Sunday 17 December 2017

Amber Stem : Keberadaan, Pembuatan & Praktikalitinya Sekarang

Daripada artikel lepas, kita telah pun mengetahui secara lebih terperinci tentang asal-usul amber, jenis-jenis yang ada di pasaran, ceritera dan folklore yang menyelubunginya serta bagaimana ia mula digunakan sebagai stem pipa. Kali ini kita akan terjun dengan lebih menjunam lagi tentang kepenggunaan amber sebagai stem pipa, masalah yang dihadapi oleh pipemakers di dalam mengendalikan amber, keterujaan masyarakat pemipa semula terhadap bahan ini (adakah satu novelti?) dan keberadaannya sekarang.
Imej dari smokingpipes

Stem amber secara tiba-tiba menjadi agak popular sekarang. Namun populariti itu tidak bersaling-kadaran dengan keberadaannya kerana ramai pemipa bercerita tentangnya tetapi untuk mendapatkan stem amber pada zaman ini adalah seperti mencari hidangan telur belangkas. Ya, ia masih ada namun pada kadar yang sangat terhad. Ini berikutan dengan kesukaran untuk mendapatkan bahan dengan saiz yang sesuai untuk dijadikan stem pipa. Blok amber berkualiti baik dan bersaiz besar adalah sangat sukar untuk didapati dan ia menjadi satu “lapidary dreams” terutamanya kepada dunia permata.
 
Dek kerana itu lah julat harga amber juga adalah sangat luas – ia boleh dibeli pada kadar RM100 sebiji cabochon kecil untuk dibuat batu cincin dan mampu meraih empat angka untuk top quality, cherry red amber yang bersaiz besar. Sebagai contoh, blok bersaiz sedang seperti gambar di bawah ini berharga RM40-50 per gram dan blok ini secara keseluruhannya adalah 36.8 gram. Paling tidak, harga blok amber asli ini adalah RM1,472 dan ia kelihatan seperti hanya mampu menghasilkan dua atau tiga batang stem bersaiz kecil dan sederhana sahaja!
Masalah keberadaan amber ni sebenarnya telah wujud sejak beratus tahun dahulu lagi. Maka untuk mengatasi masalah ini, “pressed amber” mulai dikeluarkan di pasaran demi memenuhi permintaan yang tidak pernah cukup itu. Pressed amber atau juga dikenali sebagai “reconstituted amber” adalah blok amber yang terbina dari ketulan-ketulan amber kecil yang dipanaskan sehingga ke suhu dimana ia akan menjadi separa cair dan bersatu sesama sendiri. Apabila ia bersatu, ia akan dimasukkan ke dalam acuan untuk dijadikan blok yang baru pada apa-apa saiz dan bentuk yang dimahukan. Dari segi struktur bahan, ia sebenarnya agak baik kerana pressed amber ini adalah lebih liat dan kuat berbanding amber asli. Namun, sepertimana kita pemipa mahukan blok meerschaum lebih dari compressed meerschaum (serbuk meerschaum yang dikompres untuk dijadikan blok dan diukir semula untuk dijadikan pipa-pipa meerschaum berkualiti rendah), begitu juga lah halnya dengan pressed amber. Nothing is as good as the real thing.
Imej dari eBay.com
Plastik telah merevolusikan dunia pembuatan secara umumnya dan Bakelite adalah bahan plastik pertama yang dicipta. Dunia amber juga tidak terkecuali dari menerima sentuhan plastik ini dan pada sekitar 1940an amberoids pun tercipta. Amberoids adalah campuran amber dengan bakelite, yang kebiasaannya digunakan sebagai bahan filler untuk memasukkan serangga ke dalam amber asli supaya ia dapat dijual pada harga yang lebih mahal, atau bahan tambahan untuk membentuk blok amber yang lebih besar. Bagi purist, ia tidak diterima sebagai amber kerana terdapat unsur berlainan di dalam bahan tersebut. Populariti amberoids mulai terhakis apabila bahan plastik yang lebih maju mulai digunakan, menjadikan ia lebih mudah untuk menggunakan akrilik yang menyerupai amber, lengkap dengan warna dan pattern “swirl” atau “spangles” sepertimana yang dimahukan.

