Monday 27 March 2017

McClelland 221B Series – Black Shag

Dari keluaran ketiga siri 221B minggu lepas (Honeydew), minggu ini kita melompat kembali kepada keluaran pertama siri berprestij McClelland tadi – Black Shag. Siri ini dikeluarkan pada 1997 dan sudah tentu sebagai blend permulaan, ia secara fiksyennya adalah tembakau kegemaran Sherlock Holmes sendiri.
Dari gambaran dan deskripsi tin nya, Sherlock Holmes dikatakan menyimpan tembakau Black Shag ini di dalam kasut Persia yang digantung di dinding. Sama ada sebagai stok kecemasan, atau mudah dicapai, tidak lah kita mengetahuinya tetapi ia memberikan perlambangan yang tembakau jenis shag sebegini adalah agak murah dan mudah didapati. Dan yang paling ketara, ia adalah blend “staple” detektif terkenal itu dan beliau digambarkan sangat menyukainya.
 
Berbalik kepada dunia nyata, Black Shag adalah blend yang terdiri dari 100% stoved virginia. Stoved Virginia pada dasarnya adalah tembakau virginia yang melalui proses seperti “sauté” di atas permukaan yang panas. Pendedahan tembakau virginia kepada kepanasan sebegini akan mengubah struktur glukosa dan minyak mineral di dalam daun lantas mengubah warnanya menjadi gelap. Ini secara tidak langsung akan turut mengubah tekstur rasanya.
Black Shag adalah agak kering ketika saya membuka tinnya. Hal ini berkemungkinan besar disebabkan oleh potongan tembakaunya yang berbentuk “shag” – cebisan yang agak kecil dan secara tidak langsung mengurangkan daya tahannya untuk menyimpan lembapan. Walaupun tidak halus sepertimana tembakau potongan shag sepatutnya, ia masih tergolong di antara tembakau dengan potongan terkecil yang kita pernah jumpa di dalam blend-blend tembakau pipa.
Baunya – ya ini adalah keistimewaan stoved virginia di mana anda akan bersumpah yang anda baru sahaja terhidu bau latakia sebentar tadi! Melihat kembali kepada komposisi tembakaunya memang ia akan membuatkan anda tergaru-garu kepala kerana tiada elemen Latakia mahupun oriental di dalamnya. Ini adalah “straight virginia”, lebih “straight” dari blend-blend VA yang poten seperti Old Gowrie dan Capstan Blue dan ia masih mampu mengeluarkan nota “smokiness”. Bagi mereka yang tidak pernah mencuba blend stoved virginia, nah, ini peluang anda.

Pada permulaan sesi, flavor “smokey” dan nota-nota berunsurkan salai seperti latakia memang agak dominan. Namun lama-kelamaan ia kekal sebagai aroma sahaja dan flavor “straight VA” yang identik seperti hay, kismis, fig dan prun mula menguasai pipa dan palate anda. Gabungan kedua ini memberikan impak buahan salai yang sangat menyelerakan. Cuma mungkin proses “sauté” untuk stoved virginia telah menghilangkan sedikit minyak mineral di dalam virginianya, jadi ia tidak dapat memberikan anda pengalaman “straight VA” yang sempurna seperti Samuel Gawith FVF atau siri hebat McClelland Christmas Cheer.
Tidak dinafikan yang stoved virginia sememangnya memiliki sedikit “smokiness” ala Latakia. Namun ia tidak lah terlalu terkedepan atau kuat. Lebih kepada pembayang, “smokiness” di dalam stoved virginia mampu memberikan satu aroma yang menarik kepada para pemipa. Dan yang lebih penting “smokiness” itu hadir dengan kekuatan virginia yang menjalankan tugas sebagai tembakau asas yang dominan. Ia seperti sebuah “little English blend” yang agak terkebelakang “leathery” dan “smokiness”nya, tetapi dengan “kick” yang lebih dan kepuasan yang agak melata – sesuatu yang agak sukar untuk mana-mana English blend emulasikan.

Apa yang lebih menarik bagi saya adalah “aftertaste” yang datang dengan blend ini. Selepas puas melayan “smokiness” dengan base virginia yang nampak, saya dijamu pula dengan “aftertaste” pisang salai yang juga sangat mengujakan! Sedikit kepedasan dapat juga dirasakan walaupun perique tidak hadir di dalam komposisi blend ini. Ia akan lebih terserlah sekiranya anda adalah pengamal DGT – intensiti kepedasan disebalik tapak virginia yang baik bukanlah sesuatu yang merugikan, bukan? Ia secara tidak langsung menambahkan lagi kompleksiti blend ini.


Sesetengah pemipa juga agak cenderung untuk melabelkan blend pertama siri McClelland 221B ini sebagai sebuah blend terbaik genre crossover untuk “straight VA” – sepertimana blend Frog Morton kepada genre English. Ada juga logiknya di sini apabila kita mengenangkan akan betapa Black Shag memiliki ciri-ciri aromatik dan VA. Ia dapat menyediakan pemipa terutamanya golongan yang baru mahu berjinak-jinak dengan straight VA untuk membiasakan palate mereka dengannya.
Walau apa pun genrenya, tidak banyak penawaran stoved virginia yang ada di pasaran sekarang dan dengan McClelland 221b Black Shag, anda layak untuk menghadiahkan diri anda dengan sebuah blend berteraskan stoved virginia yang premium dan sangat berkualiti.

pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

No comments:

Post a Comment