Tuesday 29 March 2016

Dunhill Elizabethan Mixture.

Kedatangan Dunhill Elizabethan Mixture pada hujung 2014 di Malaysia sememangnya saya nanti-nantikan. Sebab utama adalah kerana ini bagaikan satu petanda baik yang Dunhill akan membuat "revival" blend-blend lamanya yang popular.

Dalam hal ini, ia ternyata benar kerana selepas Elizabethan, Aperitif dan Durbar pun tiba dan tak lama kemudian Baby Bottom (BB1938), Three Years Matured dan Ready Rubbed pula singgah di kedai-kedai baccy serata negeri.

Sebab kedua adalah tentunya legasi Elizabethan sendiri. Dikatakan ia adalah antara va/per terbaik yang Dunhill pernah hasilkan, dan tin-tin vintaj yang masih "survive" hingga ke hari ini terjual dengan harga yang mahal di e-Bay. Walaupun "hype" kemunculannya tidaklah setinggi Bell's Three Nuns, saya akui yang secara peribadi saya agak teruja dalam menantikan Elizabethan mendarat di sini.

Deskripsi baccy ini menerangkan tentang penggunaan beberapa dedaunan Virginia dan sudah tentu, perique sebagai "spice" kepada keseluruhan blend. Jadi, apa yang ada adalah "bona fide" va/per tanpa pengaruh dari unsur-unsur lain. Originaliti ini adalah sesuatu yang harus dipuji, kerana ia memudahkan pengklasifikasian blend dan juga menandakan konsistensi Dunhill dalam melakukan blend revival. Jika campuran tembakaunya sudah lain, bukankah sebaiknya ia diberi nama yang baru, bukan?

Persembahan tin dengan gambar dari keluaran lama dikekalkan, yang saya dapati sangat menarik. Imej kapal, pipa tanah liat, peta pelayaran dan buku log kabin memberikan sedikit "feel" zaman penerokaan "new world" di mana kultivasi tembakau dari pembukaan bandar-bandar baru di wilayah-wilayah kolonialisma membantu penyebaran tembakau-tembakau dari tempat-tempat yang eksotik balik ke empayar-empayar besar.

Secara peribadi saya sememangnya berfikiran yang blend-blend revival seharusnya mengekalkan unsur-unsur lama sebaik mungkin. Ini menambahkan "feel" dan citarasa kita untuk menikmati resepi-resepi mixture lama yang tentunya menarik untuk diterokai.

Sejurus selepas tin dibuka, kualiti Dunhill terserlah melalui persembahan untaian ribbon kecoklatan yang sekata, tanpa bahagian tangkai daun terselit sedikit pun. Ya, Dunhill memberikan anda 100% daun tembakau di sini. Untaian ribon virginia yang seragam ini memberikan not-not "hay" dan "grassy" yang enak. Juga dapat dilihat tompokan coklat gelap tembakau perique yang bertaburan di antara virginia, yang memberikan sedikit bauan tengik dan "musky" pada keseluruhan blend. Gabungan not-not ini memberikan kesatuan rasa "old school" yang baik.

Tidak lama masa yang diperlukan untuk mengepek tembakau ini ke dalam bowl. Elizabethan Mixture dapat menerima pembakaran dengan baik. "Charring lights" dan "true lights" adalah semudah ABC kerana keadaan tembakaunya yang agak kering dan ribon-ribon yang sekata. Sebaik "true lights" diperolehi, dapat kita rasakan dominasi virginia yang menyeluruh, dengan kualiti flavor seakan-akan "citrusy" dan sedikit rasa kayu manis di sana sini. Oleh kerana ribonnya agak kering, jangan terlalu gelojoh dengan sedutan anda, jika tidak bara "amber" akan menjadi terlalu panas dan rasa hangit gelang getah terbakar akan tercipta. Perique tidak dapat dijumpai lagi pada masa ini.

