaan

 
Sebagai sebuah firma pipa tersohor dunia, Peterson tidak boleh lari dari penggunaan bahan-bahan istimewa di dalam pengeluaran pipa. Malahan, mereka mungkin adalah jenama yang paling banyak menggunakan bahan-bahan lain sebagai komponen atau aksentuasi pipa-pipa keluaran mereka. Lihat sahaja kepada siri Sherlock Holmes yang menggunakan meerschaum blok A Turki, Peterson Tawny Deluxe dengan bowl meerschaum Afrika bersama efek rim hangus, siri yang menggunakan meerschaum Afrika yang di”latticed” dan diwarnakan, juga penggunaan flock-flock perak dan emas untuk army mount dan spigot. Mereka sememangnya menyukai aksentuasi sebegini dan dengan secara sangat kreatif telah pun memikat kita pemipa untuk mendekati Peterson.
 
Tidak lama kemudian, kita dikejutkan dengan penemuan stem-stem amber stok lama, bersama dengan rekod pembelian amber dari tahun 30an. Penemuan ini agak mengejutkan juga sebenarnya, kerana tidak banyak spesimen-spesimen Peterson dengan stem amber wujud sekarang. Sama ada Charles Peterson sendiri yang kurang menggemari penggunaan amber atau sifat amber yang brittle menyebabkan spesimen yang masih ada adalah antara unit-unit yang terjaga rapi manakala yang lain telah patah / hancur / rosak ditelan zaman. Namun hakikatnya blok amber yang dibeli itu telah dikerjakan untuk menjadi sekumpulan stem dan kemudiannya terbiar di satu sudut kilang Peterson, sehinggalah beberapa pelawat menzahirkan minat mereka terhadap simpanan berharga ini.
 
Sememangnya selain dari pipa-pipa vintaj yang lengkap dengan kotak baldu keluaran awal abad ke 20, bahan amber sememangnya dilupakan oleh Peterson kerana tiada pengeluaran stem amber dengan siri yang kukuh semenjak itu. Teori asas yang paling boleh digunapakai adalah hilangnya minat masyarakat pemipa terhadap bahan indah ini semenjak perang dunia kedua hingga lah ke sekarang. Mungkin juga pada ketika itu plastik awal seperti Bakelite mula muncul dan praktikaliti amber sebagai bahan stem adalah dipersoalkan – menyebabkan stok stem ini disimpan dan dilupai hingga sekarang.

Sewaktu saya menyedari akan pengeluaran terhad Peterson Amber Spigot ini, ia sudah pun berlalu selama dua bulan dan apa yang ada di smokingpipes.com (ketika itu Peterson Amber Spigot hanya boleh didapati di sana, dek kerana Shane Ireland dan Sykes Wilford berjaya memujuk Conor Palmer untuk mengeluarkan siri khusus ini) sudah pun lama habis terjual. Diberitakan, ia semua habis terjual di dalam masa seminggu sahaja.
 
Mengenangkan akan kejayaan pengeluaran edisi pertama (yang mungkin bersifat percubaan itu), Peterson mengeluarkan pula Amber Spigot untuk versi yang seterusnya. Kali ini, kita difahamkan yang stok bahan amber telah pun dihabiskan jadi berkemungkinan besar ia adalah keluaran Amber Spigot yang terakhir. Peterson tidak bercadang untuk terus mencari bahan amber selain dari stok yang mereka ada ini – dan jika ingin dicari sekali pun, ia pastinya adalah agak sukar untuk menemui bahan asli yang sesuai sekarang. Jauh lebih sukar berbanding hampir seabad dahulu. Tidak dinyatakan pula berapa banyak pipa Amber Spigot yang dihasilkan, namun pada perkiraan saya mungkin di sekitar 100-200 unit sahaja, dan apa yang ada di pasaran mungkin adalah di bawah seratus unit.
 
Charles Peterson sendiri mengerjakan bahan stem ini, dibantu oleh orang kanannya Jimmy Malone demi mengurangkan kebarangkalian stem-stem reject yang hanya akan merugikan blok amber yang mahal. Namun seperti yang saya katakan tadi tidak banyak pipa-pipa Peterson yang terhias dengan stem amber yang dapat kita temui di pasaran estate sekarang. Jadi besar kemungkinan Charles Peterson bertindak untuk tidak mengeluarkan pipa-pipa dengan stem ini maka ia terbiar di stor mereka untuk lebih setengah abad! Oleh itu, keluaran Amber Spigot adalah siri terbaik untuk seorang peminat Peterson menemukan gandingan briar dan amber ini.

Kita boleh perhatikan juga pada keluaran stem amber ini akan beberapa features awal pembuatan stem Peterson. Banyak di antara stem-stem ini yang memiliki orifice / bukaan lubang bulat – dimana kita tahu kebanyakan pipa hari ini memiliki stem dengan bukan segiempat tepat. Orifice bulat ini bukan sahaja tanda ia telah dikerjakan pada suatu ketika dahulu, malah ia juga menandakan yang pada ketika itu pun amber adalah bahan yang sangat dihargai – pipemaker takut untuk mengambil risiko dengan membuat orifice yang lebih besar dan rumit, kerana sedikit silap langkah akan menyebabkan kerosakan pada bahagian button dan begitulah ruginya satu bahan yang sangat bernilai.
 
