Wednesday, 2 December 2015

Pembinaan Dapur (Cake) dan Mitos-Mitos yang Menyelubunginya.

Masyarakat tidak boleh lari daripada mitos dan "lore" yang telah terkandung dan didukung oleh generasi sebelum kita sejak zaman berzaman. Meskipun sesetengahnya sudah luput ditelan zaman, masih banyak yang kekal sampai sekarang.

Begitulah juga dengan berpipa. Bukannya masyarakat kita mula berpipa baru-baru ini sahaja, ianya adalah hobi yang sudah lama bertapak di bumi bertuah ini.

Jadi, mitos yang menjadi fokus kita sekarang adalah tentang pembinaan dapur. Dapur, secara praktikalnya adalah ruang di dalam bowl sesebuah pipa. Kecelaruan bahasa mencadangkan penggunaan terma "buat dapur" yang merujuk kepada pembinaan deposit karbon hasil pembakaran tembakau secara berulang kali, yang ditermakan sebagai "cake building" secara universal nya.

Jika dilihat dari sudut pembuatan sesebuah pipa, bahagian kayu di bawah bowl adalah cukup tebal untuk menampung sebarang kecelakaan tidak sengaja dari pembakaran terus menerus. Namun, majoriti pemipa adalah makhluk penyayang, dimana sedikit hangus di hujung bowl pun adalah satu malapetaka kecil bagi kita jadi saranan pembinaan dapur ini mendapat tempat di hati keseluruhan pemipa.

Dapur @ kek ini adalah suatu kejadian saintifik kimia dan thermodinamik, di mana ia adalah satu by-product pembakaran tembakau di dalam bowl pipa kita. Ia terdiri dari gula dari tembakau, lembapan, karbon, habuk dan mungkin sedikit briar nya sendiri. Kesemua komponen ini membentuk satu lapisan hitam yang jika dibiarkan, akan menjadi tebal dan mengeras. Inilah sandaran pemipa-pemipa sebenarnya, kerana lapisan ini bertindak sebagai penyerap lembapan, pelindung kepada kepanasan, dan sekaligus membantu dalam memastikan tembakau anda kering dan suhu pembakaran sentiasa sederhana.

Satu perkara tentang karbon, ia adalah penapis semulajadi yang sememangnya digunakan secara meluas di dalam industri. Ini kerana karbon mampu menyerap bendasing di dalam peratusan yang tinggi, jadi jika anda memiliki dapur dengan kek yang baik, tiada masalah untuk anda mendapatkan sesi perpipaan yang kering dan berkualiti setiap kali berpipa.

Akan tetapi, permasalahan dan isu tentang kek ini ialah secepat mana ia akan terbentuk? Setebal mana kek diperlukan? Ini semua adalah soalan lazim yang berlegar di minda pemipa-pemipa baru terutamanya, sehingga ia menjurus kepada beberapa petua yang sebahagiannya sudah pun menjadi mitos yang menarik.

Penggunaan madu, milo dan susu pekat manis adalah sangat sinonim, dan saya boleh kategorikan sebagai masih praktikal. Ini kerana semua bahan ini mengandungi gula dan apabila gula dibakar, ia akan menjadi karamel dan karamel ini mengeras di permukaan mana ia melekat. Oleh itu adalah normal untuk melihat pemipa mencalitkan sedikit madu atau bahan-bahan tadi pada bowl yang pertama. Habuk dan karbon akan terbina di atas karamel ini dan secara teorinya, dapat mempercepatkan proses pembinaan kek.

Selain itu, penggunaan beberapa bahan yang tidak mengandungi gula seperti kopi dan nescafe juga dilakukan secara meluas. Sebenarnya, kopi juga dibakar atau digoreng dan hasilnya adalah karbon dan minyak dari mentega. Tembakau yang terbakar kelak juga akan menghasilkan karbon dan gula maka boleh dikatakan kopi dan nescafe adalah tidak perlu. Ya, mungkin untuk bowl pertama dan kedua anda akan dapat sedikit flavor dari kopi tersebut, tetapi ia tidak lah signifikan untuk membantu mempercepatkan penghasilan kek.

Penggunaan air juga sebenarnya masih dilakukan. Dari segi termodinamiknya, mungkin ia sedikit membantu dinding bowl untuk bersedia menerima pembakaran pertama, dan mungkin juga ia mampu melembapkan sedikit tembakau untuk mempercepatkan proses "caramelized" nanti. Juga, ia bertindak sebagai agen pembilas di mana bowl pipa telah berada di kedai selama beberapa tahun dan entah dari mana dan berapa banyak jari yang pernah hinggap disitu, mungkin itu lah rasionalnya. Juga, saya tidak menolak faktor keberkatan sekiranya air yang digunakan adalah air zam-zam.

Penggunaan duit syiling. Hmm. Ia memang berlaku dan sesetengah pihak menganggap ianya baik untuk rezeki tetapi bagi saya, kita perlulah mengkaji terlebih dahulu akan bahaya tindakbalas logam terhadap pemanasan yang kerap, jika ada. Sudah tentunya, syiling mampu menangkis kebakaran dasar dapur tetapi adakah berbaloi untuk meletakkannya di situ, dan adakah ia akan mempengaruhi rasa tembakau kelak? Lagi pun, ia memerlukan kecuaian tahap tinggi atau tembakau tahap dewa untuk anda secara tidak sengaja membakar dasar bowl ketika berpipa.

Terdapat juga beberapa pipemakers atau orang-orang tempatan yang memiliki kepakaran dalam membuatkan ramuan yang mampu membantu dapur anda menghasilkan kek dengan pantas. Cuma selalunya mereka akan merahsiakan ramuan tersebut dan pada pandangan saya ini adalah situasi yang menarik dan tersendiri, unik pada budaya perpipaan kita.

Perlu diingatkan, ketebalan kek yang ideal adalah bersaiz setinggi sisi duit syiling. Membiarkan kek menebal dan mengeras akan mendedahkan bowl anda kepada risiko retak. Juga, diameter chamber bowl akan menjadi lebih kecil lantas kurang tembakau yang dapat anda isikan ke dalam bowl nanti. Atas sebab inilah, terdapat segelintir pemipa terutamanya jenis yang sangat pembersih, tidak memerlukan sebarang kek karbon di dalam bowl pipa mereka. Mereka akan membersihkan pipa pada kadar yang serius setiap kali selesai berpipa, yang tentunya menutup peluang kek untuk terbentuk. Ini jelas adalah baik untuk mereka, kerana pastinya mereka tahu menjaga kadar sedutan dan berhenti sebaik sahaja bowl menjadi panas.

Begitulah perihalnya tentang membina dapur ini, sesuatu yang mungkin nampak ringkas tetapi banyak penjelasan saintifik dan mitosnya. Jika berpeluang dan berkeinginan, bereksperimentasilah dengan pelbagai cara ini dan lihat yang mana satu adalah baik untuk anda. Sementelahan kita mengadaptasi hobi berpipa ini, pembelajaran dan keseronokan tidak pernah statik dan terhenti di sesuatu tempat.

Anekdot Perpipaan #2 : Kau Si Jagung "Knockabout" Pipa.

Rasanya majoriti masyarakat pemipa dunia memang suka membuli jagung. Sementelahan harganya murah, materialnya pun sedia ada dan mudah didapati. Err, mungkin, tak sebegitu murah di Malaysia. Kita harus akur pada kadar inflasi.

Pada pemipa yang memiliki briar dan juga corncob pada suatu masa yang sama, pastinya corncob akan dijadikan sebagai "tasting pip

Paras rupa pula, adakah si jagung sekacak rusticated briar? Atau setandingkah dengan kemanisan "shilling grain" sandblasted? Bukankah aturan kisi-kisi kelopak biji jagung ini semua sekata? Hmm...tak ramai yang berpendapat begitu. Sekali imbas ya, memang menarik tetapi jagung adalah jagung, dan masih jagung walau bagaimanapun plot kelopak nya.

Boleh jadi vintaj ke tidak? Untuk sentimentalisma sendiri-sendiri, mungkin boleh. Selain itu, tidak kedengaran pulak ada jagung dijual secara "estate"...

Secara peribadi, saya suka jagung di dalam situasi-situasi tertentu. Dia adalah sesuatu yang tidak akan meletakkan anda dalam kondisi pening kepala untuk berfikir panjang. Si knockabout. Bawak pergi memancing, turun sawah, jungle trecking etc. Tiada masalah.

Ritual berpipa dalam penyediaan baccy yang melibatkan prepping, pembersihan briar dan segalanya sememangnya sangat mengujakan. Namun, hidup di abad ke-21 ini segalanya pantas. Dan ada ketikanya, kepantasan itu diperlukan dan si jagung adalah jawapan yang terbaik.

Rim kuning bersih dah legam terbakar - ikut pesan The Beatles. Badan dia rasa panaslah - ikut pesan McCartney & co. Bercakap tentang liberasi minda, dan mungkin sedikit kesedihan di situ, Paul cakap "Let It Be"...

Atas jasa itu, dia mungkin perlukan sedikit perhatian. Jadi kekadang dia disolek kan. Dibersihkan. Dikeringkan. Sedikit personalisasi dan dia kelihatan menarik juga...

Bila sudah kelihatan sedikit menarik, dia mampu mengambil sedikit rotasi briar-briar terbaik kita, tanpa kita sedari.
e" ; si berani mati yang menguji blend-blend terbaru pembelian sang tuan pada bila-bila masa sahaja. Terkena blend yang "ghosting", ke tong sampah lah si jagung jawabnya. Berani tuan membuang briar kalau terjangkit ghosting? Jangan harap beb. Siap dapat "spa" lagi (salt treatment)!

Samuel Gawith 1792 Flake.

Samuel Gawith adalah antara blending house yang cukup dikenali dengan baccy-baccy ala-retronya. Dikategorikan antara blending house English yang tertua, pendekatan mereka dalam menyediakan blend-blend baccy adalah berbeza dan unik berbanding kebanyakan blending house yang lain.

Hari ini, kita akan membincangkan tentang 1972 Flake. Blend ini, walaupun tidak se-popular blend-blend SG yang hits seperti Full Virginia Flake atau Squadron Leader, namun sangat penting diketengahkan kerana ia seakan mewakili blend-blend yang berinspirasikan "Lakeland style" (boleh rujuk Asas Kepada Variasi Blend di ruangan Pengajian Tembakau untuk deskripsi ringkas berkenaan Lakeland blend). Oleh itu, peminat blend-blend berinspirasikan "lakeland" ini semestinya akan merasa sangat bertuah kerana berpeluang menikmati 1972 Flake, tambahan pula blend-blend lakeland agak sukar untuk diperolehi di sini.

Seperti biasa, kita akan bermula dengan komposisi tembakaunya. 1972 Flake terdiri daripada adunan daunan dark-fired dari Tanzania yang melalui proses kukusan sebelum dan selepas dikompress. Mengenali karakteristik daun dark-fired, dapat diagak yang blend ini pastinya agak "heavy" dan memiliki adunan nikotin yang sedikit tinggi. Ini ditambah pula dengan sedikit tambahan flavor dari tonquin (sejenis kekacang dari Amerika Selatan, yang diklasifikasikan "illegal" oleh FDA tetapi agak unik dan akan kita bincangkan kemudian mengenainya), jadi secara keseluruhan deskripsi blend ini sememangnya menarik minat saya.

Penutup tin empat segi yang menjadi "trademark" SG dibuka dan bau campuran kismis bakar, biji vanilla kering, kayu manis dan sedikit hint daging salai menusuk kalbu. Disebalik kertas alas, flake-flake gelap yang tebal tersusun kemas dan rapi. Keseluruhan flake kelihatan agak gelap dan mungkin sedikit lembap, lalu seperti biasa saya akan mencarik kan sedikit demi sedikit, menjadikannya berbentuk "broken flake" sekarang. Preferensi personal saya sukakan teknik "fold-and-stuff" untuk flake yang agak kering, tetapi jika sedikit lembap, carikkan ia menjadi broken flake sememangnya jalan terbaik untuk sesi perpipaan segera.

