Friday, 28 August 2015

ASAS PEMIPA PEMULA : AKSESORI

Sesudah memiliki pipa pertama dan memilih tembakau yang sesuai, kita lihat kepada aksesori-aksesori khusus pemipa pula.

Sesetengah aksesori adalah sangat penting untuk sesi pipesmoking dan sesetengahnya adalah optional.

Bagi pemipa pemula, adalah penting untuk anda mendapatkan "Aksesori Kritikal" terlebih dahulu, dan "Aksesori Optional" mungkin anda boleh beli dikemudian harinya.


AKSESORI KRITIKAL :

1) Pipe Lighter - seharusnya yang terbaik adalah lighter khusus untuk pipa, tetapi jika pipa itu memiliki ring yang rusticated, sandblasted atau sememangnya hitam, penggunaan mancis adalah lebih klasik, selain Zippo dan lighter biasa.

2) Tamper - tamper digunakan untuk menekan abu tembakau ke bawah supaya pembakaran lebih sekata dan api dapat sampai ke bawah dengan lebih pantas. Kebanyakan tamper sekarang pun datang dengan pick dan scoop sekali untuk mengorek abu tembakau, namun tamper juga telah berevolusi menjadi suatu aksesori yang cantik, diperbuat dari bahan yang mahal dan terhias indah, jadi mungkin kita akan diskus dengan lebih mendalam lagi tentang seni penghasilan tamper ini.

3) Filter - khusus untuk pipa berfilter, ia dapat membantu pemipa pemula untuk mengurangkan kadar lembapan ketika berpipa, mengawal kadar sedutan dan juga menapis abu dari sedutan pemipa. Jika anda tidak sukakan filter, gunalah adapter kerana lubang tenon yang besar perlu dikecilkan untuk sesi perpipaan yang baik.

4) Pipe Cleaner - inilah aksesori yang sangat ringkas tetapi penting, digunakan untuk mengeluarkan deposit baccy dari shank dan mortise. Juga digunakan untuk mengeringkan bahagian dalam pipa.

5) Liquid Pipe Cleaning Solution - ini amat berguna untuk membantu pipe cleaner mengeluarkan deposit dari dalam pipa, tambahan lagi jika deposit itu sudah terbiar lama dan berkerak. Biasanya, saya rendamkan setengah pipe cleaner than ke dalam botol solution ini dan jolokkan ke dalam pipa yang perlu dibersihkan.

6) Pipe Pouch / Bag - selalu saya tekankan pipe bag adalah untuk perlindungan kepada pipa. Poket-poket untuk tembakau dan aksesori menjamin kita sesi pipesmeet yang berkualiti kerana semua aksesori kritikal ada bersama. Pemilihan material seperti kulit penuh / full leather tentunya lebih menonjolkan semangat perpipaan gentleman yang selalu kita gembar-gemburkan.


AKSESORI OPTIONAL :

1) Pipe Stand / Rest - ini adalah kaedah penyimpanan pipa yang terbaik kerana semuanya diletak menegak dan membolehkan cecair lebihan turun ke bowl, dimana ia membantu proses pengeringan dan pengudaraan pipa.

2) Briar Wax / Polish - seperti kayu-kayu yang lain, briar sangat menyukai polish dan akan menjadi sangat cantik bila kerap dijaga. Polish menaikkan kontrast grain pada briar dan akan melembapkan permukaan briar.

3) Pipe Stem Wax Polish - stem dari bahan acrylic tidak perlu penjagaan yang rapi namun stem ebonite / vulcanite memang memerlukan wax / polish dengan kadar yang sederhana kerap, demi memastikan proses oksidasi stem tidak berlaku dengan pantas.

4) Pipe Ashtray with Knocker - knocker adalah gabus (biasanya bulat) yang terdapat pada ashtray-ashtray pipa, bertujuan untuk membantu pemipa mengetuk pipa mereka pada permukaan yang lembut, ketika proses pembersihan. Ini dapat mencegah pipa dari cepat rosak.

5) Pipe Reamer - ia hanya diperlukan ketika kek di dalam pipa menjadi agak tebal dan perlu dibuang. Pemipa pemula tidak digalakkan untuk melakukan proses ini secara sendiri kerana isi kayu yang terbuang tidak akan dapat diganti lagi.


