Monday 6 June 2016

"The Peterson Quartet" : Pipa Peterson - Sejarah dan Inovasi dari Dublin.


Umumnya pemipa sedunia semua tahu dan kenal akan nama Peterson. Pipemaker dari Ireland ini telah pun berada di dalam industri perpipaan sejak dari 1865 lagi. Dengan lebih 150 tahun menyeluk pekasam di dalam bidang pembuatan pipa dan tembakau pipa, tentunya peranan Peterson di dalam dunia perpipaan adalah sangat signifikan.

Yang menariknya, walaupun tradisi Irish dijulang dan penggunaan nama-nama bersignifikasi Celts diaplikasikan secara menyeluruh di segenap sudut produk mereka, pengasas Peterson bukanlah orang tempatan. Kapp bersaudara adalah dua warganegara German yang merantau dari Bavaria ke Ireland, dan disana mereka menjalankan kerja-kerja mengukir pipa di samping membuka kedai pipa mereka sendiri di Grafton Street, Dublin sejak 1865.

Tidak lama kemudian mereka mengambil seorang warga Latvia bernama Charles Peterson, yang juga seorang pipemaker berbakat, sebagai salah seorang pekerja mereka, khusus untuk mengambil pesanan-pesanan "high end" dari luar negeri - berpipa adalah sangat popular pada ketika itu, dimana Kapp bersaudara sendiri pun tidak menang tangan dengan pesanan-pesanan yang diterima mereka. Ternyata, gabungan bakat luar biasa Charles Peterson dalam pembuatan pipa dan lingkungan pemasaran Kapp bersaudara menghasilkan banyak inovasi-ininovasi yang inovatif dan menarik, yang bakal mewarnakan dunia perpipaan sejagat.

Boleh dikatakan yang syarikat Kapp bersaudara pada ketika itu adalah satu syarikat pembuatan pipa yang agresif sehingga ia bukan sahaja mendapat pesanan luar negara dengan kerap, malahan turut mampu untuk mendapatkan kontrak membekalkan pipa kepada tentera British. Ini adalah satu pencapaian yang sangat bermakna, dimana Kapp bersaudara seterusnya dapat mara untuk menjadi sebuah firma perpipaan yang agak berjaya dan didaftarkan sebagai syarikat sendirian berhad. Ini membuka peluang kepada Charles Peterson yang juga amat meminati aspek perniagaan di dalam pembuatan pipa ini untuk membeli saham syarikat secara sedikit demi sedikit. Lama-kelamaan, beliau berjaya mengumpul saham-saham syarikat sehingga cukup untuk dirinya menjadi salah seorang pemilik syarikat secara sah, hinggalah akhirnya nama syarikat pun ditukarkan kepada "Kapp & Peterson".

Seperti yang dikatakan di atas tadi, tidak lama selepas Charles bergabung tenaga dengan mereka, inovasi mula mendapat tempat dalam firma pipa ini. Maka dengan itu terciptalah Peterson System Pipes, satu sistem kawalan lembapan dan penyejukan pipa ciptaan mereka yang dipatenkan pada 1891. Tidak lama kemudian, "P-Lip" pula dicipta dan turut dipatenkan - satu sistem stem yang mengelakkan dilema "toungebite" yang sering menghantui pemipa-pemipa dengan menghalakan asap sedutan pipa ke arah atas / ke palate dan menjauhi sedutan tepat ke lidah.

Dari sini jugalah muncul desas-desus kontroversi mengenai "military mount" - penggunaan salutan material seperti perak atau nikel (terkadang emas) di bahagian pembukaan shank yang membolehkan stem dicabut ketika pipa masih panas tanpa membahayakan sambungan tenon dan mortise. Peterson dikatakan adalah syarikat yang bertanggungjawab mempopularkan kemasan stem-shank ini, hasil dari idea askar-askar di medan perang yang membaiki pipa mereka dengan kelongsong peluru dek kerana kekurangan bahan di zon-zon peperangan. Namun, ia tidak pula dipatenkan oleh Peterson, jadi mengambil kira akan kecenderungan Peterson untuk mematenkan ciptaan-ciptaan mereka pada ketika itu, ada kemungkinan yang perihal penciptaan military mount ini hanyalah mitos sahaja. Namun, dari sejarah dan katalog-katalog lama boleh dikatakan yang Peterson agak kerap dalam mengeluarkan "military mount" ini.

Peterson pada awal ini masih lagi tidak mengeluarkan siri-siri khusus (akan kita bincangkan variasi siri-siri keluaran Peterson di artikel lain kelak) jadi pilihan yang ada masih bersifat umum dan "mass market", membuatkan ianya senang diterima oleh segenap lapisan masyarakat pada waktu itu. Cuma terdapat beberapa pengeluaran pipa-pipa dari bahan clay, morta dan cherrywood pada sekitar perang dunia ke-2 dek kerana kurangnya bahan kayu briar pada ketika itu.

Sejak kematian keluarga asal pada awal 70an, Peterson telah melalui beberapa pertukaran pemilik dan mengharungi zaman-zaman yang tidak begitu produktif. Namun semua ini berubah pada tahun 1992, dimana firma itu dibeli oleh Tom Palmer, seorang akauntan dan juga pemipa yang sangat meminati dunia perpipaan. Pendekatan Tom adalah lebih kepada diversifikasi dan kepelbagaian penawaran untuk dunia perpipaan yang lebih mencabar, dek kerana pemipa zaman ini lebih kompleks, lebih berpengetahuan dan sangat peka pada harga dan kualiti. Jadi keseimbangan antara praktikaliti, kualiti dan fungsi, ditambah sedikit "rencah" yakni seni pembuatan dan element Celts (yang terdapat pada nama-nama siri seperti Rosslare, Killarney, Rock of Cashel, Galway, Aran, Kildare, Kapmeer, Tyrone dan lain-lain) adalah matlamat Tom dan hala tuju yang segar buat Peterson.

Tom juga telah menambah beberapa perkara baru saban tahun seperti siri Pipe of the Year, siri St. Patrick's Day, Siri Fisherman dan beberapa kreasi blend baru seperti koleksi-koleksi blend St. Patrick, Peterson Special Reserve, Peterson Summertime, Balkan Delights dan lain-lain. Beliau percaya yang pipa adalah sejenis produk konsumer yang mahukan pembaharuan dan pengkoleksian dari semasa ke semasa.

Kerana itulah kita dapat melihat yang produk Peterson, sama ada pipa atau tembakau, berdiri di setiap tahap perbelanjaan konsumer - dari siri yang mampu-milik, pertengahan, hinggalah ke edisi terhad dengan harga premium. Jadi semua pemipa boleh memiliki pipa Peterson sekiranya mereka mahu, dan pemipa veteran yang masih menyimpan nilai sentimen pipa Peterson terdahulu juga masih mampu untuk menikmati acuan yang serupa - jika tidak pada bentuk, mungkin pada tradisi penghasilannya.

Kini, melalui proses pemasaran dan pengagihan yang meluas dan pembuatan pipa yang mencakupi segenap lapisan minat dan kemampuan perbelanjaan pemipa, jenama pipa Irish yang berpusat di Sallynoggin ini boleh berbangga dengan kehadiran produk-produk mereka di seluruh pelusuk dunia. Dikatakan, Peterson menguasai 15% dari jualan pipa sedunia dan itu bukanlah satu peratusan yang kecil.

No comments:

Post a Comment