Nyalaan dilakukan dan kepulan asap separa wangi dan tebal dapat dihasilkan. Ternyata benar, dedaunan dark-fired sememangnya menghasilkan sesuatu yang keras, kasar dan padu. Sekali imbas, is seakan pukulan full-bodied burley, tetapi kali ini disertakan dengan sedikit pedas-pedas yang dari segi negatifnya, memeritkan lidah dan anak tekak, namun dari segi positifnya, memberikan sedikit "kick" atau "kow"; seperti "kow" menikmati teh halia yang sangat pekat.

Lupakan kemanisan bright leaves virginia, semua. Anda tidak akan menjumpainya disini.

Sepertimana yang kita tahu, daun dark fired mampu membawa nikotin dalam dos cukup tinggi untuk kita merasa kepuasan. Gumpalan asap putih ini mengandungi vitamin N yang banyak, anda akan merasa sedikit pening jika menghisapnya dengan perut yang kosong atau sambil berdiri. Walaupun ia bergantung pada tahap penerimaan nikotin oleh sistem badan anda, anda boleh rasakan yang nikotin hadir pada kadar yang agak memberansangkan di sini.

Bila bermain dengan Lakeland-based blends, pengalaman mengajar saya untuk mengurangkan permainan inhalasi dengan hidung. Sebagai blend yang diaromakan / fragranted, sengatan nasal seperti terlebih dos wasabi adalah sesuatu yang patut anda jangkakan dengan blend-blend sebegini. Saya syorkan jauhi inhalasi terus asap putihnya (semampu anda) namun ambillah inhalasi tak menerus (indirect), sekadar untuk anda meng-appreciate nota-nota pembakarannya.

Kepulan demi kepulan asap berat dilepaskan, cukup pekat untuk meremukkan hati pemipa newbies, namun saya gagahi juga. Tiba di penghujung bowl, saya dihadiahkan dengan keenakan dark-fired Tanzania yang ternyata keras dan simple. Tiada kompleksiti rasa untuk membebankan palate anda disini. Keunggulan 1972 Flake hanya dapat dihayati secara 100% setelah selesai berpipa - dengan kepuasan full bodied dan sedikit pening-pening lalat sambil dialun after-taste tonquin dan dark-fired yang mula terasa sedap, anda akan mengepul-ngepul angin di dalam mulut untuk mengulang-rasa flavor-flavor ini. Pekat, tarry dan earthy - ia sememangnya lain dari format biasa blend-blend di sini dan wajar untuk dicuba.

Perlu juga diutarakan, flake nya yang sedikit lembap memerlukan prepping atau pengudaraan yang cukup, jika tidak anda terpaksa berusaha sedikit lebih untuk memastikan ambernya sentiasa bernyala. Juga, sedikit amaran buat pemula - ianya agak keras, seakan tendangan tembakau ke dada anda. Yang bagusnya, mungkin ia akan menyediakan palate anda untuk baccy-baccy yang lebih keras seperti SG ropes, Kendal Twist, RB Plug atau yang sewaktu dengannya kelak.

Bagi mereka yang mencuba untuk kali pertama, bersedialah: 1972 Flake ini akan memberi satu tamparan yang hebat buat tekak anda. Kepulan demi kepulan asap yang menerjah tekak adalah berat, padu dan full-bodied. Pertama kali menghisapnya saya seolah-olah dibawa ke kapal lanun, mengemudi keluar dari Pelabuhan Lisbon dengan menyalakan tembakau hasil tukaran barang dengan pedagang setempat - daunan tempatan yang baru dibru dan diperam didalam barrel oaknya, menunggu masa untuk diulit dan dinikmati disepanjang perjalanan yang penuh gelora kelak.

Saturday, 14 November 2015

Ancaman Kulat pada Baccy & Langkah Pencegahannya.

"...Sekembalinya dari kerja, badan yang lesu tiba-tiba menjadi bersemangat dan bertenaga sejurus melihat bungkusan dari UPS di atas rak kasut. Tanpa sempat menanggalkan stokin, parcel itu diambil dan dibawa masuk ke dalam bilik membaca. Badan dihempaskan ke kerusi cleopatra merah dan bungkusan dibuka dengan ganas. Plastik gelembung penyerap hentak pun dikoyakkan begitu sahaja. Di dalamnya....wow! Tin tembakau artisanal G.L Pease "Gaslight" tersimpan rapi, dan masih dalam keadaan baik. Penutup tin dibuka bunyi "hisss" dan bau latakia enak pantas menyerbu hidung. Corncob Missouri Meerschaum dicapai, pipa "tester" yang sememangnya banyak berjasa itu akan berbakti lagi petang ini. Sedikit baccy dicubit dan ditonyoh ke dalam bowl Missouri, dipack rapi tetapi.....argh! Adakah baccy ini berkulat? Apakah itu? Tidak! Tidak!..." ~ pemipa malang, Pekan Razaki, Ipoh.

Anda mungkin pernah melalui pengalaman sebegini. Baccy yang mahal, ditatang bagai minyak yang penuh akhirnya menjadi mangsa percambahan benih kulat. Angan-angan untuk cellaring putus di tengah jalan. Lebih sedih lagi, blend tersebut sudah sukar untuk didapati di pasaran.

Sebenarnya, tidak mudah juga untuk baccy dijangkiti kulat secara agresif. Percambahan kulat memerlukan elemen yang cukup untuknya bercambah: udara, air dan kebarangkalian tindakbalas mikroorganisma yang selalunya dikaitkan dengan sentuhan. Oleh itu, selalunya hanya baccy-baccy yang tinnya telah dibuka dan disentuh berpotensi untuk berkulat.

Walau bagaimanapun, sesetengah baccy yang belum dibuka juga terkadang memiliki masalah ini. Selalunya, ia terjadi mungkin disebabkan oleh kesilapan manusia di sepanjang proses penghasilan nya: mungkin penutup tin tidak "air right", gagal menggunakan sarung tangan ketika memasukkan baccy ke dalam tin dan sebagainya. Sebagai pengguna, kita haruslah bijak dengan membawa kembali baccy itu ke kedai dan meminta pertukaran pek yang lain.

Jangkitan kulat pun terdapat di dalam beberapa peringkat dan jenis. Yang paling selalu dijumpai adalah hablur-hablur putih halus yang tidak dapat dirasa dengan sentuhan. Ini sebenarnya adalah hasil pemeraman glukos yang biasa dan tidak langsung mengubah rasa, apatah lagi mendatangkan bahaya. Malah, ia adalah tanda pemeraman baccy berlaku dengan baik. Jangkitan kulat yang berbentuk seperti sarang labah-labah, keputihan dan kekadang kehijauan, perlu diambil tindakan dan tidak sepatutnya dihisap. Tiada kajian dijalankan yang boleh menentukan samada ia berbahaya atau tidak, namun ia tentunya merubah rasa baccy yang terjangkit. Sebaiknya, bahagian yang dijangkiti perlu dibuang dan bahagian yang tidak dijangkiti, walaupun masih baik untuk digunakan, seharusnya diasingkan, kerana khuatir ia akan menjangkiti baccy-baccy yang lain. Jangan pula dibuang semua - baccy adalah luxury dan mahal untuk dibazirkan!

Jadi, sebagai pemipa bijak alaf ke-21, apakah yang harus kita lakukan? Terdapat beberapa strategi yang boleh kita amalkan, demi menjaga kesinambungan baccy yang baik dan mendapatkan hasil yang terbaik dari usaha "cellaring" kita.

Pertama, utamakan hygiene yang baik. Kita berhabis duit membeli baccy bukan? Jadi ambil lah sedikit langkah berjaga-jaga agar baccy kita kekal lama. Pastikan tangan kita bersih ketika mengendalikan baccy. Samada proses pengalihan baccy dari tin-ke-balang atau dari balang-ke-piring pengudaraan, praktikkan hygiene yang baik. Malah, tidak keterlaluan jika anda menggunakan "tweezer" atau penyepit kecil untuk proses-proses sebegini, kerana meminimumkan kontek antara tangan dan baccy juga membantu mengurangkan kebarangkalian jangkitan kulat.

Kedua, kita sepatutnya mempraktikkan rotasi blend seluas yang mungkin. Jika pagi tadi anda sudah menyalakan Early Morning Pipe, apa salahnya "packing" Aged Burley Flake pula selepas makan tengahari ini, sambil mengudarakan sedikit Devil's Holiday di piring untuk disulam dengan teh Earl Grey pada petang harinya? Ini dapat membantu kerana anda tahu keadaan baccy anda jika anda rajin berotasi. Saya akui memang seronok melayan "go-to" baccy pilihan kita sepanjang minggu, namun rotasi baccy ada baiknya jadi cubalah amalkan selagi mampu.

Yang terakhir, luangkan sedikit masa untuk memeriksa "cellar" anda, dari masa ke semasa. Untuk baccy yang di"cellar", ianya adalah tanggungjawab kita sendiri. Maka rajin-rajinlah memeriksa baccy anda. Pastikan ia sentiasa dalam keadaan "air tight", disimpan di tempat yang jauh dari matahari dan dalam keadaan sejuk. Strategi "cellaring" yang baik, mampu memberi pulangan yang lumayan di kemudian hari, lebih-lebih lagi untuk anda menikmati blend-blend yang mungkin telah pun pupus lima ke enam tahun yang akan datang.

Saturday, 7 November 2015

Castello : Pipa Berstatus Kultus.

Rata-rata pemipa sangat familiar dengan status Dunhill sebagai jenama pipa yang unggul dan penuh sejarah. Begitulah keupayaan strategi pemasaran dalam memainkan peranan dan status produk mereka. Namun, terdapat beberapa jenama yang beroperasi di luar strategi ini dan masih diminati ramai. Tanpa strategi pemasaran berskala besar, status kultus (cult) tentunya terbina dari kesedaran konsumer akan kualiti produk, dan disinilah Castello menempa namanya...

Merupakan antara jenama tertua Italy, Castello adalah satu nama besar dalam industri pipa. Selain Dunhill, Castello adalah jenama yang mampu memberikan konsep pelaburan ke dalam hasil kreasi mereka : harga pipa estate Castello mampu mencapai penaksiran yang tinggi dan sangat collectible. Namun begitu sebenarnya Castello bukanlah artisan; ianya adalah satu manufacturing unit yang memiliki 6-8 orang pipemakers yang rata-rata sudah berkhidmat lebih 30 tahun dengan pengasasnya Carlo Scotti. Antara nama pipemaker besar yang bermula sebagai pipemaker Castello adalah Luigi Radice dan Ascorti. Sejak pemergian Scotti, menantunya Franco Coppo (Kino) telah mengambil alih perniagaan dan meneruskan tradisi pipa Castello hingga ke hari ini.

Jika dilihat, kejayaan Castello sebagai jenama pipa terkenal bukanlah mudah. Carlo Scotti memulakan jenama ini sejak 1947 dan dari dahulu lagi telah menekankan penggunaan briar yang dirawat secara alami, air dry, dimana hanya briar yang sudah di air dry selama lebih 8 tahun sahaja digunakan. Ini memastikan briar tersebut benar-benar kering dan sesuai untuk dijadikan pipa. Selain itu, Castello juga berbelanja besar dalam mendapatkan bahan briar yang terbaik. Ini diakui oleh ramai pipemaker artisan Italy, di mana bagi mereka Castello selalunya mampu mendapatkan briar yang terbaik.

Gabungan tenaga mahir pipemakers Castello dan penggunaan briar yang terbaik dan matang adalah formula kejayaan jenama ini. Kebanyakan pemipa yang menggunakan Castello pastinya mengagung-agungkan smoking qualities yang mampu diberikan. Saya sendiri akui bahawa smoking qualities ini, di mana saya sendiri memiliki tiga buah pipa dari Castello, adalah benar dan kesemua pipa Castello saya mampu memberikan kepuasan berpipa yang maksimum. Walaupun begitu, saya tidak menolak "feel good factor" di mana pengaruh harga dan status Castello sedikit sebanyak memberi impak yang baik apabila kita menyalakan baccy di dalam bowl sesuatu Castello.

