Sunday 17 April 2016

Pentingya "Nomenclature" Kepada Sesebuah Pipa.



Di dalam dunia dimana nilai-nilai konsumerisma semakin jatuh dek kerana pertambahan jumlah permintaan memaksa kepada pengeluaran berasaskan volume, ekonomi berskala besar yang tidak meletakkan kepentingan kepada kualiti pengeluaran, dan kita pengguna tersepit di dalam lambakan produk dengan kualiti yang "sub-par".

Sedemikian itu, kita sebagai pemipa berilmu haruslah tahu bagaimana untuk mengenalpasti kualiti pipa kita. Di sinilah terletaknya kepentingan nomenclature kepada kita. Terma "nomenclature" untuk pipa merujuk kepada insignia yang tercatat pada sesebuah pipa. Ia boleh jadi abjad, nombor, simbol, gambar, relief, motif, dan juga logo. Dalam bahasa Melayu ia dirujuk sebagai tatanama, malahan terkadang ia dipanggil nomenklatur. Namun, semuanya merujuk pada perkara yang sama.

Selalunya, ia berada di bahagian shank samaada tepi ataupun bawah, dimana ia sepatutnya tidak mengganggu corak grain pada permukaan bowl. Kebiasaannya, nomenclature membawa maklumat berkenaan jenama pipa, nama artisan, nama model atau siri, pengkelasan gred pipa, tahun ia dibuat, negara ia dibuat, bentuk finishing, dan terkadang jenis material atau bahan yang digunakan.

Maklumat-maklumat sebegini adalah sangat penting kepada semua pihak. Kepada pipemakers, ia sangat berguna untuk rekod dan kawalan kualiti hasil seni mereka. Bagi tobacconist dan penjual pipa pula, ia sangat berguna di dalam pengkelasan harga dan "stock keeping" mereka. Bagi kita pemipa, nomenclature adalah sangat penting dalam sesebuah koleksi kerana ia dapat memberikan kita indikasi tentang pipa yang kita miliki dan juga sebagai indikasi harga untuk pasaran estate bilamana kita berniat untuk menjual pipa tersebut kelak.

Jadi, kita perlu memastikan yang nomenclature ini adalah jelas, boleh dibaca dengan baik, mengandungi informasi yang tepat dengan briar yang diwakilinya dan kemas susunan abjadnya. Biar pun kemas, tulisan juga tidak sepatutnya terlalu dangkal kerana pastinya kita perlu membersihkan dan mengaplikasikan wax dan sebagainya ke atas pipa tersebut. Jika tulisan terlalu dangkal, kelak ia akan hilang terhakis dengan mudahnya.

Ianya tentu sesuatu yang mencabar untuk menjaga nomenclature ini kerana cabaran hidup masakini yang membuatkan kita selalu bergerak dan merantau. Sesetengah pemipa tidak mementingkan sangat penjagaan pipa mereka; sebilangan pipa disimpan di dalam sebuah beg yang sama menyebabkan ia saling bergeser sesama sendiri di sepanjang perjalanan.

Perkara ini tidaklah salah kerana setiap pemipa berhak menentukan tahap penjagaan masing-masing. Namun jika anda adalah seorang kolektor, pasti anda akan mengambil langkah yang cermat (walaupun melecehkan) untuk menjaga pipa-pipa anda. Bagi mereka yang betul-betul cermat, ada yang sampai ke tahap menyalutkan bahagian nomenclature ini dengan lapisan akrilik (terkadang gam akrilik) demi memastikan ia kekal dalam keadaan baik dan mudah dibaca! Bagi saya, memadai untuk sekali sekala melalukan briar polish padanya (tanpa ditekan sangat) dan elakkan memegang bahagian nomenclature itu kerana jika selalu bersentuhan, lama kelamaan ianya akan haus dan memudarkan tulisan.

Menyentuh bab kolektor pipa, mereka memang sangat-sangat menghargai nomenclature sesebuah pipa. Malahan, nomenclature memainkan peranan yang penting di dalam pembelian pipa-pipa estate. Bukan setakat untuk pengkelasan dan harga, malahan juga ia akan menentukan hala tuju sesebuah pengkoleksian, seperti contohnya bagi kolektor Dunhill, dimana pemburuan sesuatu spesifikasi yang khas seperti Large Billiard (LB) atau Own Design (ODA, ODB) dimana terdapat beberapa faktor yang susah diperolehi seperti OD shape 841 yang akan menjadi mercu tanda sesebuah pengkoleksian bagi peminat siri ini.

Perlu saya nyatakan di sini dek kerana kemampuan kita untuk mendapatkan maklumat yang tepat berhubung dengan pipa-pipa keluaran Dunhill dari nomenclature yang tertera di setiap pipa Dunhill, menyebabkan ia dianggap sebagai jenama yang sangat baik untuk dikoleksikan dan mampu meraih harga estate yang baik, walau pun kebanyakan pipa-pipa keluaran sekarang adalah setaraf dari segi "smoking qualities" dan persembahannya (malahan, sesetengah jenama baru mungkin jauh lebih baik dari segi bahan dan kualitinya).

Bercakap tentang kualiti, kita juga perlu sedar yang pembelian zaman ini adalah berpaksikan pada pembelian maya, dimana banyak laman sesawang yang menawarkan penjualan pipa. Sesetengah dari kita mungkin memiliki 80% koleksi hasil dari pembelian melalui internet, tanpa melihat dan memeriksa sesuatu pipa secara fizikal terlebih dahulu. Jadi, bagaimanakah kita tahu akan kualiti sesebuah pipa? Bagaimana kita tahu yang harga yang ditawarkan adalah di dalam julat yang sesuai dengan pipa tersebut? Tentunya melalui deskripsi atau spesifikasi pipa yang dijual itu, dimana selalunya akan mempamirkan maklumat dari nomenclature pipa tersebut.

Satu lagi faktor yang penting adalah berkaitan dengan pipa-pipa imitasi / tiruan. Mungkin tidak banyak pipa imitasi yang kita jumpa, tetapi hakikatnya ia memang ada dan dengan memerhatikan nomenclature secara mendalam, kita dapat membuat penilaian yang baik adakah pipa tersebut adalah asli atau tidak. Sesetengah nomenclature pipa tiruan adalah tidak masuk akal dan "spot on" (contohnya, jika kita terjumpa "Dunhill Aran" - sesuatu yang tidak logik, bukan?). Mungkin jenis ini jarang sekali tetapi paling tidak kita dapat membezakan bentuk tulisan atau "font" yang digunakan. Jikalau anda menemui pipa Peterson dengan tulisan "Peterson" itu di dalam oval, atau stamping tulisannya tidak kemas dan bertindih-tindih, tentu anda akan merasa sangat curiga dan memeriksa dengan lebih teliti.

Begitulah sedikit sebanyak mengenai kepentingan nomenclature untuk sesebuah pipa dan signifikannya kepada kita pemipa dan kolektor. Memahami, menjaga dan menghargai nomenclature adalah salah satu cabang pengkoleksian yang penting sekali buat kita, terutamanya jika kita betul-betul menitik-beratkan hal-hal kualiti, sejarah dan kepenggunaan pipa-pipa yang berada di dalam koleksi sendiri.

No comments:

Post a Comment