Friday 17 June 2016

"The Peterson Quartet" : Pipa Peterson - Siri & Pengkelasan (Komemoratif, Fiksyenal dan Koleksi).

Sudah puas kita menelusuri siri asas Peterson yakni Classic Range, Premium Range dan lain-lain, mari kita lihat pula akan siri-siri komemoratif, koleksi-koleksi dan edisi istimewa dan terhad yang selalunya hanya dikeluarkan sekali tetapi ada yang sudah pun menjadi keluaran tetap dan ada juga yang menjadi keluaran tahunan.


Koleksi-Koleksi


Siri koleksi Peterson adalah agak banyak dan meluas, dari pengabadian sungai ke penulis terkemuka, kemudian ia menjurus pula kepada penggunaan watak-watak fiksyenal seperti penyiasat terkemuka Sherlock Holmes dan Dr Jeckyl & Mr Hyde. Kesemua ini menambahkan lagi warna di dalam dunia pengkoleksian pipa Peterson namun terkadang agak mengelirukan

Siri ini adalah serangkaian siri bertema yang dikeluarkan oleh Peterson secara set 2, 6 dan 7 pipa. Tetapi masalah dengan set 7 pipa ini adalah jarang sekali kolektor-kolektor mahu membeli 7 pipa pada bentuk yang sama, jadi kebiasaannya ia dijual secara berasingan oleh kedai-kedai.

Marilah kita lihat koleksi-koleksi ini, satu per satu:

Dinobatkan sebagai siri Peterson kategori premium yang paling berjaya, siri Sherlock Holmes terdiri dari dua mini-siri iaitu "The Original Collection" dan "The Return of Sherlock Holmes". Mini-siri "The Original Collection" mula diperkenalkan pada 1987 sebagai set 7 hari (yang terdiri dari 7 pipa). 7 shape / bentuk-bentuk baru yang dikeluarkan itu adalah bersempena dengan pipa-pipa yang wujud dalam dunia Sherlock Holmes itu sendiri - mengambil kira gambaran dari dalam penulisan itu dan diterjemahkan sehampir mungkin.

Tidak lama kemudian mini siri ini mengeluarkan pula versi meerschaum - sesuatu yang sangat hebat kerana penggunaan blok AA meerschaum Turki yang terpilih adalah sangat bergaya dan mewah (tidak mudah untuk mendapatkan meerschaum Turki blok AA bersaiz besar) dan walaupun harganya agak tinggi (di Malaysia RM400-500 lebih tinggi berbanding versi briar) ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan cepat terjual di pasaran.

Kejayaan siri ini menyebabkan Peterson tampil lagi dengan mini siri susulannya iaitu "The Return of Sherlock Holmes" yang menampilkan 7 lagi bentuk baru dan penggunaan blok briar terpilih masih diterapkan.

Kesemua pipa di dalam kedua-dua mini-siri ini adalah bersaiz XL dan mengenakan kemasan perak di shank.

Siri Dr Jeckyl & Mr Hyde pula menampilkan penggunaan kemasan / finishing rustik dan smooth pada kedua-dua belah briar. Terhad kepada dua shape sahaja, siri ini mula diperkenalkan pada tahun 2015 dan saya masih tidak pasti adakah ia akan kekal di dalam Peterson untuk keluaran-keluaran akan datang. Terkadang, perkara sebegini bergantung kepada sambutan  pemipa juga.

Kemudian keluar pula siri Drakula, sebuah siri yang menampilkan gaya smooth, sandblast dan ebony yang dilengkapi oleh stem acrylic merah yang sangat ikonik. Siri ini bermula pada 2012 untuk memperingati Bram Stroker yang menulis novel asal Dracula pada 1897. Siri ini dikatakan adalah juga limited edition dan datang dalam pelbagai bentuk-bentuk classic. Kemasan perak khusus dengan figura kelawar dan tulisan “dracula” melengkapkan siri yang juga agak popular ini.

