Saturday 3 October 2015

Pipa "sandblasted" : Kerja Tekstur yang Mengasyikkan.

Pada zaman awal perpipaan, agak sukar bagi saya untuk membezakan antara sandblast dan rusticated. Namun lama-kelamaan bezanya mudah dikenalpasti dan kelebihannya turut saya pelajari.

Secara amnya, kita sedia maklum bahawa pipa sandblasted adalah sedikit murah berbanding pipa smooth. Ini adalah betul pada suatu ketika dahulu dimana teknik ini digunakan untuk menyembunyikan sandpit dan fissures pada blok-blok briar yang didapati tidak layak untuk dijadikan pipa dengan finishing smooth. Namun, terima kasih kepada kemajuan teknik sandblast dan kreativiti pipemakers, sandblast kini dilihat sebagai finishing alternatif, bukan lagi seperti tujuan asal penciptaannya, seperti yang telah saya kupas dalam artikel lalu "Miskonsepsi Terhadap Sandblasted & Rusticated" (pipadiduniafana.wordpress.com/2015/08/09/miskonsepsi-terhadap-sandblasted-rusticated/).

Dikatakan, Dunhill adalah syarikat yang bertanggungjawab memperkenalkan teknik sandblast ini di mata dunia dengan pengeluaran siri Shell Briar nya. Namun, strategi pemasaran Dunhill (yang sememangnya selalu berkontradiksi dengan  teori sejagat) meletakkan harga pipa Shell Briar mereka lebih mahal dari smooth, sehinggalah ia diturunkan semula pada pertengahan abad. Tidak disedari mereka ketika itu yang tujuan asal untuk mengurangkan kadar briar-briar reject telah pun mendapat tempat di hati pemipa-pemipa. Briar yang baik, jika disudahi dengan sandblast mampu menzahirkan ring grain yang memiliki tekstur yang sangat menarik pada penglihatan dan juga sentuhan - sesuatu yang tidak terdapat pada pipa smooth.

Teknik sandblast ini juga bukan lah suatu pekerjaan yang remeh dan mudah. Pertama sekali penggunaan mesin dan grit pasir yang menjadi medium untuk sandblast ini adalah satu pelaburan yang agak mahal. Kemudian, ia juga memerlukan mata dan appresiasi briar yang baik dari pipemakers, demi penilaian briar yang teliti untuk orientasi blast yang baik, tangan yang cekap dan tidak mudah lenguh untuk memegang pipa dengan sarung tangan pelindung di sepanjang proses blasting. Kerana itulah sesetengah pipemakers seperti Castello hanya mengeluarkan sandblast pada kadar yang sedikit (sandblast dari Castello, siri Old Antiquari hanyalah 10% dari pengeluaran pipa tahunannya - bermakna hanya lebih kurang 300 buah Old Antiquari dikeluarkan setahun).

Bagi para artisan pipemakers pula, seni sandblast ini adalah serumit pembikinan pipa smooth, jika tidak lebih rumit, dimana orientasi grain dimanipulasikan sebaik mungkin untuk mencipta ring grain, efek spiderweb, efek craggy dan lain-lain unjuran yang menaikkan lagi seri grain ke atas briar mereka. Ia bukanlah sekadar meletakkan briar di dalam mesin sandblast dan mengharapkan hasil blasting yang "surprise" seperti zaman dahulu. Oleh yang sedemikian, sesetengah artisan pipemakers yang terkenal dengan sandblasted teknik mereka seperti J.T. Cooke dan Bruce Weaver, harga pipa sandblast mereka adalah jauh lebih mahal dari pipa smooth.

Juga terdapat teori yang mengatakan bahawa finishing sandblast ini adalah lebih baik dalam mengalirkan haba panas keluar dari pipa. Ini adalah dari segi luas permukaan yang mana lebih luas lebih banyak distribusi haba dapat dilakukan. Juga, pemipa-pemipa bercakap tentang efek carburetor di mana permukaan blast yang seperti kisi-kisi angin itu mampu mengalirkan haba keluar. Tidak dapat dipastikan akan kebenaran hal ini, namun secara peribadi saya percaya jika ada pun efeknya adalah sangat kecil.

Saya lebih mementingkan faktor tekstur sentuhan yang mampu diberikan oleh pipa sandblast ini: sentuhan lembut dengan jari kita menelusuri ombak-ombak grain dan spiderweb, adalah sangat "soothing" dan melegakan. Juga, melihat imbasan jalinan urat-urat briar yang 3D ini apabila pencahayaan sisi dipancarkan adalah sangat indah dan mengasyikkan. Pipa sandblast adalah pilihan saya untuk dibawa bersama ketika memandu, dipegang-pegang seumpama totem yang membawa kita ke alam yang tidak nyata.

Oleh itu, bila anda berfikir untuk mendapatkan pipa sandblast, pastikan yang anda mendapat hasil proses terbaik yang mampu menyerlahkan grain dan susunatur urat kayu yang setanding atau mungkin lebih baik berbanding pipa-pipa smooth. Barulah pelaburan anda berbaloi.

No comments:

Post a Comment