Dari segi harga, pipa Castello boleh dikatakan berada di kelas atas, sama seperti Dunhill. Bermula dari entry-level Sea Rock di sekitar RM1700 hingga lah ke Flame Series yang mampu meraih lima angka, Castello adalah jenama yang agak mahal. Namun beberapa kolektor tersohor berspekulasi tentang market pipa estate Castello, di mana dengan pengeluaran setahun yang sedikit (4000 buah) berbanding Dunhill yang memiliki 30 pipemakers dan pengeluaran yang lebih tinggi jumlahnya, harga yang mampu diraih adalah sangat baik.

Perlu ditekankan yang Castello juga mempelopori dasar "open airflow" di mana rata-rata pipa Castello memiliki air flow yang lebih terbuka. Sudah tentu konsep ini digemari sesetengah pemipa dan mungkin sebahagian pemipa pula lebih menyukai air flow yang lebih kecil. Apa pun open air flow ini membantu dalam pembakaran yang lebih konsisten dan mudah bagi pemipa pemula untuk memastikan amber bara kekal lebih lama.

Ketika kolektor-kolektor The White Spot mendambakan rarities mereka seperti Dunhill ODA, Red Bark, Dead Root dan Magnum, Castello juga memiliki beberapa keluaran yang sering dicari-cari seperti Epoca dengan ukiran berbentuk cairan wax mengalir, Castello "Flame" dengan ukiran nyalaan api, "L.O.B" - legendary old briar: di mana koleksi briar-briar unsmoked Castello dari tahun 60-70an dibeli semula oleh Carlo Scotti dan dijual kembali dengan tambahan nomenclature itu (bayangkan kebaikan briar-briar pada ketika itu, di mana pipemakers masih memiliki banyak pilihan untuk betul-betul menggunakan hanya briar yang terbaik) dan "Perla Nera" dengan finishing saduran hitam yang berlapis-lapis. Semua ini menambahkan lagi tahap keseronokan pengkoleksian pipa Castello.

Oleh itu tidak hairanlah apabila kita melihat harga yang diletakkan pada sesebuah pipa Castello adalah agak tinggi. Status kultus ini, disertai dengan kualiti briar yang terbaik dan hasil seni artisan-artisan yang sangat berpengalaman, menjadikan pipa keluaran Castello sebagai satu objek occult yang menjadi dambaan dan pujaan peminatnya di serata dunia.

“Among smokers, the Castello pipe is a true cult object which is often purchased for the simple pleasure of owning one, or for a collection.” (Anna Grandori, Organization and Economic Behavior, 2001, 320)

Sunday, 1 November 2015

Coda untuk Arcadia.

* ini bukanlah sebuah review baccy...

Arcadia bukanlah suatu keluaran biasa. Ianya disasarkan oleh McClelland sebagai salah satu blend premium di dalam siri khas 221b. Penggunaan jenis tembakau, flavor yang didevelop dan tentang rasa akan kita bincangkan di baccy reviewnya nanti, tetapi kali ini saya hanya mahu memfokuskan kepada hikayat atau "lore" disebalik nama "Arcadia" ini.

"Arcadia" sebenarnya adalah blend fiksyenal di dalam novel lama bertajuk "My Lady Nicotine" karya J.M. Barrie. Di dalam karya tersebut, Arcadia digambarkan sebagai blend yang sangat ampuh; mampu memenuhi impian pemipa dan sangat lazat ia menjadi pujaan dan titik puncak kepada kepuasan berpipa. Malahan, kelab-kelab tercipta hanya untuk mengagumi Arcadia Mixture ini. Di dalam novel itu juga diceritakan tentang betapa sedapnya blend ini, pemipa-pemipa akan menjadi senyap dan menumpukan sepenuh perhatian ketika menikmati Arcadia Mixture di kelab-kelab mereka. Juga, sedikit petikan dari karya ini lagi, "One need only put his head in at my door to realize that tobaccoes are of two kinds, the Arcadia and others..." - meletakkan sanjungan yang sangat tinggi sehinggakan selepas menikmati Arcadia Mixture ini, seseorang pemipa hanya akan mengklasifikasikan dunia baccy kepada dua jenis sahaja: blend Arcadia dan blend bukan Arcadia!

Idea ini turut mendapat kesinambungan yang baik oleh Sir Arthur Conan Doyle, penulis Sherlock Holmes yang juga merupakan pemipa tegar. Berinspirasikan romanticism dari My Lady Nicotine tadi, Sir Arthur mengaitkan Arcadia dengan karakter Dr Watson (di dalam filem Sherlock Holmes wataknya dilakonkan oleh Jude Law), yang menjadikan Arcadia sebagai go-to baccy nya. Ini sudah tentu agak mengesankan dan menjadikan nama "Arcadia" sebagai satu holy grail di dalam masyarakat pemipa.

Boleh dikatakan tahap legenda Arcadia Mixture ini boleh dibandingkan dengan Balkan Sobranie, cuma ianya hanya di alam maya. Persoalannya sekarang, mampukah Arcadia Mixture direalisasikan di dunia nyata?

McClelland sebenarnya menggalas beban yang agak berat ketika menamakan baccy kedua siri 221b ini sebagai Arcadia. Ini adalah kerana impresi dunia terhadap blend maya ini adalah tinggi sekali. Saya percaya kualiti produk harus didahulukan sebelum strategi pemasaran dijalankan dan seseorang di McClelland juga semestinya sedar akan perkara ini, kerana kualiti blend ini adalah sememangnya premium.

Kenyataan McClelland mengenai blend Arcadia ini adalah "Kami berharap yang formula kami ini, dibuat dengan kajian terperinci terhadap sampel vintage yang diketahui adalah blend asal Arcadia yang diperolehi dari kolektor-kolektor, akan memuaskan pemipa-pemipa tegar yang kritikal terhadap baccy-baccy mereka". Terdapat sekelompok pemipa yang mempersoalkan kesahihan perkara ini, terutamanya mengenai sampel vintage dimana McClelland bertindak untuk tidak menyatakannya dengan jelas. Mungkin ia adalah untuk keselamatan korporatnya (hampir kesemua blending house merahsiakan resepi sebenar blend-blend mereka bukan?) tetapi dakwaan ini kekal sebagai salah satu ura-ura yang besar berkaitan blend Arcadia ini.

Kesungguhan McClelland dalam mengolah kembali Arcadia Mixture ini seharusnya boleh dipuji. Ternyata bagi saya Arcadia keluaran mereka mampu untuk menzahirkan keagungan cerita nya, blend ini sangat baik dan tergolong antara blend Oriental terbaik yang pernah saya cuba. Flavornya yang dinamik memberi kita peluang untuk menghidupkan imaginasi asal Arcadia Mixture di zaman kita sendiri.

Malah, kertas penutup baccy di dalam tin ini juga menyatakan "Siri 221b ini memberikan penghormatan kepada detektif pemipa terkenal Sherlock Holmes, dimana nama siri ini adalah bersempena dengan alamatnya di Baker Street. Keluaran pertama siri adalah Black Shag. Yang kedua adalah Arcadia Mixture, kesukaan rakannya Dr Watson. Ia adalah blend legenda yang dikatakan menjadi inspirasi bangsawan. Kelab-kelab ditubuhkan khusus oleh peminat-peminatnya. Blend Arcadia dikatakan memiliki karakteristik sangat menarik sehingga ia mampu menjadi topik perbualan hangat pemipa-pemipa yang pemalu dan mendiamkan pemipa-pemipa yang kritikal tentang baccy..."

Peterson Meerschaum Experience : Explorasi yang Mengujakan.

Sebetulnya saya agak skeptikal untuk memberikan konsiderasi kepada meerschaum-meerschaum

Di sebalik kesangsian yang bersarang, Peterson sebenarnya mengeluarkan siri Sherlock Holmes meerschaum ini sebagai siri "top grade" yang memberi komplimen terhadap koleksi yang sememangnya popular. Siri ini dilengkapi dengan kemasan perak / silver band yang ditatah hallmark (pure silver, bukan nickel seperti kebanyakan band-band pipe Peterson), dan turut menampilkan P-Lip stem yang sememangnya unik dari Peterson. Cuma sayangnya mereka tidak mengeluarkan "system pipe" dengan versi meerschaum ini, tetapi mungkin mereka mempunyai alasan yang tersendiri.

Pengeluaran Peterson Sherlock Holmes meerschaum ini boleh dibahagikan kepada tiga jenis:
1) meerschaum Afrika yang berwarna kelabu-kuning dan rim hitam / efek hangus.
2) meerschaum Afrika yang ditatah corak "lattice" dan diwarnakan (samada hijau, hitam, merah, coklat etc).
3) meerschaum Turkish blok gred A yang berwarna sangat putih & tidak berukir.

Pengeluaran meerschaum kumpulan (1) sudah tidak ada lagi, dipercayai inilah keluaran asal Peterson Sherlock Holmes meerschaum, dan secara amnya kepupusan meerschaum Africa membuatkan produksinya turut terhenti. Begitu juga dengan meerschaum kumpulan (2), walaupun ia masih boleh didapati dengan harga USD 200 di beberapa tempat. Kumpulan meerschaum (3) adalah blok meerschaum meerschaum terbaik Turkish, jadi harganya berkisar di sekitar USD400.

Kekeliruan terjadi kerana meerschaum Afrika kumpulan (2) adalah berukir & berwarna, bagaimana harganya hampir setengah lebih murah dari meerschaum kumpulan (3) yang tidak berukir dan diwarnakan? Perlu kita sedar, meerschaum kumpulan (3) ini adalah blok meerschaum kelas A dari Turki, di mana ianya dijumpai jauh lebih dalam di dalam lombong meerschaum, sekaligus bloknya lebih lembut, putih yang sangat "pure" dan memiliki kadar absorbensi yang tinggi. Blok-blok meerschaum yang digali di bahagian lombong yang atas, memiliki ciri-ciri meerschaum Afrika dimana warnanya seakan kekelabuan dan agak keras berbanding meerschaum yang lebih jauh di dalam lombong.

Peterson Sherlock Holmes meerschaum versi blok gred A Turki inilah yang dikatakan sangat bermutu tinggi dan berbaloi dengan harga nya. Blok-blok meerschaum Turki kelas A yang digali dari bahagian lombong paling dalam ini agak sukar didapati walaupun untuk pipemakers Turki sendiri, justeru itu ianya jarang diukir kerana warna putih yang dimilikinya adalah yang terbaik. Blok meerschaum yang terbaik sekarang umpama batuan permata; saiz yang besar adalah sukar ditemukan dan mahal harganya. Umumnya saiz-saiz sebegini tidak kerap didapati, maka hal ini turut mempengaruhi kadar penghasilan Peterson meerschaum siri Sherlock Holmes ini yang boleh dikatakan "jarang-jarang kelihatan".

Oleh kerana kerajaan Turki telah mengharamkan export blok meerschaum mentah nya keluar dari negara, Peterson terpaksa mengupah pipemakers Turkish untuk membentuk bowl Sherlock Holmes mengikut modelnya dan setelah itu barulah ia dibawa masuk ke Ireland untuk kemasan perak dan finishing produk. Walaupun tiada data tentang pihak mana kah yang membentuk bowl ini, namun ternyata ia dibentuk oleh artisan yang sangat mahir tentang bentuk dan "plumbing" atau engineering pipa. Ini nyata berbeza dengan Peterson Sherlock Holmes yang menggunakan meerschaum Afrika, di mana tiada sekatan untuk blok-blok dibeli terus dan dihantar ke kilang di Laxey, Isle of Man.