Berbalik kepada zaman sekarang, what’s the fuss with amber? Dahulu amber sememangnya satu bahan penting di dalam dunia pertembakauan – seperti yang saya katakan di artikel lepas populariti amber berada di kemuncak pada sekitar 192an, ketika hampir setengah dari pengeluaran amber dunia adalah untuk bahan-bahan tobakiana seperti stem-stem pipa dan cheroots holder. Malah ia diabadikan di dalam penulisan karya agung seperti My Lady Nicotine, yang memberikan bukti betapa amber adalah “much coveted” bagi pemipa di zaman itu.
 
Buat pemipa abad ini pula, stem amber memperlambangkan sesuatu yang klasik, rarity dan mewah. Kita selalu lihat pipa-pipa lama, terutamanya yang terbuat dari blok meerschaum gred A Eskisehir berwarna putih mulus yang diukir halus dan penuh berseni, dihias indah dengan stem amber. Sudah tentu juga banyak tona warna kuning keemasan-jingga-merah dan pelbagai tahap clarity bahan amber ini, yang berbeza mengikut kualiti bongkah asal masing-masing. Mungkin lebih senang untuk kita labelkan dengan kategori seperti lutsinar, separa lutsinar dengan cloud atau awan, atau opaque dengan warna yang solid dan tidak tembus penglihatan. Opaque juga memiliki beberapa tona warna seperti merah-jingga, kekuningan, dan kuning memutih yang kusam.
Dari pemerhatian saya kebanyakan stem amber asli adalah di dalam kategori kuning-jingga (terkadang kuning kusam naik ke putih), bersifat opaque dan homogeneous – jarang sekali mempamirkan sifat “cloudy”. Ini adalah baik secara teori nya, kerana ia lebih liat akan tetapi kurang baik dari segi nilainya, kerana sedikit kejernihan amber itu memberikan petanda ia adalah dari blok yang berkualiti tinggi.
 
Walau bagaimanapun faktor clarity ini hanyalah sebuah aturan kualiti dari sudut gemmology nya. Kecantikan amber sebenarnya turut terletak kepada faktor “cloudy” dan tint sepertimana jed dan boulder opal. Sesetengah amber dengan corak cloudy yang menarik, disulami sedikit tint kemerahan juga adalah sangat mempesonakan dan mampu meraih harga yang baik di pasaran. Dan bagi amber asli, inclusion seperti serangga atau tumbuhan prasejarah di dalamnya (masih ingat filem Jurassic Park?), jika bukan buatan baru yang ditambah ke dalam amber asli itu, adalah sangat bernilai.
Dari segi kesukaran dan dilema pembuatannya, tidak banyak yang kita ketahui dek kerana amber sememangnya jarang digunakan sekarang. Namun pada masa lalu pembuatan stem amber terhad kepada pekerja yang paling mahir sahaja, demi mengurangkan kebarangkalian stem yang rosak yang akan merugikan mana-mana pembuatan dek kerana harga blok amber yang sedia mahal. Apa yang juga disentuh adalah kesukaran untuk membengkokkan stem amber. Penggunaan minyak tertentu (bukan direct flame) serta bahan lain untuk memanaskan amber, kawalan suhu ketika proses membengkokkan stem dan cara yang betul untuk melakukannya adalah sangat terperinci dan menuntut kemahiran tinggi. Oleh kerana limitasi-limitasi sebegini, boleh dikatakan kebanyakan stem amber yang dihasilkan adalah stem lurus.
 
Sekarang, masih terdapat beberapa artisan yang menggunakan amber sebagai bahan stem mereka, walaupun pengeluaran pipa-pipa sebegini bersifat “seasonal” – mungkin apabila mereka memiliki bahan amber yang cukup untuk dijadikan stem, atau ketika minat terhadap bahan amber sedang meningkat naik. Dan terbaru sekali adalah siri Amber Spigot dari Peterson, sebuah keluaran khusus yang “tidak disengajakan” dan mungkin tidak akan lama berada di pasaran. Kita akan melihat dengan lebih lanjut akan Amber Spigot dari Peterson ini kelak.
Dengan itu tahulah kita akan peranan amber yang sedikit sebanyak menyerikan dunia perpipaan dengan sifatnya yang cantik dan berharga. Lupakan sebentar akan praktikalitinya dan raikanlah sedikit cetusan kegembiraan yang ada di dunia pipa ini sepertimana datuk nenek moyang kita pernah rasai dahulu. Memahami dan memiliki stem amber juga dapat memberikan anda secebis picisan sejarah perpipaan dan tobakiana yang sangat bernilai- bak satu petanda akan budaya perpipaan kita yang sangat gah sekali suatu ketika dahulu.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

No comments:

Post a Comment