Monday 17 July 2017

Mengenal Stem Pipa : Bahagian-Bahagian Stem

Stem adalah bahagian yang kedua terpenting di dalam sesebuah pipa selepas bowl di mana pembakaran berlaku. Secara kasarnya pipa adalah terdiri dari dua bahagian akan tetapi dari segi kejuruteraan dan fungsinya biasanya dirujuk kepada tiga komponen utama iaitu bowl, shank dan stem.


Dari segi kejuruteraannya pastilah shank lebih penting kerana ia berperanan menyejukkan asap yang melaluinya dari bowl di mana pembakaran tembakau berlaku hinggalah ke bahagian stem untuk “output” atau penerimaan konsumer. Namun stem adalah bahagian pipa yang sangat dekat dengan kita, kerana ia adalah “direct contact” di mana bibir dan gigi kita memegang pipa tersebut dan faktor keselesaan tentunya amat penting di sini.
gambar olahan dari rebornpipes.com
Stem walaupun kecil dan pendek, masih memiliki bahagian-bahagian tertentu yang masing-masing memiliki tujuannya yang tersendiri. Mari kita lihat dengan lebih dekat akan bahagian-bahagian tersebut;
1. Lip / button – bahagian ini terletak di sudut yang paling hujung sekali di dalam sesebuah pipa. Ia adalah bahagian di mana asap akan diterima keluar ke mulut pemipa. Button / lip ini juga memiliki beberapa jenis yang tertentu; yang biasa kita temukan adalah (i) “fish tail” dengan bentuk mencapah seperti ekor ikan, dimana ia membantu memberikan lebih grip kepada gigitan kita. Lip jenis kedua adalah (ii) “dental”, dan ia agak jarang ditemukan kini kerana “dental” adalah dipatenkan kepada beberapa jenama pipa sahaja (contohnya Falcon dan Duncan) dan entah kenapa ia menjadi semakin kurang popular sekarang. Lip “dental” adalah agak unik dimana sedikit kepanjangan diberikan kepada sisi atas lip stem tersebut, untuk memberikannya semacam satu ruang untuk “sendalan” yang membolehkan stem “digantung” di gigi pemipa. Satu lagi jenis adalah agak popular iaitu (iii) “P-lip” yang juga adalah paten milik sebuah jenama pipa terkenal yakni Peterson. P-lip memiliki lubang asap yang disasarkan ke atas, jadi asap dari shank kelak akan terus diarahkan ke lelangit kita berbanding dengan terus ke lidah. Perbezaan arah laluan asap ini adalah khusus untuk menangani masalah “tounge bite” yang lazim melanda pemipa terutamanya mereka yang baru bermula (walaupun bagi sesetengah pemipa ia akan mengundang pula masalah “palate bite”).


2. Bit – mewakili bahagian yang paling nipis di dalam sesebuah stem, terletak betul-betul di belakang button / lip. Bit juga adalah titik yang paling kritikal sekali, salah satu sebab adalah kerana ia sangat nipis dan satu lagi sebab adalah kerana gigi pemipa biasanya akan terletak di bahagian ini dan menekan bit dengan kuat. Kebocoran dan retak atau pecah sering berlaku di bahagian ini.









3. Body – ini adalah bahagian yang bermula dari hujung bit dan terus ke bahagian hujung stem, sebelum tenon bermula. Kebiasaannya bahagian ini hanya mengikut alunan design dari bit hinggalah ke hujungnya.












4. Tenon – ia adalah bahagian stem yang penting kerana ia akan memasuki mortise dan “fitment” antara tenon dan mortise inilah yang akan menyatukan stem dan pipa bersama. Terdapat juga tenon yang memiliki alur skru yang kebiasaannya diperbuat dari bahan logam, sering digunakan di dalam pipa-pipa yang menggunakan teknologi “stinger” sebagai penyejuk di dalam shank seperti jenama Kaywoodie dan beberapa jenis lagi. Selain itu juga terdapat tenon yang berasingan dari stem – kebiasaannya tenon delrin “push-pull” yang dipasangkan ke stem pipa-pipa meerschaum dek kerana meerschaum adalah agak lembut untuk menahan kekuatan daya kilas yang kita biasa gunakan untuk membuka dan memasang stem ke mortise di shank pipa.
Tidak semua jenis stem memiliki kesemua bahagian ini; ada stem yang tidak memiliki bahagian tenon dimana hal ini sebenarnya bergantung kepada bentuk dan jenis stem tersebut. Kita akan melihat dengan lebih lanjut akan perkara tersebut di artikel yang akan datang.




5. Lubang Udara / Airhole – laluan untuk asap diterima masuk dari pembakaran di bowl pipa. Asap akan dibawa ke shank dan seterusnya ke mulut pemipa melalui lubang udara ini.
Pendek kata, dengan mengenali stem pipa, kita adalah selangkah lebih dekat di dalam usaha untuk memahami pipa secara lebih mendalam. Nantikan siri-siri lain di dalam topik “Mengenal Stem Pipa” dari pipa di dunia fana kelak, yang akan dibawakan secara santai namun mengandungi lebih banyak informasi dan maklumat berkaitan perihal komponen yang penting ini.

pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

No comments:

Post a Comment