Kawalan produksi dan kualiti yang ketat pula menyaksikan pipa Peterson Sherlock Holmes "Baker Street" versi meerschaum Turki ini mempamerkan pipe engineering yang terbaik saya pernah lihat. Lubang bowl ke shank yang betul-betul terletak di tengah-tengah, diameter open draw untuk draft yang sekata, dan boring shank yang licin dan tepat membuatkan sesi perpipaan dengan pipe ini sangat riang dan enjoyable. Setakat ini sudah 50 bowl lebih sesi perpipaan saya dengannya dan tiada satu pun gurgles atau basah! Ini adalah suatu rekod yang sangat baik, di mana pipa terbaik saya pun tidak mampu memberikan konsistensi kualiti yang sebegini baik (saya akui walaupun tiada gurgling, Castello Sea Rock bulldog "Legendary Old Briar" saya masih mempamirkan sedikit tanda basah ketika pipa dicuci: tidak kerap tetapi secara rambangnya mungkin sekali setiap 10 kali perpipaan). Jadi tanpa ragu Peterson Sherlock Holmes meerschaum version ini adalah pipa yang mempamirkan pipe engineering atau secara kasarnya "plumbing" yang terbaik saya pernah lihat.

Satu masalah yang akan anda hadapi ketika menggunakan meerschaum blok kelas A Turki ini adalah ianya sangat sensitif dan lembut. Sedikit kekasaran akan mampu mencalarkan pipa anda. Namun, kenikmatan merasai flavor tembakau yang optimum tanpa gangguan faktor lain sudah memadai untuk anda memberi lebih perhatian atau extra caution ketika berpipa dengannya. Saya secara peribadi sudah merasa pipa-pipa meerschaum keluaran Turki seperti Altinok, SMS, Cantekin dan beberapa "no names" namun tiada yang mampu menandingi kualiti meerschaum Peterson ini. Walau bagaimanapun perbandingan dengan meerschaum gred A dari master carver Turki seperti Fikri Baki, Yanik dan lain-lain masih dinantikan. Beberapa kolektor dari luar juga mengakui yang Peterson meerschaum dari siri ini mampu mengatasi kejuruteraan pipa kelas A dari pipemaker-pipemaker tersohor Turki.

Datang dengan stem P-Lip yang sememangnya unik, peminat stem fishtail akan sedikit hampa kerana tiada variasi itu dibuat untuk siri ini. Saya agak beruntung juga kerana dari silver hallmark pipa ini menunjukkan ia dibuat pada 1992, jadi boleh dikatakan pipa ini sudah agak matang untuk digunakan. Cuma kerana ia terbiar agak lama di kedai, stem vulcanite nya sudah sedikit teroksidasi, namun itu bukanlah suatu masalah yang besar.

Penggunaan silver band adalah suatu perkara yang menambahkan "appeal" kepada keseluruhan persembahan pipa ini. Ia ternyata memberi penampilan yang elegant, terutama ketika mata kita menyorot dari stem yang gelap,dikontras oleh silver band yang ditatah hallmark dan logo Sherlock Holmes. Selepas itu warna putih yang dalam dan mulus menandakan permulaan shank bersegi bulldog meerschaum itu menjemput mata kita,seolah-olah antitesis kepada kontras yang baru berlaku.

Sebagai seorang peminat pipa berbentuk bulldog, saya akui Peterson tidak mampu menzahirkan bulldog yang mampu mencairkan jiwa saya - bahagian bawah bowlnya selalu bersaiz agak besar dan kurang proportionate dengan keseluruhan bentuk. Boleh saya katakan bahagian bawah bowlnya tidak "flush" dengan eksekusi yang agak kasar. Namun, terima kasih kepada dasar luar Turki yang mengharamkan eksport blok meerschaum secara mentah, pipa bulldog ini diukir dan diengineered oleh pipemaker Turki yang dikontrak oleh Peterson. Oleh itu, bukan sekadar saya dapat menikmati pipa bulldog yang, walaupun mengikut standard bentuk bulldog Peterson, tetapi sedikit "flamboyant" dan tidak terlalu kaku. Yang penting, bahagian bawah bowlnya agak "flush" dan ini memberikan impak fizikal yang menarik.

Saya menantikan waktu bila pengwarnaan pipa meerschaum ini akan lengkap namun saya tahu ia akan mengambil masa yang agak panjang. Secara ikhlas, terasa agak sayang untuk menghisap pipa ini kerana warna putihnya akan diselamuti "stain" dari baccy akan tetapi bukankah pipa dicipta untuk dinikmati, maka saya gagahi juga. Penjagaan yang rapi saya tentukan apabila menggunakan pipa ini kerana seperti yang kita maklum meerschaum adalah material yang lembut dan mudah pecah.

Telah kita bincangkan sebelum ini bahawa meerschaum adalah bahan terkawal dan blok bergred A adalah sukar untuk didapati walaupun di Turki, jadi jika anda berpeluang menemuinya bolehlah berkira-kira untuk melamar. Juga diingatkan faktor limitasi mineral, pengeluarannya yang tidak menentu dan lambakan meerschaum tiruan dan kualiti rendah yang menandakan betapa sukarnya untuk mendapatkan yang asli dan terbaik.

Gabungan ketulusan warna putih, kejuruteraan pipa yang sangat baik dan didatangkan dengan bentuk yang anda hajati, bagi saya umpama bulan jatuh ke riba.
keluaran luar Turki. Apalah yang pengeluar pipa briar ini tahu mengenai meerschaum? Mampukah pipemakers-pipemakers mereka menggerudi meerschaum sebaik mungkin? Bagaimana meerschaum boleh survive dengan kedinginan bayu Irish highlands yang bersuhu rendah itu?

Saturday, 17 October 2015

Pipa "rusticated" : Curahan Kreativiti & Tenaga Pipemakers.

Suatu ketika dulu, rusticated adalah finishing yang menjadi pilihan pipemakers apabila briar yang dibeli memiliki ketidaksempurnaan seperti sandpits, fissures dan lain-lain. Pendek kata, briar yang sepatutnya direject kerana masalah luaran masih mampu dijadikan pipa kerana secara keseluruhannya briar itu masih baik.

Apabila blok briar memiliki grain atau birdseye yang baik, sudah tentu finishing smooth akan menjadi pilihan utama. Begitu juga jika pola ring grain atau spider grain yang baik dapat dibaca oleh pipemakers, dimana finishing sandblasted pula yang akan menjadi pilihan. Kemahiran membaca pola dan ira grain ini sendiri adalah satu skill yang berharga pada pipemakers, jadi peluang mengoptimumkan karya mereka pastilah akan digunakan sebaik mungkin.

Lantaran itu, harga pipa rusticated adalah jauh lebih rendah berbanding pipa smooth dan sandblasted. Pemipa-pemipa yang tidak mahu berbelanja besar pada pembelian pipa mendapat manfaat yang baik dari situasi ini kerana briar tersebut masih mampu memberikan kualiti perpipaan yang baik setanding pipa smooth dan sandblasted. Ini adalah benar dan mencerminkan keadaan semasa hingga ke hari ini, walaupun tujuan dan teknologi / kemahiran rusticated pipemakers telah pun berkembang jauh.

Oleh yang demikian, terkadang pipa rusticated dipandang sebelah mata oleh para kolektor. Ini adalah suatu fenomena yang salah; dogmatisme yang agak besar di dalam dunia perpipaan. Adalah agak mendukacitakan kerana banyak pipa-pipa yang baik adalah di dalam finishing ini. Tambahan pula, sesetengah briar yang perfect pun dijadikan rusticated dan kadangkala harganya menyamai pipa-pipa sandblast.

Kadangkala pembuatan pipa rusticated sebenarnya memerlukan skill yang lebih tinggi dan memakan masa yang lebih lama untuk disiapkan, sebagai contoh pipa-pipa siri Sea Rock dari Castello dan Pebble Grain dari Ashton, dimana kemahiran yang tinggi diperlukan untuk menghasilkan rustication itu. Sejajar dengan namanya, Sea Rock mengenengahkan rustication yang hampir menyerupai tekstur batu berkarang di pelabuhan dan dermaga tepian laut. Nampak kasar tetapi sebenarnya sangat lembut di sentuhan tangan kita. Ashton Pebble Grain pula memberikan impak rustification ala batuan kerikil di jalanan, yang semestinya menarik dan terkenal di kalangan peminat-peminat pipa British.

Penggunaan alatan yang istimewa dan unik juga memainkan peranan di dalam penghasilan finishing rusticated ini, dimana contohnya penghasilan pipa Sea Rock dari Castello menggunakan sejenis tool seperti garfu yang ditekan dan diukir pada briar dengan kuat oleh pipemaker. Finishing paint untuk Sea Rock ini juga agak rumit, dimana warna merah disapu pada permukaan yang tinggi dan warna hitam untuk permukaan rendah dan overcoat untuk finishing nya. Hasilnya adalah warna merah kehitaman dengan color zoning yang sangat memukau!

Rusticated finishing ini tidak semestinya sangat dalam dan craggy. Sedikit sentuhan ukiran tangan (seperti siri "Fertility" dari Amorelli yang menampilkan ukiran berkonsep daun barley) sehinggalah kreativiti dan imaginasi tinggi yang dizahirkan dengan pipa-pipa finishing lattice dari Konstantin Shekita yang juga tergolong antara produk-produk rusticated yang menonjol dan masterpiece.

Dari segi kenikmatan sentuhan, pipa rusticated juga mampu untuk memberikan tekstur menarik pada jari jemari dan genggaman anda. Ini adalah benar terutamanya ketika briar di dalam keadaan suam-suam panas. Efeknya memang sangat mengujakan. Juga harus diselitkan di sini adalah "carburetor effect" yakni pembebasan haba yang lebih efisien pada permukaan tidak rata. Tinggi rendah tekstur rusticated ini, walaupun hanya secara teori, saya rasakan sedikit sebanyak membantu heat transfer yang baik oleh briar.

Hasil kreativiti berkarya oleh pipemakers telah memjadikan sesetengah pipa rusticated sebagai finishing yang exceptional, dan layak untuk mendapat perhatian dan respect setanding (malahan mungkin lebih) dari pipa-pipa smooth dan sandblasted. Oleh itu, jangan bazirkan usia anda dengan prejudisma yang tidak berasas terhadap pipa rusticated. Mungkin jenis inilah yang akan menjadi pipa kesayangan anda pada suatu hari nanti.

Anekdot Perpipaan #1 : "asap aku bau latakia beb..."

Bila kita memutuskan untuk menjadi seorang pemipa, kita sebenarnya melangkah ke alam minoriti yang pelik dan penuh prejudis. Bukan prejudisma biasa, malahan prejudisma degree ke dua: masyarakat umum dah sememangnya prejudis dengan perokok, sekarang perokok pun prejudis dengan pemipa @ pipescene.

Tak mengapa itu semua. Pemipa kebanyakannya jenis manusia yang kompleks. Ini bukan soal remeh seperti hisap rokok bawak se pek Dunhill 14s dan lighter cricket, duduk depan tv silang kaki tengok bola. Pemipa adalah jauh lebih kompleks dan "evolved" dari itu.

Dari situ kita dah tahu yang berpipa ini bukan lah suatu tabiat. Dari asalnya sebagai perokok, seseorang itu berevolusi lagi, naik ke suatu tahap yang lebih tinggi kerana kompleksiti pemikirannya pun dah berubah. Dia tidak buang puntung rokok di lantai kedai mamak lagi. Dia rajin membersihkan pipanya dari abu dan jus baccy. Dia bekerja sedikit lebih keras untuk mengumpul duit demi meng"upgrade" pipa dan aksesori nya. Dia hargai pelaburan itu dengan menjaga pipanya sebaik mungkin. Dia membaca dan menelusuri internet dan blog-blog untuk menambah ilmu tentang perpipaan, supaya dia dapat memaksimumkan keriangan berpipa.

Di penghujungnya, rakan-rakan dia bertanya "apa bezanya asap rokok dan asap pipa tu?". Jawapan paling umum adalah "asap aku bau vanilla" atau "asap ini berbau Syrian latakia beb, dengan base bright virginia" tapi sila tangguhkan jawapan begitu, rakan-rakan anda takkan faham.