Mengenangkan yang pemipa zaman ini mungkin mahu menyimpan stem amber ini sebagai satu memoir sejarah smoking parnaphelia ataupun sebagai investment di masa hadapan (bukan setakat sebagai pipa estate yang baik, malah bahan amber asli itu juga tentunya bakal memiliki harga yang sangat baik pada suatu masa kelak), Peterson juga menyediakan sebuah lagi stem akrilik yang datang bersama pipa ini, sekiranya ia mahu digunakan. Namun walaupun stem amber itu lah yang akan digunakan, tidak ada sebab yang perlu dirisaukan kerana pemipa zaman sekarang kebanyakannya adalah well-educated, bijak dan cermat. Kita tahu bagaimana untuk menjaga dan mengendalikan bahan bernilai ini sebaiknya. Ini adalah berbeza dengan pengeluaran pertama yang tidak didatangkan dengan stem akrilik tambahan (dan ia juga dijual pada harga sedikit murah berbanding yang baru).
 
Di sepanjang pemerhatian saya juga, briar-briar yang digunakan untuk siri ini adalah sangat baik. Banyak yang memiliki cross-grain yang indah, dan terdapat beberapa yang tampil dengan birdseye yang memukau jiwa, walaupun tidak banyak yang memiliki unjuran straight grain (well, bukankah kebanyakan Peterson adalah begitu? – nanti kita akan kupaskan perihal ini di artikel lain). Sememangnya Peterson menggunakan briar-briar yang terpilih untuk siri ini. Namun jangan pula anda menjangkakan yang siri ini tidak didatangkan dengan briar berfinishing rustik. Memang ada briar-briar rusticated untuk Amber Spigot dan penegasan yang terhasil dari warna stem yang jingga-keemasan dengan rustik hitam adalah sangat mengasyikkan!
Pada saya, praktikal atau tidak, amber memiliki tempat yang istimewa di dalam hati seseorang pemipa. Keindahannya, mistik dan statusnya adalah sangat menggoda. Paling tidak, ia akan membuatkan anda pemipa untuk menjadi lebih berhati-hati dan bertanggungjawab apabila mengendalikannya. Dan anda gabungkan perihal ini dengan pembuatan pipa Peterson yang bersejarah dan pengalaman mereka di dalam penghasilan pipa – anda sedang melihat kepada sebuah heritage sejarah perpipaaan yang sangat bermakna.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Sunday, 17 December 2017

Amber Stem : Keberadaan, Pembuatan & Praktikalitinya Sekarang

Daripada artikel lepas, kita telah pun mengetahui secara lebih terperinci tentang asal-usul amber, jenis-jenis yang ada di pasaran, ceritera dan folklore yang menyelubunginya serta bagaimana ia mula digunakan sebagai stem pipa. Kali ini kita akan terjun dengan lebih menjunam lagi tentang kepenggunaan amber sebagai stem pipa, masalah yang dihadapi oleh pipemakers di dalam mengendalikan amber, keterujaan masyarakat pemipa semula terhadap bahan ini (adakah satu novelti?) dan keberadaannya sekarang.
Imej dari smokingpipes

Stem amber secara tiba-tiba menjadi agak popular sekarang. Namun populariti itu tidak bersaling-kadaran dengan keberadaannya kerana ramai pemipa bercerita tentangnya tetapi untuk mendapatkan stem amber pada zaman ini adalah seperti mencari hidangan telur belangkas. Ya, ia masih ada namun pada kadar yang sangat terhad. Ini berikutan dengan kesukaran untuk mendapatkan bahan dengan saiz yang sesuai untuk dijadikan stem pipa. Blok amber berkualiti baik dan bersaiz besar adalah sangat sukar untuk didapati dan ia menjadi satu “lapidary dreams” terutamanya kepada dunia permata.
 
Dek kerana itu lah julat harga amber juga adalah sangat luas – ia boleh dibeli pada kadar RM100 sebiji cabochon kecil untuk dibuat batu cincin dan mampu meraih empat angka untuk top quality, cherry red amber yang bersaiz besar. Sebagai contoh, blok bersaiz sedang seperti gambar di bawah ini berharga RM40-50 per gram dan blok ini secara keseluruhannya adalah 36.8 gram. Paling tidak, harga blok amber asli ini adalah RM1,472 dan ia kelihatan seperti hanya mampu menghasilkan dua atau tiga batang stem bersaiz kecil dan sederhana sahaja!
Masalah keberadaan amber ni sebenarnya telah wujud sejak beratus tahun dahulu lagi. Maka untuk mengatasi masalah ini, “pressed amber” mulai dikeluarkan di pasaran demi memenuhi permintaan yang tidak pernah cukup itu. Pressed amber atau juga dikenali sebagai “reconstituted amber” adalah blok amber yang terbina dari ketulan-ketulan amber kecil yang dipanaskan sehingga ke suhu dimana ia akan menjadi separa cair dan bersatu sesama sendiri. Apabila ia bersatu, ia akan dimasukkan ke dalam acuan untuk dijadikan blok yang baru pada apa-apa saiz dan bentuk yang dimahukan. Dari segi struktur bahan, ia sebenarnya agak baik kerana pressed amber ini adalah lebih liat dan kuat berbanding amber asli. Namun, sepertimana kita pemipa mahukan blok meerschaum lebih dari compressed meerschaum (serbuk meerschaum yang dikompres untuk dijadikan blok dan diukir semula untuk dijadikan pipa-pipa meerschaum berkualiti rendah), begitu juga lah halnya dengan pressed amber. Nothing is as good as the real thing.
Imej dari eBay.com
Plastik telah merevolusikan dunia pembuatan secara umumnya dan Bakelite adalah bahan plastik pertama yang dicipta. Dunia amber juga tidak terkecuali dari menerima sentuhan plastik ini dan pada sekitar 1940an amberoids pun tercipta. Amberoids adalah campuran amber dengan bakelite, yang kebiasaannya digunakan sebagai bahan filler untuk memasukkan serangga ke dalam amber asli supaya ia dapat dijual pada harga yang lebih mahal, atau bahan tambahan untuk membentuk blok amber yang lebih besar. Bagi purist, ia tidak diterima sebagai amber kerana terdapat unsur berlainan di dalam bahan tersebut. Populariti amberoids mulai terhakis apabila bahan plastik yang lebih maju mulai digunakan, menjadikan ia lebih mudah untuk menggunakan akrilik yang menyerupai amber, lengkap dengan warna dan pattern “swirl” atau “spangles” sepertimana yang dimahukan.

