Sunday 14 May 2017

Mikro-Ekonomik Baccy & Pemipa

Konsep mikro-ekonomik selalu diaplikasikan oleh kita pemipa. Boleh dikatakan, pemipa zaman sekarang adalah tergolong antara mereka yang bijak dan pandai menyesuaikan diri mengikut keadaan sosio-ekonomik semasa, terutamanya di dalam konteks yang melibatkan perihal perpipaan.
Melihat kepada pola pembelian tembakau / baccy di kalangan kita pemipa, ia sememangnya adalah satu olahan yang sangat menarik. Mengapa saya mengatakan sedemikian? Ini kerana kebanyakan kita pemipa sebenarnya memiliki kecenderungan tersendiri dalam pembelian baccy kita. Dan pola yang terhasil ini tidak semestinya sama walaupun kita dan rakan pemipa kita memiliki preferensi yang serupa di dalam pemilihan baccy.
Mari kita tinjau beberapa klasifikasi pemipa yang bersangkutan dengan pola mikro-ekonomik ini dengan lebih dekat;
1. The Hoarder – Pernahkah anda melalui situasi dimana anda mahu berjumpa dengan tobakonis setiap hujung minggu? Apabila anda mulai melihat tobakonis anda seperti shaman dan merasa sangat perlu untuk membeli baccy baru saban minggu, anda mungkin tergolong di dalam kategori The Hoarder. Golongan ini secara tidak sedar akan membina empayar baccy di cellarnya secara “massive”, dan mereka akan terus membeli dan membeli terutamanya jika ada baccy baru yang masuk ke pasaran. Selagi mereka tidak melupakan belanja dapur, nafkah dan susu anak – it is still very okay. Malah, mereka adalah sangat bertuah kerana pilihan baccy untuk dinikmati pada sesuatu masa adalah sangat luas.

2. The Hedger – Golongan ini adalah mereka yang berfikiran jauh. The Hedger amat peka pada pertukaran matawang asing, inflasi dan jatuh naik harga baccy. Mereka akan melakukan pembelian pada masa dan situasi yang amat sesuai. Kita semua sedia maklum akan faktor-faktor seperti kenaikan duti import tembakau, naik-turun Ringgit berlawanan dengan US Dollar, pembelian pukal untuk menjimatkan kos pengeposan dan sebagainya namun The Hedger adalah jauh lebih arif berkenaan hal-hal sebegini. Jika anda memiliki kawan pemipa yang tergolong sebagai The Hedger ini, anda sangat bertuah kerana anda hanya perlu mengikut pola pembelian mereka untuk mendapatkan kelebihan “hedging”.
3. The Prospector – Sekarang mari kita lihat pada golongan pelabur hartanah di dalam dunia perpipaan, The Prospector. Mereka adalah kunci kepada baccy-baccy “rare” kerana mereka sangat arif tentang keberadaan sesebuah blend dan brand. The Prospector tahu blend manakah yang akan dihentikan pengeluarannya dalam sedikit masa lagi, dan mereka akan mulai membeli blend / baccy tersebut pada kadar yang banyak. Mereka juga tahu di kedai manakah baccy-baccy yang sukar didapati masih tersimpan, malah mereka juga mungkin membeli lebih untuk dijual semula kemudiannya. Jika anda memiliki rakan pemipa yang tergolong di kalangan The Prospector, saya usulkan anda mengekorinya kemana dia pergi. Mungkin anda akan mendapat sedikit sebanyak pembayang baccy manakah yang akan dihentikan pengeluarannya kelak dan di manakah anda masih mampu untuk membelinya.
4. The Journeyman – Kategori ini adalah khusus bagi mereka yang ada kecenderungan untuk mencuba semua jenis blend yang pernah wujud di dunia ini. Sebenarnya, mencuba segala jenis blend adalah nikmat yang tidak terhingga untuk kita pemipa. Dan itulah apa yang The Journeyman lakukan. Mereka memiliki tahap inkuisitif dan rasa ingin tahu yang sangat tinggi, terutamanya apabila blend-blend baru dikeluarkan di pasaran. Malah, pada tahap yang ekstrem mereka boleh digelar “the baccy romeo” kerana tidak “setia” – mereka tidak memiliki “go to” baccy yang spesifik, dan senantiasa bergelumang dengan baccy baru. Golongan ini sangat menarik untuk didampingi kerana palate mereka agak terlatih; walaupun kita memiliki kecenderungan palate masing-masing, namun mereka mampu memberikan pendapat tentang sesebuah baccy dari pelbagai sudut.
5. The Thrifter – Siapa yang tidak sayangkan duit? Berpipa bukanlah satu pembudayaan hobi yang murah, jadi sudah tentu kita terpaksa bermain dengan faktor kos, dan dari sinilah wujudnya The Thrifter. Golongan ini tahu dan peka akan bila masanya sesetengah tobakonis akan mengadakan jualan murah. Selain itu, The Thrifter juga agak mahir di dalam pembelian online – mereka tahu bila sesetengah diskaun perayaan seperti Black Friday, Christmas dan lain-lain akan berlaku di dalam sesetengah online tobacconists. Pendek kata dalam kegawatan ekonomi seperti sekarang, mengikut jejak The Thrifter akan menjadikan anda seorang pemipa yang trendy dan classy tanpa perlu merobek saku anda dengan teruk.

Sememangnya menarik untuk mengetahui tentang karakter-karakter pemipa berdasarkan mikro-ekonomik baccy ini. Sama ada anda tergolong di salah satu daripadanya atau mungkin gabungan dua atau tiga karakter, hanya anda yang mengetahuinya.

pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

No comments:

Post a Comment