Saya suka kaitkan perkara ini dengan berburu atau hunting game. Orang pergi berburu di hutan tu, sebelum turun sibuk seharian membersihkan senapang double barrel kesayangannya, memeriksa bekalan peluru dan alatan untuk camping, mendalami peta kawasan berburu, dan mungkin pergi lapang sasar untuk praktis menembak. Dah masuk hutan, menjejak haiw

Bagi sesetengah perkara, keseronokan itu datang di sepanjang persediaan dan perbuatan yang menjurus ke arah kesudahan sesuatu perkara tersebut. Keseronokan sebegini bukan bersifat statik di penghujung perkara. Kalau mahukan perisa vanilla yang man is, baik makan roti krim sahaja, bukan? Itu keseronokan kebudak-budakan namanya. Namun terpulanglah, kita seronok cara kita, mereka seronok cara mereka. Asalkan boleh duduk bersama semeja, itu dah cukup baik.

Jangan menjangkakan rakan-rakan anda akan terus faham. Jika mereka faham, mereka pun tengah packing Frog Morton dalam pipa mereka sekarang, bukan masih mengelumit rokok dan menjentik puntungnya ke bawah meja setiap sepuluh minit...
an buruan, memasang umpan, dan dumm! haiwan buruan ditembak, jatuh rebah seekor rusa. Selepas itu rusa itu pun dilapah dah diagih-agihkan. Dalam perjalanan balik rumah, singgah di rumah jiran sebelah dulu dan bagi daging rusa tadi pada jiran. "Eh, awak dapat banyak ke?" jiran tadi tanya. "Taklah, saya tak makan pun daging rusa. Akak ambil je lah..." balas si pemburu sambil berlalu menuju ke rumahnya.

Sunday, 4 October 2015

NYPC Blends : Blend dari Pemipa Untuk Pemipa.

Apabila sekumpulan gentlemen bersatu berhimpun di atas nama hobi, pelbagai idea-idea baik pastinya muncul. Penubuhan kelab pula menyemarakkan lagi komitmen mereka di dalam hobi ini, maka terhasil lah pelbagai aktiviti dan produk-produk yang menyeronokkan.

NYPC New York State-of-Mind Collection adalah salah satu hasil dari kegilaan ini. Keupayaan mereka untuk mendapatkan khidmat master blender dan tobacco guru Russ Oulette untuk menghasilkan blend-blend yang unik untuk kelab mereka adalah sangat dikagumi.

Secara amnya, ahli-ahli kelab bermesyuarat, berdebat, mengundi dan bertaufan-minda (brainstorming) dalam membincangkan idea-idea tentang flavor dan rasa blend-blend yang mereka inginkan, dan kemudian mereka menjemput Russ untuk berbincang sama bagi merealisasikan idea-idea ini. Dengan kepakaran Russ dan ketajaman palate pemipa-pemipa inilah, empat blend menarik ini terhasil.

Mari kita lihat sedikit informasi mengenai blend-blend tersebut:


1) Jack's Shanty
Blend yang berteraskan daun cigar ini adalah diinspirasikan oleh blend personal pengasas NYPC iaitu Sailorman Jack. Beliau dikatakan meracik sendiri daun cigar ke dalam campuran latakia, red virginia dan perique dan blend ini selalu berada di dalam pipanya.


2) Hell's Kitchen
Blend Balkan dari NYPC ini mengenengahkan dedaun oriental yang dicampur dengan tembakau Kentucky dan juga Cyprian latakia. Rasa Balkan yang elegan tetapi santai adalah satu kelebihan pada blend ini.


3) Bedloe's Island
Blend ini adalah gabungan virginia dan perique yang dikompress dengan sedikit daun oriental dari Macedonia. Jarang sekali untuk melihat blend va/per yang digabungkan dengan oriental jadi pertemuan dua "spices" ini memang sangat menarik untuk dicuba.


4) Bowling Green
Virginia kek yang sangat menyelerakan menanti anda di dalam tin ini. Blend 100% virginia ini menggunakan tiga jenis daun red virginia, dua jenis bright virginia dan ini ditambah lagi dengan stoved virginia yang pasti menjadikannya blend virginia yang paling menarik untuk dicuba selepas keluaran tahunan McClelland Christmas Cheer.


Apa yang pasti, blend-blend dari NYPC ini menghangatkan lagi dunia perpipaan dengan cetusan rasa dan aplikasi tembakau yang baru dan menyegarkan!

Solani Aged Burley Flake.

Solani Aged Burley Flake adalah antara blend burley yang mudah didapati di Malaysia. Walaupun tidak terjual secara meluas seperti blend-blend Peterson atau Dunhill, masih banyak kedai-kedai yang menjual blend Solani ini, terutamanya di Lembah Klang.

Melihat kepada komposisi blend ini, penggunaan variasi burley yang agak meluas adalah menu utama hidangannya - dark Kentucky burley, white burley dari Malawi dan light burley dari Brazil menanti pemipa. Gambaran kasar yang diberikan oleh Solani mengatakan dedaunan ini ditoast secara unik dimana kemanisan natural dari burley dapat dizahirkan. Agak menarik untuk merasai kemanisan natural ini, kerana kita tahu burley tidak memiliki kadar gula yang tinggi seperti virginia.

Persembahan tin baccy ini adalah amat kemas, penggunaan warna coklat seakan memberi bayangan koko-nuttiness yang bakal dilalui sebentar lagi. Di dalam, lipatan kertas dengan gambar daun tembakau menanti, dan di sebaliknya tersusun kepingan-kepingan flake burley yang indah, semuanya kelihatan sedikit lembap dan segar. Warna flake yang majoritinya coklat sederhana gelap ini menzahirkan percampuran dark kentucky dengan white dan light burley, diselang-selikan dengan serat-serat daun yang berguna untuk menyimpan lembapan untuk flake.

Tin mengeluarkan bunyi "pop" dan "hiss" ketika dibuka, menandakan ianya tersimpan dalam keadaan kedap udara selama ini. Sebaik saja penutup tin diangkat, bau koko yang sedikit masam dapat dihidu. Hiduan secara dekat memberikan indikasi koko, kayu manis, kismis hitam, sedikit roti bakar, oat dan kekacang. Ah, saya sememangnya menggemari blend yang mampu memberikan kita sedikit rasa lapar atau "cravingness" sebegini, kerana ia membuatkan kita berselera dan membina persepsi awal perpipaan yang sangat baik.

Melipat flake yang tebal ini dan memasukkannya kedalam bowl meerschaum-lined Kiko Poker saya, saya mampu menempatkannya dengan baik. Namun, saya menyarankan sedikit prepping time diberikan kerana flake Solani ini agak tebal dan sedikit lembap jika diambil terus dari tin nya. Dengan prepping yang baik, flake Aged Burley ini mampu memberikan persembahan yang optimum. Seperti yang dijangka, helaan asap pertama membawa flavor nuttiness burley yang sangat mengujakan. Rasa nuttiness seperti kacang hazelnut dan macadamia dibakar ini juga ditemani sedikit perca-perca kemanisan ala-molasses, sesuatu yang amat menyelesakan.

Di sepanjang awal perpipaan hingga ke pertengahan bowl, sulaman nuttiness ini ditambah dengan sedikit kemanisan tadi juga turut ditambah oleh sedikit rasa koko dan malt atau barli bakar. Boleh dikatakan saya agak terkasima juga dengan kekayaan tekstur rasa ini kerana saya tidak menjangkakan yang blend burley penuh boleh menjadi sebegini kompleks! Sudah tentu saya tidak mengharapkan sesuatu yang manis dan tangy disini, tetapi kompleksiti rasa ini ditemani dengan full-bodied taste yang sinonim dengan burley ini, adalah sangat menarik dan memuaskan.

Dari pertengahan hingga ke hujung bowl, kenikmatan burley ini masih kekal menemani anda, cuma sedikit kemanisan itu sudah pun tenggelam, digantikan dengan dos nikotin yang sederhana berat, cukup untuk memuaskan. Rasa nuttiness tadi juga masih kekal, mungkin terkadang rasa seperti sedikit masin namun terlalu halus untuk disahkan disini. Terjahan aroma koko dan kopi juga kadangkala terbit. Rasa-rasa ini diperhebatkan lagi dengan secawan kopi panas (atau kadangkala Milo Panas) yang selalu saya pasangkan dengan burley blend.

Dari segi roomnote, baunya adalah bau tembakau biasa yang tidak setengik latakia dan tidak tajam seperti blend virginia. Tiada masalah untuk menghabiskan blend ini dengan habuk putih kerana tempo pembakaran adalah sangat baik dan mudah. Walaupun tidaklah seberat blend-blend kentucky, nikotin yang terdapat di dalam Aged Burley Flake ini mungkin tidak menyelesakan jika anda mengambilnya dengan perut kosong.

Walaupun flake ini memiliki tekstur rasa yang sangat meluas / diverse dan hebat, namun saya tidak mengesyorkan ia kepada pemipa pemula. Anda memerlukan developed palate untuk apresiasi terbaik blend ini. Ia lebih kepada blend yang mampu membawa pemipa dengan lebih exposured palate untuk menelusuri burley dengan lebih dekat lagi, menjelajahi nuttiness flavor dan meneroka lain-lain offering dari penggabungan jenis-jenis burley ini.

Selain itu, peminat-peminat blend full bodied baccy seperti Peterson University Flake, Dunhill Flake, Peterson Perfect Plug dan yang sewaktu dengannya pasti akan berasa sangat selesa dengan tekstur rasa yang mampu diberikan oleh flake tebal ini. Cuma apa yang kurang adalah strength dari tembakau, dimana burley adalah lebih lembut dan pemaaf.

Kiko Pipes & Senario Meerschaum Afrika.

 
















"Kiko" adalah jenama yang agak asing di dalam dunia perpipaan sekarang. Jika anda rajin menyelusuri dunia pipa "estate" mungkin anda akan berpeluang bertemu dengan pipa-pipa keluaran Afrika ini, itupun dengan mengambil kira anda bernasib baik.

Seperti yang kita sedia maklum, pengeluar meerschaum terbesar adalah Turki, namun beberapa deposit kecil juga ditemui di Afrika. Ketika penjajahan British di Afrika Timur pada pertengahan 90-an, mereka menggunakan kesempatan ini untuk mengeksport keluar meerschaum dari Tanganyika (sekarang Tanzania) melalui syarikat konsesi Tanganyika Meerschaum Corporation Limited. Sesetengah bekalan dieksport terus ke Isle of Man , dimana Laxey mengeluarkan pipa-pipa Meerschaum Afrika kepada Peterson dan Comoy, namun kebanyakan blok-blok Meerschaum ini dihantar ke Kilimanjaro Pipe Company Ltd di Tanganyika dan dari sinilah pembuatan pipa tempatan Afrika yang asal, dengan jenama Kiko ini diproduksikan.

Hasil deposit lombong meerschaum Afrika ini bukanlah yang terbaik: ia adalah lebih berat, mengandungi banyak impuriti (oleh itu warnanya jarang yang putih / pure white) jadi sedikit kekelabuan dan tompok-tompok impuriti hadir pada blok meerschaum nya. Dikatakan ia agak sama dengan hasil meerschaum Turki gred rendah namun kekuatan bahannya adalah jauh lebih baik. Ia sangat durable dan mampu ditebuk dan dipasak skru sebagai tenon!

Walaupun kualitinya tidak setaraf meerschaum Turki gred A, kualiti smoking yang mampu diberikan oleh pipa meerschaum Afrika ini adalah agak baik. Ia tidak akan mengambil warna dari jus tembakau sebaik meerschaum Turki, kerana ianya adalah meerschaum yang lebih keras dan padat. Oleh itu, ia adalah lebih sesuai digunakan di luar rumah.

Mengambil-kira faktor pengeluarannya yang terhad, kebanyakan pipa-pipa keluaran Kiko adalah dari jenis meerschaum-lined, disaluti penggunaan kayu-kayu tempatan, briar dan kemasan kulit selalu digunakan. Logo pada stem juga berbeza mengikut siri: anda mungkin akan menemui logo gajah, badak, zirafah, burung dan lain-lain, bersempena haiwan-haiwan kebanggaan Afrika.