Berbalik kepada zaman sekarang, what’s the fuss with amber? Dahulu amber sememangnya satu bahan penting di dalam dunia pertembakauan – seperti yang saya katakan di artikel lepas populariti amber berada di kemuncak pada sekitar 192an, ketika hampir setengah dari pengeluaran amber dunia adalah untuk bahan-bahan tobakiana seperti stem-stem pipa dan cheroots holder. Malah ia diabadikan di dalam penulisan karya agung seperti My Lady Nicotine, yang memberikan bukti betapa amber adalah “much coveted” bagi pemipa di zaman itu.
 
Buat pemipa abad ini pula, stem amber memperlambangkan sesuatu yang klasik, rarity dan mewah. Kita selalu lihat pipa-pipa lama, terutamanya yang terbuat dari blok meerschaum gred A Eskisehir berwarna putih mulus yang diukir halus dan penuh berseni, dihias indah dengan stem amber. Sudah tentu juga banyak tona warna kuning keemasan-jingga-merah dan pelbagai tahap clarity bahan amber ini, yang berbeza mengikut kualiti bongkah asal masing-masing. Mungkin lebih senang untuk kita labelkan dengan kategori seperti lutsinar, separa lutsinar dengan cloud atau awan, atau opaque dengan warna yang solid dan tidak tembus penglihatan. Opaque juga memiliki beberapa tona warna seperti merah-jingga, kekuningan, dan kuning memutih yang kusam.
Dari pemerhatian saya kebanyakan stem amber asli adalah di dalam kategori kuning-jingga (terkadang kuning kusam naik ke putih), bersifat opaque dan homogeneous – jarang sekali mempamirkan sifat “cloudy”. Ini adalah baik secara teori nya, kerana ia lebih liat akan tetapi kurang baik dari segi nilainya, kerana sedikit kejernihan amber itu memberikan petanda ia adalah dari blok yang berkualiti tinggi.
 
Walau bagaimanapun faktor clarity ini hanyalah sebuah aturan kualiti dari sudut gemmology nya. Kecantikan amber sebenarnya turut terletak kepada faktor “cloudy” dan tint sepertimana jed dan boulder opal. Sesetengah amber dengan corak cloudy yang menarik, disulami sedikit tint kemerahan juga adalah sangat mempesonakan dan mampu meraih harga yang baik di pasaran. Dan bagi amber asli, inclusion seperti serangga atau tumbuhan prasejarah di dalamnya (masih ingat filem Jurassic Park?), jika bukan buatan baru yang ditambah ke dalam amber asli itu, adalah sangat bernilai.
Dari segi kesukaran dan dilema pembuatannya, tidak banyak yang kita ketahui dek kerana amber sememangnya jarang digunakan sekarang. Namun pada masa lalu pembuatan stem amber terhad kepada pekerja yang paling mahir sahaja, demi mengurangkan kebarangkalian stem yang rosak yang akan merugikan mana-mana pembuatan dek kerana harga blok amber yang sedia mahal. Apa yang juga disentuh adalah kesukaran untuk membengkokkan stem amber. Penggunaan minyak tertentu (bukan direct flame) serta bahan lain untuk memanaskan amber, kawalan suhu ketika proses membengkokkan stem dan cara yang betul untuk melakukannya adalah sangat terperinci dan menuntut kemahiran tinggi. Oleh kerana limitasi-limitasi sebegini, boleh dikatakan kebanyakan stem amber yang dihasilkan adalah stem lurus.
 
Sekarang, masih terdapat beberapa artisan yang menggunakan amber sebagai bahan stem mereka, walaupun pengeluaran pipa-pipa sebegini bersifat “seasonal” – mungkin apabila mereka memiliki bahan amber yang cukup untuk dijadikan stem, atau ketika minat terhadap bahan amber sedang meningkat naik. Dan terbaru sekali adalah siri Amber Spigot dari Peterson, sebuah keluaran khusus yang “tidak disengajakan” dan mungkin tidak akan lama berada di pasaran. Kita akan melihat dengan lebih lanjut akan Amber Spigot dari Peterson ini kelak.
Dengan itu tahulah kita akan peranan amber yang sedikit sebanyak menyerikan dunia perpipaan dengan sifatnya yang cantik dan berharga. Lupakan sebentar akan praktikalitinya dan raikanlah sedikit cetusan kegembiraan yang ada di dunia pipa ini sepertimana datuk nenek moyang kita pernah rasai dahulu. Memahami dan memiliki stem amber juga dapat memberikan anda secebis picisan sejarah perpipaan dan tobakiana yang sangat bernilai- bak satu petanda akan budaya perpipaan kita yang sangat gah sekali suatu ketika dahulu.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Sunday, 10 December 2017

Amber Stem : Asal-Usul, Folklore & Popularitinya

imej dari amber-island.com
*imej dari amber-island.com
Amber adalah resin organik yang datang dari sejenis pokok pine yang sudah tidak lagi wujud di dunia ini. Ia melalui proses reaksi polimerisasi yang sangat panjang, sekitar 15 juta tahun lalu. Malah, dikatakan terdapat juga amber yang berusia lebih dari ratus jutaan tahun! Ia juga dikenali sebagai “Gold of the North”mengenangkan warnanya yang berada di antara spektrum kuning-jingga-merah dan lokasi penemuannya yang selalunya didapati di sekitar Eropah Timur dan Lautan Baltik.