Telah kita bincangkan terdahulu yang hobi berpipa ini sememangnya agak kompleks jadi aksesori-aksesori sebegini adalah sangat penting, demi kepuasan total berpipa dan penjagaan pipa yang terbaik. Juga, kompleksiti sebeginilah yang merumitkan lagi hobi berpipa ini sehingga ia menjadi semakin seronok dan semakin tidak masuk akal.

Thursday, 27 August 2015

BALKAN BLEND LIAR DARI PETERSON

Sekembalinya dari Brunei semalam, secara tidak sengaja saya terlihat sesuatu yang agak asing tetapi menarik. Niat utama adalah untuk membeli beberapa batang cigar tetapi biasalah, kalau ternampak blend-blend baru ini tekak akan menjadi sedikit gatal. Kalau ianya blend aromatik mungkin saya tidak hairan, tetapi ini adalah blend Balkan!

Wild Atlantic adalah salah satu daripada blend-blend yang baru dari Peterson, keluar seawal Mac lalu tetapi tidak pula kita dapati di pasaran Malaysia setakat ini. Komposisinya adalah dari adunan dedaunan bright virginia sebagai asas blend atau tembakau primer, ditambah dengan Cyprian latakia pada jumlah yang agak banyak, dan sedikit oriental untuk menambah sedikit "spiciness" kepada keseluruhan blend.

Berdasarkan 3 bowl awal yang saya sempat nikmati semalam dan hari ini, Peterson Wild Atlantic ini adalah blend yang agak kompeten, strength adalah sederhana, dan lebih full-bodied berbanding Peterson Balkan Delight. Ada sedikit persamaan dengan Dunhill My Mixture 965 dari segi flavor - bukanlah suatu kejutan kerana komposisi kedua blend adalah hampir sama - tetapi Wild Atlantic sedikit kurang refined berbanding My Mixture 965. Mungkin, ketiadaan black cavendish adalah penyebab kekurangan ini.

Walau bagaimanapun, pencinta latakia akan merasa bagai di syurga bila blend ini sampai ke pertengahan bowl, dimana flavor dari latakia adalah agak kuat dan jelas. Adakah Peterson cuba untuk menghasilkan blend latakia powerhouse berkonsepkan Balkan? Itu adalah sesuatu yang menarik untuk kita lihat.

Apa yang menghairankan ialah pemilihan nama blend dan temanya - Wild Atlantic tidak langsung mencerminkan blend Balkan, malahan ia memberi bayangan blend aromatik kepada saya. Apa-apapun, datangnya baccy Peterson ini dengan pouch packaging sebegini diharap dapat meletakkannya pada kadar harga yang lebih berpatutan.

PIPA "ESTATE" & OBSERVASI PASARANNYA

Pipa "estate" adalah suatu slang pemipa yang menggambarkan pipa-pipa terpakai atau second hand. Ianya adalah pipa yang telah digunakan dan dibersihkan semula untuk dijual kembali ke pasaran kedua. Memandangkan pipa adalah suatu komoditi pada masa lalu, banyak yang masih bertahan hingga ke hari ini kerana penjagaan baik yang diberikan kepadanya. Tambahan pula, kebanyakan pipa direka dengan konsep tahan lasak dan tahan pakai (kecuali meerschaum), maka tidak hairan lah pasaran untuk pipa estate ini wujud.

Merenung sejenak kepada pipa estate, ia adalah sangat unik buat sesuatu pipa untuk bertahan dari lima puluh tahun lepas hingga ke hari ini. Kondisi pipa-pipa sebegini mendorong kita untuk berfikir; adalah ianya satu bahan mewah kepada tuannya dulu - dengan mengambil-kira kondisinya yang seakan sempurna seolah-olah pipa ini menerima penjagaan terbaik.

Ianya mungkin agak memualkan jika faktor hygienic diambil-kira, namun kebanyakan penjual pipa estate adalah mahir dengan teknik-teknik pembersihan pipa dan selalunya ia masih kelihatan menarik dan mampu memberikan kualiti smoking sebaik pipa baru.

Jika dilihat dari segi ekonomi, pipa estate adalah suatu cara terbaik untuk anda membeli pipa-pipa kelas atasan pada harga yang berpatutan. Bukan semua pemipa sanggup untuk melaburkan wang membeli pipa-pipa seperti Jess Chonowitzs, S.Bang, Dunhill, Castello, Ser Jacopo, Former dan lain-lain, maka market estate merupakan suatu arena bagi pemipa untuk membeli pipa-pipa berjenama mahal pada kadar yang lebih berpatutan. Harga adalah mengikut kondisi pipa, namun kebiasaannya kita boleh mendapatkan pipa sebegini pada sekitar 40% lebih murah dari yang baru.

