Thursday, 24 January 2019

Resolusi Pipa 2019 : Kita Adalah Jauh Lebih Baik Dari Mereka.

Selasa lalu, kita menyambut 2019 dengan penuh hemah. Seperti biasa kita akan memprojekkan pelbagai keazaman dan iltizam. Hakikatnya, masa terasa cepat berlalu, dan bahang 2018 masih dapat kita rasakan, walaupun perubahan yang berlaku adalah agak besar terutamanya bagi kita pemipa dan rakyat Malaysia secara amnya.
2018 secara tidak langsung menyaksikan banyak fenomena-fenomena aneh dan separa aneh yang melanda dunia perpipaan kita ini. Pada awal 2018 saya mulai mendapati yang stok-stok McClelland mulai menyusut, disusuli dengan berita sedih akan pemergian blending house yang terkenal dengan penghasilan blend-blend virginia bermutu tinggi. Kemudiannya stok-stok tembakau yang memiliki Syrian latakia pula mulai menghilang. Seperti yang pernah saya bincangkan di dalam artikel berkenaan mikro-ekonomi tembakau tidak lama dahulu, semua ramalan dan telahan kita bagai kan menjadi kenyataan.
Disebalik segala kekecewaan di 2018, kita masih perlu untuk memasang harapan dan iltizam untuk tahun baru ini. Namun, keseronokan memasang iltizam itu agak tenggelam dek kerana ideologi yang tidak menentu, yang datang saban tahun dan semakin menebal. Kepayahan yang bakal kita hadapi tahun ini menidakkan aktiviti-aktiviti temu pipa yang biasa kita lakukan, dek kerana tekanan masyarakat yang tidak tahu membezakan antara tempat “smoking” dan “non-smoking” (seriously? meja-meja di luar kedai makan di tempat terbuka itu untuk mereka yang merokok, anda yang memiliki tubuh sihat dan akan hidup sehingga 100 tahun, kenapa tidak makan sahaja di dalam kedai yang lengkap dengan kipas dan aircond itu? Dan kelak, mungkin ketika anda enjoy makan di bahagian luar kedai tanpa asap rokok, anda akan terhidu asap kenderaan pula, dimana secara tidak langsung kita terpaksa mengharamkan kenderaan pula selepas ini…).
Dan apa pula yang akan berlaku di 2019? Banyak kekelaman melebihi sinar di jalan perpipaan kita ini sebenarnya. Antara yang kita patut tahu dan risaukan adalah pelaksanaan “deeming act” dari FDA yang akan memberikan banyak halangan dan kesukaran untuk blending house menghasilkan blend-blend kegemaran kita. Pelaksanaannya, walaupun secara berperingkat, akan merencatkan usaha-usaha pengeluaran blend-blend baru dan mengurangkan keseronokan kita secara tidak langsung. Antara saranan dari deeming act adalah larangan menghasilkan blend-blend ulangtahun, blend-blend edisi terhad, malah hingga ke tahap larangan penggunaan warna ekslusif seperti warna emas di kotak cerut!
Selain itu, kita juga tahu yang Dunhill juga akan menghentikan pengeluaran blend-blend tembakau mereka. Ini bermakna blend-blend yang sinonim dengan pemipa seperti My Mixture 965, Nightcap dan Dunhill Flake akan mengucapkan selamat tinggal kepada kita tidak lama lagi. Sudah pasti, fenomena “hoarding” sudah pun bermula terhadap blend-blend ini maka sebagai pemipa yang memiliki kadar keberlangsungan hidup yang tinggi, adalah wajar untuk kita mula mencari blend-blend pengganti agar kita tidak didatangi mimpi ngeri di malam hari apabila keputusan blend tersebut mulai berlaku.
Juga berlaku pada tahun 2018 adalah penjualan firma besar Peterson kepada Laudisi. Laudisi adalah sebuah firma yang memiliki beberapa syarikat yang sinonim kepada tembakau dan pipa seperti Smokingpipes, dan berita ini diterima oleh pada pemipa sedunia dengan reaksi yang pelbagai. Ada yang meramalkan akan kehilangan besar tradisi perpipaan Irish dan kemandiriannya, manakala ada juga yang beranggapan yang jenama Peterson akan terkubur tidak lama lagi. Namun, saya lebih suka untuk bersikap optimistik di dalam hal ini kerana Laudisi tentunya tahu akan kehendak pelanggan pemipa mereka; sesuatu yang mungkin akan mereka terapkan di dalam halatuju pengeluaran pipa dan tembakau dari Peterson tidak lama nanti. Apa-apa pun, kita nantikan dengan nafas yang tertahan-tahan akan di mana kah Peterson mulai dari 2019 hingga ke suatu masa yang akan datang.
Cabaran-cabaran getir yang bakal kita hadapi kelak tentunya akan menguji kekuatan mental kita. Akan tetapi di situ lah terletaknya satu peluang untuk kita membuktikan kepada dunia akan daya tahan dan kemampuan pemipa untuk kekal wujud di celah-celah dugaan yang mendatang. Saya yakin, sikap positif, sering dahagakan ilmu dan pragmatik pemipa alaf baru akan memastikan keberlangsungan kita sebagai sebuah komuniti yang cekal dan matang, jauh melebihi tahap pemikiran masyarakat luar yang semakin prejudis dan paranoid terhadap apa yang kita perjuangkan. Kita, adalah jauh lebih baik dari mereka…
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!