Dengan deposit lombong yang sedikit dan terhentinya pengeksportan semenjak Tanzania merdeka dari British, pembuatan pipa Kiko juga turut terhenti. Oleh kerana itu, pasaran kedua pipa Kiko mulai naik dan ia juga diburu kolektor-kolektor di serata dunia. Spesimen yang unsmoked dan berkeadaan baik adalah sangat-sangat jarang ditemui.

Kompleksiti keberadaan material dengan limitasi yang sedia ada menyebabkan pemburuan pipa-pipa seperti Kiko ini adalah sangat menarik dan unik. Walaupun kualiti smoking dan materialnya tidak setanding meerschaum Turki, memilikinya atas dasar sejarah perpipaan juga adalah memadai.

Saturday, 3 October 2015

Pipa "sandblasted" : Kerja Tekstur yang Mengasyikkan.

Pada zaman awal perpipaan, agak sukar bagi saya untuk membezakan antara sandblast dan rusticated. Namun lama-kelamaan bezanya mudah dikenalpasti dan kelebihannya turut saya pelajari.

Secara amnya, kita sedia maklum bahawa pipa sandblasted adalah sedikit murah berbanding pipa smooth. Ini adalah betul pada suatu ketika dahulu dimana teknik ini digunakan untuk menyembunyikan sandpit dan fissures pada blok-blok briar yang didapati tidak layak untuk dijadikan pipa dengan finishing smooth. Namun, terima kasih kepada kemajuan teknik sandblast dan kreativiti pipemakers, sandblast kini dilihat sebagai finishing alternatif, bukan lagi seperti tujuan asal penciptaannya, seperti yang telah saya kupas dalam artikel lalu "Miskonsepsi Terhadap Sandblasted & Rusticated" (pipadiduniafana.wordpress.com/2015/08/09/miskonsepsi-terhadap-sandblasted-rusticated/).

Dikatakan, Dunhill adalah syarikat yang bertanggungjawab memperkenalkan teknik sandblast ini di mata dunia dengan pengeluaran siri Shell Briar nya. Namun, strategi pemasaran Dunhill (yang sememangnya selalu berkontradiksi dengan  teori sejagat) meletakkan harga pipa Shell Briar mereka lebih mahal dari smooth, sehinggalah ia diturunkan semula pada pertengahan abad. Tidak disedari mereka ketika itu yang tujuan asal untuk mengurangkan kadar briar-briar reject telah pun mendapat tempat di hati pemipa-pemipa. Briar yang baik, jika disudahi dengan sandblast mampu menzahirkan ring grain yang memiliki tekstur yang sangat menarik pada penglihatan dan juga sentuhan - sesuatu yang tidak terdapat pada pipa smooth.

Teknik sandblast ini juga bukan lah suatu pekerjaan yang remeh dan mudah. Pertama sekali penggunaan mesin dan grit pasir yang menjadi medium untuk sandblast ini adalah satu pelaburan yang agak mahal. Kemudian, ia juga memerlukan mata dan appresiasi briar yang baik dari pipemakers, demi penilaian briar yang teliti untuk orientasi blast yang baik, tangan yang cekap dan tidak mudah lenguh untuk memegang pipa dengan sarung tangan pelindung di sepanjang proses blasting. Kerana itulah sesetengah pipemakers seperti Castello hanya mengeluarkan sandblast pada kadar yang sedikit (sandblast dari Castello, siri Old Antiquari hanyalah 10% dari pengeluaran pipa tahunannya - bermakna hanya lebih kurang 300 buah Old Antiquari dikeluarkan setahun).

Bagi para artisan pipemakers pula, seni sandblast ini adalah serumit pembikinan pipa smooth, jika tidak lebih rumit, dimana orientasi grain dimanipulasikan sebaik mungkin untuk mencipta ring grain, efek spiderweb, efek craggy dan lain-lain unjuran yang menaikkan lagi seri grain ke atas briar mereka. Ia bukanlah sekadar meletakkan briar di dalam mesin sandblast dan mengharapkan hasil blasting yang "surprise" seperti zaman dahulu. Oleh yang sedemikian, sesetengah artisan pipemakers yang terkenal dengan sandblasted teknik mereka seperti J.T. Cooke dan Bruce Weaver, harga pipa sandblast mereka adalah jauh lebih mahal dari pipa smooth.

Juga terdapat teori yang mengatakan bahawa finishing sandblast ini adalah lebih baik dalam mengalirkan haba panas keluar dari pipa. Ini adalah dari segi luas permukaan yang mana lebih luas lebih banyak distribusi haba dapat dilakukan. Juga, pemipa-pemipa bercakap tentang efek carburetor di mana permukaan blast yang seperti kisi-kisi angin itu mampu mengalirkan haba keluar. Tidak dapat dipastikan akan kebenaran hal ini, namun secara peribadi saya percaya jika ada pun efeknya adalah sangat kecil.

Saya lebih mementingkan faktor tekstur sentuhan yang mampu diberikan oleh pipa sandblast ini: sentuhan lembut dengan jari kita menelusuri ombak-ombak grain dan spiderweb, adalah sangat "soothing" dan melegakan. Juga, melihat imbasan jalinan urat-urat briar yang 3D ini apabila pencahayaan sisi dipancarkan adalah sangat indah dan mengasyikkan. Pipa sandblast adalah pilihan saya untuk dibawa bersama ketika memandu, dipegang-pegang seumpama totem yang membawa kita ke alam yang tidak nyata.

Oleh itu, bila anda berfikir untuk mendapatkan pipa sandblast, pastikan yang anda mendapat hasil proses terbaik yang mampu menyerlahkan grain dan susunatur urat kayu yang setanding atau mungkin lebih baik berbanding pipa-pipa smooth. Barulah pelaburan anda berbaloi.

Tuesday, 22 September 2015

"Prepping Baccy" : Amalan Pemipa Bijak.

Hidup pada abad ke-21 ini, segalanya pantas. Kita ada drive-thru, fast food, short semester, fast track dan bagai-bagai lagi. Proses yang panjang dan mengambil masa yang agak lama, selagi boleh akan dipercepatkan. Masa adalah matawang baru di millennia ini.

Namun, bukan semua perkara adalah baik untuk dipercepatkan. Kita sering mendengar kata-kata seperti "you can't hurry love" dan yang seumpamanya namun adakah kita mengerti maksudnya? Kita juga tahu yang balsamic vinegar, wine dan sesetengah keju adalah antara bahan-bahan luxury yang akan menjadi lebih baik bila dinikmati pada sela masa yang lebih lama. Begitu juga halnya dengan baccy!

Setiap kali kita membuka tin baccy yang baru, kebiasaannya keadaan baccy adalah sedikit lembap. Casing aromatik, glycerin, syrup, molasses dan minyak semulajadi dari pemerapan daunan baccy adalah antara punca kelembapan ini. Walaupun kelembapan ini adalah baik untuk proses cellaring, namun untuk hisapan terus, ia boleh membawa kepada komplikasi lain seperti tongue bite, hot smoke dan gurgling.

Walaupun sedemikian teorinya, kita harus faham isu "prepping baccy" ini sebenarnya bukan lah satu saranan untuk melewat-lewatkan sesi perpipaan. Ada banyak kebaikan yang bersangkut paut dengan tabiat ini. Secara amnya, kita difahamkan bahawa tujuan prepping ini adalah untuk mengeringkan baccy yang lembap. Tetapi, konsepnya bukanlah seringkas itu.

Tujuan utama prepping baccy memanglah untuk mengeringkan baccy sebelum ia sedia untuk dipack. Namun, sesetengah baccy yang kering pun, kita disarankan untuk prep juga. Kenapa? Di sinilah kita perlu faham bahawa hampir semua baccy mengalami proses pemeraman anerobik yang melibatkan tekanan tinggi dan pertukaran gas-gas yang sangat aktif. Gas-gas ini, walaupun tidak membahayakan, sedikit sebanyak mempengaruhi bau dan rasa sebenar baccy jadi prepping akan memastikan gas-gas ini dinyahkan dari tembakau kita.

Tujuan lain prepping ini adalah untuk melatih pemipa dalam perancangan baccy dan "cellaring". Baccy bukanlah suatu bahan yang murah dan mudah didapati. Kita bermain dengan faktor kultivasi, alam sekitar, faktor manusia, geo-politik dan sosio-ekonomi yang sangat rumit. Sesetengah blend akan pergi meninggalkan kita tanpa amaran. Jadi, amalan prepping ini memaksa kita sentiasa menjengah "cellar" dan dari situ kita mampu mengetahui tahap simpanan baccy kita dan sekaligus merancang pembelian baccy-baccy untuk simpanan seterusnya.

Selain itu, prepping juga mengajar kita pemipa supaya menjadi insan yang sabar. Walaupun baccy ada di depan mata, kita haruslah prep ia sebaiknya dan sabar menanti demi mendapatkan sesi perpipaan yang terbaik. Menjadi lumrah manusia untuk tidak menghargai sesuatu apabila ianya mudah untuk diperolehi jadi konsep prepping ini adalah satu pengajaran tidak langsung yang baik dalam melatih kita menghargai baccy.

Secara personal, saya sendiri memang mengamalkan prepping ini selagimana logik. Jika berpipa di luar rumah, sudah tentu lebih mudah untuk kita membawa baccy dengan tinnya namun untuk perpipaan harian, saya akan menggunakan rotasi tiga jenis baccy dimana saya mengudarakan tiga jenis baccy di atas satu pinggan yang besar, setiap jenis ditempatkan sedikit berasingan. Satu bahagian untuk aromatik, satu latakia dan satu full virginia / burley / va/per, kerana saya suka untuk mempelbagaikan baccy disepanjang hari - bagus untuk latihan palate kita.

Dengan kondisi lelaki bekerja yang tidak membenarkan saya mengikut rotasi ini secara 100%, memang terkadang sesetengah baccy yang telah diprep hanya dipack dan dinyalakan seminggu kemudian. Namun hasilnya sangat mengagumkan! Ketika menulis artikel ini, saya sebenarnya sedang menikmati alunan Solani Aged Burley Flake yang jauh lebih lemak, manis dan lembut berbanding baccy yang sama ketika ia baru dikeluarkan dari tinnya.

Biar apa pun latar belakang dan cara berpipa kita, mengamalkan baccy prepping sebagai persediaan berpipa adalah sesuatu yang menyeronokkan dan membantu kita mencapai sesi perpipaan yang lebih baik. Cubalah dan rasakan sendiri perbezaannya.

Ashton Artisan's Blend.

Ashton pada mulanya bukanlah suatu blending house yang terkenal. Ia lebih dikenali di dalam arena pembuatan pipa, terutamanya dengan pengeluaran pipa-pipa rustiknya dari siri "Pebble Grain". Tetapi, beberapa baccy keluarannya seperti Old Church dan Old Dog adalah agak popular pada suatu ketika dahulu.

Di awal zaman perpipaan saya, beberapa baccy dari Ashton seperti Winding Road, Rainy Day, Smooth Sailing dan juga Artisan's Blend ada dijual di pasaran Malaysia. Namun yang peliknya, ia dijual secara berasingan oleh kedai-kedai tembakau. Walaupun francais yang sama seperti Kamelah Tobacco House, setiap cawangan hanya memiliki satu siri dari Ashton dan ini adalah agak nenjengkelkan kerana bukankah lebih baik jika setiap cawangan memiliki kesemua sirinya?

Menolak kesemua itu ketepi, Artisan's Blend adalah suatu tawaran full-bodied English blend kepada kita pemipa. Menggunakan virginia sebagai asas blend, perique dan Syrian latakia diadun ke dalam blend ini dan ia ditambah pula dengan sedikit tembakau oriental untuk menambahkan lagi spiciness ke dalam blend.