Imej dari Amazon.com
imej dari Amazon.com
Amber memiliki specific gravity yang sangat rendah, dan ia mampu terapung di dalam air masin. Dan begitulah bagaimana sebilangan kecil deposit amber di Lautan Baltik diperolehi, apabila penduduk di pinggir pantai sana dapat mengekstrak amber dengan mudah dengan menemuinya terapung di atas air, terutamanya selepas cuaca buruk di lautan yang menyebabkan serpihan deposit ini timbul ke permukaan dan dihanyutkan ke pantai. Akan tetapi memandangkan harga amber yang agak mahal sekarang, banyak pemburu amber memilih untuk terjun menyelam dan mencari deposit itu di dasar lautan Baltik itu sendiri. Mengenangkan amber tergolong sebagai organic gemstone sebaris dengan mutiara, marjan dan gading, sudah tentu manusia sanggup bersusah payah untuk mendapatkannya.

imej dari amber-island.com
*imej dari amber-island.com
Sebelum ia dikenali sebagai “amber”, masyarakat Greek sudah pun menggunakannya, dimana amber dirujuk sebagai “elektron” yang bermaksud “diperbuat dari matahari”. Malah dari nama Greek inilah perkataan “electricity” terhasil, dek kerana atribusi elektrostatik yang mampu dijanakan oleh amber apabila ia digosok. Selain Greek, dunia timur tengah juga memiliki ketaksuban mereka yang tersendiri terhadap amber. Dari sinilah nama “amber” yang kita ketahui sekarang mulai digunakan, datang dari bahasa Persia lama “ambar”. Sudah tentu masyarakat Persia, keseluruhan lembah Arab dan Turki juga sangat menggemari amber. Mereka selalu menggunakan bahan itu sebagai manik untuk tasbih serta sebagai permata untuk barang-barang kemas mereka. Sifatnya yang mampu menjana elektrostatik dan warna jingga-keemasan itulah yang mendorong minat mereka terhadap bahan ini.

Imej dari amberpieces.com
*imej dari amberpieces.com
Sesuai dengan nilainya yang tinggi, amber pernah digunakan sebagai satu bentuk mata wang untuk tukaran tidak lama dahulu, sama seperti bahan emas dan perak. Juga di zaman kemuncak popularitinya, jalan perdagangan yang membawa amber dari lautan Baltik merentasi dataran German dan Slavik hingga ke Rom dan utara Itali menuju ke bandar-bandar pelabuhan di pesisir lautan Mediterranean digelar sebagai “Amber Road”. Ia diperdagangkan di sekitar Amber Road ini hingga ke Mesir dan Syria dan seterusnya ke lembah Arab dan dunia, menjadikannya antara satu komoditi yang sangat berharga pada waktu itu.

imej dari pinterest.com
*imej dari pinterest.com
Kecantikan dan kesukaran untuk mendapatkannya sudah lebih dari cukup untuk memastikan yang amber digilai dan diminati. Sudah tentu juga terdapat beberapa folklore, mistik dan khasiat-khasiat amber yang menambahkan lagi tumpuan dan “curiosity” orang ramai terhadapnya. Amber dikatakan memiliki aura positif yang mampu menghapuskan negativiti di dalam badan pemakai. Ia juga dikatakan mampu menjadikan pemakainya lebih kuat dan bijak, penyelamat dari kejahatan, membawa tuah dan sebagainya. Tidak mahu diulit lebih lama dengan mistik amber, apa yang lebih bermakna dan menarik bagi saya adalah sifat-sifat amber yang agak simbolik, seperti kemampuannya menarik objek-objek kecil disekelilingnya selepas ia digosok (penjanaan elektrostatik) bagaikan ia mampu menarik positiviti di sekeliling pemakainya. Amber juga turut digunakan di dalam perubatan kuno dimana serbuk amber dicampur dengan minyak zaitun dan beberapa bahan lain untuk dijadikan remedi kepada rheumatic fever, luka-luka kecil dan juga arthritis. Malah, ia dikatakan mampu memulihkan histeria!

Imej dari smokingpipes.com
*imej dari smokingpipes.com
Jadi bagaimana amber boleh terseret ke kancah perpipaan? Sebelum vulcanite dan akrilik tercipta, stem pipa terbuat dari bahan semulajadi seperti kayu, reed, tulang dan tanduk / gading. Sebagaimana manusia berevolusi begitu jualah yang berlaku kepada kepenggunaan bahan; ia turut mengikut perkembangan kehendak manusia. Manusia mahukan sesuatu yang asas seperti selesa untuk pegangan, ringan untuk dibawa ke sana-sini, dan lama-kelamaan kehendak asas yang ringkas sebegini berevolusi menjadi lebih kompleks seperti mahukan sesuatu yang cantik dilihat, yang memiliki nilai harga yang tinggi, yang sukar diperolehi dan unik untuk digunakan.

