Agaknya
ada yang tahu bagaimana segalanya bermula, yang ada saya ceritakan di
dalam doppelgänger blog ini iaitu cerut di dunia fana. Mempraktikkan
“paganism” kepada cerut Cuban yang berkualiti adalah satu dosa tak rasmi
pertembakauan yang memberi impak kepada semua orang. Daunan yang baik
ini adalah sumber alam yang berhak dinikmati oleh semua, walaupun anda
mampu membeli dan memunggah kesemuanya.
Dengan
pemikiran sebegitulah saya terbawa untuk mendalami cerut dengan lebih
mendalam lagi. Asas perpipaan yang rata-rata kita miliki saya rasakan
seperti satu kelebihan – dan agak terkejut apabila saya mendapati
kemudian bahawa tidak banyak persamaan pun yang dikongsi antara
keduanya. Dari segi jenis tembakau, flavor, cara penyediaan, cara
menikmati dan etika-etika yang terikat olehnya, dunia cerut adalah asing
sepertimana asingnya Alaska bagi saya. Jika anda takutkan pembaharuan,
anda pasti mahu berundur, balik ke rumah dan bersembunyi di sebalik
kesuaman bowl Castello Perla Nera anda. Namun jika anda berfikiran
positif, anda bayangkan betapa luasnya nikmat yang belum diterokai!
Cerut
selalu saya kaitkan dengan kejayaan. Kita membakar cerut ketika
dikurniakan bayi, selepas majlis konvokesyen (cerut 7-Eleven adalah
pilihan popular), selepas mendapat projek juta-jutaan atau menang
perlumbaan motor naik ke Genting Highlands. Perlambangan kejayaan memang
sinonim dengan menghisap cerut. Persekitaran hidup seseorang peminat
cerut yang selalu mencari elemen-elemen kejayaan, cabaran dan
keseronokan digilai oleh gadis-gadis yang mahukan faktor “fun and
flamboyant”.
Berpipa
pula menonjolkan sikap budiman. Saya selalu terbayangkan akan tuxedo
atau pakaian kemas, twill tweed jacket, double monk strap leather shoes,
wool felt beret, jam yang kemas dan paling penting adalah sikap yang
budiman. Pemipa adalah golongan yang menghormati orang lain, pendengar
yang baik dan pemikir yang kritis. Bagaikan ada kod-kod tertentu yang
difahami pemipa sejagat, dan tentunya ia dibentuk oleh disiplin ketika
berpipa itu sendiri; dari ritual penjagaan pipa yang selalu dipolish dan
dibelai rapi, men”packing” tembakau, meratakan abu dengan tamper,
membersihkan pipa selepas sesi perpipaan selesai dan sebagainya. Kemas,
budiman dan segak, pemipa menjadi perhatian gadis-gadis yang bijak dan
mahukan “assurance” di dalam perhubungan.
Di
sebalik perbezaan ketara itu, keduanya datang dari daunan induk yang
sama, nicotina tobacciana. Ia juga adalah satu pembudayaan tentang gaya
hidup dan pemburuan ketenangan jiwa yang memberikan kita tujuan untuk
mencari aspek-aspek kehidupan yang lebih berkualiti. Ia bukannya
ketagihan. Kita ternanti-nanti masa yang sesuai untuk berpipa dan
menyalakan cerut seperti seorang peminat teater menantikan persembahan
bermula. Sedari atau tidak, anda memiliki pemikiran yang lebih kritis
dan lebih kurang berprasangka berbanding non-smokers. Dan itu adalah
fakta.
Sepertimana
saya geram dan kecur air liur melihat susunan tin blend-blend di kedai
tembakau, begitu juga perasaan saya ketika melihat susunan cerut yang
sedang “berehat” di dalam humidor atau kotak cedar masing-masing. Saya
tahu di sebalik balutan wrapper yang selembut sutera itu tersembunyi
flavor-flavor indah hasil berbudi kepada tanah, sepertimana saya tahu
keunggulan rasa di rongga-rongga flake blend-blend virginia. Saya juga
sedia maklum akan keunggulan pembakaran dari “long filler” sepertimana
kepastian pembakaran sekata bagi untaian ribon tembakau pipa yang di
pack rapi di dalam bowl pipa kita. Kepuk asap yang sama akan terhasil,
memberikan inspirasi untuk kita berkontemplasi.
Sayugia
itu suka sekali untuk saya menerima kedua budaya daunan bangsawan ini
dengan telapak tangan yang terbuka. Jika cerut melambangkan kejayaan /
“success” dan pipa pula melambangkan perilaku jejaka budiman /
“gentlemanliness”, bukankah menikmati keduanya akan membawa kita kepada
“successful gentleman”?
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!