Wednesday 2 December 2015

Pembinaan Dapur (Cake) dan Mitos-Mitos yang Menyelubunginya.

Masyarakat tidak boleh lari daripada mitos dan "lore" yang telah terkandung dan didukung oleh generasi sebelum kita sejak zaman berzaman. Meskipun sesetengahnya sudah luput ditelan zaman, masih banyak yang kekal sampai sekarang.

Begitulah juga dengan berpipa. Bukannya masyarakat kita mula berpipa baru-baru ini sahaja, ianya adalah hobi yang sudah lama bertapak di bumi bertuah ini.

Jadi, mitos yang menjadi fokus kita sekarang adalah tentang pembinaan dapur. Dapur, secara praktikalnya adalah ruang di dalam bowl sesebuah pipa. Kecelaruan bahasa mencadangkan penggunaan terma "buat dapur" yang merujuk kepada pembinaan deposit karbon hasil pembakaran tembakau secara berulang kali, yang ditermakan sebagai "cake building" secara universal nya.

Jika dilihat dari sudut pembuatan sesebuah pipa, bahagian kayu di bawah bowl adalah cukup tebal untuk menampung sebarang kecelakaan tidak sengaja dari pembakaran terus menerus. Namun, majoriti pemipa adalah makhluk penyayang, dimana sedikit hangus di hujung bowl pun adalah satu malapetaka kecil bagi kita jadi saranan pembinaan dapur ini mendapat tempat di hati keseluruhan pemipa.

Dapur @ kek ini adalah suatu kejadian saintifik kimia dan thermodinamik, di mana ia adalah satu by-product pembakaran tembakau di dalam bowl pipa kita. Ia terdiri dari gula dari tembakau, lembapan, karbon, habuk dan mungkin sedikit briar nya sendiri. Kesemua komponen ini membentuk satu lapisan hitam yang jika dibiarkan, akan menjadi tebal dan mengeras. Inilah sandaran pemipa-pemipa sebenarnya, kerana lapisan ini bertindak sebagai penyerap lembapan, pelindung kepada kepanasan, dan sekaligus membantu dalam memastikan tembakau anda kering dan suhu pembakaran sentiasa sederhana.

Satu perkara tentang karbon, ia adalah penapis semulajadi yang sememangnya digunakan secara meluas di dalam industri. Ini kerana karbon mampu menyerap bendasing di dalam peratusan yang tinggi, jadi jika anda memiliki dapur dengan kek yang baik, tiada masalah untuk anda mendapatkan sesi perpipaan yang kering dan berkualiti setiap kali berpipa.

Akan tetapi, permasalahan dan isu tentang kek ini ialah secepat mana ia akan terbentuk? Setebal mana kek diperlukan? Ini semua adalah soalan lazim yang berlegar di minda pemipa-pemipa baru terutamanya, sehingga ia menjurus kepada beberapa petua yang sebahagiannya sudah pun menjadi mitos yang menarik.

Penggunaan madu, milo dan susu pekat manis adalah sangat sinonim, dan saya boleh kategorikan sebagai masih praktikal. Ini kerana semua bahan ini mengandungi gula dan apabila gula dibakar, ia akan menjadi karamel dan karamel ini mengeras di permukaan mana ia melekat. Oleh itu adalah normal untuk melihat pemipa mencalitkan sedikit madu atau bahan-bahan tadi pada bowl yang pertama. Habuk dan karbon akan terbina di atas karamel ini dan secara teorinya, dapat mempercepatkan proses pembinaan kek.

Selain itu, penggunaan beberapa bahan yang tidak mengandungi gula seperti kopi dan nescafe juga dilakukan secara meluas. Sebenarnya, kopi juga dibakar atau digoreng dan hasilnya adalah karbon dan minyak dari mentega. Tembakau yang terbakar kelak juga akan menghasilkan karbon dan gula maka boleh dikatakan kopi dan nescafe adalah tidak perlu. Ya, mungkin untuk bowl pertama dan kedua anda akan dapat sedikit flavor dari kopi tersebut, tetapi ia tidak lah signifikan untuk membantu mempercepatkan penghasilan kek.

Penggunaan air juga sebenarnya masih dilakukan. Dari segi termodinamiknya, mungkin ia sedikit membantu dinding bowl untuk bersedia menerima pembakaran pertama, dan mungkin juga ia mampu melembapkan sedikit tembakau untuk mempercepatkan proses "caramelized" nanti. Juga, ia bertindak sebagai agen pembilas di mana bowl pipa telah berada di kedai selama beberapa tahun dan entah dari mana dan berapa banyak jari yang pernah hinggap disitu, mungkin itu lah rasionalnya. Juga, saya tidak menolak faktor keberkatan sekiranya air yang digunakan adalah air zam-zam.

Penggunaan duit syiling. Hmm. Ia memang berlaku dan sesetengah pihak menganggap ianya baik untuk rezeki tetapi bagi saya, kita perlulah mengkaji terlebih dahulu akan bahaya tindakbalas logam terhadap pemanasan yang kerap, jika ada. Sudah tentunya, syiling mampu menangkis kebakaran dasar dapur tetapi adakah berbaloi untuk meletakkannya di situ, dan adakah ia akan mempengaruhi rasa tembakau kelak? Lagi pun, ia memerlukan kecuaian tahap tinggi atau tembakau tahap dewa untuk anda secara tidak sengaja membakar dasar bowl ketika berpipa.

Terdapat juga beberapa pipemakers atau orang-orang tempatan yang memiliki kepakaran dalam membuatkan ramuan yang mampu membantu dapur anda menghasilkan kek dengan pantas. Cuma selalunya mereka akan merahsiakan ramuan tersebut dan pada pandangan saya ini adalah situasi yang menarik dan tersendiri, unik pada budaya perpipaan kita.

Perlu diingatkan, ketebalan kek yang ideal adalah bersaiz setinggi sisi duit syiling. Membiarkan kek menebal dan mengeras akan mendedahkan bowl anda kepada risiko retak. Juga, diameter chamber bowl akan menjadi lebih kecil lantas kurang tembakau yang dapat anda isikan ke dalam bowl nanti. Atas sebab inilah, terdapat segelintir pemipa terutamanya jenis yang sangat pembersih, tidak memerlukan sebarang kek karbon di dalam bowl pipa mereka. Mereka akan membersihkan pipa pada kadar yang serius setiap kali selesai berpipa, yang tentunya menutup peluang kek untuk terbentuk. Ini jelas adalah baik untuk mereka, kerana pastinya mereka tahu menjaga kadar sedutan dan berhenti sebaik sahaja bowl menjadi panas.

Begitulah perihalnya tentang membina dapur ini, sesuatu yang mungkin nampak ringkas tetapi banyak penjelasan saintifik dan mitosnya. Jika berpeluang dan berkeinginan, bereksperimentasilah dengan pelbagai cara ini dan lihat yang mana satu adalah baik untuk anda. Sementelahan kita mengadaptasi hobi berpipa ini, pembelajaran dan keseronokan tidak pernah statik dan terhenti di sesuatu tempat.

2 comments:

  1. Enter your comment...campuran biasa-kopi halus,pisang emas dan kurma

    ReplyDelete
  2. ������������

    ReplyDelete