Tanduk boleh dikatakan adalah berkategori “separa premium” dan eksotik kerana ia lebih sukar didapati dan dikerjakan berbanding kayu. Akan tetapi apabila panas, tanduk boleh memberikan sedikit rasa yang agak aneh atau berbau kurang menyenangkan, kerana ia adalah terdiri dari bahan keratin. Amber asli bersifat sangat neutral dan tidak memberikan apa-apa rasa di lidah kita. Ditambah pula dengan warnanya yang cantik, ia tentunya adalah bahan premium pilihan untuk menggantikan tanduk. Manakala bahan gading pula adalah lebih terarah kepada cheroot holder dan kurang digunakan sebagai stem pipa.
imej dari RGBStock.com
*imej dari RGBStock.com
Diberitakan, populariti amber sampai ke kemuncaknya apabila hampir setengah dari pengeluaran amber dunia adalah untuk bahan-bahan tobakiana seperti cheroot holders dan stem-stem pipa pada 1920an. Walaupun begitu, permasalahan amber adalah lebih kepada faktor keberadaan di dalam saiz yang besar – yang sesuai untuk dikerjakan. Blok amber bersaiz besar adalah sangat mahal dan sukar untuk ditemui. Juga faktor klariti mempengaruhi harga pasaran amber, dimana amber yang berwarna cherry red pekat yang lutsinar adalah yang paling mahal dan selalu digunakan sebagai bahan permata, manakala amber jenis opaque berwarna kuning-jingga adalah lebih mudah untuk didapatkan walaupun harganya masih mahal. Untuk mendapatkan blok-blok top grade sebegitu, sudah tentu akan timbul soal kesukaran dari segi harga vs kesesuaiannya untuk digunakan sebagai bahan stem pipa.

Agak ironi untuk memikirkan penggunaan amber sebagai stem pipa sebenarnya kerana ia adalah agak lembut dan boleh menjadi “brittle”. Dengan Mohs scale 2-3, amber pastinya memerlukan penjagaan yang rapi. Jika anda pernah membaca buku “My Lady Nicotine” karya J.M. Barrie, anda akan terbaca tentang naratif penulis yang mengadu tentang stem pipa ambernya yang telah patah buat kedua kali dan harus digantikan. Berkemungkinan perkara seperti ini adalah agak biasa berlaku pada ketika itu namun kelemahan-kelemahan fizikal amber ini tidak dapat memendamkan kehendak manusia terhadap kecantikan dan kemewahan yang dapat diberikan olehnya. Kita masih menggunakan stem amber (tidak sepopular dahulu namun ia masih diburu) walaupun arus kemodenan memberikan kita pelbagai bahan sintetik gantian yang lebih berdaya tahan.
(bersambung – kita akan melihat pula kepada kepenggunaan dan keberadaan amber di zaman ini dengan lebih teliti)…
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Sunday, 3 December 2017