Tin note yang dapat dikesan sebaik ia dibuka adalah dominasi latakia - pekat, tebal dan kuat. Sememangnya duplikasi Nightcap dimana tin note nya saling tak tumpah, agak serupa. Dengan itu, saya tentunya menjangkakan suatu English blend yang berat dan "full swing", indikasi dari tin note nya ini.

Nyalaan pertama, dan wow! saya mengesan sesuatu yang menyerupai Dunhill Nightcap dari segi full-bodied taste dan sedikit heaviness. Namun selepas lima ke enam hembusan, saya agak hampa kerana tiada nikotin hit yang setaraf Dunhill Nightcap di sini, namun, sesuatu yang lain sedang berlaku - jalinan creaminess dari Syrian latakia dan ianya adalah amat baik dan enak sekali! Dari sini, setiap sedutan adalah amalgamam rasa yang indah,

Tekstur rasa dari Syrian latakia ini diolah dengan baik oleh Artisan's Blend. Ianya lembut, kekal di palate seperti gula kapas dan sedikit smoky juga. Jika diikutkan, kompleksiti rasa dari blend ini adalah agak balanced. Rasa woody, smoky dan diselang-seli dengan sedikit kemanisan dapat ditangkap oleh palate kita, disebalik "creaminess" Syrian yang sangat mengujakan itu.

Perique menonjolkan diri nya dengan baik tetapi creaminess Syrian latakia sebenarnya mencuri tumpuan anda daripada lain-lain tekstur. Rasa cream, silky dan lembut ini konsisten hingga lah ke pertengahan bowl. Nikotin hit, walaupun tidak terlalu menonjol tetapi boleh dirasai terutamanya dari pertengahan ke penghujung bowl.

Tidak ada masalah untuk sesi perpipaan sampai ke hujung bowl, dimana flavor asal masih kekal dan rasa perique mungkin agak sedikit intense di sini. Namun apa yang saya dapat lihat ialah flavor dari oriental yang sedikit tenggelam. Mungkin oriental bekerjasama Syrian untuk membawakan ketaksuban creaminess tadi, dan jika itulah peranannya, saya tidak kisah akan kekurangan flavor oriental di dalam blend ini.

Dari segi pembakaran, Artisan's Blend tidak mengecewakan. Teknik packing yang baik akan menjanjikan habuk putih tanpa sedikit pun cebis-cebis tembakau yang belum terbakar, tanda pembakaran sempurna yang berlaku. Blend ini juga mudah untuk dinyalakan dan sedikit penjagaan akan membuatkan nyalaan anda kekal hingga ke hujung bowl. Oleh itu, saya perlu berjaga-jaga sedikit jika tidak bowl Dunhill Squat Bulldog saya yang sangat acute di dasar ini akan terbakar pula.

Full swing yang dijangkakan di awal perpipaan adalah satu "false alarm" di sini tetapi, jauh dari kekecewaan, saya disogokkan pula dengan heavenly creaminess yang datang bersama dengan Syrian latakia itu. Blend ini memang sangat mengujakan dan sedang kita tahu sekarang akan keadaan di Syria, kita dapat mengagak yang persembahan blend-blend sebegini mungkin tidak lama lagi akan pupus.

Tentunya, saya mahu memburu lagi tin-tin Artisan's Blend yang ada di pasaran Malaysia namun saya tahu pencarian itu mungkin agak sukar. Jika anda terjumpa, saya nasihatkan anda untuk mengambil peluang yang ada itu sebaik mungkin.
di mana Syrian latakia berjaya melompat keluar dan mencuri tumpuan dari base virginianya. Ianya sangat bagus dan tentunya penggunaan Cyprian latakia tidak akan dapat membawa dimensi rasa ini.

Saturday, 12 September 2015

Pipa "smooth" : Permainan Grain & Birdseye Naturalis.

Sesungguhnya pemipa itu adalah orang yang berjiwa seni, kerana mereka memahami kecantikan tekstur alami dari kayu dan penghargaan terhadap sumber alam ini dizahirkan dengan kesanggupan untuk membayar sesuatu pipa pada harga yang premium.

Secara rambang, struktur harga bagi pipa adalah tersusun sedemikian rupa: mahal bagi smooth, sederhana mahal bagi sandblast dan sedikit murah bagi rusticated. Memahami konsep keberadaan material yang terhad buat kayu briar yang bergrain cantik dan sempurna, maka struktur ini adalah logik. Briar yang sempurna berkemungkinan kurang dari 50% dari hasil total pengambilan briar sedunia, dan dari situ briar yang memiliki grain baik seperti straight grain, flame grain dan birdseye adalah lebih sedikit. Maka, harga blok-blok briar sebegini yang sesuai untuk dibuat pipa smooth tentunya berbeza dari blok-blok biasa, lantaran itu kos membuat pipa dari briar smooth ini adalah lebih tinggi.

Apa yang kita sebenarnya bayar adalah kesempurnaan briar: kurangnya sandpits (susah untuk kita tentukan briar yang sempurna kerana sebagai produk natural, semestinya ada sedikit lubang atau sandpits walau sekecil mana pun), dan orientasi grain yang baik. Ini boleh dilihat dengan pipa-pipa gred ultra seperti S.Bang, Jess Chonowitsch, Former, Alex Florov dan ramai lagi artisan kelas A dimana pipa-pipa terbaik mereka adalah smooth, dengan sandpits yang sangat minimal mungkin kita tidak dapat melihatnya dengan mata kasar. Bagi mereka, sandpits yang kecil mungkin akan disudahkan dengan sandblast finish dan jika terlalu besar mereka akan buang saja. Jarang sekali saya melihat pipa-pipa kelas sebegini dengan fill walaupun kecil.

Selain dari isu kesempurnaan briar, kolektor pipa juga menggemari straight grain, flame grain dan juga birdseye yang secara natural terdapat pada briar. Kerana inilah artisan pipemakers sanggup berhabis modal untuk mendapatkan blok-blok briar yang memiliki orientasi grain menarik. Dengan itu, lahirlah briar-briar fiammata yang dipelopori pipemakers Italy seperti Castello, Radice, Paolo Becker, Viprati dan juga kemunculan Dunhill Dead Root, Amber Flame dan Comoy's Blue Riband. Straight grain tentunya akan dapat dijual pada harga yang lebih tinggi dari flame grain, selalunya berharga empat angka oleh itu membeli blok-blok yang mahal ini sebenarnya adalah suatu bentuk pelaburan kepada pipemakers.

Bukan sahaja mereka, kita sebagai pemipa pun tentunya mahu melihat sesuatu yang cantik apabila membeli pipa dengan finishing smooth sebegini. Jika tiada orientasi grain yang cantik, bukankah lebih baik sesuatu pipa itu disudahi dengan sandblast atau rusticated? Setidak-tidaknya, jari jemari kita boleh memegang tekstur-tekstur yang menarik, sementelahan mata tidak terjamu. Harga pun sudah tentu sandblasted dan rusticated adalah lebih murah. Jangan mengambil mudah hal ini kerana bila kita mengeluarkan duit sedikit lebih untuk pipa, orientasi grain adalah sangat penting kerana straight grain bukannya mudah untuk diperolehi: bukan sahaja ia selalu menjadi buruan walaupun mahal tetapi kemahiran yang sangat baik adalah perlu untuk pipemakers merealisasikan unjuran grain yang menarik di bowl pipa-pipa mereka.

Walau bagaimanapun, pipa smooth sebegini juga adalah agak rumit untuk dijaga. Permukaannya mudah tercalar jadi kita harus lebih berhati-hati ketika menggunakannya. Ia juga memerlukan sedikit wax atau polish bilamasa perlu, demi mengekalkan kilatnya dan warnanya. Namun, semua ini akan datang dengan sendirinya kerana apabila kita leka diulit grain-grain yang mengasyikkan ini, secara automatik kita akan menjaga briar nya dengan baik.

Perlu kita ingatkan khususnya pada pemipa-pemipa pemula yang unjuran grain ini tiada kena mengena dengan kualiti smoking. Fiammata, flame grain, Oochio di Pernice atau susunatur sebagaimanapun, ia tidak membantu dalam kemampuan sesuatu pipa untuk menghasilkan pengalaman smoking yang baik. Jadi, tepuk dada tanyalah selera bila anda menemukan pipa-pipa smooth yang sangat menggoda, dari semasa ke semasa.

Bagi saya, walaupun kita tidak dapat menikmati nikmat sentuhan bertekstur yang diperolehi dari pipa-pipa sandblast dan rusticated, berdiri tegak di depan rak pipa anda sambil menilik-nilik grain-grain yang cantik ini pada pagi ahad adalah sangat mengujakan dan mendamaikan. Susunan grain yang selari, ditambah dengan taburan birdseye di bahagian rim dan bawah pipa yang bagaikan bintang-bintang yang berorientasi rawak dalam cara yang mengagumkan, adalah testimoni kepada kemahiran dan usaha pipemakers yang sangat mahir dalam mengaplikasikan faktor kecantikan bahan natural yang sangat menawan ini ke tahap optimum.

Pipa, Baccy & Koktel-ology.

Aktiviti berpipa selalunya dilakukan beserta dengan minuman di masa-masa yang santai. Minuman-minuman ini bukan sahaja untuk membasahkan tekak pemipa semata, namun ia juga mampu untuk mengkomplimen rasa sesuatu baccy dan meningkatkan kualiti sesi perpipaan.

Dari aspek sosio-kultural kita, berpipa adalah suatu hobi yang relaks dan pengambilan minuman bersama pipa adalah kelaziman. Samada duduk berpipa berseorangan di beranda rumah, menghadiri pipesmeet atau di kelab-kelab, minuman adalah salah satu element santai yang penting.

Cuma persoalannya sekarang, jarang sekali kita faktorkan yang minuman-minuman ini mampu melonjakkan kepuasan berpipa kita ke tahap yang lebih optimum. Kita selalu mengharapkan baccy dan pipa tetapi banyak element lain yang turut memainkan peranan.

Oleh itu, marilah kita lihat beberapa contoh minuman dan kesesuaiannya dengan baccy, berdasarkan pengalaman dan ujikaji saya:

Sparkling White Grape adalah sesuai dengan blend-blend Cyprian Latakia yang agak berat, antaranya Dunhill Night Cap & Durbar, Peterson Old Dublin, SG 1793 Flake, DTM Old Ironsides dan yang sewaktu dengannya. Blend-blend sebegini, walaupun agak kaya dengan "earthiness" latakianya, terkadang agak berat pada palate kita. Do sinilah saya suka bagaimana efek kemasaman dan kemanisan dari white grape tadi untuk membersihkan palate kita dan semacam memberi sedikit "break" seketika.

Bagi blend-blend berteraskan latakia jenis sederhana kuat seperti Rattray's Red Rapparee, Dunhill My Mixture 965 & Aperitif, Peterson Balkan Blend dan NYPC Hell's Kitchen, ice lemon tea adalah companion yang terbaik. Komponen blend-blend sebegini yang tidak memiliki burley dan penggunaan virginianya yang agak sparing, seakan menyediakan lidah kita kepada minuman jenis teh masam. Sisipkan ice lemon tea itu ke lidah dan anda akan merasakan rasa lemon nya seperti tenggelam sedikit, dan rasa sebenar teh yang digunakan itu akan naik di palate anda. Jika teh yang digunakan adalah dari jenis yang berkualiti, rasa tadi adalah sangat nikmat dan beraroma.

Teh tarik adalah amat universal, bertindak dengan baik sekali dengan blend-blend samada aromatik, full virginia, full burley, va/per, va/bur, Balkan, English mahupun Scottish. Malah, lebih full bodied sesuatu blend itu, lebih baik, seperti contoh Peterson University Flake dan Perfect Plug, SG Full Virginia Flake dan RMC Red Virginia . Rasa teh dan susu secara tidak langsung membuang kepahitan aftertaste sesetengah blend jadi tidak hairanlah teh tarik amat digemari oleh pemipa selain kopi.

Bercakap tentang teh ini, sebenarnya banyak jenis teh yang bertindak balas secara berlainan terhadap sesetengah baccy. Oleh kerana itu, kita akan kupas peranan teh mengikut jenis di dalam artikel yang khusus.