River Collection, Irish Sea Collection, dan Castle Collection adalah koleksi edisi terhad yang bertemakan Irish - bersempena dengan sungai, laut dan istana di sekitar Ireland itu sendiri. Keluaran pipa-pipa ini adalah terhad kepada set masing-masing dan memaparkan penggunaan kemasan perak yang unik untuk setiap koleksi. River Collection contohnya, menampilkan lima bentuk "b-shapes" dan salah satunya, Liffey mengenakan bentuk straight billiard dengan bowl yang tinggi seperti sebuah "stack" dan sedikit "protruding" di bahagian bawah bowl, yang seakan memberi "hint" kepada bentuk brandy. Ia datang dengan saddle stem yang panjang.

Iceberg 1912 Collection pula dikeluarkan untuk memperingati pelayaran pergi-tak-kembali Titanic. Didatangkan dalam empat pipa dengan "b-shapes" iaitu Stern, Bow, Port dan Starboard. Ingin saya tambah di sini akan signifikannya bentuk Starboard ini, emulasi Dublin-Chimney yang dikatakan mampu memberi kualiti perpipaan yang "exceptional". Apa yang pasti, bentuk Starboard ini adalah sangat popular dikalangan peminat Peterson. Kemasan perak bertatah logo kapal menghiasi pipa-pipa dari siri ini.

Great Explorers Collection & Writers Collection pula menampilkan koleksi-koleksi pipa yang memberikan "homage" kepada penulis-penulis berbakat seperti Oscar Wilde, James Joyce, George Bernard Shaw dan William Butler Yeates. The Great Explorer series juga menampilkan empat pipa bersempena penjelajah South Pole terkemuka iaitu Robert Falcon Scott, Ernest Shackelton, Tom Crean dan Roald Amundsen. Kesemua pipa dari siri ini mengenakan kemasan perak yang khusus untuk siri masing-masing.

Seorang lagi penulis terkenal yang mendapat keistimewaan untuk diabadikan di siri Peterson adalah Mark Twain. Ini adalah kerana Mark Twain sendiri adalah pengguna Peterson (penemuan pipa Peterson milik Twain yang disimpan di muzium juga membantu menaikkan populariti Peterson secara amnya) jadi tidaklah menghairankan kenapa Peterson mendedikasikan siri ini sepenuhnya kepada penulis terkenal itu. Mengandungi dua pipa di dalam setnya, bentuk bent billiard adalah bentuk asal pipa Peterson yang digunakan Mark Twain dan sebuah poker yang memberi bayangan watak penulisan Twain, Huckleberry Finn yang selalu digambarkan menggunakan pipa corn cob.

Masih bermain dengan idola, Peterson mengeluarkan pula The Darwin Series. Siri ini menampilkan bentuk bent apple yang khusus dikeluarkan untuknya. Saiz yang dikhususkan juga adalah besar. Yang menariknya, siri ini datang dengan Peterson System, bukan pipa standard biasa.

Jangan pula mengatakan yang Peterson hanya mengabadikan idola-idola lelaki sahaja. Strategi pemasaran Tom Palmer adalah agak meluas dan dari sinilah Molly Malone Collection bermula. Molly Malone adalah lambang kekuatan dan usaha wanita-wanita Ireland, dimana dahulu mereka bekerja mengutip kerangan di sekitar pantai seharian dan berjualan pada malam harinya. Koleksi ini menampilkan dua bentuk pipa, bent brandy dan rhodesian yang mengenakan stem acrylic berwarna hijau muda keemasan, dilengkapi dengan cincin perak yang khusus.

Antique Collection menginspirasikan bentuk pipa awal keluaran Peterson, iaitu billiard yang pendek tetapi besar (stout dan chubby). Juga, kemasan perak dan Peterson P-Lip adalah standard untuk keluaran ini. Ebony and Ivory Collection pula adalah set pipa kembar yang terdiri dari satu pipa straight dengan finishing ebony dan satu pipa bent dengan bahan meerschaum.

Mungkin yang terakhir (atau mungkin masih ada yang saya tertinggal) adalah siri Around The World. Boleh dikatakan sebagai keluaran untuk peminat @ fan's issue, pipa Around The World semuanya mewakili beberapa negara tertentu dan ini boleh diidentifikasikan dengan logo ikon negara tersebut pada cincin nikel di shank pipa siri ini.


Siri Komemoratif.

Siri ini pula adalah berkisar kepada pipa-pipa yang dihasilkan secara khusus demi memperingati detik-detik tertentu (yang biasanya dikeluarkan secara sekali sahaja / one-off) atau meraikan sesuatu perayaan khusus (biasanya dikeluarkan sekali setiap tahun).