It’s Raining Baccy / Dihujani Baccy

Sedikit masa dahulu, ramai pemipa yang mengimpikan untuk “dihujani” baccy apabila membuka pintu cellar mereka (sudah tentu rumah di Malaysia jarang mempunyai attic / bilik loteng – anda boleh membayangkan akan tong clear bin anda yang tersimpan di atas rak buku atau almari baju jatuh dengan penutupnya terbuka ke atas anda ketika anda terjengket-jengket mengambilnya, untuk memberikan anda gambaran “dihujani baccy” tersebut). Jauh dari menceritakan tentang kemalangan ketika berkemas, ia sebenarnya adalah satu epitom yang besar kepada kita para pemipa.
“Dihujani baccy” memperlambangkan satu obsesi kepada pemipa tentang kebebasan mereka di dalam mengatur baccy untuk dinikmati saban hari, keseronokan untuk “being lost” di dalam memilih baccy-baccy yang perlu dibawa bersama ketika balik kampung, keupayaan untuk memiliki blend-blend tertentu ketika produksi blend tersebut sudah pun terhenti dan backorders adalah mustahil, dan juga untuk memberikan mereka peluang dalam menikmati blend-blend kegemaran mereka apabila mereka sudah berusia kelak.
Bayangkan yang anda sekarang masih memiliki 5 tin Craven’s Mixture, atau Balkan Sobranie, atau Bengal Slices yang original, ia akan menjadi satu koleksi “pinnacle” anda, dimana anda mampu untuk masih menikmati blend-blend rare ini disamping membandingkannya dengan blend-blend baharu yang cuba untuk mengemulasikan semula these late greats. Paling tidak, ia adalah satu “conversational pieces” untuk anda bincang dan perbualkan dengan rakan-rakan pemipa anda tatkala temupipa-temupipa (mungkin akan membuatkan beberapa pemipa senior “cringe” dan berair-mata mengenangkan akan baccy-baccy kegemaran mereka ketika mereka muda belia).
Boleh dikatakan kebanyakan pemipa adalah kolektor secara tidak langsung. Bukan setakat kolektor pipa, malahan baccy juga turut menjadi sasaran kolektiviti. Jauh dari kesan-kesan negatif (kecuali dari segi ekonomi – terutamanya jika anda “overdoing it”), ia adalah satu petanda sihat akan perkembangan industri perpipaan dan satu penunjuk aras akan kemunculan lebih ramai pemipa-pemipa baru saban hari dan bulan.
Hakikatnya, kita membeli dan terus membeli baccy, sama ada secara sedar atau tidak. Kunjungan ke tobakonis-tobakonis selalunya akan melibatkan pertukaran wang dengan setin-dua baccy; pergi singgah kononnya untuk melihat pipa-pipa baru tetapi selalunya kita akan termakan akan pujuk rayu tobakonis (sebenarnya bukan pujuk rayu pun – para tobakonis harus faham betapa lemahnya golongan pemipa ini – sedikit penjelasan tentang baccy pun akan membuatkan lutut kita lemah dan tangan kita gatal untuk mengeluarkan wang dari saku).
Membeli baccy untuk “mencuba blend baru” adalah satu alasan paling “legit” buat kita membeli baccy. Semestinya saya (dan seharusnya anda semua) setuju yang kita patut mencuba sehabis banyak blend selagi mungkin. Memang agak “impossible” untuk mencuba segalanya, tetapi di dalam keadaan sekarang di mana pasaran untuk pipa sememangnya sedang berkembang pesat dan banyak blend-blend baru dibawa masuk ke sini saban tahun, masakan kita mampu bertahan melihat blend-blend baru terpampang di rak-rak tobakonis begitu sahaja?
Tidak kurang juga yang membeli baccy sebagai “pendua” untuk stok mereka. Konsep “cellaring” sebegini agak sinonim dengan pemipa tempatan sekarang, dimana apabila tin sesebuah baccy kegemaran dibuka, sebaiknya ada lagi satu tin yang disimpan untuk “standby”. Pengalaman lalu bersama The Solent Mixture, Ashton Artisan Blend, Solani White & Black dan kebelakangan ini dengan MacBaren London Burley Blend, Matured Virginia dan beberapa blend lain, dimana mencari stok adalah satu proses yang agak sukar sekarang, sudah tentu menjadi satu igauan ngeri buat pemipa semua.
But that is the good thing about us pemipa, kita sukakan baccy dan kita adalah “the hoarders” di dalam diam (sila rujuk artikel lepas “Mikro-Ekonomik Baccy & Pemipa”). Mungkin agak sama seperti “armageddon prepppers” yang sering muncul di kaca tv sekarang. Secara tidak langsung, kita pemipa sangat suka untuk menyokong industri perpipaan dan pertembakauan negara.
Ini agak berbeza dengan sedekad yang lepas di mana Malaysia adalah syurga baccy-baccy rare, dek kerana kurangnya jumlah pemipa untuk membeli kesemua baccy-baccy ini dan selalunya ia boleh didapatkan dengan harga yang murah kerana tobakonis gagal menjualnya walaupun ia sudah bertahun terpampang di rak-rak kedai mereka.
Apa yang saya boleh katakan, pembelian baccy adalah natural buat kita pemipa. Sangat selalu ia berlaku tanpa disengajakan, namun ia sebenarnya lebih kerap lagi diter-sengajakan.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Saturday, 25 November 2017

Sekitar Tobakiana di dalam “The Hateful Eight”

