Saturday 25 June 2016

"The Peterson Quartet" : Pipa Peterson - Isu & Dilema Pemipa Peterson Alaf Baru

Agak memeningkan setelah kita melalui siri-siri dan koleksi-koleksi Peterson yang seumpama tiada hentinya tempohari. Walau bagaimanapun bagi kolektor yang beraspirasi atau yang baru mahu mula berjinak dengan Peterson, inilah peluang untuk mengenali pipa keluaran Irish ini dengan lebih dekat. Saya sendiri juga masih menelusuri denai pembelajaran Peterson dan masih banyak perkara mengenai Peterson yang agak asing bagi saya.

Dalam siri akhir quartet ini, kita akan membincangkan akan topik kontroversi - yang dilemparkan oleh masyarakat umum pemipa tetapi disangkal oleh peminat tegar Peterson sendiri. Ya, ia adalah tentang isu & dilema Peterson. Jauh dari mengatakan yang firma Irish itu sedang bergolak, ianya lebih kepada penterjemahan kondisi produk-produk keluaran mereka sekarang yang diselaputi oleh isu-isu walaupun "heritage" dan sejarah sepatutnya memberikan sedikit "vantage point" kepada akuan kualiti pipa Peterson.

Sebagai satu pengeluar pipa yang besar, dilema Peterson ternyata melibatkan ancaman kepada status mereka sendiri. Oleh kerana pengeluaran dan output mereka yang berskala besar, Peterson selalu dilihat sebagai "factory pipe". Ini adalah satu terma yang mungkin kurang digemari oleh Peterson sendiri, lantaran itu anda dapat melihat keluaran-keluaran video yang mempromosikan modus operandi pembuatan pipa mereka yang berpendekatan "artisanal", mengenengahkan pekerja-pekerja mereka yang rata-ratanya memiliki berpuluh tahun pengalaman, dan pengkhususan sesetengah proses seperti pembuatan stem, penatahan perak, pemilihan blok-blok briar dan sebagainya.

Apa yang ingin Peterson sampaikan adalah "walaupun pengeluaran kami besar, pendekatan artisanal kami menjamin yang kualiti setiap pipa Peterson adalah yang terbaik dan setara dengan pipa-pipa artisan di luar sana". Sememangnya sukar untuk Peterson menerapkan aspek "artisan" ini tetapi strategi penyampaian video-video sebegini boleh dikatakan agak berjaya juga. Cuba anda lihat sendiri dan nafikan yang anda agak tergerak melihat proses-proses pembuatan pipa yang saya masih boleh kategorikan sebagai "with artisan touch" ini.

Yang nyata, niat Peterson adalah untuk cuba memadamkan imej "factory made" ini - yang menyebabkan segelintir pemipa yang mahukan sentuhan "artisan" berpaling jauh dari mereka. Golongan ini mewakili satu segmen yang penting, dimana mereka akan berbelanja pada pipa-pipa kelas premium dan menuntut kualiti yang tidak boleh dikompromi. Segmen inilah yang mahu dimajukan oleh pemilik baru Tom Palmer, walaupun pada masa yang sama mereka juga masih mahu mengekalkan output keluaran asal.

Dalam pada itu, Peterson juga tidak boleh lari dari kecaman-kecaman dari pemipa umum dan juga peminatnya sendiri. Antara yang kita boleh lihat adalah isu kawalan kualiti. Tidak perlu kita menyaksikan perbalahan sebegini di internet tapi cuba anda perhatikan pipa-pipa Peterson yang ada di sekitar kita, sama ada milik sendiri, milik rakan mahupun yang ada di kedai-kedai. Sesetengahnya memiliki lubang airhole yang tidak tepat di tengah-tengah dasar bowl - ia agak senget dan terkadang sedikit ke atas. Ini memberikan persoalan tentang konsistensi "drilling" kerana ia sangat kontra dengan video-video yang menampilkan "artisan approach" tadi. Saya percaya yang manusia tidak sempurna; dari sepuluh pipa di"drill" mungkin artisan yang hebat pun akan melalukan dua atau tiga kesilapan. Namun jika kawalan kualiti yang ketat diaplikasikan, hal-hal sebegini tentunya dapat dielakkan.

Pemasangan kemasan perak yang tidak kemas juga menjadi satu isu kepada Peterson. Ini adalah agak bercanggah dengan tatapan video yang menampilkan seorang "pakar" kemasan perak yang sudah berpuluh tahun mengukir dan menitipkan kemasan logam berharga ini kepada pipa-pipa Peterson. Logik akal kita bagai terganggu untuk memikirkan yang bagaimana seorang pakar sebegini masih mengeluarkan hasil yang tidak kemas dan tidak "flush" pada fitment nya? Sekali lagi, saya melihat kepada faktor ketidaksempurnaan manusia dan kawalan kualiti adalah satu element penting yang nampaknya hilang disini.

