Sunday 4 October 2015

Kiko Pipes & Senario Meerschaum Afrika.

 
















"Kiko" adalah jenama yang agak asing di dalam dunia perpipaan sekarang. Jika anda rajin menyelusuri dunia pipa "estate" mungkin anda akan berpeluang bertemu dengan pipa-pipa keluaran Afrika ini, itupun dengan mengambil kira anda bernasib baik.

Seperti yang kita sedia maklum, pengeluar meerschaum terbesar adalah Turki, namun beberapa deposit kecil juga ditemui di Afrika. Ketika penjajahan British di Afrika Timur pada pertengahan 90-an, mereka menggunakan kesempatan ini untuk mengeksport keluar meerschaum dari Tanganyika (sekarang Tanzania) melalui syarikat konsesi Tanganyika Meerschaum Corporation Limited. Sesetengah bekalan dieksport terus ke Isle of Man , dimana Laxey mengeluarkan pipa-pipa Meerschaum Afrika kepada Peterson dan Comoy, namun kebanyakan blok-blok Meerschaum ini dihantar ke Kilimanjaro Pipe Company Ltd di Tanganyika dan dari sinilah pembuatan pipa tempatan Afrika yang asal, dengan jenama Kiko ini diproduksikan.

Hasil deposit lombong meerschaum Afrika ini bukanlah yang terbaik: ia adalah lebih berat, mengandungi banyak impuriti (oleh itu warnanya jarang yang putih / pure white) jadi sedikit kekelabuan dan tompok-tompok impuriti hadir pada blok meerschaum nya. Dikatakan ia agak sama dengan hasil meerschaum Turki gred rendah namun kekuatan bahannya adalah jauh lebih baik. Ia sangat durable dan mampu ditebuk dan dipasak skru sebagai tenon!

Walaupun kualitinya tidak setaraf meerschaum Turki gred A, kualiti smoking yang mampu diberikan oleh pipa meerschaum Afrika ini adalah agak baik. Ia tidak akan mengambil warna dari jus tembakau sebaik meerschaum Turki, kerana ianya adalah meerschaum yang lebih keras dan padat. Oleh itu, ia adalah lebih sesuai digunakan di luar rumah.

Mengambil-kira faktor pengeluarannya yang terhad, kebanyakan pipa-pipa keluaran Kiko adalah dari jenis meerschaum-lined, disaluti penggunaan kayu-kayu tempatan, briar dan kemasan kulit selalu digunakan. Logo pada stem juga berbeza mengikut siri: anda mungkin akan menemui logo gajah, badak, zirafah, burung dan lain-lain, bersempena haiwan-haiwan kebanggaan Afrika.

Dengan deposit lombong yang sedikit dan terhentinya pengeksportan semenjak Tanzania merdeka dari British, pembuatan pipa Kiko juga turut terhenti. Oleh kerana itu, pasaran kedua pipa Kiko mulai naik dan ia juga diburu kolektor-kolektor di serata dunia. Spesimen yang unsmoked dan berkeadaan baik adalah sangat-sangat jarang ditemui.

Kompleksiti keberadaan material dengan limitasi yang sedia ada menyebabkan pemburuan pipa-pipa seperti Kiko ini adalah sangat menarik dan unik. Walaupun kualiti smoking dan materialnya tidak setanding meerschaum Turki, memilikinya atas dasar sejarah perpipaan juga adalah memadai.

No comments:

Post a Comment