Imej dari IMDb
Di zaman ini bilamana penggunaan tembakau adalah agak taboo dan dipenuhi prejudis-prejudis masyarakat umum, sekali-sekala kita dihadiahkan dengan kejutan apabila ia muncul di layar perak.
Filem-filem yang mengisahkan sesebuah cerita yang berputar di sekitar abad ke 19 dan 20 sering menggunakan prop yang melibatkan produk-produk tobakiana. Sukar untuk industri perfileman lari dari perkara ini kerana tembakau – dan pipa secara khususnya – adalah perkara umum pada ketika itu. Sedapur pipa dengan tembakau yang enak adalah ibarat sebuah pencuci mulut atau dessert yang menyamankan, untuk mengiringi makan tengahari atau malam. Malahan, pipa adalah satu keperluan ketika seseorang itu keluar dari rumah. Mungkin kerana itulah ramai umat manusia zaman tersebut mampu untuk hidup hampir atau lebih dari 100 tahun? – sesuatu yang kita cuba kejar sekarang dengan powerbar, multigrains-everything, dan pil-pil supplement yang kita telan disepanjang hari?
Kebetulan baru-baru ini filem “The Hateful Eight” arahan Quentin Tarantino ditayangkan di kaca-kaca tv kita (saya tidak pasti adakah filem ini ditayangkan di pawagam kita sedikit masa dahulu?). Filem ini mengisahkan tentang seorang algojo John “The Hangman” Ruth (lakonan Kurt Russel) yang menangkap seorang penjenayah wanita sebagai tawanannya, yang sedang dibawanya ke pekan Red Rock untuk ditebus ganjaran ke atasnya. Tanpa disedarinya keluarga penjenayah ini telah pun merancang untuk menggagalkan hasrat algojo itu di sebuah rumah tumpangan Minnie Haberdashery yang berada di laluan sang algojo tersebut sebelum beliau mampu untuk sampai ke pekan Red Rock. Akan tetapi apa jua yang keluarga penjenayah itu rancangkan, mereka tidak menyangka yang algojo itu turut membawa seorang Jeneral Confederates yang juga seorang bounty hunter, Marquis Warren (lakonan Samuel L. Jackson) dan seorang pemuda yang mengaku beliau adalah sheriff Red Rock yang baru yang kebetulan menumpang John Ruth di dalam perjalanan ini.
Imej dari Pipes Magazine
Diceritakan dengan penuh dramatik – sesuatu yang anda akan terbiasakan jika anda pernah menonton karya Tarantino yang lain seperti Kill Bill, Pulp Fiction – filem ini memiliki jalan cerita yang sangat menarik dan saya sememangnya menganjurkan anda untuk menontonnya, with or without tobacciana stuff.
Namun semestinya terdapat banyak babak-babak yang menyentuh perihal tobakiana di dalam The Hateful Eight. Di babak-babak awal ketika sang algojo dan tawanannya menemui Jeneral Marquis Warren dan memberikannya ruang untuk menumpang ke Red Rock, mereka telah menyalakan pipa masing-masing sambil berbual-bual di dalam kabin kereta kuda milik sang algojo. Tiada jenama pipa kelihatan kecuali pipa yang digunakan oleh sang algojo iaitu Mastro de Paja, dan tembakau pun berkemungkinan sudah dipek awal-awal lagi, namun keselesaan mengulit-ulit pipa dan menghembuskan asap di dalam cuaca bersalji adalah sangat mendamaikan.
Imej dari Quentin Tarantino Fan ClubTobakiana turut digunakan sebagai penentuan untuk mencari perkara yang benar oleh Jeneral Marquis Warren apabila beliau bertanyakan kepada salah seorang penjenayah yang menyamar sebagai pekerja baru rumah tumpangan akan adakah tuannya Minnie (yang mereka telah bunuh pada awalnya dan memberitahu rombongan algojo terbabit yang Minnie baru pulang ke kampung pada pagi sebelumnya) masih berpipa dengan baccy “Old Quill”. Ini adalah sangat logik kerana pada waktu itu, blend-blend yang ada tidaklah sebanyak sekarang dan amat mudah untuk seseorang pemipa menjadikan sesebuah blend sebagai “go-to” blend mereka. Tidak menyangka yang sasaran mereka mengenali tuan punya rumah tumpangan ini dengan sebegitu terperinci, penjenayah terbabit menyatakan yang tuan rumah tumpangan itu bukanlah seorang pemipa, sebaliknya hanya menghisap tembakau gulung “Red Apple”.
Red Apple dikatakan adalah blend rokok fiksyen kegemaran Quentin Tarantino sendiri dan beliau selalu menyelitkan penggunaan tembakau Red Apple ini di dalam filem-filemnya. Penggunaan tembakau Red Apple di dalam The Hateful Eight ini juga adalah agak meluas – sebagai tembakau pipa Minnie, tembakau gulung yang juga digunakan Minnie ketika beliau menerima kedatangan penjenayah-penjenayah terbabit sebelum beliau dibunuh, dan penggunaan rokok “Manzana Roja” oleh salah seorang penjenayah tersebut apabila rombongan algojo sampai di Minnie Haberdashery. Manzana Roja adalah “red apple” jika diterjemahkan dari bahasa Sepanyol. Manzana Roja, how nice!
Imej dari movietank.blog.huYou see, bagaimana pembudayaan tembakau mencerminkan impak yang sangat besar di dalam kehidupan dunia lalu. Dan walaupun penggunaan tembakau adalah besar dan normal pada ketika itu, masalah-masalah kesihatan yang mereka alami tentunya jauh lebih kecil berbanding dengan apa yang Kita ada sekarang. Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, penggunaan tembakau pada kadar yang moderate adalah baik dan menenangkan. Namun, prejudis masyarakat adalah membuta-tuli dan immature, dan itu sangat mendukacitakan kita.
Jadi betulkah hidup tanpa tembakau adalah kehidupan yang amat sihat? Jika benar, maka golongan anti-tembakau sepatutnya sangat sihat dan tidak jatuh sakit barang sedikit pun…
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Sunday, 19 November 2017

Mengenal Stem Pipa : Material Sintetik (Bakelite, Ebonite atau Vulcanite / Akrilik / Lucite)