Kopi memang antara salah satu pilihan yang popular. Kebiasaannya, saya akan mengiringi baccy jenis burley seperti Solani Aged Burley Flake atau MacBaren London Burley Blend dengan kopi ditambah susu. Ia semacam membawa sedikit "buttery" taste ke dalam rasa baccy-baccy burley sebegini. Kalau kopi 'O' pula, ianya sangat sesuai dengan blend-blend aromatik yang manis seperti Peterson Sweet Killarney, Winslow Harlekin, Devil's Holiday atau Mac Baren Cube Gold kerana sedikit hirupan mampu memberi efek "refresh" kepada palate kita yang agak lali dengan casing aromatik-aromatik tersebut.

Kopi juga mempunyai banyak jenis dan mungkin sedikit masa nanti kita mampu mengupas kepelbagaian jenis kopi ini dan tindakbalasnya terhadap baccy.

Milo pula adalah minuman penuh semangat yang agak disukai ramai di Malaysia. Adunan cokelatnya yang pekat dan penuh perisa itu agak menyelerakan jika disertai dengan beberapa blend va/per seperti Rattray's Old Gowrie, Dunhill Elizabethan Mixture, Peterson Irish Oak dan Reiner Long Gold Flake (Blend 71). Mungkin tindakbalas antara perique dengan koko dan malt yang menjadikan ianya sedap di lidah dan palate, ditambah dengan "umphh" virginia yang dijelaskan lagi dengan taste koko dari Milo tersebut.

Antara yang saya selalu elakkan adalah minuman bergas seperti Coke atau Pepsi contohnya, kerana ia mengundang sedikit perit lidah dalam hirupan pertama, namun mungkin bila gasnya kurang, ia mampu juga memberikan sedikit impak kepada baccy.

Sekarang kita sudah pun mengerti yang sesuatu seringkas secawan minuman itu mampu mengubah suasana perpipaan kita menjadi lebih baik dan nikmat. Jadi, ber-eksperimenlah dengan minuman-minuman kegemaran anda, buat nota ringkas tentang tindakbalasnya terhadap baccy-baccy yang berlainan. Tidak rugi anda belajar sekarang dan mengambil sedikit masa untuk memahami palate kita sendiri.

Wednesday, 2 September 2015

Pipa & Dunia Persenjataan Melayu.


Datangnya hari kemerdekaan, jiwa rasa terhimbau bila mengenangkan perjuangan bangsa meraih kemerdekaan. Bukan itu saja, perjuangan dahulukala di mana bangsa menegakkan tamadun dan peradaban yang tinggi menjadi suatu kebanggaan, yang hanya dapat dinikmati dan dihayati secara total melalui persenjataan Melayu yang indah dan penuh perlambangan. Keris, badik, sundang dan tombak bukan dibuat mengikut sesuka hati sebaliknya ada tilikan mengikut kesesuaian diri penempah dan pembuatannya diiringi doa-doa, setiap sudut memiliki fungsi dan perlambangan tertentu yang melampaui jangkauan dunia moden kita ini.

Ya, persenjataan Melayu adalah sangat kompleks dan penuh dengan perlambangan anda akan khuatir dan tercabar dengan pemikiran orang zaman dulu yang kritis dan penuh hikmah.

Pipa dan persenjataan Melayu tidak memiliki perkaitan yang rapat kerana fungsi kedua ini adalah berbeza. Namun kita harus tahu yang sebagaimana sesetengah senjata dijadikan "pakaian diri" oleh pemiliknya di suatu masa dahulu, attachment kita terhadap pipa kesayangan kita (masih anda ingat tentang konsep "men's greatest companion" tempohari?) juga boleh dianggap sebagai pakaian diri, memandangkan affection dan perhatian yang diberikan terhadapnya. Dari situlah saya melihat akan persamaan kedua bidang hobi ini.

Antara yang saya boleh kongsikan, kedua bidang ini memiliki persamaan dari segi sosio-ekonomiknya. Sepertimana nama pipemakers yang baik dan tersohor mampu menentukan harga pipa, empu-empu keris yang baik zaman dulu biasanya dinaungi oleh istana, jadi perbezaan kualiti keris istana dan keris dari luar istana dari segi kemasan buatan adalah berbeza. Malah, bagi pembuatan keris-keris baru sekarang pun, empu atau tukang yang baik biasanya menerima tempahan yang tak kunjung padam, queue nya panjang dan harga karya seni mereka selalunya mendapat appraisal yang lebih tinggi berbanding tukang-tukang yang biasa.

Dari segi bentuk standard, sepertimana pipa memiliki bentuk-bentuk tradisional yang standard seperti Dublin, Billiard, Prince, Cutty dan Bulldog, persenjataan Melayu juga mempunyai standardnya yang tersendiri. Bentuk-bentuk keris standard yang dipanggil "dapur" ini adalah mengikut ciri-ciri kedaerahan nya seperti Pandai Saras, Tok Chu dan Charita (Kelantan & Pattani), Melela, Gelugor dan Bugis Terengganu (Terengganu), keris-keris dari Pahang dan lain-lain. Badik juga berbeza dari segi bentuk, material dan kemasan luaran bagi daerah-daerah yang berlainan.

Hasil kerjatangan yang 100% (handmade) juga memainkan peranan yang penting bagi kedua-dua bidang. Keris yang baik semestinya tidak menggunakan acuan / mould seperti keris-keris / senjata cenderahati. Pipa juga begitu, "fatta a mano" mendapat tempat di hati pemipa. Artisan pipemakers menggunakan tangan sendiri untuk shaping dan hanya memerlukan mesin untuk proses penggerudian sahaja. Jadi masa yang dilaburkan untuk pembuatan pipa-pipa dan keris-keris kelas A adalah tinggi: lama untuk menyiapkannya dan lebih rumit pekerjaannya, lantas mendorong ke harganya yang lebih tinggi berbanding yang lebih biasa.

Faktor keberadaan material juga adalah isu yang sama melanda kedua cabang seni ini. Bagi persenjataan Melayu lama, jenis besi yang digunakan dan jenis kayu untuk sarung dan hulu biasanya adalah yang terbaik dan bahan-bahan sebegini sukar didapati sekarang. Bagi pipa pula, briar ebauchon dahulu pastinya lebih banyak, lebih tua dan burlnya juga baik. Cuma, terima kasih pada ilmu yang diperturunkan, tukang-tukang keris dan pipemakers sekarang juga mampu menghasilkan senjata-senjata dan pipa-pipa yang berkualiti tinggi biarpun berhadapan dengan cabaran bahan material yang semakin terhad.

Dari segi kolektiviti pula, persenjataan Melayu dan perpipaan juga agak serupa. Pencarian jenis-jenis yang langka (rare) adalah aspirasi kepada kedua hobi ini, seperti pemburuan keris-keris Coteng yang hanya diguna oleh pembesar-pembesar Singgora (sekarang Songhkla, Thailand) dimana keris sebegini mampu mencapai harga pasaran hingga lima angka, itu pun jika kita dapat menemukannya (dan bertuah untuk menjumpainya secara available untuk dijual). Begitu jua dengan sesetengah pipa yang dikategorikan "rare" dek kerana pengeluaran yang terhad seperti Dunhill OX series dan Dr Plumb Peacemaker dengan shanks bersegi, penghentian produksi seperti Dunhill siri Red Bark dan Kaywoodie Fine Line, kematian pengasas seperti Ser Jacopo dengan insignia "Giancarlo Guidi" (dimana insignia ini hanya ada pada pipa design prototype yang dibuat dengan tangan Giancarlo Guidi, pengasas Pesaro Pipe School yang merevolusikan dunia perpipaan Itali secara amnya) dan lain-lain faktor.

Sebagai konsumer kita faham sendiri akan keperluan sesetengah item untuk menjadi lebih baik dan lebih murah dari semasa ke semasa, tetapi selalunya bila ia melibatkan hasil kerjatangan dan penghayatan seni, faktor "supply and demand" akan mengambil alih dan kolektiviti akan secara sendirinya terbentuk. Ini akan disusuli dengan faktor pelaburan atau investment yang berkait rapat dengan pasaran kedua sesuatu item tersebut. Persenjataan Melayu sememangnya memiliki pasaran kedua yang baik dan menguntungkan dan pipa pula sedang meningkat naik di sini, dan di situlah kita nampak akan kemana hilangnya wang, masa dan usaha kita. Yang penting, ianya bukan sia-sia.

Renungkanlah tinggalan bangsa dan sebaik anda mengerti seni persenjataan bangsa, baru anda tahu betapa tingginya peradaban kita dulu dan semangat untuk bangkit menjadi bangsa agung akan menjalar di segenap nadi anda.

Devil's Holiday.

Sebut saja Devil's Holiday, rata-rata pemipa samada veteran atau pemula mesti mengenalinya. Blend ini memang diakui sangat popular terutamanya kepada peminat aromatik. Mungkin faktor namanya yang unik, atau gambar di penutup tinnya yang merah dan menarik perhatian kita.

Mengikut deskripsi blendnya, penggunaan bright virginia yang ditambah dengan black cavendish adalah asas kepada blend, dan flavor wild forest berries adalah casing yang diberikan kepada blend ini. Kombinasi ini membayangkan suatu baccy aromatik yang tangy kepada saya, tanpa base yang kuat, namun mungkin itu adalah satu kelebihan kepadanya.

Tin note yang kita boleh dapati sebaik tin dibuka adalah dari berries, kismis hitam, sedikit kayu manis, molasses dan jem blackcurrant yang pekat. Saya agak risau memikirkan akan kebarangkalian yang Devil's Holiday ini akan mengundang tongue bite kerana ia kelihatan agak basah.

Separuh pertama bowl adalah dipenuhi dengan sensasi aromatik yang sedikit terlebih kuat bagi saya. Namun, hal ini ada baiknya kerana flavor wild berries yang diwar-warkan diolah dengan baik sekali. Permainan nasal memberikan flavor berries yang kuat, seperti mengemam gula-gula berries. Bagi saya, ini adalah ciri-ciri baccy aromatik yang baik kerana flavor nya mampu dibawakan seperti deskripsi baccy yang diiklankan.

Seperti yang dijangkakan, pencinta nikotin akan merasa hampa kerana ia tidak dapat ditemui dengan banyak disini. Bagi pencinta blend-blend berat, anda akan menyedut / puff dengan kuat dan lebih dalam demi mencari kepuasan. Di sinilah masalah akan bermula kerana jika pembakaran baccy ini bersuhu terlalu tinggi, rasa berries yang pahit seperti ubat demam cair akan menghantui palate anda.

Pertengahan bowl ke hujung adalah suatu kisah pengimbangan kadar sedutan dimana jika anda konsisten dengan sedutan ringan, flavor wild berries yang menerpa palate anda adalah sangat manis dan baik. Saya tidak lagi mengharapkan tendangan nikotin mahupun tamparan ringannya kerana sedar ianya tidak akan kunjung tiba. Sebaliknya, fokus kepada wild berries dan anda akan dianugerahkan dengan full-bliss berries wonderland.

Bau persekitaran yang diberikan oleh baccy ini juga amat menarik, ramai non-smokers yang senang dengan bau Devil's Holiday apabila saya menyalakan pipa berhampiran mereka. Sesetengah aromatik tidak memiliki bau yang baik, bau asap menenggelamkan segalanya tetapi Devil's Holiday memang memberikan "sillage" yang menyenangkan.

Oleh itu para peminat aromatik anda sedarlah, Devil's Holiday adalah antara baccy yang mampu membawakan pengalaman berries yang terbaik di pasaran. Sudah tentu untuk memberikan anda pengalaman itu, beberapa elemen seperti full-bodied tobacco taste dan tendangan nikotin tidak dapat turut serta. Seperti memiliki roti disapu jem dan mentega di meja sarapan, dimana pastinya anda tidak perlukan rasa pedas dan spiciness hadir ketika menikmati sarapan ringkas yang sedap itu.