Isu yang agak selalu diperkatakan juga adalah mengenai kualiti stamping nomenclature. Selalu didapati pada pipa-pipa Peterson adalah nomenclature yang cetek / kabur dan bertindih. Malahan, sebilangan kecil (mungkin sangat kecil tapi saya masih dapat menjumpainya di Malaysia ini) turut tidak memiliki nomenclature - yang berkemungkinan tertinggal atau terkeluar dari proses. Kes sebegini bukan sahaja berlaku kepada pipa-pipa biasa, malahan beberapa kategori premium juga turut dilanda hal yang serupa. Buat kali ketiga, kawalan kualiti yang longgar adalah penyebab kepada masalah ini.

Perihal sebegini sebenarnya adalah sangat menyedihkan, kerana kita pemipa tentunya menghargai nomenclature sebaik mungkin, atas dasar itulah surat beranak atau IC pipa kita. Tahun lalu, kita diceriakan dengan penggunaan "laser etching" yang dapat membantu menyelesaikan masalah ini. Dengan penemuan beberapa pipa siri koleksi dan POY yang turut memiliki masalah yang sama (sedangkan mereka sepatutnya mengambil lebih perhatian terhadap kualiti keluaran-keluaran istimewa sebegini), berita ini adalah bagaikan bulan jatuh ke riba. Akan tetapi malangnya saya diberitahu yang penggunaan laser etching ini adalah terhad dan mungkin dihentikan untuk sementara waktu.

Juga terdapat beberapa isu kecil bersifat "non-qualitative" seperti kemunculan siri-siri baru yang terlalu banyak menyebabkan kekeliruan kepada para pemipa. Mungkin dasar konsumerisma Tom Palmer yang mengkelaskan pemipa sebagai konsumer produk barangan yang sukakan pembaharuan pada setiap sela masa adalah perlu diteliti semula. Kita pemipa bukanlah konsumer fesyen yang memerlukan "seasonal collections" sekerap mungkin. Sesetengah pemipa lebih menghargai kesinambungan siri-siri tertentu dan menghargai sejarah dan retrospektif sesebuah jenama pipa.

Perak adalah bahan mewah yang terkawal di Ireland dan setiap penggunaan bahan ini memerlukan stamping "Office of Assay" yang menjaga dan memantau ketulenan bahan perak dan emas yang dihasilkan di negara itu. Oleh kerana tidak sebegitu mudah untuk mendapatkan stamping ini pada masa-masa tertentu dek kerana kelulusan dan proses-proses lain yang terlibat, Peterson telah menerapkan penggunaan kemasan nikel yang menggantikan perak untuk siri-siri classic mereka. Hal ini juga menjadi satu isu kepada para pemipa kerana ada segolongan mereka yang menganggap hanya perak dan emas adalah layak digunakan untuk menghiasi pipa.

Tidak kurang juga yang mempersoalkan penggunaan nikel ini sebagai "agak mengelirukan" dan dilabel "cheap" oleh sesetengah pemipa. walaupun warnanya seakan sama, gilap perak adalah sesuatu yang tidak boleh direplikakan oleh bahan lain dan sesetengah pemipa yang kritikal akan penggunaan perak akan terus kritikal dan menolak penggunaan nikel.

Ternyata bukan mudah untuk memuaskan hati pemipa zaman ini. Atau adakah kita terlalu "demanding"? Walaupun "smoking qualities" adalah perkara yang utama, kita perlu ingat yang rata-rata pemipa adalah golongan yang bukan sahaja mahu menikmati keseronokan menghisap pipa sahaja. Pemipa zaman kini adalah pemipa bijak - kita mahu kan grain yang baik, briar yang terawat sempurna, airflow yang berfungsi sebaiknya, dan kemasan perak yang terpasang secara, er, kemas! Kebanyakan pe

Peterson ternyata memiliki peminatnya yang tersendiri dan jumlah peminat Peterson adalah ramai. Adalah agak menyedihkan sekiranya Peterson tidak mampu untuk menjamin kualiti pipa-pipa keluaran mereka dan mungkin tidak salah untuk kita jangkakan yang institusi perpipaan Irish ini mungkin akan lenyap sekiranya mereka tidak menitikberatkan soal-soal kualiti sebegini.

Walaupun perkara-perkara begini agak mengganggu, saya masih positif dan yakin yang Peterson mampu menawarkan pipa terbaik buat pemipa di segenap lapisan. Praktikaliti yang ada pada pipa-pipa keluarannya dan betapa meluasnya pilihan yang ditawarkan adalah terlalu signifikan untuk kita lepaskan. Segalanya terpulang kepada kita untuk menentukan di tahap manakah sesebuah pipa Peterson akan berada di dalam rak pipa kita.


pack 'em, light 'em, and blow smoke rings outta 'em!
mipa adalah collector sekarang, dan pengetahuan tentang pipa masing-masing adalah lebih dari cukup.

No comments:

Post a Comment