Imej dari smokingpipes.comDi minggu lepas kita telah pun mengupas akan penggunaan bahan semulajadi sebagai stem pipa. Berkadar langsung dengan kemajuan teknologi yang pesat, banyak bahan sintetik baru dihasilkan demi mencapai matlamat keselesaan dan kepenggunaan manusia. Jadi minggu ini kita akan lihat dengan lebih dekat tentang penggunaan bahan sintetik seperti bakelite, vulcanite dan akrilik sebagai stem pipa.
Bakelite mula diperkenalkan pada tahun 1907 dan merevolusikan industri pembuatan pada zaman itu kerana ia adalah bahan plastik yang pertama untuk muncul secara besar-besaran. Efektif sebagai insulator kepada elektrik dan haba, tahan lasak, mudah dibentuk dan licin, mudah untuk kita fahami mengapa bakelite adalah pengganti ideal kepada bahan stem semulajadi yang agak bermasalah.
Menjadi “the in thing” pada sekitar 1920an, bakelite adalah satu “fashion statement” pada ketika itu. Namun ia tidak mengambil masa yang lama untuk bahan plastik lain dicipta, dengan kadar ketahanan dan penerimaan warna yang lebih baik dari bakelite. Juga yang menjadi persoalan adalah tahap keselamatan produk bakelite yang terhasil dari phenol dan formaldehyde yang sudah pun diwartakan sebagai “carcinogenic” – boleh menyebabkan kanser.
Dalam masa yang lebih kurang sama, penggunaan bahan ebonite telah pun mencapai tahap populariti yang baik dikalangan para pemipa. Ebonite (atau nama asalnya vulcanite) adalah bahan gentian getah yang terdiri daripada getah, minyak linseed dan sebahagian besar sulfur. Ebonite diperkenalkan lebih awal dari bakelite, yakni sekitar lewat 1800an dan penggunaannya untuk bahan stem juga diterima dengan baik oleh pemipa.
Ebonite pada zaman itu masih belum menerima “stylisation” warna dan corak maka ia hanya ada dengan warna hitam keabuan / hitam pudar yang diterima-pakai sebagai standard.. Mungkin kerana itulah apabila bakelite diperkenalkan, ia meraih populariti yang lebih baik buat sementara waktu. Ia mengambil masa yang agak lama untuk ebonite berevolusi menjadi lebih berkilat (dengan paduan lebih unsur sulfur namun ia masih tidak sekilat akrilik) dan menarik dengan paduan warna yang lebih baik seperti yang ditonjolkan oleh Dunhill di dalam “Cumberland stem” mereka. Agak jelas saya nyatakan di sini yang stem Cumberland juga adalah dari jenis ebonite.
Apa yang menjadi asas yang kukuh buat ebonite adalah sifatnya yang lembut dan tahan; ramai pemipa merasa sangat selesa menggigit stem ebonite berbanding bakelite atau akrilik kemudiannya. Sifat lembut dan liat ini juga menjadikannya tahan dengan gigitan, lantas stem pipa dengan “button” yang lebih halus dapat dizahirkan. Peminat stem ebonite semestinya mempertaruhkan faktor keselesaan ini sebagai sebab utama untuk mereka kekal dengan ebonite. Dan perkara ini dapat kita fahami kerana setelah sekian lama menggunakan stem dengan button yang nipis, tentunya sukar untuk menerima button stem akrilik yang lebih tebal.
Akrilik pula adalah sejenis thermoplastik yang dibangunkan demi menggantikan material-material sebelumnya yang memiliki kelemahan-kelemahan tertentu. Terdapat banyak jenis akrilik dengan komposisi-komposisi berlainan tetapi apa yang kita biasa lihat di dunia perpipaan adalah lucite atau plexiglass. Penggunaan lucite sebagai material stem pipa telah diperkenalkan buat pertama kali di dunia perpipaan oleh Castello sejak awal 1950an dan sejajar dengan kegilaan Amerika terhadap jenama hebat Itali ini pada tahun 60an ia membuka ruang yang lebih luas untuk lucite diperkenalkan kepada seluruh dunia perpipaan.
Seringkali pemipa agak keliru dengan akrilik hinggakan semua bahan stem yang bukan ebonite mereka klasifikasikan sebagai akrilik. Ini adalah tidak benar! Akrilik memiliki spektrum yang agak luas, dan jenis yang kita lihat pada pipa-pipa berjenama baik kebiasaannya adalah lucite, dimana ia datang dengan “high gloss finish” dan terkadang di dalam warna-warna lain tanpa had kepada sebarang spektrum warna. Perkara ini tidak hadir pada stem dengan akrilik biasa yang selalu dipadankan dengan pipa-pipa basket, stem pipa corncob, clay dan kebanyakan stem pipa meerschaum gred rendah dan menengah yang berwarna legap (atau terkadang berwarna kuning lutsinar). Stem-stem ini kebiasaannya adalah dari acuan tuang (anda akan dapat melihat garisan simetri acuan tuang di tengah-tengah bahagian tepi stem) dan walaupun ia masih tergolong sebagai akrilik tetapi ia bukanlah dari kelas lucite atau plexiglas yang merupakan akrilik pada kualiti terbaik.
Imej dari smokingpipes.comAkrilik adalah sangat berbeza dengan ebonite, terutamanya dari segi penampilan dan penyelenggaraannya. Akrilik memiliki lebih daya tahan kerana ia lebih keras. Ia juga mampu untuk menerima buffing yang menjadikan permukaannya sangat berkilat dan hadir dalam pelbagai pilihan warna dan pola corak. Walau bagaimanapun lucite tidak memiliki “give” yang baik seperti ebonite, malah ia bersifat licin jadi mungkin agak mengambil masa bagi seseorang pemipa yang sudah terbiasa dengan ebonite untuk menerima lucite. Oleh kerana tekstur licin ini mengurangkan grip gigitan, ia akan menyebabkan pemipa berasa agak “insecure” dan berkecenderungan untuk menggigit stem lucite dengan lebih kuat. Jadi kebiasaannya stem lucite akan dibina dengan button sedikit tebal demi memberikannya lebih daya tahan untuk menangani kekuatan gigitan tadi.
Juga kelebihan yang paling umum akrilik berbanding ebonite adalah sifatnya yang seumpama “maintenance-free” – ia tidak akan terdedah kepada risiko oksidasi kerana ia tidak mengandungi bahan sulfur. Ini menjadikan stem akrilik lebih tahan lasak dan versatil – ia boleh dibawa ke mana sahaja tanpa perlu risau akan pendedahannya terhadap cahaya matahari.
Sudah tentu juga telah wujud preferensi di dalam memilih material untuk stem pipa anda – sama ada anda mahukan kepastian grip dan keselesaan mengulit pipa, ataupun anda sangat suka melihat “glossy finish” yang “sharp-looking” pada pipa anda dan mahukan sesuatu yang lebih lasak dan “maintenance-free”, ia adalah hak dan preferensi anda yang tersendiri. Yang paling penting adalah kita memiliki banyak pilihan dan ia sememangnya bagus untuk memiliki pilihan yang meluas kerana anda mungkin mahukan semua kelebihan ini di dalam barisan pipa-pipa koleksi anda.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!