Dari segi kolektiviti pula, market pipa estate adalah satu ruang yang sangat menarik untuk pemburuan pipa-pipa yang tergolong dalam kategori "rarity". Pipa-pipa keluaran edisi terhad dan keluaran khusus kadangkala muncul dan biasanya terjual dengan pantas. Pipa-pipa dengan pengeluaran pada masa yang singkat seperti Dunhill Red Bark, Kaywoodie Fine Line dan lain-lain juga terkadang dijual di pasaran estate dan kepantasan bidaan adalah diperlukan jika anda teringin untuk memilikinya.

Juga diingatkan yang anda tidak akan mampu untuk membeli beberapa pipa berkategori "highly sought after" seperti Dr Plumb Peacemaker, Peterson pre-Republic era dan lain-lain secara first hand, kerana ianya tidak lagi diproduksikan sekarang.

Dan dari segi material, selalu diperdebatkan adalah keberadaan dan kualiti material terdahulu, dimana pokok briar yang betul-betul matang sahaja yang ditebang. Oleh itu tentulah kualiti briar terdahulu adalah jauh lebih baik dari apa yang ada sekarang. Di pasaran pipa estate, spesimen sejauh abad lepas juga asih boleh ditemui. Anda bayangkan berapa banyak pilihan yang ada pada penebang pokok briar untuk memilih briar yang terbaik untuk dijual kepada pipemakers.

Pasaran pipa estate tidak akan luntur kerana bukan semua pembeli pipa adalah pemipa: ramai juga yang membeli hanya sebagai koleksi - terima kasih kepada tanggapan semasa yang menggambarkan pipa sebagai suatu hobi yang eksklusif dan mahal, secara langsung menjulang permintaan elastik pasaran pipa estate ini. Ditambah dengan limitasi material dan perbezaan pola pengeluaran industri / kecenderungan mass production masakini, pipa estate akan sentiasa mendapat tempat di hati pemipa dan pasarannya adalah semakin luas saban hari.

Thursday, 20 August 2015

Kiko Pipes & Senario Meerschaum Afrika.



"Kiko" adalah jenama yang agak asing di dalam dunia perpipaan sekarang. Jika anda rajin menyelusuri dunia pipa "estate" mungkin anda akan berpeluang bertemu dengan pipa-pipa keluaran Afrika ini, itupun dengan mengambil kira anda bernasib baik.

Seperti yang kita sedia maklum, pengeluar meerschaum terbesar adalah Turki, namun beberapa deposit kecil juga ditemui di Afrika. Ketika penjajahan British di Afrika Timur pada pertengahan 90-an, mereka menggunakan kesempatan ini untuk mengeksport keluar meerschaum dari Tanganyika (sekarang Tanzania) melalui syarikat konsesi Tanganyika Meerschaum Corporation Limited. Sesetengah bekalan dieksport terus ke Isle of Man , dimana Laxey mengeluarkan pipa-pipa Meerschaum Afrika kepada Peterson dan Comoy, namun kebanyakan blok-blok Meerschaum ini dihantar ke Kilimanjaro Pipe Company Ltd di Tanganyika dan dari sinilah pembuatan pipa tempatan Afrika yang asal, dengan jenama Kiko ini diproduksikan.

Hasil deposit lombong meerschaum Afrika ini bukanlah yang terbaik: ia adalah lebih berat, mengandungi banyak impuriti (oleh itu warnanya jarang yang putih / pure white) jadi sedikit kekelabuan dan tompok-tompok impuriti hadir pada blok meerschaum nya. Dikatakan ia agak sama dengan hasil meerschaum Turki gred rendah namun kekuatan bahannya adalah jauh lebih baik. Ia sangat durable dan mampu ditebuk dan dipasak skru sebagai tenon!

Walaupun kualitinya tidak setaraf meerschaum Turki gred A, kualiti smoking yang mampu diberikan oleh pipa meerschaum Afrika ini adalah agak baik. Ia tidak akan mengambil warna dari jus tembakau sebaik meerschaum Turki, kerana ianya adalah meerschaum yang lebih keras dan padat. Oleh itu, ia adalah lebih sesuai digunakan di luar rumah.