Penggunaan beberapa jenis daunan virginia ternyata memberikan impak yang sekata dan baik. Bright leaves dan darker virginia (dan mungkin sedikit red virginia) adalah komposisi asas blend dan tidak hairanlah blend va/per ini memiliki karakteristik full virginia - hangit jika terlalu panas. Namun dengan sisipan yang perlahan atau "slow cadence" anda dapat menikmati flavor virginia ini "layer by layer". Ini akan dapat anda sedari pada peringkat awal perpipaan, di mana perique masih belum muncul.

Sedikit menuju ke arah pertengahan bowl, perique mula memainkan peranannya. Walaupun tidak terlalu "spicy" seperti Peterson Irish Oak, ia membantu membangkitkan sedikit rasa "creamy" dan "breadiness" seakan roti gandum bakar pada keseluruhan rasa. Tidak terlalu kompleks tetapi sulaman yang baik antara kedua tembakau ini adalah sangat menyenangkan, santai dan "relaxing". Mungkin ada sedikit flavor "citrusy" dan plum kering disitu, namun tidak terlalu "overpowering" seperti kecenderungan yang ada pada tembakau cavendish. Struktur "body" tembakau yang baik juga dapat memberikan sedikit kepuasan pada keinginan nikotin anda.

Masuk ke penghujung bowl, perique mula mengambil alih kuasa dan menzahirkan rasanya yang sedikit pedas dan perit. Walaupun ia tidaklah terlalu kuat, transisi yang berlaku adalah sangat baik di mana palate kita disediakan dengan kadar hentaman perique yang rendah di permulaan, mulai muncul di pertengahan, dan sedikit dominan di suku akhir perpipaan. Tahap kepedasan perique juga adalah sederhana tinggi, menjadikan blend ini sangat baik untuk peminat va/per yang memiliki palate yang agak sensitif.

Malahan, saya mahu menyatakan disini bahawa Elizabethan mungkin membawa pendekatan atau "approach" yang lain dari blend-blend va/per standard - di mana perique adalah subjek utama dan virginia sebagai latar belakang. Dengan Elizabethan, perique seakan-akan hanya "taste-check" bagi anda menumpukan perhatian terhadap lapisan virginia-virginia yang menjadi asas blend tadi.

Ya, barangkali perique adalah seperti "taste separator" yang memungkinkan anda menikmati bright, dark dan red virginia secara optimum. "Spiciness" periquenya yang sedikit tenggelam memberikan penegasan terhadap rasa "breadiness", "toasty" dan "zesty" dari amalgamam virginia-virginia terbabit. Sungguh kemas bukan, "interweaving" dari tembakau-tembakau ini?

Apa yang tidak ada disini adalah "earthiness" yang selalu dikaitkan dengan blend-blend full virginia, terutamanya yang agak lembap dengan mineral oil dari tembakau itu sendiri. Namun, ini bukanlah blend full virginia jadi tiada apa yang perlu dikesalkan. Juga blend ini adalah dicipta untuk sesi perpipaan yang relaks; "slow puffing" dapat merealisasikan saat-saat terbaik Elizabethan dan "overpuffing" akan merosakkan tekstur rasanya.

Dari perspektif tertentu, Elizabethan bukanlah va/per yang mampu menawarkan tahap kompleksiti yang tinggi sepertimana Reiner Long Gold Flake, tidak juga se"refined" Three Nuns apatah lagi se"potent" Bullseye Flake, tetapi ia adalah blend va/per yang santai dan menyelesakan, sesuai untuk dinikmati ketika "high-tea" atau berehat di beranda pada hujung minggu.

Dengan sedikit masa dan perhatian, Elizabethan Mixture mampu menghadiahkan anda dengan "blissful virginia-oriented va/per goodness" yang hanya anda, pipa anda dan kerusi malas anda yang mampu memahami nikmat petang bertemankan setin baccy revival yang dinanti-nantikan ini

No comments:

Post a Comment