Thursday 27 August 2015

PIPA "ESTATE" & OBSERVASI PASARANNYA

Pipa "estate" adalah suatu slang pemipa yang menggambarkan pipa-pipa terpakai atau second hand. Ianya adalah pipa yang telah digunakan dan dibersihkan semula untuk dijual kembali ke pasaran kedua. Memandangkan pipa adalah suatu komoditi pada masa lalu, banyak yang masih bertahan hingga ke hari ini kerana penjagaan baik yang diberikan kepadanya. Tambahan pula, kebanyakan pipa direka dengan konsep tahan lasak dan tahan pakai (kecuali meerschaum), maka tidak hairan lah pasaran untuk pipa estate ini wujud.

Merenung sejenak kepada pipa estate, ia adalah sangat unik buat sesuatu pipa untuk bertahan dari lima puluh tahun lepas hingga ke hari ini. Kondisi pipa-pipa sebegini mendorong kita untuk berfikir; adalah ianya satu bahan mewah kepada tuannya dulu - dengan mengambil-kira kondisinya yang seakan sempurna seolah-olah pipa ini menerima penjagaan terbaik.

Ianya mungkin agak memualkan jika faktor hygienic diambil-kira, namun kebanyakan penjual pipa estate adalah mahir dengan teknik-teknik pembersihan pipa dan selalunya ia masih kelihatan menarik dan mampu memberikan kualiti smoking sebaik pipa baru.

Jika dilihat dari segi ekonomi, pipa estate adalah suatu cara terbaik untuk anda membeli pipa-pipa kelas atasan pada harga yang berpatutan. Bukan semua pemipa sanggup untuk melaburkan wang membeli pipa-pipa seperti Jess Chonowitzs, S.Bang, Dunhill, Castello, Ser Jacopo, Former dan lain-lain, maka market estate merupakan suatu arena bagi pemipa untuk membeli pipa-pipa berjenama mahal pada kadar yang lebih berpatutan. Harga adalah mengikut kondisi pipa, namun kebiasaannya kita boleh mendapatkan pipa sebegini pada sekitar 40% lebih murah dari yang baru.

Dari segi kolektiviti pula, market pipa estate adalah satu ruang yang sangat menarik untuk pemburuan pipa-pipa yang tergolong dalam kategori "rarity". Pipa-pipa keluaran edisi terhad dan keluaran khusus kadangkala muncul dan biasanya terjual dengan pantas. Pipa-pipa dengan pengeluaran pada masa yang singkat seperti Dunhill Red Bark, Kaywoodie Fine Line dan lain-lain juga terkadang dijual di pasaran estate dan kepantasan bidaan adalah diperlukan jika anda teringin untuk memilikinya.

Juga diingatkan yang anda tidak akan mampu untuk membeli beberapa pipa berkategori "highly sought after" seperti Dr Plumb Peacemaker, Peterson pre-Republic era dan lain-lain secara first hand, kerana ianya tidak lagi diproduksikan sekarang.

Dan dari segi material, selalu diperdebatkan adalah keberadaan dan kualiti material terdahulu, dimana pokok briar yang betul-betul matang sahaja yang ditebang. Oleh itu tentulah kualiti briar terdahulu adalah jauh lebih baik dari apa yang ada sekarang. Di pasaran pipa estate, spesimen sejauh abad lepas juga asih boleh ditemui. Anda bayangkan berapa banyak pilihan yang ada pada penebang pokok briar untuk memilih briar yang terbaik untuk dijual kepada pipemakers.

Pasaran pipa estate tidak akan luntur kerana bukan semua pembeli pipa adalah pemipa: ramai juga yang membeli hanya sebagai koleksi - terima kasih kepada tanggapan semasa yang menggambarkan pipa sebagai suatu hobi yang eksklusif dan mahal, secara langsung menjulang permintaan elastik pasaran pipa estate ini. Ditambah dengan limitasi material dan perbezaan pola pengeluaran industri / kecenderungan mass production masakini, pipa estate akan sentiasa mendapat tempat di hati pemipa dan pasarannya adalah semakin luas saban hari.

No comments:

Post a Comment