Mengambil-kira faktor pengeluarannya yang terhad, kebanyakan pipa-pipa keluaran Kiko adalah dari jenis meerschaum-lined, disaluti penggunaan kayu-kayu tempatan, briar dan kemasan kulit selalu digunakan. Logo pada stem juga berbeza mengikut siri: anda mungkin akan menemui logo gajah, badak, zirafah, burung dan lain-lain, bersempena haiwan-haiwan kebanggaan Afrika.

Dengan deposit lombong yang sedikit dan terhentinya pengeksportan semenjak Tanzania merdeka dari British, pembuatan pipa Kiko juga turut terhenti. Oleh kerana itu, pasaran kedua pipa Kiko mulai naik dan ia juga diburu kolektor-kolektor di serata dunia. Spesimen yang unsmoked dan berkeadaan baik adalah sangat-sangat jarang ditemui.

Kompleksiti keberadaan material dengan limitasi yang sedia ada menyebabkan pemburuan pipa-pipa seperti Kiko ini adalah sangat menarik dan unik. Walaupun kualiti smoking dan materialnya tidak setanding meerschaum Turki, memilikinya atas dasar sejarah perpipaan juga adalah memadai.

Miskonsepsi Terhadap Sandblasted & Rusticated.

Semua orang berhak menikmati saat-saat permulaan yang jahil dan naif.

Memecahkan kebuntuan berteraskan pek 20 batang yang sangat banal dan rutin, saya memasuki alam perpipaan dengan kelaziman yang setiap pemipa pemula rasai. Aromatik, filtered, dan "smooth" pipes: tiada betul atau salah di dalam hal sebegini dan ianya agak subjektif bergantung kepada keadaan tertentu. Namun wow "birdseye" dan "flame grain" adalah sangat-sangat memukau ketika saya bermula dulu.

Sandblasted & rusticated adalah proses-proses pembuatan pipa yang seringkali (dan mungkin secara logiknya juga) dikaitkan dengan penutupan sandpit, fill dan fissures sesuatu briar. Dalam ertikata lain, jika sesuatu briar tidak memiliki grain yang baik atau memiliki lubang-lubang sandpits, jalan terbaik untuk menyembunyikan hal ini adalah dengan menjadikan appearance nya sandblasted atau rusticated. Ini adalah benar ketika sandblast finish mula diperkenalkan oleh Dunhill pada awal 1900 dengan tujuan asal untuk meminimumkan tahap briar reject mereka.

Tambahan pula, kebanyakan pengeluar pipa meletakkan aras harga yang sedikit rendah kepada pipa-pipa sandblasted dan rusticated berbanding pipa smooth mereka. Walaupun hal ini sudah semakin berubah sekarang dengan evolusi sabdblasting dan manipulasi rustification yang semakin indah dan berseni, secara amnya posisi harga adalah masih di tampuk sebegitu dan persepsi pemipa sudah tentunya akan terus kekal.

Oleh yang demikian, pemipa tidak boleh dipersalahkan jika pemilihan pipa sandblasted dan rusticated adalah agak diselubungi dengan prejudisma - pipa sandblasted saya yang pertama adalah pipa saya yang ke - 12, suatu permulaan yang agak lambat!

Berbeza dengan pipa smooth, keunikan corak semulajadi sandblast dan keunikan sentuhan menggerutu dari rusticated merupakan faktor appeal utama pipa-pipa dengan finishing sebegini. Boleh saya kongsi disini yang tatkala flame dan straight grain memberikan anda kepuasan visual ketika menilik-nilik pipa, sandblasted dan rusticated pula memberikan anda kepuasan sentuhan, sepertimana efek kulit di stereng dan gearknob kereta anda.

Ketiadaan grain untuk dilihat pada pipa dengan finishing sandblast atau rusticated sebegini jelas tidak mengurangkan kadar apresiasi pipa yang anda rasai saban hari. Malah, beberapa jenis sandblast dan rustification mampu memberikan pleasure visual yang baik dan menarik. Jika anda menemuinya, anda mungkin akan meminati finishing begini jauh lebih dari pemburuan fiammata yang selalunya akan melibatkan sejumlah wang yang besar!

Jika anda masih belum memiliki satu, jangan nafikan jari jemari anda peluang untuk bermain dan merasai tekstur pipa-pipa sandblasted dan rusticated ini.