Antara siri komemoratif tahunan yang popular adalah Peterson Pipe of the Year (POY), dimana briar-briar terpilih sepanjang tahun disimpan untuk diabadikan sebagai POY ini, di dalam bentuk / shape yang unik (Peterson B-shapes - shape-shape yang di luar katalog) atau terkadang shape-shape biasa namun bertatah perak.

Peterson St. Patrick's Day juga adalah keluaran komemoratif yang bersempena dengan hari St. Patrick. Penggunaan warna hijau yang melambangkan daun shamrock dan sinonimnya dengan perayaan (?) memperingati hari kematian St. Patrick turut diterapkan ke atas pipa-pipa siri ini.

Dicipta khusus untuk pasaran US, Peterson 4th of July adalah satu siri yang bersifat "non-Irish", lengkap dengan kemasan perak di shank. Tiada pengkhususan bentuk mahupun warna dikenakan pada siri ini.

Peterson Christmas Pipes pula adalah keluaran tahunan yang bersempena dengan Hari Natal. Kemasan perak yang memiliki logo pokok krismas dan tulisan "Christmas Pipe" diikuti dengan tahun pada bowl pipa adalah unik untuk siri ini.

Satu lagi siri tahunan adalah siri Father's Day yang saya tidak pasti adakah ia masih lagi dikekalkan atau tidak. Siri ini mungkin juga bersifat seperti "gift set" yang ditujukan khas buat mereka yang mahu membeli hadiah kepada si bapa.

Bagi komemoratif bukan tahunan pula, ini adalah antara puncak kepada pengkoleksian pipa Peterson kerana keluaran komemoratif sebegini adalah terhad dan hanya dikeluarkan sekali sahaja. Biasanya ia akan berkait dengan sesuatu peristiwa yang juga hanya berlaku sekali sahaja.

Yang terbaru, adalah pipa Peterson 150th Anniversary Pipe atau lebih dikenali dengan jolokan "The Founder's Pipe". Mengenakan bentuk Oom Paul bersaiz XXL (lebih besar dari siri Sherlock Holmes & seakan saiz House Pipes), pengeluaran siri ini adalah terhad kepada 1865 unit sahaja, bersempena dengan tahun Peterson ditubuhkan. Lebih baik lagi, kemasan perak dengan emblem timbul "Peterson Thinking Man" adalah unik untuknya (dan saiz perak yang digunakan adalah besar) dan ia juga menampilkan penggunaan pahatan laser pertama untuk pahatan nomenclature.

Sedekad lalu, Peterson mengeluarkan juga pipa 140th Anniversary. Signifikasi tahun ke-140 adalah agak meragukan (siapa yang meraikan sesuatu pada tahun ke-140?) tetapi uniknya koleksi ini cepat mencapai "cult status" dan diburu kolektor-kolektor tegar Peterson. Ia juga mengabadikan pipa bentuk kegemaran Charles Peterson sendiri - sebuah bent billiard.

Satu lagi komemoratif penting adalah Peterson Millenium, keluaran khusus sebagai sambutan ulangtahun ke-1000 Bandar Dublin. Tidak mengejutkan yang pipa ini datang dalam bentuk Dublin, tetapi menariknya ia turut dikeluarkan di dalam bentuk Oom Paul, dan keduanya lengkap dengan cincin perak di shank.


Melihat kepada semua penawaran tadi, boleh dikatakan yang Peterson sememangnya mensasarkan produk mereka pada setiap lapisan kepenggunaan. Dari pipa set hadiah, entry-level, pipa harian, pipa unik untuk pengkoleksian hinggalah ke pipa kualiti atasan yang agak mahal harganya, Peterson nyata mampu memberikan lebih nilai kepada wang anda. Juga apa yang patut kita akui adalah tidak kira di level mana pun, Peterson masih terus menghasilkan pipa-pipa yang mampu memberikan kualiti perpipaan yang bagus dan memuaskan.

Tentunya, semua ini dapat dicapai dengan pengalaman 150 tahun mereka menghasilkan pipa dengan tradisi tersendiri, yang telah pun melakar sejarah yang unggul di dunia perpipaan.


pack 'em, light 'em, and blow smoke rings outta 'em!

No comments:

Post a Comment