Oriental Masterclass : Dedaunan Eksotik

Tembakau oriental menjurus kepada jenis-jenis tembakau yang ditanam di Eropah timur dan pesisiran Mediterranean. Variasi yang ada adalah banyak, namun penghasilannya adalah agak terhad dan terkadang secara kecil-kecilan. Mujurlah ianya hanya digunakan sebagai tembakau sekunder atau hanya untuk menambah perisa dalam sesuatu blend terutamanya blend-blend Balkan, oleh itu hanya jumlah yang kecil diperlukan.

Untuk mengenali setiap jenis dengan lebih dekat adalah sukar kerana terdapat puluhan jenis dan variasi dedaun oriental ini. Oleh itu kita hanya akan fokus kepada jenis yang agak terkenal dan selalu ada di dalam blend-blend di pasaran sekarang. Situasi pasaran tembakau sekarang yang hanya melabelkan sesuatu blend itu blend "oriental" tanpa menyertakan maklumat mengenai daunan apa yang digunakan adalah sangat mendukacitakan. Hakikatnya, blending house sendiri terkadang tidak mengetahui daun oriental yang manakah yang mereka beli dan terima, kerana ia datang secara pukal dan hanya dilabel "oriental".

Nama-nama tembakau oriental ini selalunya diambil dari nama bandar terdekat ia dikultivasi. Ini memudahkan pengenalan dan juga pengecaman tanaman tersebut. Jika diikutkan, penghasilan tembakau oriental boleh dibahagikan mengikut region masing-masing (Greece, Turki dan Eastern Europe) dimana kultivasi berlainan dihasilkan, namun adalah baik untuk kita pergi dengan lebih terperinci di masa yang lain dan kita teruskan dengan jenis yang biasa terdapat pada blend-blend oriental.

Tembakau oriental kultivasi Turki yang paling selalu kita jumpa adalah Izmir dan Smyrna. Nama datang dari daerah kultivasi masing-masing. Selalunya kita jumpa tembakau ini dengan nama "Cyprian latakia" dan kegunaan keduanya sebagai variasi pengganti Syrian latakia ini adalah sangat meluas. Selain itu, penanaman daun Katerini (dari percambahan biji benih Samsun yang juga dikatakan "the queen of tobacco" seperti mana latakia ialah "the king of tobacco") juga boleh ditemui di daerah Samsun, namun pada skala yang kecil.

Di pesisiran Greece juga penanaman tembakau oriental bergiat pesat. Keluaran Greece yang paling dikenali adalah Basma, dimana tembakau yang memiliki kualiti aroma yang baik ini adalah salah satu komponen blend crossover terkenal, Frog Morton On The Town. Kemudian kita ada Yenidje atau terkadang dikenali sebagai Xanthi, tembakau tanaman tanah tinggi yang memiliki rasa yang agak padu tetapi aroma yang lemah. Dikatakan ia mampu mengubah rasa sesuatu blend dengan signifikan, dan dengan pengeluaran yang kecil ianya sangat diinginkan oleh banyak blending house.

Di Georgia yang menghadap Laut Hitam pula tembakau Sokhoum ditanam dan dieksport keluar untuk konsumasi dunia, walaupun kadar eksportnya adalah kurang dari 1% eksport tembakau dunia. Oleh kerana itu, pengeluaran blend-blend yang mengandungi tembakau Sokhoum adalah sangat jarang ditemukan.

Berikutan kerana kekurangan hujan dan nitrogen di persekitaran penanamannya, tembakau oriental memiliki kadar nikotin yang sangat rendah. Oleh kerana itu, tembakau oriental sangat sesuai untuk dijadikan sebagai "seasoning" untuk blend tembakau pipa bagi menambahkan spiciness dan perisa blend-blend virginia atau burley. McClelland ada mengeluarkan "Great Oriental Series" yang merupakan suatu peluang baik untuk mengenali tembakau oriental dengan lebih dekat. Selain itu, antara blend-blend berciri oriental yang baik yang boleh kita dapati adalah McClelland Arcadia (yang terbaik saya pernah cuba), Dunhill Standard Mixture & Standard Mixture Mellow dan RMC Oriental.

Walaupun pengeluarannya agak kecil dan terkadang bersifat seperti "cottage industry", tembakau-tembakau oriental ini mewarnakan dunia perpipaan dengan aroma spiciness dan tekstur rasa eksotik yang dimilikinya. Selain dari melengkapkan blend-blend virginia dan burley, tembakau oriental juga membuka ruang untuk eksplorasi baru pada mereka yang rajin dan berminat untuk menjejak variasinya yang luas dan penuh dengan misteri ini.